Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة

Penjelmaan Zat Allah Dalam Jasad Rasulullah

Soalan: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa antara isi kandungan ‘Ajaran Abdul Razak bin Haji Muhammad’, mereka mendakwa bahawa Allah ‘Azza wa Jalla telah menzahirkan zatNya yang Maha Tinggi lagi Agung dan menjelma masuk ke dalam jasad tubuh badan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka jadilah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sebahagian daripada Allah ‘Azza wa Jalla lalu bersatu dan bersepadulah dua jasad dengan roh yang satu.

Berhubung dengan perkara di atas, dengan hormatnya dipohonkan fatwa Pehin mengenainya dan apakah hukumnya orang-orang yang percaya dan beramal dengan ajaran tersebut.

Jawapan: Zat Allah dan makhlukNya mustahil bersatu dalam apa jua keadaan, sama ada dalam bentuk penjelmaan atau lainnya, sekalipun makhlukNya itu RasulNya yang mempunyai martabat yang paling tinggi di sisiNya iaitu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Pendapat tentang penjelmaan zat Allah di dalam jasad Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan bersatunya kedua jasad tersebut dalam satu roh pernah dikatakan oleh kumpulan zindik di mana mereka berkata bahawa Allah telah menjelma di dalam diri al-Masih Isa ‘Alaihissalam. Pendapat ini ditolak oleh Allah sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: “Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan”. Padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa.” (Surah al-Mâ’idah: 73)

Pendapat ini juga telah menjadi pegangan segolongan pelampau Syi‘ah yang mendewa-dewakan Sayyidina Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu.

Lebih jauh lagi dari itu, pada tanggapan golongan pelampau Syi‘ah itu bahawa jika Allah Ta‘ala menghendaki sesuatu, maka Dia (Allah) akan masuk ke dalam jasad manusia dan mengeluarkan arahan yang berupa suruhan atau larangan melalui lisan orang itu. Itu semua adalah kufur yang terang-terang dan terkeluar daripada agama Islam.

Sementara itu kaum Baha’iyyah pula mengi‘tiqâdkan bahawa rasul-rasul Allah adalah penjelmaan daripada Tuhan, yakni rasul-rasul adalah perwujudan daripada Tuhan.

Akan tetapi bagi mereka al-Bâb iaitu Mirza Ali Muhammad dan Khalifah Mirza Husein Ali adalah perwujudan Tuhan yang lebih sempurna, lebih daripada Musa, lebih daripada Isa dan lebih daripada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Jadi, pada hakikatnya Tuhan dan Mirza Ali Muhammad menurut aqidah mereka adalah satu, sebagaimana persatuan antara tuhan dengan anaknya dan rasul qudus dalam agama Kristian.

Dalam suatu siarannya, kaum Bahai mengatakan begini:

“Sekarang kami sampaikan kepada saudara berita yang sangat baik. Bergembiralah bahawa tuhan telah mengirimkan lagi kepada kita matahari kebesaran. Dia telah mewujudkan dirinya dalam seorang besar untuk menyelamatkan kita daripada semua kesengsaraan dan dukacita kita. Perwujudan tuhan zaman ini bersama Bahaullah, adalah bererti kemuliaan atau cahaya tuhan.” (Lihat siaran umat beragama Bahai Indonesia - Jakarta)

Jelas dalam siaran ini bahawa kaum Bahai beri‘tiqâd bahawa Tuhan menjelma ke dalam tubuh Bahaullah, jadi dia adalah penjelmaan daripada Tuhan di atas dunia.

Demikian i‘tiqâd Bahai. Nampaknya i‘tiqâdnya diambil daripada kepercayaan Kristian atau kepercayaan Buddha, yang mempercayai ada tuhan yang batin dan ada bahagiannya yang melahirkan diri.

Akan tetapi yang sah dan pasti ialah Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengirimkan utusan-utusanNya, maka diwahyukan kepada mereka apa-apa yang hendak disampaikan kepada manusia, iaitu melalui proses kerasulan atau kenabian, tidak melalui penjelmaan seperti yang didakwa oleh golongan Zindik, Bahai atau Syi‘ah.

