Menuntut Semula Elaun Sara Hidup Yang Terlebih Bayar
Soalan: Salah satu daripada tugas dan tanggungjawab utama bahagian dermasiswa ialah membiayai sepenuhnya kos perbelanjaan pelajar-pelajar biasiswa kerajaan di luar negeri melalui peruntukan kewangan setiap tahun. Bagi pelajar-pelajar di United Kingdom, umpamanya. Kos perbelanjaan diuruskan oleh Unit Penutut-penuntut di London, bagi pihak kerajaan. Pengauditan perbelanjaan Unit Penuntut-Penuntut di London adalah di bawah pengawasan pegawai-pegawai Jabatan Audit yang didatangkan ke London dalam jangka waktu tiga atau empat tahun sekali.
Dalam hubungan ini perbelanjaan yang tidak selaras dengan kadar dan tempoh yang dibenarkan (sama ada berkurangan atau berlebihan) akan dikenal pasti dahulu oleh Jabatan Audit dan kemudian barulah dihadapkan terus ke bahagian ini bagi urusan tertentu termasuk untuk diteliti semula ke arah menyelasaikan Pertanyaan Audit. Umpamanya, dengan menghubungi pelajar yang terbabit untuk dibayar lagi jika elaun yang diterima kurang daripada kadar yang ditetapkan; atau menuntut balik perbelanjaan kerajaan yang berlebihan daripada kadar yang ditetapkan. Masalah yang timbul yang kaola hadapi adalah berhubungkait dengan kadar yang sepatutnya dituntut balik apabila seorang pelajar yang menerima lebih daripada kadar yang ditentukan. Berikut sukacita kaola beri contoh pelajar bil. BS 4092/S 593.
“... telah terlebih bayar elaun sara hidup bagi Disember 1980 sebanyak £216.00, pada waktu itu kerajaan telah mengeluarkan sebanyak B$1,082.59. Elaun berkenaan sekarang perlu dibayar balik kepada kerajaan...”
Dalam hubungan ini adakah pelajar terbabit dikehendaki membayar balik sebanyak £216.00?
(a) Mengikut pertukaran mata wang pada Disember 1980 iaitu berjumlah B$1,082.59 (£1.00 = $5.012)
atau
(b) Mengikut pertukaran mata wang sekarang berjumlah B$474.77 (£1.00 =$2.1980)
Dalam hubungan ini kaola sukacita memohon jasa baik Pehin untuk memberi nasihat, pandangan dan ulasan mengenai dengan isu seperti di atas. Semoga dengan penjelasan Pehin Insya Allah akan dapat menjadi garis pandu Jabatan ini dalam mengambil tindakan yang lebih berpatutan di masa akan datang.
Jawapan: Setiap barang atau sesuatu yang diterima yang bukan hak milik sendiri mengikut hak pemilikan dalam Islam, barang atau sesuatu yang berkenaan itu tidaklah boleh dipakai atau dimanfaatkan dan ianya wajib dikembalikan semula kepada pemiliknya yang sebenar.
Jika dipakai, seperti dipergunakan untuk membeli makanan, maka dikiralah dia memakan harta orang dengan bâthil. Firman Allah:
Tafsirnya: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain dengan cara yang bâthil.” (Surah al-Baqarah: 188)
Jika seseorang diamanahkan sebagai wakil memberi sesuatu kepada orang lain, maka dia wajib memberi sesuatu itu hanya mengikut kadar atau nilai sebagaimana yang diamanahkan kepadanya. Jika kurang dia wajib menyempurnakannya dan jika terlebih bayar dia wajib menuntutnya semula. Firman Allah:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” (Surah an-Nisâ’: 58)
Bahagian Dermasiswa diamanahkan oleh kerajaan memberi sejumlah wang kepada penuntut sesuai dengan perjanjian seperti berapa kadarnya setiap bulan, diberi berdasarkan wang Pound Sterling atau US Dollar atau lain-lain kemudahan menurut perjanjian.
