Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Peranan Zakat

Soalan: Benarkah zakat tidak boleh mencukupi untuk membantu fakir miskin? Kalau benar bagaimanakah cara untuk mengatasinya?

Jawapan: Sebenarnya peranan zakat memang untuk membantu mengatasi atau memenuhi keperluan fakir miskin. Tujuan zakat kepada fakir miskin ialah untuk menghilangkan sebab-sebab kemiskinan mereka itu. Oleh sebab itu fakir miskin ditetapkan berhak menerima zakat.

Berapakah keperluan fakir miskin itu akan tertakluk kepada harta zakat yang ada. Jika harta zakat itu banyak, maka akan lebih mudahlah menyusun apa jua perancangan bagi jenis keperluan yang hendak diberikan.

Dalam menentukan berapa kadar zakat yang patut diberikan kepada fakir miskin, maka ulama dalam mazhab asy-Syafi‘e telah menggariskannya seperti berikut:

(i) Masing-masing fakir dan miskin jika biasa berdagang, bolehlah diberikan sejumlah modal yang biasanya dapat membawa keuntungan untuk mencukupi keperluannya. Kalau dia biasa menjadi pekerja, maka diberikan sejumlah alat kerjanya, dan bagi yang tidak mempunyai kebolehan bekerja mahupun kebolehan untuk berdagang, maka diberi sejumlah yang mencukupi keperluannya sepanjang umur ghâlib. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/189)

(ii) Mana-mana fakir miskin yang bagus (berkebolehan) berusaha melalui pekerjaan atau berniaga, menurut pendapat ulama Iraq dan lain-lain ulama: “Mereka bolehlah diberi zakat yang mencukupi keperluan sepanjang umur ghâlib (yang biasa).” Menurut lain-lain ulama, di antaranya al-Ghazali dan al-Baghawi: “Diberikan zakat yang mencukupi bagi keperluan setahun, kerana zakat itu berulang-ulang tiap-tiap tahun.”

Menurutku (kata Imam an-Nawawi): “Dan di antara ulama yang memutuskan masalah ini ialah pengarang kitab at-Talkhîsh dan ar-Rafi‘e dalam al-Muharrar, tetapi yang ashhahnya ialah pendapat ulama Iraq dan itulah nash Imam asy- Syafi‘e.” (Raudhah ath-Thâlibîn: 2/187)

Menurut Imam an-Nawawi lagi: “Yang menutup (memenuhi) keperluan dan hajat seseorang itu ialah makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan segala yang perlu baginya sesuai dengan yang selayaknya bagi hal keadaan dirinya tanpa berlebihan dan tidak pula berkurangan bagi dirinya dan bagi orang-orang yang di bawah tanggungannya.” (Raudhah ath-Thâlibîn: 2/174)

(iii) Asy-Syirazi pula berpendapat: “Diberikan zakat kepada fakir miskin bagi keperluan yang secukupnya.”

Demikianlah beberapa pendapat dalam mazhab asy-Syafi‘e mengenai kadar zakat yang patut diberikan kepada fakir miskin yang berkisar:

(i) Mu‘tamadnya ialah diberi sejumlah yang mencukupi keperluannya sepanjang umurnya yang biasa. Maksudnya baki umur iaitu (dari) enam puluh tahun dan seterusnya. Diberikan setahun menurut at-Tuhfah dan an-Nihâyah. (I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/189)

(ii) Dibataskan kepada kadar setahun.

Adapun penentuan kadar pengagihan zakat kepada fakir miskin adalah tidak sama, sesuai dengan keperluan tiap-tiap individu (fakir miskin) itu sendiri.

Walau bagaimanapun cara di atas boleh saja berubah berdasarkan pertimbangan semasa, selama tidak bercanggah atau berlawanan dengan syara‘.

Memanglah disedari bahawa pihak-pihak yang menjalankan pengurusan zakat akan menghadapi kesusahan jika dilaksanakan cara pengagihan zakat berdasarkan:

- Memperuntukkan sejumlah modal wang bagi yang boleh berniaga, atau

- Memberikan alat-alat bagi yang bekerja, atau

- Memperuntukkan sejumlah wang keperluan seumur hidup atau

- Keperluan yang mencukupi untuk setahun,

sebagaimana kehendak pengarang I‘ânah ath-Thâlibîn dan lain-lain ulama asy-Syafi‘e di atas.

Kesusahan yang dimaksudkan ialah bagaimana pihak-pihak yang menangani akan dapat menentukan keperluan dari segi bantuan permodalan atau memberikan alat-alat atau bantuan berupa kewangan seumur hidup atau bulanan? Kerana ia akan memerlukan kajian, perancangan dan pengurusan serta yang demikian itu tentulah pula ia tertakluk kepada adanya mekanisma dengan segala kemudahan-kemudahannya.

Walau bagaimanapun, ketiadaan mekanisma tersebut tidaklah menjadi alasan sehingga terabai, terlalai atau apa jua yang menyebabkan para fakir miskin tidak dapat menerima hak zakat sebagaimana semestinya.

Memang disedari untuk mengenal pasti seseorang itu tergolong dalam ashnâf fakir miskin adalah memerlukan penyiasatan dan penyelidikan yang sewajarnya, supaya jangan ada orang yang akan mendakwa sebagai fakir miskin (yang sebenarnya bukan fakir miskin) atau mengada-adakan alasan yang tidak syar‘i.

Pihak yang menangani hak-hak fakir miskin seperti Baitulmal umpamanya hendaklah berusaha ke arah pengagihan hak fakir miskin itu berdasarkan keperluan masing-masing.

Sebenarnya zakat boleh mencukupi untuk membantu fakir miskin jika dilaksanakan kutipan dan agihannya dengan sempurna mengikut sistem kutipan dan agihan zakat yang dianjurkan oleh Islam seperti yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh Islam, kerana di antara peranan zakat itu ialah untuk membantu fakir miskin.

Soalan-soalan yang mungkin dapat ditimbulkan di sini ialah:

(i) Sudahkah zakat dikutip dengan sepenuhnya, sama ada zakat harta, zakat perniagaan dan lain-lain?

(ii) Apakah hukum dan tindakan kepada orang-orang Islam yang enggan atau tidak mengeluarkan zakat?

(iii) Bagaimana cara pengagihan zakat itu dibuat?

(iv) Jika belum diagihkan dengan sepenuhnya, apakah sebab-sebabnya dan apakah langkah-langkah yang telah dibuat oleh pihak-pihak yang mengendalikan pengagihan itu?

Mungkin banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan, dan yang penting adanya usaha untuk mengatasi atau memenuhi keperluan fakir miskin.

Sejauh manakah usaha itu dijalankan, hanya pihak-pihak yang mengendalikan urusan zakat sahaja yang lebih mengetahui.

Tidak diragukan lagi bahawa institusi zakat boleh menyelesaikan banyak masalah kewangan individu mahupun masyarakat apabila ada pengurusan yang efektif dan praktikal dengan berkonsepkan penyelesaian daripada akar satu-satu masalah. Ini membawa maksud bahawa seseorang itu tidak akan memerlukan zakat lagi, bahkan dia akan menjadi sebagai pembayar zakat pula.

