Orang Kafir Mengangkat Kanak-kanak Bukan Islam
Soalan: Dengan hormatnya sukacita dimaklumkan bahawa satu permohonan telah diterima daripada Awang A untuk mengasuh seorang anak angkat bernama D bin B. Permohonan tersebut telah dihadapkan kepada Pegawai Daerah Brunei dan Muara, bertarikh 15 Februari 1995 dan seterusnya dipanjangkan ke Kementerian ini untuk penyiasatan lanjut serta pandangan dan sokongan jua.
Hasil daripada penyiasatan, Kementerian ini mendapati anak angkat tersebut telahpun dipelihara oleh pemohon sejak lahir pada 4 November 1994 di Rumah Sakit RIPAS, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam. Sepertimana rujukan surat beranak No.13007-01, tarikh pendaftarannya 8 November 1994.
Hubungan keluarga anak angkat ini dengan pemohon adalah anak kemanakan. Ayah kandung anak angkat bernama Awang B, seorang warganegara Brunei Darussalam berbangsa Iban dan beragama Islam, sementara ibu kandungnya pula bernama C, warganegara Malaysia, berbangsa Iban, tidak beragama dan telah pulang ke negeri asalnya iaitu Limbang, Malaysia. Pasangan pemohon pula terdiri daripada keturunan Iban dan tidak beragama manakala anak yang dipohonkan terdiri daripada keturunan Iban/Islam (berdasarkan keturunan bapa asal). Menurut pemohon, anak ini telah dipelihara oleh mereka sejak kecil disebabkan ibu asalnya telah bercerai dan balik ke Malaysia. Di samping itu ayah asalnya telah berkahwin dengan seorang perempuan beragama Islam.
Oleh yang demikian, kementerian ini, sukacita memohon pandangan dan nasihat Yang Dimuliakan Pehin mengenai dengan kedudukan pengangkatan anak di atas, adakah wajar pasangan pemohon berkenaan mengasuhnya atau sebaliknya berdasarkan kepada keturunan dan agama anak angkat tersebut. Dalam hal ini, pihak kementerian akan mengambil kira hal-hal kebajikan dan kesejahteraan anak angkat tersebut terutama masa depannya.
Jawapan: Apa yang dapat difahami daripada soalan di atas bahawa D itu adalah hasil persetubuhan di antara B dengan C.
Sebagaimana keterangan daripada soalan itu juga bahawa B itu beragama Islam, sementara C pula tidak beragama. Oleh yang demikian D itu anak yang lahir di luar nikah atau anak zina. Anak zina tidak bersambung nasabnya atau keturunannya kepada bapa (B) yang menzinai atau menyetubuhi ibu D. Nasab atau keturunan D hanya bersambung kepada ibunya iaitu C.
Oleh kerana C itu bukan beragama Islam, maka D mengikut agama ibunya. D dengan sendirinya bukan anak orang Islam kerana anak yang dibangsakan kepada bapa Islam ialah anak yang lahir daripada hasil perkahwinan yang sah mengikut syara‘ berdasarkan hadits:
Maksudnya: Anak yang bersambung nasab dengan bapa ialah daripada pernikahan yang sah. (Hadits riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan Ashhâb as-Sunan kecuali Abu Daud)
Kalau ditakdirkan C memeluk Islam, maka D mengikut agama ibunya. D menjadi anak Islam. Namun tidak boleh dihubungkan nasabnya kepada B kerana D lahir daripada persetubuhan di luar nikah.
Tetapi dalam keadaan kiranya B berkahwin dengan C semasa sama-sama dalam agama asal mereka dan pasangan ini melahirkan anak iaitu D, kemudian B memeluk Islam maka D dengan sendirinya menjadi anak Islam, kerana mengikut siapa agamanya paling tinggi dan mulia di antara salah seorang daripada kedua-dua ibu bapa anak itu dan Islam adalah agama yang paling tinggi dan mulia. Dalam kedudukan ini, D dikembalikan kepada B kerana D itu anaknya.
Secara dasar umum, kewajipan orang-orang Islam menyeru sesiapa sahaja supaya dekat kepada perkara-perkara yang membawa ke syurga dan menjauhi perkara-perkara yang mendekatkan kepada api neraka. Oleh yang demikian, mengasuh kanak-kanak seperti ini kepada orang bukan Islam akan mendedahkan kanak-kanak itu kepada kesesatan dan kekufuran.
Adalah bijaksana dan wajar jika pihak-pihak berkenaan mengambil kira, bahawa kanak-kanak seperti ini diasuhkan kepada orang-orang Islam dengan harapan apabila dia sudah dewasa nanti akan berjinak-jinak dengan Islam akhirnya akan memeluk atau menjadi orang Islam. Mengasuhkan kepada B adalah pilihan yang wajar kerana dia orang Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7957
