Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Perlawanan Bola Tajaan Minuman Keras

Soalan: Adalah diketahui bahawa sekarang ini telah dianjurkan perlawanan bola sepak antara negara-negara ASEAN. Apa yang menjadi kemusykilan, perlawanan tersebut adalah atas nama Tiger Beer Cup 1996. Tidak mustahil perlawanan tersebut ditaja oleh Tiger Beer iaitu jika kaola tidak silap, adalah sebuah jenama minuman keras. Adalah juga tidak mustahil melalui perlawanan Tiger Beer Cup 1996 itu nanti, syarikat berjenama tersebut akan mendapat beberapa keuntungan, jika tidak pun sekurang-kurangnya syarikat tersebut akan berpeluang mempromosi dan memperkenalkan jenama mereka terutama kepada negara-negara yang menyertai pesta bola tersebut. Bagaimana pandangan dan fatwa Pehin mengenai perkara tersebut jika negara kita menyertainya?

Bagaimana pula hukumnya orang-orang Islam memakai baju yang memaparkan jenama minuman keras dan lambang persatuan-persatuan dan simbol-simbol Kristian? Baju dan pakaian seumpama ini (terutama baju T) digemari oleh golongan muda.

Jawapan: Sifat tolong-menolong di antara satu sama lain memanglah digalakkan oleh Islam dengan syarat ianya di dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan, bukannya di dalam perkara dosa dan maksiat. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.” (Surah al-Mâ’idah: 2)

Adapun bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan maksiat bukan sahaja dilarang, bahkan Islam memerintahkan setiap orang Islam itu membanteras akan segala kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing, sama ada dengan kekuatan tangan (kekuasaan), dengan lidah (nasihat) dan yang sekurang-kurangnya dengan hati iaitu dengan membencinya. Ini jelas sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri dia berkata:

Maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika sekiranya dia tidak berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya, jika sekiranya dia tidak juga berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya, dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya Fath al-Mubîn li Syarh al- Arba‘în dalam mensyarah kalimat ‘ َ فَبَقَلْبَه’ di dalam hadis yang tersebut di atas bahawa mengingkari dengan hati itu ialah: “Membenci akan kemungkaran itu dengan hatinya dan dia berazam jika dia berkuasa (mengingkarinya) dengan kata-kata atau perbuatan, (nescaya) dia akan menghapuskannya, kerana membenci maksiat wajib hukumnya. Maka orang yang redha (tidak membenci) maksiat adalah (dikira) bersekutu dan bersubahat dengan orang yang melakukan maksiat itu. Jika redhanya itu kerana menghalalkannya (beri‘tiqâd bahawa kemaksiatan itu tidak haram) sedangkan hukum kemaksiatan itu haram dengan ijmâ‘ dan telah diketahui umum iaitu ma‘lûm min ad-dîn bi adh-dharûrah, maka dia dihukumkan kufur. Manakala jika redhanya itu kerana menurutkan hawa nafsu (tidak beri‘tiqâd bahawa kemaksiatan itu tidak haram), maka dia dihukumkan fâsiq, tidak kufur dengannya. Perkara ini (membenci kemungkaran) adalah wajib ‘ain ke atas setiap orang kerana semua orang berkuasa pada melakukannya.”

Adapun hukum arak adalah jelas di dalam al-Qur’an, hadis dan ijmâ‘ ulama, sehingga pengharamannya itu telah menjadi sesuatu yang telah diketahui umum (ma‘lûm min al-dîn bi adh-dharûrah). Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Mâ’idah: 90)

Pengharaman arak itu bukan sahaja kepada orang yang meminumnya, bahkan ia meliputi kepada apa jua bentuk pertolongan yang boleh membawa kepada peminuman arak, kerana dosa menolong kepada berlakunya peminuman arak, walaupun dia tidak meminumnya, samalah juga dosanya seperti orang yang meminum arak. Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu dia berkata:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat berkenaan dengan arak sepuluh golongan: Orang yang memerah arak, orang yang minta diperahkan arak, orang yang meminum arak, orang yang membawa arak, orang yang minta dihantari arak, orang yang menuangkan arak, orang yang menjual arak, orang yang makan harga arak, orang yang membeli arak dan orang yang minta dibelikan arak.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

Maka dengan ini adalah jelas bahawa jika perlawanan tersebut di atas adalah atas nama Tiger Beer, bahkan apa sahaja jenis minuman yang diharamkan oleh syara‘, haram hukumnya menyertai perlawanan tersebut, kerana menyertai perlawanan tersebut, dengan secara tidak langsung menandakan bahawa kita redha, menyokong, memberi pertolongan kepada penyebaran (mempromosi) minuman tersebut, walaupun kita tidak berniat sedemikian. Malah adalah wajib bagi orang Islam tidak ikut serta perlawanan tersebut berdasarkan kepada mafhûm hadis yang diriwayatkan daripada Sa‘id bin al- Khudri yang tersebut di atas, kerana tidak ikut serta adalah di antara tanda-tanda kebencian (mengingkari) dengan hati. Hukum ini samalah juga dengan memakai baju yang memaparkan lambang jenama minuman keras, kerana ada unsur redha dan mengajak kepada peminuman minuman itu.