Gambaran konsep ini sebenarnya telah dilakukan oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik berkata:

Maksudnya: “Bahawa seseorang daripada golongan Anshar datang meminta sesuatu kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Nabi bersabda: “Adakah sesuatu di rumahmu?” Dia menjawab: “Ada, iaitu hamparan (alas yang diletakkan di belakang unta) yang sebahagian kami pakai dan sebahagian lagi kami hamparkan (di rumah), dan juga bejana yang kami pergunakan untuk minum air”. Bersabda (Nabi): “Bawalah olehmu kepadaku dua benda itu”. Berkata (Anas): “Kemudian orang itu membawanya kepada Nabi”. Lalu diambil oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sambil bersabda: “Siapa yang akan membeli dua benda ini?” Berkata seorang lelaki: “Saya akan membelinya dengan satu dirham”. Bersabda (Nabi): “Siapa yang akan menambah lebih daripada satu dirham?” Pertanyaan itu diulang sampai dua tiga kali. Berkata seorang lelaki: “Saya akan membelinya dengan dua dirham”. Lalu (Rasulullah) memberi kedua benda itu kepada orang tersebut dan mengambil wang dua dirham yang langsung diberikannya kepada lelaki Anshar itu tadi. (Lalu Nabi) bersabda: “Belikanlah dengan satu dirham ini makanan dan kau berikan kepada keluargamu, dan belikanlah dengan (satu dirham) yang lain lagi kapak dan bawa (kapak) itu kepadaku”. Lalu datang dia (lelaki Anshar) dengannya (kapak). Maka Rasulullah mengikatkan kayu yang ada di tangannya sambil bersabda kepadanya: “Pergilah, carilah kayu bakar dan juallah, dan jangan engkau memperlihatkan dirimu kepadaku selama lima belas hari”. Maka pergilah lelaki itu (mencari) kayu api dan menjual(nya). (Setelah lima belas hari) maka dia datang (kepada Nabi) dan dia telah memiliki sepuluh dirham, yang sebahagiannya dibelikan pakaian dan sebahagian yang lainnya makanan. Maka bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ini adalah lebih baik bagimu daripada kau datang meminta-minta yang menjadi titik hitam pada wajahmu di Hari Kiamat nanti. Sesungguhnya meminta-minta itu tidaklah boleh, kecuali bagi tiga golongan; orang yang sangat fakir, orang yang mempunyai hutang yang memberatkan, orang yang dikenakan dam yang menyusahkan.” (Dikeluarkan oleh Abu Daud)

Jika kita melihat hadis ini melalui perspektif fungsi zakat, dasarnya jelas sekali, kerana agama Islam tidak hanya sekadar menyelesaikan satu-satu permasalahan dengan pertolongan yang bersifat sementara, akan tetapi Islam mengajarkan agar seseorang itu mampu menghilangkan kesulitan itu dengan dirinya sendiri serta menanganinya dengan cara yang wajar.

Maka dengan konsep cara mengatasi sifat meminta-minta yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas, kita dapat melihat bahawa selain kepekaan sahabat-sahabat Baginda yang ingin membantu saudaranya yang mengharapkan pertolongan, ialah sikap bagaimana yang patut dibuat oleh peminta berkenaan supaya dapat hidup dengan berusaha sendiri tanpa mengharapkan pertolongan daripada orang lain selepas itu.

Maka dalam menyelesaikan masalah kemiskinan ini, para fakir miskin hendaklah mempunyai sikap positif mereka sendiri dengan cuba sedaya upaya menghilangkan sebab-sebab kemiskinan dan tidak hanya mengharapkan bantuan terus menerus.

Bantuan-bantuan permodalan atau alat-alat pekerjaan bagi mereka yang berkebolehan berniaga atau membuat pekerjaan dengan alat-alat pekerjaan yang diberikan itu, hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baik mungkin, agar dengan sejumlah modal atau alat-alat pekerjaan yang diberikan akan menjadikan para fakir miskin dapat hidup sendiri melalui usahanya sendiri tanpa memerlukan lagi bantuan daripada harta zakat. Inilah sikap yang patut ditunjukkan oleh para fakir miskin, bukan hanya terus meminta-minta.

Kedua-kedua pihak, Baitulmal dan fakir miskin yang menerima sejumlah modal atau alat-alat pekerjaan hendaklah sama-sama terus berusaha supaya mencari jalan terbaik mengatasi permasalahan.

Dalam pada itu, bukanlah zakat sahaja satu-satunya sumber bantuan kepada fakir miskin. Sumber-sumber lain boleh juga dimanfaatkan.

Walau bagaimanapun, apabila dilaksanakan kutipan dan agihan zakat dan sumber-sumber lain dengan sempurna, tetapi masih juga didapati kekurangan peruntukan kepada fakir miskin, maka cara mengatasinya, di antaranya ialah:

(i) Dipindahkan lebihan daripada peruntukan ashnâf-ashnâf yang lain kepada fakir miskin itu adalah harus.

(ii) Jika masih tidak mencukupi, pihak berkuasa boleh memungut zakat secara ta‘jîl ke atas harta zakat orang-orang kaya yang tertentu.

Ta‘jîl ialah kutipan zakat dari awal haul (tahun) atau sebelum cukup haulnya (bagi zakat harta yang disyaratkan haul). Syarat perlaksanaan kutipan secara ta‘jîl ini ialah ditumpukan ke atas zakat harta orang-orang kaya sahaja, yang mana kekayaan mereka tidak mungkin pada adatnya boleh berkurangan daripada nishâb di pertengahan tahun.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah melaksanakan cara ini ke atas bapa saudaranya yang kaya, iaitu ‘Abbas bin Abdul Muthallib Radhiallahu ‘anhu. (Mughni al-Muhtâj: 1/415 dan al-Majmû‘: 6/112-113)

Darurat Yang Boleh Mengehadkan Kelahiran

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan darurat yang tidak membolehkan seseorang itu mempunyai ramai anak dan bolehkah kita mengehadkan ekonomi kita serta mengehadkan kelahiran kerana ekonomi kita hanya mampu untuk sekian anak kita saja?

Jawapan:

Dalam kaedah fiqh ada menyebutkan:

Ertinya: “Darurat itu mengharuskan perkara yang dilarang.”

Adanya kaedah ini tidak bererti darurat itu membuka jalan dengan luasnya kepada orang Islam melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh hukum syara‘ kerana kaedah ini dilengkapkan dengan kaedah lain yang menyebutkan:

Ertinya: “Darurat itu diukur dengan kadar keperluan sahaja.”

Mengikut hukum syara‘ menghentikan kelahiran anak tanpa sebab itu adalah berdosa.

Maka untuk menentukan bahawa seseorang ibu itu tidak boleh mempunyai anak yang ramai kerana darurat, hendaklah dirujukkan kepada pakar perbidanan Islam yang boleh dipercayai yang mempunyai sifaf-sifat amanah dan ‘âdil.

Seorang ibu yang tidak boleh mempunyai anak yang ramai itu biasanya dikaitkan dengan keadaan yang membahayakan kesihatan ibu atau anak dalam kandungan atau kedua-duanya, atau bahaya itu datangnya daripada pihak suami, kerana membawa penyakit berjangkit sama ada kepada ibu atau bakal kandungan atau keturunannya, atau lain-lain sebab yang mengancam nyawa ibu atau kandungannya. Semuanya ini akan dikenal pasti oleh pakar perbidanan berkenaan.

Cara ini adalah jalan yang sebaik-baiknya, sesuai dengan tuntutan syara‘. Firman Allah:

Tafsirnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl: 43)

Penjelasan daripada orang-orang yang ahli mengenai kemudharatan itu akan mengelakkan tafsiran-tafsiran yang tidak syar‘i.

Mengikut hukum syara‘ seseorang itu hendaklah mengelakkan atau dilarang mendedahkan diri kepada bahaya atau kecelakaan sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri-diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)

Adapun masalah kekurangan kewangan atau kemiskinan janganlah dijadikan alasan sebagai perkara mudharat sehingga dihadkan jumlah kelahiran, padahal di sana ada jaminan Allah mengenai dengan rezeki segala yang melata di bumi ini, termasuk manusia. Firman Allah:

Tafsirnya: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya.” (Surah Hud: 6) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan dalam sebuah hadis sabdanya:

Maksudnya: “Sesungguhnya salah seorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama empat puluh hari air mani, kemudian jadi segumpal darah seperti yang demikian itu empat puluh hari, kemudian jadi seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu empat puluh hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh padanya dan diperintahkannya menulis empat kalimat, iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada ayat al-Qur’an dan hadis di atas kita orang Islam tidak perlu khuatir atau takut anak-anak yang bakal lahir tidak mendapat rezeki di dunia.