Selaku pemegang amanah, maka Bahagian Dermasiswa wajiblah menambah bayaran yang sudah diberi sekiranya masih kurang daripada yang disebutkan dalam perjanjian dan sebaliknya wajiblah Bahagian Dermasiswa menuntut bayaran balik semula sekiranya ia terlebih bayar, kerana bayaran yang lebih daripada perjanjian (yang diamanahkan) adalah hak kerajaan, bukan hak si penerima dermasiswa.
Sekiranya terjadi perkara seperti ini, masing-masing pihak mempunyai hak untuk menuntut hak masing-masing. Jika penerima dermasiswa tidak menerima secukupnya dermasiswanya, dia berhaklah menuntut sekadar yang kurang itu, dan jika pemberi dermasiswa pula terlebih bayar, maka pihak pemberi itu wajib dan berhaklah meminta atau menuntut semula supaya dikembalikan bayaran yang terlebih itu.
Jika Terlebih Bayar
Sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian pemberian dermasiswa, kadar nilai yang diberi kepada penuntut umpamanya ialah mengikut nilai mata wang Pound Sterling, jika penuntut belajar di United Kingdom atau Great Britian atau mengikut nilai wang tertentu umpamanya dalam US Dollar atau dalam Pound Sterling bukan mengikut nilai mata wang di mana penuntut itu belajar seperti penuntut belajar di Timur Tengah.
Maka nilai yang perlu dibayar - sama ada tambahan atau tuntutan kerana terlebih bayar - adalah juga mengikut nilai mata wang tertentu itu.
Kadar Nilai Lama Atau Nilai Semasa
Adapun kadar nilai mata wang tertentu yang perlu ditambah atau yang perlu dituntut kerana terbayar lebih itu adalah berdasarkan kadar dan nilai ketika masa wang itu diserahkan atau diterima.
Mengikut hukum fiqh, jika seseorang menerima makanan daripada jiran, dan makanan itu dibalut atau diletakkan di dalam piring atau rantang (bakul bertutup tempat makanan atau mangkuk), makanan itu adalah milik si penerima dan dia boleh memakan dan mempergunakannya, tetapi dia tidak boleh memiliki dan mempergunakan pembalut atau piring atau rantang berkenaan, melainkan jika sudah menjadi adat kebiasaan di tempat (masa) itu bahawa jika memberi sesuatu atau menerima sesuatu, maka pembalut atau bekasnya tidak perlu lagi dikembalikan kepada si pemberi.
Jika tidak berlaku adat seperti ini, maka pembalut atau bekas pemberian itu, menjadi barang pertaruhan di tangan si penerima dan haramlah dipergunakannya dan mengikut sesetengah ulama, sunat segera dikembalikan kepada si pemberi. (Mughni al-Muhtâj: 2/405)
Maka dalam hal ini, si penerima dermasiswa, apabila dia mengetahui bahawa dia menerima lebih daripada bayaran yang layak diterimanya, dia mesti mengembalikan bayaran yang lebih itu kepada kerajaan, kerana bayaran lebih itu adalah barang pertaruhan di tangannya.
Kadar (jumlah) yang perlu dibayar oleh si penerima atau yang patut dituntut oleh si pemberi, berhubung dengan ‘terlebih bayar’ yang dikira sebagai ‘pertaruhan’ di tangan si penerima itu, ialah mengikut kadar ketika bayaran yang lebih itu diterima atau diserahkan.
Dalam Mughni (2/404) disebutkan: “Maka yang paling shahîh ialah dengan mengambil kira nilai ketika diserah/diterima.”
Sekiranya ‘bayaran lebih’ itu dikira sebagai hutang si penerima kepada si pemberi, maka nilai atau kadar yang perlu dibayar semula kepada si pemberi juga ialah mengikut nilai atau kadar ketika ianya diberi atau diterima, bukan nilai atau kadar semasa, (Mughni al-Muhtâj: 2/119). Ertinya, pelajar berkenaan hanya dikehendaki membayar balik dengan mata wang £216, berdasarkan apa yang dia terima pada masa 1980. Jika Bahagian Dermasiswa meminta supaya dibayar dengan mata wang Brunei maka hendaklah tetap juga dibayar senilai £216 sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7811