Manakala memakai baju yang memaparkan lambang persatuan-persatuan dan simbol-simbol Kristian seperti cross, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato’ Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz di dalam fatwanya ‘Memakai Lambang Cross (Salib)’ Bil:77/78 katanya:

“Dan cross-cross ini termasuk pada perkara-perkara atau benda-benda yang dipakai khas bagi orang Nashrani atau Kristian. Maka menurut pendapat al-Imam as-Sayyid Abdullah bin Yahya, bahawa orang Islam yang memakai cross dengan cenderung hatinya pada agama Kristian atau dia qashadkan menyerupai orang kafir pada cogan-cogan atau adat kufur mereka, maka dia dihukumkan kafir. Dan jika dia tiada cenderung hatinya pada agama Kristian dan tiada pula dia qashadkan menyerupai mereka pada cogan-cogan atau adat-adat kufur bagi orang Kristian, maka dia telah berbuat haram dan dosa. Dan jika dia menyerupai orang Kristian dalam perkara yang tersebut dengan serempak (tidak sengaja) atau tiada semena-mena dan tiada qashad sesuatu daripada perkara-perkara yang tersebut, maka dia tiada berdosa tetapi dia telah membuat makruh.” Tamat katanya.

Dalam fatwa beliau lagi berkenaan dengan perkara ‘Memakai Bintang Kebesaran Yang Ada Bentuk Cross Atau Seakan-Akan Cross’, Bil: 18/78 beliau berkata:

“Berdasarkan fatwa al-‘Allâmah al-Habib Abdullah yang di atas ini, maka memakai bintang yang serupa cross atau memakai bintang yang bertatah atau bersulam dengan cross adalah haram dan berdosa, kerana cross cogan agama Kristian, jika kiranya dipakai bintang berupa cross atau bertatah cross itu dengan tiada niat atau tiada tujuan memuliakan cross atau memuliakan agama Kristian.

Adapun kiranya dia memakai bintang yang tersebut dengan tujuan memuliakan cross atau agama Kristian atau memakainya dengan menghina-hina dan mengecil-ngecilkan agama Islam, maka orang Islam yang memakai dengan keadaan begitu adalah telah menjadi kufur wal‘iyâdzubillâh.

Dan kiranya dia belum tahu akan hukum haram pada memakai bintang yang keadaan seperti di atas dengan syarat yang di atas atau dia belum tahu akan hukum kufur pada memakai bintang yang keadaan seperti di atas dengan syarat yang di atas, maka makruh perbuatannya itu wallâhu a‘lam.” Tamat katanya.

Kesimpulan daripada fatwa beliau itu ialah:

(i) Haram dan berdosa hukumnya serta kufur orang yang memakai cogan-cogan agama Kristian seperti cross dengan niat memuliakan agama Kristian dan menghina serta memperkecilkan agama Islam.

(ii) Haram dan berdosa hukumnya tetapi tidak kufur bagi orang yang memakai cogan-cogan agama Kristian seperti cross dengan tidak ada niat memuliakan agama Kristian dan menghina serta memperkecilkan agama Islam.

(iii) Manakala bagi orang yang memakai cogan-cogan agama Kristian seperti cross, sedang dia tidak mengetahui akan hukum-hukumnya yang tersebut di atas, maka adalah makruh sahaja hukumnya.

Maka demikian itu pula qiyâs memakai baju yang berjenama minuman keras atau memaparkan jenama dan lambang persatuan-persatuan dan simbol-simbol Kristian adalah sama hukumnya seperti yang diterangkan di atas, kerana penggunaan dan pemaparan jenama-jenama dan lambang-lambang itu tidak sunyi daripada tujuan mempromosi dan mengenalkan minuman keras (arak) dan syarikat pembuat arak yang berkenaan, supaya ianya lebih dikenali dan lebih diminati sehingga pada akhirnya membawa lebih laris dan lebih laku minuman arak itu.

Orang Islam mestilah berhati-hati dan peka serta bersikap tegas dengan perkara-perkara yang berhubungkait dengan agama, lebih-lebih lagi yang kena-mengena dengan aqidah, kerana disebabkan oleh kelalaian, meringan-ringan dan mengambil sambil lewa akan perkara agama, orang Islam terutama para remaja selalu terjerumus ke dalam perkara kemungkaran. Mereka ini sebenarnya bukannya tidak mahu mengikuti ajaran-ajaran agama, tetapi disebabkan kurang pengetahuan, pendedahan dan penghayatan kepada hukum-hukum agama itu, membawa mereka terpesong dan terjebak kepada mungkar. Maka di sinilah peranan ibu bapa dalam menunaikan dan memberikan penghayatan Islam ke dalam jiwa anak-anak mereka yang mana ini adalah tugas yang terpenting sekali ke atas para ibu bapa. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarnya; manusia dan batu (berhala).” (Surah at-Tahrîm: 6)

Mengikut para ulama tafsir, bahawa memelihara keluarga daripada api neraka itu ialah dengan cara mengajar dan mendidik mereka dengan perkara-perkara kebajikan serta menyuruh melakukan apa yang diperintahkan dan melarang apa yang ditegah oleh Allah. (Tafsîr Ibnu Katsîr: 7/58 dan ad-Durr al-Mantsûr fî at-Tafsîr al-Ma’tsûr: 8/224)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7855