Selain itu terpulanglah kepada tiap-tiap orang itu menggunakan segala keupayaan untuk mendapatkan segala sumber rezeki yang ada di bumi ini, dan jaminan kemasyarakatan melalui sumber zakat dan lain-lain bantuan yang boleh dimanfaatkan bagi mengatasi kemiskinan.

Maka keadaan kemiskinan atau ekonomi yang tidak mantap tidak boleh dijadikan alasan mengehadkan kelahiran. Alasan ekonomi kerap kali ditimbulkan apabila rancangan keluarga dibincangkan. Rancangan keluarga diutarakan sebagai penyelesaian masalah ekonomi manusia, padahal terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa keburukan rancangan keluarga mengatasi kebaikan dari segi ekonomi.

Menurut Abu al-A‘la al-Maududi dalam bukunya Rancangan Keluarga dan Kesan Terhadap Ekonomi: “Kini, setengah-setengah ahli ekonomi mula sedar bahawa kemerosotan jumlah penduduk adalah sebab utama yang membawa kepada kemelesetan ekonomi. Apabila jumlah penduduk merosot, jumlah pengguna pun turut merosot berbanding dengan jumlah pengeluar. Hal ini membawa kepada kurangnya permintaan dan bertambahnya pengangguran.”

Kemerosotan pertumbuhan jumlah penduduk memberi kesan buruk terhadap permintaan sebagai jenis pelaburan yang berkaitan dengan pekerjaan.

Salah satu daripada tujuan perkahwinan dalam Islam itu ialah untuk menambah dan memperkembang keturunan.

Mengehadkan keturunan bukan kerana sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘ seperti sebab-sebab darurat adalah bertentangan dengan mashlahat umat, kerana dengan pengehadan itu akan mengurangkan jumlah penduduk atau melemahkan umat itu sendiri dari segi kuasa politik dan sebagainya, bahkan jika kemerosotan itu berterusan boleh memusnahkan kewujudan bangsa atau suatu puak.

Perbuatan mengehadkan kelahiran anak seumpama ini juga adalah bertentangan dengan kehendak agama Islam seperti yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Kahwinilah wanita yang menarik yang dapat melahirkan anak banyak, sesungguhnya aku berbangga kerana banyak bilangan kamu di atas umat-umat yang lain.” (Hadis riwayat Abu Daud, an-Nasa’i dan al-Hakim)

Ketakutan banyak anak itu tidak boleh dijadikan asas bagi tujuan mengehadkan kelahiran, lebih-lebih lagi bagi Negara Brunei Darussalam, kerana adanya berbagai-bagai kemudahan diberikan oleh kerajaan; kemudahan belajar secara percuma, kemudahan perubatan dan lain-lain kemudahan, bahkan fakir miskin akan menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pengagihan zakat kepada mereka. Ini adalah jaminan kemasyarakatan jika berbangkit masalah kemiskinan.

Perkara yang akan berlaku pada masa depan itu adalah urusan Allah. Allah jualah yang menjadikan manusia dan Dialah yang mengurniakan rezeki. Firman Allah:

Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat kukuh kekuasaanNya).” (Surah adz-Dzâriyât: 58)

Tafsirnya: “Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-‘Ankabût: 60)

Demikian jua banyak hadis-hadis shahîh yang menceritakan bahawa apabila diciptakan janin (anak dalam kandungan) dengan umur kandungan yang telah ditetapkan, Allah memerintahkan kepada malaikat supaya menulis rezeki janin berkenaan, ajalnya dan amal-amalnya. Tiap-tiap makhluk itu telah ditentukan rezeki baginya menurut perkiraan yang Allah beri kemudahan berdasarkan sebab dan akibat, sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (rezeki itu) baginya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-‘Ankabût: 62)

Bagaimana seseorang itu layak membuat tafsiran buruk terhadap Allah sehingga melakukan perancangan keluarga atau mengehadkan kelahiran anak semata-mata takutkan kesempitan hidup, padahal Allah adalah Penjamin rezeki, dan berkuasa terhadap segala sesuatu.

Bahkan pertambahan penduduk yang telah berkembang luas di mana-mana telah menjadi sebab yang membawa pertambahan penghasilan dan rezeki juga di mana-mana, bahkan pertambahan penghasilan dan rezeki itu lebih mudah dengan berbagai-bagai sumbernya, lebih banyak dan lebih baik daripada sebelumnya. Ini adalah petanda atau dalil kebijaksanaan, kesempurnaan kudrat serta keagungan Allah yang lebih mengetahui mashlahat hamba-hambaNya. Hanya sanya dalam banyak hal seseorang itu tidak dapat mentadbirkan bagaimana dia berbelanja menurut keutamaan atau untuk apa dia harus berbelanja supaya akan terlepas daripada bentuk-bentuk pembaziran atau sesuatu yang tidak wajar.

Seorang Islam itu tidak patut mempunyai prasangka buruk terhadap Tuhannya sehingga mengehad atau membataskan kelahiran anak semata-mata takut menghadapi kepicikan atau kesempitan hidup sehingga tidak akan memperolehi rezeki. Di mana keimanan seorang Islam itu kepada Allah? Di mana kepercayaannya terhadap apa yang dikhabarkan mengenai janin tentang rezekinya yang telah ditentukan oleh Allah, dan di mana tawakalnya kepada Allah?

Prasangka buruk terhadap Allah dengan merasa takut tidak akan memperolehi rezeki itu adalah menyerupai orang-orang zaman jahiliah yang telah membunuh anak-anak mereka, kerana takutkan kemiskinan atau kepicikan rezeki. Allah tolak dan kecam sikap mereka itu dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.” (Surah al-An‘âm: 151)

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan, Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.” (Surah al-Isrâ’: 31)

Imam Muhammad Mutawalli asy-Sya‘rawi telah menghuraikan ayat 151, surah al- An‘âm dan ayat 31 surah al-Isrâ’ di atas, bahawa oleh kerana kemiskinan itu wujud sebenar-benarnya, seseorang itu akan sibuk mencari atau mengurus rezekinya terlebih dahulu, mencari makanan untuk dirinya terlebih dahulu, kemudian selepas itu dia akan sibuk mencari makanan untuk orang-orang yang datang dalam hidupnya yang terdiri daripada anak-anaknya.

Di sini seseorang itu akan gelisah mencari makanan untuk dirinya dan makanan untuk isterinya. Sebab itulah Allah berfirman:

Tafsirnya: “Kamilah memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.”

Maksudnya Allah ingin mententeramkan hatinya bahawa dia akan memperolehi rezekinya terlebih dahulu yang menyebabkan kebimbangannya. Selepas itu Allah mententeramkan hatinya lagi tentang ketentuan rezeki anak-anaknya. Seolah-olah Allah menegaskan kepadanya: “Kamu fakir dan sibuk menguruskan rezeki kamu, dan kamu takut akan kedatangan anak-anak, kerana kamu tidak memiliki sesuatu untuk menyara mereka, jangan bimbang, Kami (Allah) akan memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka (anak-anak dan isteri kamu). Bagi kamu ada bahagian rezeki kamu dan bagi mereka pula ada rezeki mereka. Mereka itu sekali-kali tidak akan mengambil bahagian rezeki kamu itu walaupun sedikit.”

Adapun firmanNya:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu bunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan! Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.” (Surah al-Isrâ’: 31)

Di sini, manusia itu tidak sibuk menguruskan rezekinya dan tidaklah pula dia takut akan menjadi miskin sebab dia mempunyai rezeki yang mencukupi. Akan tetapi dia takut, jika mendapat anak, dia akan menjadi miskin kerana anak-anak itu akan mengongsinya dalam rezeki yang ada padanya, sehingga akhirnya tidak mencukupi untuknya dan untuk anak-anaknya. Lantaran itu dia enggan berkahwin kerana takut mendapat anak, kerana si anak itu seolah-olah akan merampas rezekinya, dan menjadikannya miskin pula. Sebab itulah Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.”

