Meninggal Sebelum Menerima Derma
Soalan: Dengan penuh hormat serta takzim dimaklumkan kepada Yang Dimuliakan Pehin bahawa satu kebakaran telah terjadi di Kg. Saba Tengah dan Kg. Saba Darat “A” pada 5hb. Mei, 1994. Sukacita dinyatakan kepada Yang Dimuliakan Pehin bahawa Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, melalui Unit Perkhidmatan Hal Ehwal Masyarakat telahpun membahagi dan menyerahkan wang sumbangan kutipan derma orang ramai kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
Bagaimanapun terdapat dua mangsa yang terlibat di atas kini didapati telahpun meninggal dunia, yang mana mangsa yang pertama meninggalkan sebelas orang anak dan mangsa yang kedua meninggalkan sembilan orang anak serta seorang cucu angkat. Maka sebelum sumbangan derma tersebut diserahkan, sukacita kementerian ini memohon pandangan nasihat Yang Dimuliakan Pehin mengenai dengan waris yang berhak menerima sumbangan tersebut.
Jawapan: Sedekah atau derma itu ialah sesuatu yang kita berikan kepada pihak-pihak yang tertentu dengan mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah. Dalam sedekah, mesti ada kedua-dua perkara iaitu pemberian dan harapan mendapat pahala. Hadiah pula ialah pemberian yang diberikan kepada seseorang kerana memuliakannya sama ada disertai dengan harapan mendapat ganjaran pahala ataupun tidak. Sedekah dan hadiah itu adalah hibah. Ini dijelaskan oleh Jalaluddin al-Mahalli pada mensyarahkan Minhâj ath-Thâlibîn katanya:
Ertinya: “Maka setiap daripada sedekah dan hadiah itu adalah hibah dan tidak sebaliknya (hibah itu tidak mesti sedekah atau hadiah).”
Demikianlah Imam an-Nawawi telah menjelaskan dalam kitabnya al-Minhâj katanya:
Ertinya: “Tidaklah benda yang dihibah (diberi) itu menjadi milik kepada orang yang kena beri, melainkan dia telah menerima serahan itu dengan izin daripada yang memberi itu.”
Berdasarkan perkara di atas, jelas kepada kita bahawa setiap pemberian itu tidak menjadi milik seseorang jika belum sempurna penyerahan dan penerimaannya.
Ini bererti sedekah juga tidak akan menjadi milik seseorang jika belum sempurna penyerahan dan penerimaannya kerana sedekah itu sendiri adalah hibah.
Asy-Syeikh Syarbini mengatakan:
Ertinya: “Jika menarik balik oleh pemberi termasuk pemberi hadiah dan pemberi sedekah atau warisnya terhadap izin pada menyerahkan (pemberian) itu atau mati pemberi atau mati orang yang diberi sebelum menerima pemberian, maka dalam kedua-dua keadaan itu (menarik balik atau mati) batallah izin tersebut. Maka tidak ada kuasa bagi yang diutus untuk menyampaikan itu menyerahkan pemberian berkenaan kepada orang yang diberi atau warisnya kecuali dengan izin yang baru.”
Maka dalam hal ini, tidaklah Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan menyerahkan mana-mana bahagian daripada wang derma tersebut kepada waris mangsa berkenaan kerana derma tersebut belum dikira miliknya.
Ini bererti kesemua derma-derma tersebut diserahkan kepada mangsa-mangsa yang ada sahaja. Walau bagaimanapun jika sekiranya Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan mahu juga menyerahkan sebahagian daripada derma tersebut kepada waris mangsa yang telah meninggal itu hendaklah Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan terlebih dahulu mendapatkan izin baru daripada penderma-penderma.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7798
