Berjanji Dengan Lafaz Insyâ’ Allah
Soalan: Dengan penuh hormat dan sukacita kaola ingin memohon pandangan dan fatwa daripada Yang Dimuliakan Pehin berhubung dengan perkara yang tersebut di bawah ini.
Pada masa ini telah timbul di kalangan masyarakat kitani membenci orang yang berjanji atau dijanjihi hanya mengucapkan َ إَن ْ شاء َ اللهـه tetapi tidak dapat menepati janji-janjinya. Mereka berkata bahawa jika kita berjanji dengan menyebut إَن ْ شَاء َ اللهـه maka janji-janji tersebut wajiblah ditepati dan jika tidak dapat ditepati janganlah menyebut إَن ْ شَاء َ اللهـه. Bagi pendapat kaola, apa yang jelas, sekarang ini telah timbul kekeliruan berhubung dengan konsep إَن ْ شَاء َ اللهـه dan menepati janji. Bagaimana pandangan Pehin mengenai perkara tersebut dan bagaimana pula konsep إَن ْ شَاء َ اللهـه itu sebenarnya?
Jawapan: Agama Islam adalah agama yang menjaga kesejahteraan masyarakat dan individu termasuklah menjaga pertalian antara satu sama lain. Demi menjaga kesejahteraan, maka membuat janji hendaklah ditepati. Ini selaras dengan kehendak syara‘. Firman Allah:
Tafsirnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” (Surah al-Isrâ’: 34)
Dalam ayat yang lain Allah menerangkan bahawa orang yang menyempurnakan janjinya itu adalah antara sifat orang yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itu adalah orang-orang yang bertaqwa, firman Allah:
Tafsirnya: “Dan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji.” (Surah al-Baqarah: 177)
Di akhir ayat ini disudahi dengan firmanNya:
Tafsirnya: “Mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 177) Daripada apa yang dijelaskan di atas juga menerangkan bahawa orang Islam mestilah menyempurnakan janji-janjinya kecuali ada keuzuran yang menghalangnya.
Sehubungan dalam hal ini, agama Islam juga telah menegaskan tentang kedudukan orang yang suka membuat janji dan sengaja tidak mahu menyempurnakan janjinya di mana orang yang sedemikian adalah tergolong dalam golongan orang-orang munâfiq. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Di antara tanda-tanda orang munâfiq itu tiga perkara iaitu: Jika dia bercakap dia bohong dan jika dia berjanji dia mengingkari janjinya dan jika ditanggungkan amanah kepadanya dia khianat.” (Hadis riwayat Muslim)
Adapun orang yang berjanji dan dia berazam akan menyempurnakan janjinya, tetapi terhalang oleh satu keuzuran yang menyebabkan dia tidak mampu menyempurnakan janjinya, maka tidaklah dia termasuk dalam golongan munâfiq itu.
Sebahagian orang apabila berjanji dia akan menyebut إَن ْ شَاء َ ا ّلِله, yang bermaksud: “Jika
dikehendaki Allah”. Tetapi perlu diingat bahawa ucapan إَن ْ شَاء َ اللهـه itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji yang dibuat dengan berserah kepada kuasa Allah semata-mata. Bahkan perkataan إَن ْ شَاء َ اللهـه itu hendaklah disertai dengan azam untuk menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang munâfiq.
Walau bagaimanapun, menyebut perkataan إَن ْ شَاء َ اللهـه dengan azam untuk melakukan sesuatu itu adalah lebih menepati kehendak agama Islam, kerana kita pasti bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu itu kecuali dengan izin Allah. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, besok pagi” melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata) إَن ْ شَاء َ اللهـه (jika dikehendaki Allah).” (Surah al-Kahf: 23-24)
Telah diriwayatkan bahawa ayat ini turun ketika Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya oleh orang Quraisy tentang roh, ashhâb al-Kahf dan Dzu al- Qarnain, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Esok aku beritahu kamu” (dengan janji secara pasti) dan Baginda tidak mengatakan إَن ْ شَاء َ اللهـه, maka Allah sengaja lambat menurunkan wahyu selama lima belas hari. Hal ini memberatkan Rasulullah dan menyebabkan Baginda dituduh oleh orang-orang Quraisy berbohong.
Maka ayat ini turun sebagai pertunjuk kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menerangkan kepada Baginda bahawa jika hendak melakukan sesuatu di masa yang akan datang hendaklah disertakan pengakuan itu dengan kehendak Allah Yang Maha Mengetahui segala yang telah berlaku dan akan berlaku.
Daripada apa yang dijelaskan di atas, dapat kita ambil pengajaran bahawa menyebut perkataan إَن ْ شَاء َ اللهـه di samping usaha menyempurnakan mana-mana janji itu adalah dituntut oleh Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7696