Jadinya maksud ayat 151, surah al-An‘âm itu ialah orang itu sangat murung dengan urusan rezekinya sendiri kerana dia seorang miskin. Sebab itulah Allah Ta‘ala mengatakan kepadanya: َنَن ُ نَرزُقُكُم tafsirnya: “Kamilah yang memberi kamu rezeki (supaya dia merasa tenang tentang rezekinya).

Manakala pada ayat 31, surah al-Isrâ’ orang itu tidak miskin, tetapi dia bimbang akan menjadi miskin jika dia berkahwin dan mempunyai anak, lalu takut anak itu akan mengambil sebahagian daripada rezekinya sehingga menjadikannya miskin pula. Allah Ta‘ala telah memberi jaminan kepadanya bahawa anak-anak itu tidak akan merampas rezekinya dengan firmanNya:

Tafsirnya: “Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.” (Mu‘jizât al-Qur’ân, Muhammad Mutawalli asy-Sya‘rawi, Akhbâr al-Yaum: 55-56)

Tegasnya ayat-ayat ini memberi jaminan bahawa tiap-tiap seorang itu ada rezeki yang tertentu baginya. Oleh kerana itu, mengehadkan kelahiran semata-mata bimbang ataupun takutkan kemiskinan atau kemiskinan itu benar-benar wujud, maka tidak sepatutnya menjadi alasan untuk seseorang itu mengehadkan kelahiran.

Kemiskinan itu bukanlah suatu keadaan yang tetap di mana hidup seseorang itu tidak akan berubah. Berapa banyak keluarga yang dahulunya miskin telah berubah hidupnya menjadi senang atau melepaskan dirinya daripada batas kemiskinan. Dengan berkat usaha anak-anak itu setelah dewasa, mereka telah membawa perubahan nasib dalam keluarga mereka.

Sebenarnya pertambahan penduduk merupakan aset negara, bukan sebaliknya sehingga dianggap menjadi beban negara. Memang kemiskinan itu sentiasa wujud, tetapi menangani kemiskinan hendaklah dilihat dari berbagai-bagai sudut.

Menuntut Semula Elaun Sara Hidup Yang Terlebih Bayar

Soalan:

Salah satu daripada tugas dan tanggungjawab utama bahagian dermasiswa ialah membiayai sepenuhnya kos perbelanjaan pelajar-pelajar biasiswa kerajaan di luar negeri melalui peruntukan kewangan setiap tahun. Bagi pelajar-pelajar di United Kingdom, umpamanya. Kos perbelanjaan diuruskan oleh Unit Penutut-penuntut di London, bagi pihak kerajaan. Pengauditan perbelanjaan Unit Penuntut-Penuntut di London adalah di bawah pengawasan pegawai-pegawai Jabatan Audit yang didatangkan ke London dalam jangka waktu tiga atau empat tahun sekali.

Dalam hubungan ini perbelanjaan yang tidak selaras dengan kadar dan tempoh yang dibenarkan (sama ada berkurangan atau berlebihan) akan dikenal pasti dahulu oleh Jabatan Audit dan kemudian barulah dihadapkan terus ke bahagian ini bagi urusan tertentu termasuk untuk diteliti semula ke arah menyelasaikan Pertanyaan Audit. Umpamanya, dengan menghubungi pelajar yang terbabit untuk dibayar lagi jika elaun yang diterima kurang daripada kadar yang ditetapkan; atau menuntut balik perbelanjaan kerajaan yang berlebihan daripada kadar yang ditetapkan. Masalah yang timbul yang kaola hadapi adalah berhubungkait dengan kadar yang sepatutnya dituntut balik apabila seorang pelajar yang menerima lebih daripada kadar yang ditentukan. Berikut sukacita kaola beri contoh pelajar bil. BS 4092/S 593.

“... telah terlebih bayar elaun sara hidup bagi Disember 1980 sebanyak £216.00, pada waktu itu kerajaan telah mengeluarkan sebanyak B$1,082.59. Elaun berkenaan sekarang perlu dibayar balik kepada kerajaan...”

Dalam hubungan ini adakah pelajar terbabit dikehendaki membayar balik sebanyak £216.00?

(a) Mengikut pertukaran mata wang pada Disember 1980 iaitu berjumlah B$1,082.59 (£1.00 = $5.012)

atau

(b) Mengikut pertukaran mata wang sekarang berjumlah B$474.77 (£1.00 =$2.1980)

Dalam hubungan ini kaola sukacita memohon jasa baik Pehin untuk memberi nasihat, pandangan dan ulasan mengenai dengan isu seperti di atas. Semoga dengan penjelasan Pehin Insya Allah akan dapat menjadi garis pandu Jabatan ini dalam mengambil tindakan yang lebih berpatutan di masa akan datang.

Jawapan:

Setiap barang atau sesuatu yang diterima yang bukan hak milik sendiri mengikut hak pemilikan dalam Islam, barang atau sesuatu yang berkenaan itu tidaklah boleh dipakai atau dimanfaatkan dan ianya wajib dikembalikan semula kepada pemiliknya yang sebenar.

Jika dipakai, seperti dipergunakan untuk membeli makanan, maka dikiralah dia memakan harta orang dengan bâthil. Firman Allah:

Tafsirnya: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain dengan cara yang bâthil.” (Surah al-Baqarah: 188)

Jika seseorang diamanahkan sebagai wakil memberi sesuatu kepada orang lain, maka dia wajib memberi sesuatu itu hanya mengikut kadar atau nilai sebagaimana yang diamanahkan kepadanya. Jika kurang dia wajib menyempurnakannya dan jika terlebih bayar dia wajib menuntutnya semula. Firman Allah:

Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” (Surah an-Nisâ’: 58)

Bahagian Dermasiswa diamanahkan oleh kerajaan memberi sejumlah wang kepada penuntut sesuai dengan perjanjian seperti berapa kadarnya setiap bulan, diberi berdasarkan wang Pound Sterling atau US Dollar atau lain-lain kemudahan menurut perjanjian.

Selaku pemegang amanah, maka Bahagian Dermasiswa wajiblah menambah bayaran yang sudah diberi sekiranya masih kurang daripada yang disebutkan dalam perjanjian dan sebaliknya wajiblah Bahagian Dermasiswa menuntut bayaran balik semula sekiranya ia terlebih bayar, kerana bayaran yang lebih daripada perjanjian (yang diamanahkan) adalah hak kerajaan, bukan hak si penerima dermasiswa.

Sekiranya terjadi perkara seperti ini, masing-masing pihak mempunyai hak untuk menuntut hak masing-masing. Jika penerima dermasiswa tidak menerima secukupnya dermasiswanya, dia berhaklah menuntut sekadar yang kurang itu, dan jika pemberi dermasiswa pula terlebih bayar, maka pihak pemberi itu wajib dan berhaklah meminta atau menuntut semula supaya dikembalikan bayaran yang terlebih itu.

Jika Terlebih Bayar

Sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian pemberian dermasiswa, kadar nilai yang diberi kepada penuntut umpamanya ialah mengikut nilai mata wang Pound Sterling, jika penuntut belajar di United Kingdom atau Great Britian atau mengikut nilai wang tertentu umpamanya dalam US Dollar atau dalam Pound Sterling bukan mengikut nilai mata wang di mana penuntut itu belajar seperti penuntut belajar di Timur Tengah.

Maka nilai yang perlu dibayar - sama ada tambahan atau tuntutan kerana terlebih bayar - adalah juga mengikut nilai mata wang tertentu itu.

Kadar Nilai Lama Atau Nilai Semasa

Adapun kadar nilai mata wang tertentu yang perlu ditambah atau yang perlu dituntut kerana terbayar lebih itu adalah berdasarkan kadar dan nilai ketika masa wang itu diserahkan atau diterima.

