Nikah Berwalikan Hakim Di Luar Negeri
Soalan: Dengan hormat dan takzim kaola memaklumkan bahawa pada 23hb. Ramadhan, 1416H/13hb. Februari, 1996M, kaola telah ditemui oleh seorang lelaki yang menjelaskan kepada kaola bahawa dia telah bernikah pada 25hb. Syawal, 1414H/12hb. April, 1994M dengan anak perempuan kaola.
Sebelum pernikahan tersebut dijalankan pihak lelaki tersebut tidak pernah berjumpa dengan kaola atau membuat sebarang perundingan dengan pihak kaola seterusnya untuk mendapatkan pengakuan kaola sebagai wali yang sah.
Sukacita kaola memohonkan fatwa Pehin Mufti mengenai dengan perkara yang tersebut di atas.
Jawapan: Wali adalah salah satu daripada rukun nikah, dan ia terbahagi kepada tiga jenis:
(i) Wali nasab. (ii) Wali kerana milik. (iii) Wali hakim.
Wali nikah itu didahulukan yang aqrab (lebih dekat) daripada yang ab‘ad (lebih jauh), kecuali ada sesuatu sebab yang menghalangnya mengikut hukum syara‘, maka dengan ini, wali itu akan berpindah kepada yang lebih layak di kalangan wali-wali yang ada. Penentuan wali yang layak itu di Negara Brunei Darussalam akan dirujukkan kepada Qadhi Daerah atau sesiapa yang mempunyai bidang kuasa dalam hal ehwal pernikahan.
Demikian juga penentuan wali hakim akan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh hukum syara‘ berdasarkan persoalan yang berbangkit. Ini juga akan dirujuk kepada qadhi atau jurunikah atau sesiapa yang mempunyai bidang kuasa mengenai hal ehwal perkahwinan.
Mengenai dengan perpindahan wali nasab kepada wali hakim (sultan, raja, amîr atau kepala negara menurut kesesuaian nama bagi sesebuah negara itu) adalah ia boleh berlaku di dalam keadaan-keadaan yang tertentu seperti berikut:
(i) Wali aqrab itu berada sejauh dua marhalah atau lebih (lima puluh enam batu) daripada mauliyahnya (perempuan yang hendak bernikah).
(ii) Wali aqrab itu dalam ihram haji atau umrah.
(iii) Wali aqrab enggan menikahkan mauliyahnya yang âqil bâligh yang minta dinikahkan dengan lelaki yang kufu’ dengannya kurang daripada tiga kali. (iv) Wali aqrab hilang, tidak diketahui di mana dia berada dan tidak diketahui sama ada masih hidup atau sudah mati.
(v) Wali aqrab itu sendiri yang hendak bernikah dengan perempuan itu (mauliyah) dan ketika itu tiada wali lain yang setaraf dengannya.
(vi) Wali aqrab sangat sukar didatangi seperti terhalang kerana bahaya dan seumpamanya.
Di negara-negara yang umat Islamnya sebagai minoriti, mengenai hal ehwal pernikahan atau lain-lain urusan ibadat orang-orang Islam di negara berkenaan, satu Lembaga atau Majlis Agama Islam akan ditubuhkan oleh pemerintah atau yang diiktiraf oleh pemerintah yang akan mengendalikan perkahwinan orang-orang Islam itu. Maka Lembaga atau Majlis Agama Islam tersebut akan melantik juru-juru nikah atau pendaftar pernikahan orang-orang Islam. Mereka ini dianggap bertindak menjadi wali hakim bagi pihak Lembaga atau Majlis Agama Islam di tempatnya.
Maka apabila terdapat salah satu sebab yang disebutkan di atas (i) hingga (vi), kuasa wali nasab akan berpindah kepada hakim atau wakilnya seperti qadhi, jurunikah, pendaftar pernikahan orang-orang Islam atau mana-mana pihak yang bertanggungjawab mengenai pernikahan orang Islam, dan dalam kuasa hakim boleh menikahkan seorang perempuan sebagai ganti kepada walinya itu, tidak disyaratkan bagi hakim mendapatkan keizinan walinya, dan pernikahan yang sedemikian itu adalah sah di sisi hukum syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7815
