Mengubah Nama
Soalan: Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah menerima permohonan daripada seseorang yang telah diarahkan oleh pihak Jabatan Pendaftar Taraf Kebangsaan Brunei untuk mengubah nama bapa angkat beliau kepada nama bapa asalnya. Bagaimanapun bapa asal beliau adalah seorang yang bukan beragama Islam. Kelazimannya bagi orang-orang yang bukan beragama Islam dan seterusnya memeluk agama Islam adalah berbinkan kepada Abdullah, bagaimanapun pemohon tidak bersetuju untuk mengubah namanya berbinkan Abdullah dan beliau mendesak pihak jabatan ini untuk mengubah nama beliau berbinkan kepada bapanya sebenar seperti yang tercatat di Sijil Pendaftaran Anak Angkat beliau.
Dalam perkara ini pihak kaola sukacita untuk mendapatkan nasihat pihak Pehin mengenai adakah dibolehkan yang berkenaan itu menggunakan nama bapa sebenar beliau selain daripada Abdullah dan adakah dibolehkan bagi beliau untuk membuat nama tanpa bin (namanya sahaja tanpa bapa)?
Jawapan: Agama Islam adalah agama yang menunjukkan manusia kepada jalan yang lurus termasuklah hal-hal yang berhubung dengan urusan kehidupan di dunia. Perkahwinan adalah salah satu urusan keduniaan yang dilakukan oleh umat manusia. Dengan itu Islam telah meletakkan hukum dan peraturan mengenainya. Apatah lagi dalam menjaga nasab (keturunan) manusia. Allah telah menghalalkan nikah dan mengharamkan zina. Zina itu terjadi daripada berbagai-bagai sumber, termasuklah pernikahan di kalangan orang Islam yang sengaja melanggar atau tidak mengikut kehendak hukum syara‘ kerana mengikut hawa nafsu semata-mata tanpa tunduk kepada hukum Allah.
Di antara yang dilarang oleh Allah itu ialah pernikahan perempuan Islam dengan lelaki bukan Islam atau sebaliknya lelaki Islam dengan perempuan kafir.
Adalah haram hukumnya perempuan Islam bernikah dengan lelaki kafir dan tiada sah nikahnya sebagaimana yang tersebut dalam firman Allah:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam).” (Surah al-Baqarah: 221)
Jika terjadi juga, maka apabila lahir anak daripada hasil bersekedudukan lelaki dan perempuan itu, anak tersebut adalah dikira anak zina. Sabit nasab anak tersebut kepada ibunya dan tidak dinasabkan kepada bapanya.
Lain halnya dengan perkahwinan di kalangan orang yang bukan Islam sesama bukan Islam mengikut agamanya, maka anak yang lahir daripada hasil perkahwinan itu adalah nasab kepada ibu bapanya. Begitu juga perkahwinan yang dijalankan mengikut adat yang terpakai sebagai amalan satu-satu kaum kerana perkahwinan itu ialah satu akad (kontrak) yang mengharuskan hubungan suami isteri.
Apabila berlaku perkahwinan di antara orang-orang yang bukan Islam mengikut agamanya kemudian kedua suami isteri atau salah seorang daripadanya memeluk agama Islam, maka anak-anak mereka yang belum bâligh adalah dengan sendirinya ikut beragama Islam dan bagi anak-anak mereka yang sudah bâligh bolehlah memilih agama yang dikehendaki mereka.
Daripada unsur-unsur di atas dapat difahami bahawa jika sekiranya ibu pemohon itu, ketika dia berkahwin, dia beragama Islam sedangkan suaminya bukan beragama Islam, maka perkahwinan mereka adalah tidak sah mengikut Islam dan tidak sabit nasabnya kepada bapanya (suami ibunya). Tidaklah boleh dia dibinkan kepadanya. Dalam keadaan tidak sabit nasab itu bolehlah pemohon dibinkan kepada ibunya atau kepada Abdullah sebagai sebaik-baik nama gantian kepada nasabnya. Tetapi jika keduanya berkahwin dalam keadaan keduanya dalam agama yang sama dan perkahwinan mereka adalah mengikut aturan agamanya, maka sabit nasab pemohon kepada bapanya sebenar walaupun ibunya memeluk Islam selepas perkahwinan mereka.
Namun untuk meletakkan namanya sahaja tanpa bin, tidaklah digalakkan oleh agama Islam kerana dia akan menyusahkan banyak orang dan banyak pihak, bahkan perkara tersebut akan mendatangkan mudharat ke atas dirinya di kemudian hari seperti urusan-urusan pendaftaran, keterangan perjalanan dan sebagainya. Dalam agama Islam perkara yang mendatangkan mudharat itu adalah ditolak dengan kaedah adh-dharar yuzâl (mudharat itu dihilangkan) berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat mudharat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, ad-Daraquthni dan lain-lain)
Menyentuh tentang meletakkan namanya yang tercatat iaitu berbinkan kepada bukan bapanya sebenar itu adalah bersalahan dengan hukum syara‘. Firman Allah:
Tafsirnya: “Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan nama bapa mereka yang sebenar.” (Surah al-Ahzâb: 5)
Walau bagaimanapun jika dia dikekalkan sebagai nama kedua setelah meletakkan nama bapa sebenarnya bagi tujuan memelihara segala catatan-catatan dalam dokumen-dokumen yang lepas yang menggunakan nama tersebut, tidaklah mengapa kerana telah berlaku kesilapan-kesilapan di masa yang telah lalu iaitu tiada peraturan berkuatkuasa menghalang yang demikian itu. Untuk mengubah keseluruhan dokumen-dokumen yang lalu amat menyulitkan dan ini juga akan menimbulkan mudharat yang lain lagi. Dan mengikut kaedah fiqh juga menjelaskan:
Ertinya: “Mudharat tidak ditolak dengan mudharat.”
Perlulah diingat bahawa Islam sangat menyukai nama-nama yang indah dan elok. Nama-nama yang tidak elok itu bukan saja sunat diubah, bahkan adakalanya wajib, jika dengan nama itu memberikan kesamaran pada menyekutukan Allah seperti Abdul Ka‘bah (hamba Ka‘bah) atau nama Abdul ‘آthi (hamba yang memberi), kerana nama seperti Abdul ‘آthi itu tidak dipakai oleh syara‘ sebagai nama Allah.
Oleh yang demikian, walaupun harus bagi pemohon mengekalkan nama bapanya sebenar selepas namanya, tetapi adalah elok dan baik diubah nama bapanya kepada nama seperti Abdullah, Abdul Rahman dan lain-lain nama al-Asmâ’ al-Husna supaya menunjukkan identiti atau pengenalan Islamnya itu.
Seorang Islam itu hendaklah berbangga dalam erti bersyukur yang dia telah menjadi seorang Islam kerana Islam dan iman itu adalah nikmat yang paling besar. Maka apa jua unsur-unsur kekafiran itu eloklah ditiadakan apatah lagi jika nama-nama kafir itu membawa erti yang tidak elok.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7794