Mengikut hukum fiqh, jika seseorang menerima makanan daripada jiran, dan makanan itu dibalut atau diletakkan di dalam piring atau rantang (bakul bertutup tempat makanan atau mangkuk), makanan itu adalah milik si penerima dan dia boleh memakan dan mempergunakannya, tetapi dia tidak boleh memiliki dan mempergunakan pembalut atau piring atau rantang berkenaan, melainkan jika sudah menjadi adat kebiasaan di tempat (masa) itu bahawa jika memberi sesuatu atau menerima sesuatu, maka pembalut atau bekasnya tidak perlu lagi dikembalikan kepada si pemberi.

Jika tidak berlaku adat seperti ini, maka pembalut atau bekas pemberian itu, menjadi barang pertaruhan di tangan si penerima dan haramlah dipergunakannya dan mengikut sesetengah ulama, sunat segera dikembalikan kepada si pemberi. (Mughni al-Muhtâj: 2/405)

Maka dalam hal ini, si penerima dermasiswa, apabila dia mengetahui bahawa dia menerima lebih daripada bayaran yang layak diterimanya, dia mesti mengembalikan bayaran yang lebih itu kepada kerajaan, kerana bayaran lebih itu adalah barang pertaruhan di tangannya.

Kadar (jumlah) yang perlu dibayar oleh si penerima atau yang patut dituntut oleh si pemberi, berhubung dengan ‘terlebih bayar’ yang dikira sebagai ‘pertaruhan’ di tangan si penerima itu, ialah mengikut kadar ketika bayaran yang lebih itu diterima atau diserahkan.

Dalam Mughni (2/404) disebutkan: “Maka yang paling shahîh ialah dengan mengambil kira nilai ketika diserah/diterima.”

Sekiranya ‘bayaran lebih’ itu dikira sebagai hutang si penerima kepada si pemberi, maka nilai atau kadar yang perlu dibayar semula kepada si pemberi juga ialah mengikut nilai atau kadar ketika ianya diberi atau diterima, bukan nilai atau kadar semasa, (Mughni al-Muhtâj: 2/119). Ertinya, pelajar berkenaan hanya dikehendaki membayar balik dengan mata wang £216, berdasarkan apa yang dia terima pada masa 1980. Jika Bahagian Dermasiswa meminta supaya dibayar dengan mata wang Brunei maka hendaklah tetap juga dibayar senilai £216 sahaja.

Berjanji Dengan Lafaz Insyâ’ Allah

Soalan:

Dengan penuh hormat dan sukacita kaola ingin memohon pandangan dan fatwa daripada Yang Dimuliakan Pehin berhubung dengan perkara yang tersebut di bawah ini.

Pada masa ini telah timbul di kalangan masyarakat kitani membenci orang yang berjanji atau dijanjihi hanya mengucapkan َ إَن ْ شاء َ اللهـه tetapi tidak dapat menepati janji-janjinya. Mereka berkata bahawa jika kita berjanji dengan menyebut إَن ْ شَاء َ اللهـه maka janji-janji tersebut wajiblah ditepati dan jika tidak dapat ditepati janganlah menyebut إَن ْ شَاء َ اللهـه. Bagi pendapat kaola, apa yang jelas, sekarang ini telah timbul kekeliruan berhubung dengan konsep إَن ْ شَاء َ اللهـه dan menepati janji. Bagaimana pandangan Pehin mengenai perkara tersebut dan bagaimana pula konsep إَن ْ شَاء َ اللهـه itu sebenarnya?

Jawapan:

Agama Islam adalah agama yang menjaga kesejahteraan masyarakat dan individu termasuklah menjaga pertalian antara satu sama lain. Demi menjaga kesejahteraan, maka membuat janji hendaklah ditepati. Ini selaras dengan kehendak syara‘. Firman Allah:

Tafsirnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” (Surah al-Isrâ’: 34)

Dalam ayat yang lain Allah menerangkan bahawa orang yang menyempurnakan janjinya itu adalah antara sifat orang yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itu adalah orang-orang yang bertaqwa, firman Allah:

Tafsirnya: “Dan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji.” (Surah al-Baqarah: 177)

Di akhir ayat ini disudahi dengan firmanNya:

Tafsirnya: “Mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 177) Daripada apa yang dijelaskan di atas juga menerangkan bahawa orang Islam mestilah menyempurnakan janji-janjinya kecuali ada keuzuran yang menghalangnya.

Sehubungan dalam hal ini, agama Islam juga telah menegaskan tentang kedudukan orang yang suka membuat janji dan sengaja tidak mahu menyempurnakan janjinya di mana orang yang sedemikian adalah tergolong dalam golongan orang-orang munâfiq. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Di antara tanda-tanda orang munâfiq itu tiga perkara iaitu: Jika dia bercakap dia bohong dan jika dia berjanji dia mengingkari janjinya dan jika ditanggungkan amanah kepadanya dia khianat.” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun orang yang berjanji dan dia berazam akan menyempurnakan janjinya, tetapi terhalang oleh satu keuzuran yang menyebabkan dia tidak mampu menyempurnakan janjinya, maka tidaklah dia termasuk dalam golongan munâfiq itu.

Sebahagian orang apabila berjanji dia akan menyebut إَن ْ شَاء َ ا ّلِله, yang bermaksud: “Jika

dikehendaki Allah”. Tetapi perlu diingat bahawa ucapan إَن ْ شَاء َ اللهـه itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji yang dibuat dengan berserah kepada kuasa Allah semata-mata. Bahkan perkataan إَن ْ شَاء َ اللهـه itu hendaklah disertai dengan azam untuk menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang munâfiq.

Walau bagaimanapun, menyebut perkataan إَن ْ شَاء َ اللهـه dengan azam untuk melakukan sesuatu itu adalah lebih menepati kehendak agama Islam, kerana kita pasti bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu itu kecuali dengan izin Allah. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, besok pagi” melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata) إَن ْ شَاء َ اللهـه (jika dikehendaki Allah).” (Surah al-Kahf: 23-24)

Telah diriwayatkan bahawa ayat ini turun ketika Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya oleh orang Quraisy tentang roh, ashhâb al-Kahf dan Dzu al- Qarnain, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Esok aku beritahu kamu” (dengan janji secara pasti) dan Baginda tidak mengatakan إَن ْ شَاء َ اللهـه, maka Allah sengaja lambat menurunkan wahyu selama lima belas hari. Hal ini memberatkan Rasulullah dan menyebabkan Baginda dituduh oleh orang-orang Quraisy berbohong.

Maka ayat ini turun sebagai pertunjuk kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menerangkan kepada Baginda bahawa jika hendak melakukan sesuatu di masa yang akan datang hendaklah disertakan pengakuan itu dengan kehendak Allah Yang Maha Mengetahui segala yang telah berlaku dan akan berlaku.

Daripada apa yang dijelaskan di atas, dapat kita ambil pengajaran bahawa menyebut perkataan إَن ْ شَاء َ اللهـه di samping usaha menyempurnakan mana-mana janji itu adalah dituntut oleh Islam.

Pondan

Soalan:

Dengan segala hormatnya merujuk surat daripada Pengerusi Lembaga Bandaran, Bandar Seri Begawan, mengenai dengan perkara pondan.

Sehubungan dengan ini dengan hormatnya memaklumkan bahawa terdapat aduan-aduan orang ramai mengenai dengan kegiatan-kegiatan Mak Nyah (pondan) yang melanggani pelanggan-pelanggan mereka bagi perkhidmatan seksual sejenis dengan dikenakan bayaran yang tertentu.

Kegiatan-kegiatan yang menyeleweng ini mereka lakukan mulai kira-kira jam 9:00 malam hingga jam 01:00 pagi.

Di dalam sama-sama mengatasi masalah ini, satu mesyuarat telah diadakan khas bagi membincangkan kes kegiatan-kegiatan yang menyeleweng yang dilakukan oleh Mak Nyah (pondan). Melalui mesyuarat ini majlis telah bersetuju untuk membuat beberapa tindakan bersama bagi membendung kegiatan-kegiatan mereka itu.