Ahli Sunnah wal Jamaah telah sepakat bahawa Allah Ta‘ala Maha Suci daripada menyerupai segala yang baharu dan Allah tidak berjisim, bukannya bayang-bayang dan gambar, bukannya daging, bukannya darah dan bukannya tulang. Firman Allah:

Tafsirnya: “Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah asy-Syûra: 11)

Tafsirnya: “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada tuhan (yang berhak disembah) selain daripada Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah: 163)

Mereka (Ahli Sunnah wal Jamaah) juga sepakat bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah seorang manusia yang diciptakan oleh Allah daripada air mani yang memancar. Firman Allah:

Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu.” (Surah al-Kahf: 110)

Dalam firmanNya yang lain:

Tafsirnya: “Bykanlah al-Masih Ibnu Maryam itu melainkan seorang Rasul, yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana Kami jelaskan kepada mereka (Ahli Kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka daripada menerima kebenaran yang jelas nyata itu).” (Surah al-Mâ’idah: 75)

Sungguhpun Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah sebaik-baik makhluk yang diperintahkan untuk diikuti jejak langkah Baginda yang digambarkan oleh Allah sebagai ikutan yang baik, bahkan mencintai Baginda bererti juga mencintai Allah, namun Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri telah memberi amaran dan telah menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada fahaman yang salah seperti tersebut dalam hadis Baginda:

Maksudnya: “Ketika mana seorang lelaki berkata kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: “Apa yang dikehendaki Allah dan Tuan hamba?” Maka lantas itu juga Rasulullah bertanya: “Apakah engkau jadikan aku segandingan dengan Allah?” Sepatutnya kamu mesti berkata: “Apa yang dikehendaki oleh Allah yang Maha Esa.” (Hadis riwayat Ahmad)

Sementara itu Nabi Musa ‘Alaihissalam pernah memohon kepada Allah supaya memperlihatkan zatNya sebagaimana yang diceritakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sendiri di dalam al-Qur’an.

Tafsirnya: “Dan manakala Nabi Musa datang untuk bermunâjât dengan Kami pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhannya telah berfirman langsung kepadanya, Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu”. Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu”. Setelah Tuhannya ‘tajalla’ (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) ‘tajallaNya’ menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah dia sedar semula, berkatalah dia: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)

(Surah al-A‘râf: 143)

Ketika Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dimi‘râjkan, Baginda dilingkungi oleh cahaya yang datang dari arah kanan, kiri dan hadapan Baginda, dan Baginda telah dapat melihat Tuhannya. Hal ini ditunjukkan oleh hadis Abu Dzarr, beliau berkata yang bermaksud: “Aku pernah bertanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Adakah Tuan hamba melihat Allah?” Rasulullah menjawab: “Hanyalah cahaya, bagaimana aku dapat melihatNya?”

Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah sewaktu membincangkan sifat-sifat yang mustahil bagi Allah di antaranya ialah خمالفتهللحوادث (menyalahi Allah/tidak serupa dengan segala

makhlukNya). Oleh itu adalah mustahil zat Allah yang tiada bandingannya ( كمثله ليس

شىء) itu masuk ke dalam jasad tubuh badan rasulNya (manusia biasa), kerana dua zat yang berbeza tidak boleh menjadi satu.

Untuk mengelakkan daripada kesamaran atau syubhah tentang persatuan Allah dengan rasulNya atau dengan mana-mana zat hambaNya, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang menggunakan ungkapan ganti nama (dhamîr) yang menunjukan Allah dan Rasul dalam satu kalimat. Kisah ini pernah terjadi dalam ucapan seorang khatib yang menyebut (dalam bahasa arab) “ َ وَمَن ْ يـَعْصَهَما” iaitu:

Maksudnya: “Daripada ‘Adiy bin Hatim, bahawa ada seorang lelaki berkhutbah di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dia (khatib) itu berkata: “Barang siapa yang mentaati Allah dan RasulNya, maka dia akan mendapat hidayat dan barang siapa mendurhakai keduanya, maka dia akan sesat”, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Seburuk-buruk khatib adalah kamu, katakanlah: “Barang siapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka dia akan sesat.” (Hadis riwayat Muslim)

Jadi, penyatuan dalam ungkapan bahasa pun tidak dibenarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka tentulah lebih dimurkai lagi jika ada orang yang mendakwa penyatuan zat Allah dan RasulNya sehingga menjadikan Allah dan RasulNya itu satu zat atau di dalam satu roh.

Ini adalah terang-terang menyalahi aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah, kerana kepercayaan tersebut adalah syirik yang terang-terangan. Kepercayaan penyatuan zat Allah dengan makhlukNya itu merupakan kepercayaan satu kumpulan sesat yang telah lama wujud, dikenali dengan nama Wihdah al-Wujûd.

