Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Mengubahsuai dan Membaiki Masjid

Soalan: Sebuah masjid telah diwaqafkan oleh seorang hamba Allah dan telah diserahkan di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama sejak 13hb. Ogos, 1992.

Disebabkan oleh faktor masa dan cuaca, masjid tersebut mengalami beberapa kerosakan terutama di bahagian bumbungnya yang menyebabkan kebocoran air ke dalam bangunan masjid apabila hari hujan.

Beberapa usaha telah dibuat untuk mengatasi masalah ini, namun hasilnya tidaklah seperti yang diharapkan. Sehubungan dengan ini, Bahagian Bangunan Jabatan Kerja Raya, Kuala Belait telah memberikan pandangan dan nasihat supaya dibuat ubah suai kepada sebahagian bangunan masjid tersebut terutama di bahagian bumbungnya. Bila perkara ini dilaksanakan tentunya beberapa bahan asal tidak akan digunakan lagi.

Dengan demikian sukacita dipohonkan nasihat dan pandangan Pehin berhubung dengan cadangan mengubah suai masjid waqaf ini dan juga bahan-bahannya yang tidak digunakan lagi itu.

Jawapan: Tersebut di dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj waqaf dari segi syara‘ ialah:

Ertinya: Menahan (membekukan) harta yang boleh diambil manfaat daripadanya serta kekal zat harta itu, dengan menghalang tasharruf pada zat harta itu, yang digunakan pada jalan yang diharuskan (oleh syara‘).

Benda atau barang yang diwaqafkan itu adalah merupakan milik Allah, sebab itu ianya tidak boleh dimiliki, dijual, diwarisi atau dihibahkan kepada sesiapa pun. Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ berkata:

Maksudnya: ‘Umar (bin al-Khaththab) telah mendapat pembahagian kebun di Khaibar, lalu dia datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam meminta saranan Baginda berkenaan kebun itu. ‘Umar berkata: “Ya Rasulullah! Aku mendapat pembahagian kebun di Khaibar, belum pernah aku mendapat harta yang lebih baik (bagus) daripada kebun itu, maka apa perintah Tuan kepadaku mengenai harta (kebun) itu?” Bersabda Rasulullah: “Jika engkau mahu, tahanlah (waqafkanlah) kebun itu dan sedekahkan hasilnya”. Berkata Ibnu ‘Umar: “Maka bersedekahlah ‘Umar hasil tanaman kebun itu, sesungguhnya kebun itu tidak dijual dan tidak ditawarkan untuk dijual dan tidak diwarisi dan tidak dihibahkan.” (Hadits riwayat Muslim)

Berkata Imam Nawawi dalam kitab Shahîh Muslim: 6/98 berkenaan dengan hadits di atas: “Hadits ini menjadi dalil bahawa benda waqaf itu tidak dijual dan tidak dihibahkan dan tidak diwarisi. Sesungguhnya ia hanya mengikut apa yang disyaratkan oleh pewaqaf.”

Berkata al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al- Minhâj: 6/283:

Ertinya: Tiadalah boleh dirobohkan (masjid) melainkan jika ditakuti ia akan roboh, maka ketika itu haruslah dirobohkan dan disimpan (alat-alat perkakas masjid itu), atau digunakan bagi meng‘imârah masjid yang lain, jika hakim (pemerintah) berpendapat begitu. Dan (meng‘imârahkan masjid) yang lebih hampir (dengan alat-alat perkakas masjid yang dirobohkan itu) lebih utama, (tiadalah boleh digunakan alat-alat perkakas masjid yang dirobohkan itu, bagi meng‘imârah) seperti telaga atau asrama. Berkata satu kumpulan (ulama): “Melainkan sukar memindahkan (alat-alat perkakas itu) ke masjid yang lain, (maka boleh digunakan alat-alat perkakas itu bagi meng‘imârah selain masjid).”

Di dalam kitab Fath al-Mu‘în karangan asy-Syaikh Zainuddin al-Malibari: 3/213 juga ada tersebut:

Ertinya: Tiadalah boleh dirobohkan masjid melainkan apabila ditakuti ia akan roboh, maka ketika itu haruslah dirobohkan dan disimpan (alat-alat perkakas masjid itu) atau digunakan bagi meng‘imârah masjid yang lain jika hakim (pemerintah) berpendapat begitu. Dan (meng‘imârahkan masjid) yang lebih hampir (dengan masjid yang dirobohkan itu) lebih utama, dan tiadalah boleh digunakan alat-alat perkakas masjid yang dirobohkan itu, bagi meng‘imârah bangunan selain jenis masjid seperti asrama waqaf dan telaga, seumpama itu juga jika sebaliknya, melainkan apabila sukar digunakan alat-alat binaan masjid itu pada jenisnya.

Katanya lagi:

Ertinya: Dan ditanya guru kami berkenaan apabila di‘imârahkan sebuah masjid dengan alat-alat perkakas yang baru dan tinggal alat-alat perkakasnya yang lama: “Maka adakah harus di‘imârah masjid lain yang lama dengan alat-alat perkakas (yang lama) itu atau bolehkah dijual dan disimpan harganya (duitnya bagi kegunaan masjid yang empunya alat-alat itu)?” Maka dia menjawab: “Sesungguhnya harus digunakan alat-alat perkakas itu bagi meng‘imârah masjid yang lama atau yang baharu dengan sekira-kira telah dipastikan (tetap bahawa masjid yang empunya alat-alat perkakas itu) tidak memerlukan kepada alat-alat perkakas itu sebelum ia rosak, (dan) tidak harus dijual alat-alat perkakas itu dengan apa cara sekalipun.”

Sehubungan dengan pertanyaan di atas, adalah harus diubahsuai mana-mana bahagian masjid tersebut dengan menggunakan alat-alat perkakas yang asal atau bahan-bahan binaan yang baharu. Jika masjid yang asal itu tidak menghendaki bahan-bahan asalnya, maka perkakas bahan asal itu boleh disalurkan bagi kegunaan masjid yang lain, dengan memberi keutamaan kepada masjid yang lebih hampir dengan masjid yang empunya bahan asal itu tadi.

Andainya bahan asal itu sukar digunakan oleh masjid-masjid yang lain atau ia tidak diperlukan, maka bolehlah digunakan bahan asal itu bagi kegunaan binaan waqaf yang lain selain masjid. Akan tetapi ia tidaklah boleh dijual menurut kata ulama-ulama yang tersebut di atas.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7953