Dalam hubungan ini, sukacita dipohonkan fatwa dan nasihat Yang Dimuliakan Pehin mengenai kegiatan-kegiatan Mak Nyah (pondan) berkenaan dan jua pandangan mengenai dengan tindakan yang dilakukan bersama oleh agensi-agensi kerajaan berkenaan.

Jawapan:

Sesungguhnya keturunan manusia itu berasal daripada sumber yang satu iaitu Nabi Adam ‘Alaihissalam, dijadikan daripada Nabi Adam pasangannya Sayyidatina Hawwa’, dan membiak keturunan daripada keduanya jenis lelaki dan perempuan. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawwa’), dan juga membiakkan daripada keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai.” (Surah an-Nisâ’: 1)

Di antara lelaki dan perempuan itu mempunyai perbezaan-perbezaan tersendiri yang utama bagi membezakan seorang lelaki dengan seorang perempuan. Umpamanya lelaki mempunyai alat kemaluan yang khusus bagi seorang lelaki, dan daripada kesan yang biasa ada pada seorang lelaki apabila sudah bâligh cenderung kepada perempuan, suara yang parau, tumbuh misai dan janggut, dan sebagainya. Begitu juga dengan perempuan, dia mempunyai alat kemaluan yang khusus bagi seorang perempuan, di samping memiliki rahim dan daripada kesan yang biasa ada pada seorang perempuan apabila sudah bâligh, cenderung kepada lelaki, suara yang halus, tidak tumbuh misai dan janggut, besar bentuk dada, datang haidh dan sebagainya.

Walau bagaimanapun adakalanya didapati seorang itu dilahirkan dengan mempunyai kemaluan lelaki dan juga kemaluan perempuan, yang di dalam istilah fiqh dikenali dengan nama khuntsa ghair musykil. Adakalanya pula seseorang itu dilahirkan tanpa mempunyai sebarang kemaluan, cuma ada lubang tempat keluar bagi sesuatu, yang tidak menyerupai kemaluan perempuan ataupun kemaluan lelaki, yang di dalam istilah fiqh dikenali dengan nama khuntsa musykil.(Kitab al-Majmû‘: 2/52 dan al-Qâmûs al- Fiqh: 124)

Khuntsa ghair musykil itu adakalanya boleh jadi nyata kelelakiannya, maka ketika itu dia dihukumkan seorang lelaki. Adakalanya pula boleh jadi nyata keperempuanannya, maka ketika itu dia dihukumkan seorang perempuan.

Manakala bagi khuntsa musykil, berkata al-Baghawi: “Ditunggu perkaranya itu sehingga dia bâligh, maka dia memilih untuk dirinya akan apa yang dicenderungi oleh tabiatnya sama ada dia menjadi lelaki atau perempuan. Jika keluar maninya ke atas perempuan dan cenderung tabiatnya kepada perempuan, maka dia dihukumkan lelaki; dan jika sebaliknya, maka dihukumkan dia perempuan. Dan kencing tiada menjadi tanda bagi menunjukkan dia lelaki atau perempuan dalam hal ini. (Kitab al-Majmû‘: 2/52)

Manakala lelaki yang sempurna kelelakiannya tetapi dia menyerupai (berkelakuan) dengan tabiat perempuan, maka dia dipanggil mukhannats. Jika perempuan yang nyata keperempuanannya, tetapi dia menyerupai (berkelakuan) dengan tabiat lelaki, maka dia dipanggil mutarajjil. Lelaki yang menyerupai perempuan (mukhannats) dan perempuan yang menyerupai lelaki (mutarajjil), inilah yang diharamkan dan termasuk di antara kumpulan dosa-dosa besar yang disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam kitabnya yang bernama az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir. Ini adalah berdasarkan daripada hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat kaum lelaki yang menyerupai (meniru-niru) kaum wanita dan kaum wanita yang meyerupai (meniru-niru) kaum lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Berkata Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bâri (11/521): “Maksud penyerupaan (peniruan) yang ditegah di antara lelaki dan perempuan di dalam hadis ini ialah penyerupaan dari segi cara berpakaian, cara berhias, cara bertutur dan berjalan. Adapun cara berpakaian, adalah tertakluk kepada kebiasaan di satu-satu negeri itu, kerana cara berpakaian itu berlainan dengan berlainannya adat tiap-tiap sesuatu negeri, (kerana itu) kadang-kadang pakaian perempuan bagi sesebuah negeri itu tidak berbeza dengan pakaian orang lelaki mereka, akan tetapi yang membezakan kaum perempuan daripada kaum lelaki ialah pemakaian hijâb (tudung). Celaan (laknat) juga adalah terhadap orang yang meniru seperti cara bercakap dan berjalan, iaitu bagi sesiapa yang memang sengaja melakukannya, manakala bagi orang yang berkelakuan sedemikian daripada asal tabiat semulajadinya, maka dia diperintahkan supaya berusaha meninggalkan (mengubahnya) dengan perlahan-lahan (berperingkat-peringkat). Jika dia tidak melakukan (sesuatu usaha) dan dia berterusan (dengan kelakuan itu), maka dia tergolonglah di dalam celaan (laknat) hadis yang tersebut, terutama sekali apabila dia menampakkan (menzahirkan) tanda-tanda keredhaannya terhadap kelakuannya itu.”

Dalam satu riwayat yang lain pula, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma juga, berkata:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki; dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita. Dan Nabi bersabda: “Kamu keluarkanlah (asingkanlah) mereka daripada rumah-rumah kamu”, dan ‘Umar (Khalifah yang kedua) telahpun mengeluarkan seseorang (sebagai menurut perintah Nabi itu).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Manakala daripada riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu pula berkata:

Maksudnya: “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah didatangi seorang mukhannats (lelaki yang menyerupai wanita) yang kedua tangan dan kakinya berinai dengan pacar, maka bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Mengapa ini?” Maka dikatakan (oleh seseorang): “Wahai Rasulullah, dia menyerupai (meniru) wanita”. Maka diperintahkan dengannya supaya diasingkan ke Naqi‘ (satu tempat di negeri Muzayyanah yang jauhnya dua malam perjalanan daripada Madinah). Berkata sekumpulan orang: “Adakah (engkau hendak) kami membunuhnya?” Bersabda Nabi: “Sesungguhnya aku dilarang daripada membunuh orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (‘Awn al-Ma‘bûd: 13/276) (Hadis riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis-hadis yang tersebut di atas, bahawa orang-orang yang menyerupai kaum jenis yang lain itu bukan sahaja berdosa besar dan dilaknat, malah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memerintahkan supaya mereka ini dikeluarkan (diasingkan) daripada masyarakat.

Berkata Ibnu at-Tin: “Bahawa perintah mengeluarkan (mengasingkan) mereka yang menyerupai (meniru-niru) lelaki atau perempuan daripada rumah-rumah (masyarakat) adalah supaya perkara itu tidak akan membawa kepada kemungkaran (yang lebih besar seperti kegiatan seksual sejenis, homoseksual dan lesbian).” (Fath al-Bâri: 11/521 dan Irsyâd as-Sâri: 12/681)

Liwâth iaitu mendatangi lelaki dari dubur, hukumnya adalah haram dan termasuk daripada dosa besar. Ia adalah kemungkaran yang keluar daripada fitrah yang merendahkan martabat pelakunya lebih rendah daripada binatang, kerana binatang walaupun tidak diberikan akal, tidak ada yang melakukan perkara yang tersangat keji ini. Ini adalah di antara kemungkaran yang paling ditakuti oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam akan berlaku ke atas umatnya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Sesungguhnya yang paling aku takuti (akan berlaku) ke atas umatku ialah (berlakunya) perbuatan kaum Luth.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Tirmidzi dan al-Hakim)

Di dalam hadis yang lain, Nabi mensabdakan dengan mengulangnya tiga kali, bahawa orang yang melakukan perbuatan sedemikian dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Maksudnya: “Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, daripada Nabi Shallalahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah melaknat sesiapa yang menyembelih (binatang) bukan kerana Allah, dan Allah melaknat sesiapa yang mengubah batas (sempadan) tanah, dan Allah melaknat sesiapa yang menyimpangkan orang buta daripada haluan (tempat yang ditujunya), dan Allah melaknat sesiapa yang mencaci maki kedua ibu bapanya, dan Allah melaknat sesiapa yang menjadi wali kepada orang yang tidak berhak dia menjadi wali, dan Allah melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan kaum Luth. (Nabi mengulangnya tiga kali pada (melaknat) perbuatan kaum Luth).” (Hadis riwayat Ibnu Hibban, al-Baihaqi dan an-Nasa’i)

Adapun hukuman orang yang melakukan liwâth itu, menurut pendapat ulama asy- Syafi‘e yang masyhur, hendaklah dikenakan hukuman seperti hadd zina iaitu direjam hingga mati bagi yang muhshan (yang sudah berkahwin); dan bagi ghair muhshan (yang belum berkahwin) disebat seratus kali serta diasingkan (dibuang negeri).

Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah Ta‘ala di dalam surah al-A‘râf ayat 80 pada menyifatkan perbuatan kaum Luth itu sebagai fâhisyah:

Tafsirnya: “Ingatlah ketika Nabi Luth berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?” (Surah al-A‘râf: 80)

Manakala di dalam surah al-Isrâ’ ayat 32, Allah menyifatkan juga perbuatan zina dengan fâhisyah:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isrâ’: 32)

Ini dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Apabila seorang lelaki mendatangi (melakukan hubungan jenis) seorang lelaki, maka keduanya adalah melakukan zina, dan apabila seorang perempuan mendatangi (melakukan hubungan jenis) seorang perempuan, maka keduanya adalah melakukan zina.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Oleh kerana itulah hukuman bagi orang yang melakukan liwâth adalah seperti apa juga yang dihukumkan kepada orang yang melakukan zina.

Menurut satu qaul daripada ulama asy-Syafi‘e, bahkan kerana pengharaman liwâth itu lebih berat, maka hukuman haddnya juga adalah lebih berat, iaitu hukuman mati sama ada dia muhshan (sudah berkahwin) atau ghair muhshan (belum berkahwin) sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma: (Kitab al-Majmû‘: 85/22 dan Mughni al-Muhtâj: 4/177-178)

Maksudnya: “Sesiapa yang kamu dapati dia melakukan perbuatan kaum Luth, maka kamu bunuhlah pelakunya dan orang yang melakukan dengannya.” (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan dishahîhkan oleh al-Hakim)

Begitu juga adalah haram seorang perempuan mendatangi seorang perempuan (sahhâq) berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Abu Musa al-Asy‘ari yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendatangi seorang perempuan, maka keduanya adalah melakukan zina.” Walaupun begitu tidaklah dikenakan hukum hadd ke atas mereka berdua kerana perbuatan itu tidak membawa kepada pengertian memasukkan (îlâj) di dalam pengertian zina yang sebenarnya, maka (sebab itu) tidaklah dikenakan hukuman hadd sebagaimana halnya jika seorang lelaki mendatangi seorang perempuan tanpa memasukkan kemaluannya ke dalam faraj perempuan. Maka mereka ini dikenakan hukuman ta‘zîr sahaja, kerana ia adalah maksiat yang tidak dikenakan hukuman hadd padanya dan juga kaffârah. (Kitab al- Majmû‘: 22/64 dan Mughni al-Muhtâj: 4/178)

Maka sehubungan dengan kegiatan pondan yang dilaporkan, memang wajar semua pihak mengambil serius akan perkara ini dan mengambil tindakan yang tegas dari awal-awal lagi bagi membanteras akan kegiatan pondan ini, kerana kita tidak mahu kegiatan yang terkeluar daripada fitrah peradaban manusia ini berleluasa seperti yang berlaku di setengah-setengah negara, sehingga kerana terlalu berleluasanya kegiatan itu, sampai masyarakat mereka tidak dapat menanganinya, dan mereka mengatakan itu adalah hak peribadi. Lebih daripada itu lagi, mereka memberikan pengiktirafan kepada persatuan-persatuan pondan dan sebagainya. Tidak hairanlah ditimpakan kepada mereka berbagai-bagai bala bencana kerana mereka bukan sahaja melakukan perkara-perkara keji dan maksiat bahkan yang paling buruk, mereka berterang-terangan melakukan dan mengatakan bahawa perkara itu adalah sesuatu yang normal dan tidak berlawanan dengan moral (akhlak) dan ia adalah hak peribadi individu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telahpun memberi amaran akan akibat-akibat daripada tindakan sedemikian di dalam sabdanya yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar:

Maksudnya: “Wahai kumpulan Muhajirin, lima tabiat (perangai) jika kamu diuji dengannya dan ditimpakan kepada kamu (kamu berperangai dengannya), aku berlindung dengan Allah (daripada) ia menimpa kamu; (iaitu) tidak nampak perbuatan keji di dalam satu kaum sehinggalah mereka berterang-terangan (melakukannya), melainkan tersebar di kalangan mereka penyakit-penyakit yang belum pernah ada pada kaum yang terdahulu; tidak mereka mengurangi sukatan dan timbangan (menipu) melainkan (jika mereka melakukannya akan) ditimpakan kepada mereka kemarau, kesempitan bekalan makanan, kezaliman pemerintah; tidak mereka enggan mengeluarkan zakat harta mereka melainkan (jika mereka melakukannya akan) ditegah mereka (daripada mendapat) hujan daripada langit, dan jikalau bukan kerana binatang-binatang (di bumi) tidak akan diturunkan hujan kepada mereka (sama sekali); dan tiada mereka mengingkari perjanjian Allah dan perjanjian RasulNya melainkan (jika mereka melakukannya) mereka akan dikuasai oleh musuh yang bukan daripada kalangan mereka dan dia (musuh) merampas sebahagian daripada apa yang ada pada tangan mereka (miliki); dan selama ketua-ketua mereka tidak menghukum dengan Kitab Allah melainkan dijadikan perpecahan (permusuhan) di kalangan mereka.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Berkata Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya al-Muntaqa min Kitâb at-Targhîb wa at-Tarhîb li al-Mundziri: 1/258-259, dalam memberi ulasan mengenai lafaz hadis di atas ِبََا ُ يـُعْلَن حََّته: “Bahaya (yang dimaksudkan di dalam hadis ini) bukanlah hanya semata-mata bahaya berlakunya perbuatan keji itu, kerana perkara itu tidak akan terlepas daripada (berlaku) di dalam masyarakat, akan tetapi bahaya sebenar ialah adanya sesuatu yang tersembunyi dan tersirat di dalamnya (iaitu apabila) nyata dan tersebar luas perbuatan keji itu hingga ke tahap (berlakunya) secara terang-terangan pada melakukannya tanpa ada rasa malu dan segan-silu. Ini bermakna, hilangnya dari dalam diri manusia nilai-nilai akhlak yang membenci kemungkaran. Maka tidak hairanlah bahawa dengan sebab tersebar luasnya perbuatan-perbuatan keji dengan berbagai jenisnya seperti zina dan liwâth, akan tersebar luas juga penyakit-penyakit yang sebelum ini tidak diketahui oleh orang-orang yang terdahulu, dan yang paling jelas ialah penyakit yang merbahaya di masa ini yang mengancam manusia, iaitu penyakit Aids.”

Menurut syara‘, dalam membanteras masalah dan kegiatan pondan dan hubungan jenis ini dari segi hukuman, Islam telahpun menetapkan hukumannya dengan jelas sebagaimana yang diterangkan sebelum ini di atas, manakala dari segi pencegahan, Islam telahpun menekankan akan kepentingan akhlak Islam, batas halal haram pergaulan antara lelaki dan perempuan dan lain-lain lagi yang mengatur hubungan manusia dengan manusia.