Wihdah al-Wujûd dan hulûl itu adalah suatu perkara yang bâthil. Bahawasanya yang difahamkan daripada perkataan hulûl itu ialah dua perkara, salah satunya ialah perantaraan di antara jisim dan tempat jisim itu berada. Tuhan itu maha suci daripada erti atau makna berjisim, dan mustahillah Allah berkeadaan seperti jisim (yang bermasuk-masuk dalam suatu jisim dan bertempat). Keduanya perantaraan di antara sifat ‘aradh dan jauhar, kerana ‘aradh itu seperti bergerak dan berdiri di atas jisim, dan kadang-kadang disebutkan ‘aradh masuk pada jisim, dan perkara seperti itu adalah mustahil bagi Allah Ta‘ala yang berdiri dengan sendiriNya sebagaimana dalam sifat dua puluh.

Tidaklah digambarkan hulûl (masuk atau bermasuk-masuk) di antara dua hamba Allah, maka bagaimana pula boleh digambarkan hulûl di antara hamba dengan Tuhan Rabb al-‘Âlamîn, jadi keputusannya adalah ittihâd (bersatu) dan hulûl (bermasuk atau masuk) adalah suatu perkara bâthil dan mustahil, kerana yang difahamkan daripada perkataan hulûl itu bererti yang masuk itu terliput oleh tempat yang dimasukkan, seperti meliputi sampul akan benda yang kena sampul itu, maka dari itu batallah perkataan orang Nashrani atau orang Kristian yang berkata lâhût (tuhan) masuk dalam nâsût (manusia), yakni batallah dan salah serta mustahil faham mereka yang berkata Allah Ta‘ala hulûl (masuk) di dalam jisim (badan) Nabi Isa ‘Alaihissalam, kerana jika ditakdirkan hulûl lâhût di dalam lembaga al-Masih (Isa) ‘Alaihissalam, nescaya jasad al-Masih itu lebih besar dan lebih luas daripada benda yang masuk ke dalamnya (Tuhan). Jadi keputusannya bahawa jasad manusia lebih besar daripada zat Tuhan, dan perkara semacam itu adalah mustahil bagi Allah Ta‘ala.

Tidak syak lagi bahawa kepercayaan mereka ini adalah satu ajaran sesat yang dibawa masuk ke dalam masyarakat Islam dan diterima oleh sebilangan kecil orang yang tidak ada asas aqidah yang sebenar, yang dipelajarinya daripada guru yang sesat. Guru yang sesat ini menyebarkan pula kepada orang lain yang juga jahil, tetapi mudah terpengaruh dengan pembawa ajaran sesat itu sehingga apabila mereka menerima ajaran sesat itu mereka terus fanatik dengannya dan sukar menerima nasihat atau tidak mahu diperbetulkan, oleh kerana telah dipengaruhi oleh pembawa ajaran sesat itu.

Dengan ini umat Islam adalah diharapkan agar jangan mudah terpedaya dengan orang-orang yang datang dari luar negeri dengan menawarkan dirinya untuk mengajar ajaran tanpa dipastikan keshahîhannya terlebih dahulu dan yang lebih selamat hendaklah melalui pihak yang berkuasa agama di negara kita, supaya masyarakat kita terselamat daripada pembawa-pembawa ajaran sesat yang bermotifkan kepentingan diri atau lain-lain motif jahat.

Orang-orang yang seperti ini biasanya menampakkan diri mereka sebagai orang salih, wara‘ dan alim, kerana sifat-sifat ini sangat mempengaruhi orang yang melihatnya sedangkan hakikat sebenarnya adalah pembawa ajaran sesat yang menyesatkan dengan berbagai helah dan tipu daya supaya orang jahil akan terpengaruh dengannya. Motifnya mungkin jua baik, tetapi tanpa disedari olehnya sendiri sebenarnya ajarannya itu adalah ajaran sesat.

Oleh yang demikian, ‘Ajaran Abdul Razak Muhammad’ yang mendakwa Allah menjelma ke dalam jasad atau tubuh badan Rasulullah, bersatu dan bersepadu dua jasad dalam roh yang satu adalah ajaran salah, sesat lagi menyesatkan, bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan boleh membawa kepada syirik, seterusnya murtad atau terkeluar daripada agama Islam.

Dari segi yang lain bahawa dakwaan Allah menzahirkan zatNya juga merupakan dakwaan yang bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah wal Jemaah, kerana dakwaan itu membawa pengertian bahawa zat Allah boleh dilihat di dunia ini. Firman Allah:

Tafsirnya: “Dia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dialah yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.” (Surah al-An‘âm: 103)

Dengan keterangan-keterangan daripada ayat-ayat al-Qur’an dan hadis di atas, maka jelaslah bahawa dakwaan bahawa zat Allah masuk bersatu dengan tubuh badan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah tertolak.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7843