Penjelasan “Its Crazy if You Pregnant You Never Eat” (Adalah Bodoh Jika Awak Hamil, Awak Tidak Makan)
Soalan: Apakah bentuk penjelasan yang boleh kita berikan jika seseorang yang bukan Islam bertanyakan tentang isteri hamil yang berpuasa. Bagi mereka: “It’s crazy if you pregnant you never eat.”
Jawapan: Ada dua pendekatan mengenai soalan ini, iaitu sama ada memberi penjelasan atau tidak kerana orang yang bukan Islam itu memang mereka tidak beriman kepada Allah, sedangkan ibadat puasa adalah perkara yang berkait rapat dengan keimanan.
Namun begitu memberikan penjelasan ada juga baiknya, supaya dapat diketahui, bahawa hukum-hakam itu adalah berasaskan kepada naqli (nash-nash atau dalil-dalil al-Qur’an dan hadis atau kedua-duanya) serta berdasarkan kepada ‘aqli (rasional). Dan ‘aqli itu mesti bersandarkan kepada naqli jua.
Semua persoalan mengenai Islam dari mana-mana pun datangnya adalah berdasarkan kepada naqli dan ‘aqli ini, supaya ia mudah difahami. Melalui cara inilah orang-orang bukan Islam dapat memahami dan menerima Islam, kerana agama Islam itu ialah agama yang logik. Sebab itu, berapa ramai orang yang bukan Islam, dengan hidayah Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui pembacaan, pemikiran, hujah dan perdebatan telah memeluk agama Islam.
Sebenarnya tidak tepat bagi sesiapa yang mengatakan sama ada dia seorang Islam atau bukan Islam, bahawa perempuan hamil dikehendaki berpuasa tanpa ada penghuraian dalam keadaan bagaimana dia (perempuan hamil) itu harus dan tidak harus berbuka puasa.
Dalam hal keadaan perempuan yang hamil, dia adalah diharuskan berbuka jika dia merasa khuatir atau takut, bahawa jika dia berpuasa, akan boleh mendatangkan bahaya atau mudharat kepada dirinya atau kepada kandungannya atau kedua-duanya.
Jadi jika demikian sikap Islam terhadap perempuan hamil maka tidak timbul “cakap-cakap” atau tuduhan mengenai “It’s crazy if you pregnant you never eat”, maksudnya: Adalah bodoh (hilang akal), jika engkau hamil, engkau tidak makan.
Adalah dusta dan jahat cakap-cakap: “It’s crazy if you pregnant you never eat” (adalah bodoh jika engkau hamil, engkau tidak makan). Ini sebenarnya adalah cakap orang jahil lagi bodoh. Awas! Orang Islam jangan turut terlanjur lidah sedemikian itu. Orang bukan Islam memanglah mereka itu tidak beriman, kerana itu macam-macam mereka boleh cakap mengikut sesuka hati dan akal mereka. Cakap-cakap mereka itu tidak dipandu oleh syara‘. Mereka tidak akan bercakap baik tentang Islam selama mana tidak sampai hidayat kepada mereka. Kalau adapun cakap-cakap yang baik, itu adalah jarang didapati, atau ianya hanya sebagai mujâmalah iaitu saja-saja untuk mengambil hati orang Islam sahaja, tidak lebih daripada itu.
Mereka tidak faham, dan memang tidak akan memahami konsep ibadat dalam Islam. Konsep ibadat itu sebenarnya mudah sahaja, suatu rahmat, bukan kezaliman atau penyeksaan. Ia dilakukan dalam keadaan yang kita mampu, bukan memberat-beratkan.
Misalnya cuba lihat kepada ibadat sembahyang. Di dalam keadaaan yang biasa, ia adalah dilakukan dengan cara berdiri, ruku‘ dan sujud. Tetapi dalam keadaan seseorang itu sakit, maka ia boleh dan sah dilakukan menurut keadaan orang yang sakit itu, sehingga, sekiranya dia tidak berupaya dengan cara yang biasa tadi, maka boleh dan sah dia melakukannya dengan apa jua cara yang dia mampu. Contohnya, jika tidak berupaya berdiri, maka dengan duduk, atau jika tidak berupaya berdiri dan duduk maka berbaring, hatta dengan isyarat kerlipan mata sekalipun. Malaahn dengan kerlipan atau isyarat itu dia masih tahu di mana letaknya ruku‘ dan sujud.
Inilah gunanya ilmu mengenai hukum-hakam dalam agama itu. Sekiranya seorang itu tahu dan beriman, maka sudah tentu tidaklah akan timbul cakap-cakap celupar dan bodoh itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7839