Berhubung dengan tindakan yang dicadangkan iaitu membuat satu rang undang-undang atau akta yang memberi kuasa untuk membuat tangkapan dan dakwaan, ini adalah wajar dan memang disuruh oleh syara‘ yang bertepatan dengan dasar al-amr bi al-ma‘rûf wa an-Nahy ‘an al-munkar iaitu menyuruh berbuat kebaikan dan menegah daripada kemungkaran, kerana menyuruh berbuat kebaikan dan menegah berbuat kemungkaran adalah daripada sebesar-besar syiar agama yang dituntut kepada umat Islam sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Âli ‘ImrAn: 104)

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri berkata:

Maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika sekiranya dia tidak berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya, jika sekiranya dia tidak juga berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya, dan yang demikian itu (mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya menyuruh dengan kewajipan-kewajipan syara‘ dan menegah perkara yang diharamkan oleh syara‘ adalah fardhu kifayah. Adakalanya pula ia menjadi fardhu ‘ain, umpamanya jika kemungkaran itu berlaku di tempat yang tidak diketahui orang lain selain dia, atau tidak ada orang yang berkuasa mencegah kemungkaran itu selain dia. Kemungkaran hendaklah dicegah dengan apa cara yang terdaya, dan tidak memadai mencegahnya dengan lidah (nasihat) bagi sesiapa yang berkuasa mencegah dengan tangan, dan tidak juga dengan hati bagi sesiapa yang berkuasa dengan lidah. Jika seseorang itu tidak berkuasa mencegah kemungkaran dengan lidah tetapi dia berkuasa bermasam muka, melihat dengan marah dan meninggalkan tempat kemungkaran itu, maka hendaklah dia berbuat sedemikian; dan tidak memadai dia mengingkari satu kemungkaran dengan hati dan tidak gugur mengingkari kemungkaran dengan hati ke atas setiap orang mukallaf, kerana membenci kemungkaran itu adalah wajib ke atas orang yang mukallaf, bahkan pendapat setengah ulama, di antaranya Imam Ahmad bin Hanbal sesungguhnya meninggalkan mengingkari kemungkaran dengan hati itu adalah kufur. Wal‘iyadzubillah. (Irsyâd al- ‘Ibâd ‘alâ Sabîl ar-Rasyâd)

Dalam menangani masalah pondan ini, jika proses undang-undang akan mengambil masa yang panjang sehingga memberi ruang kepada pondan-pondan itu terus melakukan kegiatannya, lebih-lebih lagi jika keadaan akan bertambah buruk, maka hendaklah digunakan apa jua bidang kuasa yang ada, termasuk dengan menggunakan budi bicara sama ada yang berupa nasihat atau lain-lain cara yang difikirkan munasabah. Hendaklah juga dilihat bagaimana pihak-pihak yang berkenaan dapat membantu pondan-pondan itu mengatasi terjadinya permasalahan ini, khasnya jika permasalahan itu berpunca daripada kemiskinan. Maka bolehlah diperuntukkan sejumlah wang untuk membantu mereka ini di samping diadakan sesi-sesi kaunseling, jika sedemikian itu boleh mencegah mereka daripada melakukan perkara yang tersebut. Janganlah kemiskinan itu menjadi punca atau sebab kepada berbagai-bagai masalah sosial dalam masyarakat.

Perkara ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah:

Maksudnya: “Mengenai sedekah yang engkau berikan kepada pencuri, mudah-mudahan ia akan menjadikannya penghalang (menjauhkan) daripada mencuri. Adapun perempuan pelacur, mudah-mudahan akan menjadikannya penghalang (menjauhkan) daripada melacur, adapun orang kaya, mudah-mudahan dia akan mengambil i‘tibâr, maka dia akan turut menafkahkan sebahagian hartanya yang dikurniakan oleh Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Harta Gadaian: Adakah Milik Ahli-Ahli Waris?

Soalan:

Dengan segala hormat dan takzimnya kaola sukacita memohon fatwa daripada Pehin mengenai masalah yang kaola hadapi berhubung dengan hak pemilikan dua bidang tanah yang seluruh keluasannya lebih kurang sebelas ekar.

Untuk makluman Pehin, Allahyarham ayah kaola telah menggadaikan tanah tersebut kepada seorang mendiang Pehin Kapitan China. Tarikh penggadaian tersebut serta sebab penggadaian tidaklah kaola maklum, tetapi harus ianya berlaku antara lima puluh atau enam puluh tahun yang lalu, sewaktu kaola masih lagi kecil.

Allahyarham saudara-saudara seperadian kaola sewaktu hayat mereka tidak pernah berfikir atau berura-ura hendak menebus balik tanah tersebut, mungkin saudara-saudara seperadian kaola itu berfikir tanah berkenaan tidak mungkin lagi dapat ditebus kerana penggadaian tanah tersebut telah berlaku pada waktu yang begitu lama. Bagaimanapun kaola dengan hidayat dan ilham daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berusaha dan berunding dengan waris mendiang tersebut, dan Alhamdulillah kira-kira tiga bulan yang lalu, kaola telah berhasil menebus semula tanah tersebut dengan bayaran sebanyak $10.000.00 (Sepuluh Ribu Ringgit sahaja).

Untuk makluman Pehin selanjutnya, Allahyarham ayah kaola mempunyai enam orang anak.

Mengenai masalah di atas, kaola sukacita memohonkan fatwa dan seterusnya nasihat daripada Pehin akan perkara berikut:

- Adakah tanah tersebut dianggap dari segi syara‘ sebagai telah hilang hak milik waris-waris kerana ia telah tergadai sekian lama?

- Adakah kaola berhak memiliki keseluruhan tanah tersebut disebabkan kaola hanya satu-satunya anak Allahyarham yang masih ada dan berhasil pula menebus gadaian tanah itu semula?

- Bagaimana kedudukan isteri dan anak-anak saudara seperadian kaola yang masih ada? Adakah mereka juga berhak terhadap tanah itu, padahal mereka tidak pernah berusaha untuk menebus tanah yang tergadai itu?

- Bagaimana kedudukan wang penebus tanah tersebut sejumlah $10.000.00 yang telah kaola keluarkan sendiri, jika waris-waris yang lain juga berhak ke atasnya?

Oleh yang demikian, kaola hadapkan masalah di atas bagi memohonkan fatwa dan nasihat Pehin sesuai dengan kehendak hukum syara‘. Fatwa dan nasihat Pehin akan kaola jadikan asas dan sandaran bagi menyelesaikan masalah tersebut kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Jawapan:

Gadaian adalah salah satu mu‘amalah yang dibenarkan oleh hukum syara‘. Firman Allah Ta’ala:

Tafsirnya: “Maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang oleh orang yang memberi hutang.” (Surah al-Baqarah: 283)

Telah diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menggadaikan baju besi Baginda kepada seorang Yahudi yang bernama Abu asy-Syahm ketika berada di Madinah dan Baginda mengambil daripada Abu asy-Syahm, gandum untuk keluarga Baginda.

Hadis Anas Radhiallahu ‘anhu di atas telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Imam Ahmad, an-Nasa’i dan Ibnu Majah.

Gadaian itu ialah menetapkan sesuatu yang bernilai yang harus dijual belikan sebagai jaminan pelunasan hutang jika tidak mampu melunaskannya. Maka apa jua benda berharga yang diharuskan berjual beli dengannya adalah harus dijadikan gadaian, tetapi sesuatu yang tidak boleh dijualbelikan seperti harta waqaf, tidak boleh dijadikan gadaian.

Gadaian itu tidak sah jika ada syarat yang membawa kepada kemudharatan orang yang menggadai, begitu juga orang yang menerima gadaian.

Dalam urusan gadaian ini adalah diperlukan îjâb dan qabûl. Pada kebiasaannya barang gadaian itu adalah dipegang oleh pihak yang menerima gadaian.

Imam an-Nawawi telah menjelaskan dalam al-Majmû‘ (13/186) bahawa jika telah diakadkan gadaian itu terhadap sesuatu benda yang masih di tangan penggadai tidaklah

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7851