Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Pembahagian Harta Pusaka Tanpa Hukum Farâ’idh

Soalan: Seorang ibu telah kembali ke rahmatullâh dengan meninggalkan: i. Harta-harta berupa 3 keping tanah dan 2 buah rumah sewa di atas dua keping tanah yang lain lagi dan wang ringgit. ii. Seorang suami yang lanjut usia. iii. Anak-anak daripada suami yang terdahulu: 2 lelaki dan 1 perempuan. vi. Anak-anak daripada suami sekarang: 3 lelaki dan 3 perempuan. Persoalan: (a) Bolehkah harta-harta berkenaan dibahagi-bahagikan dengan sama rata ke atas anak-anak sahaja (tanpa ‘mengampiti’ suami dengan alasan dia sudah tua dan harta berkenaan tidak akan dimanfaatkan olehnya)? (b) Jika perkara di atas tidak boleh, apakah hukumnya jika pembahagiannya dilakukan di atas kerelaan semua pihak (masing-masing saling halal-menghalalkan)? (c) Adakah boleh pembahagian di atas dilakukan berdasarkan suara ramai (demokratik) iaitu dengan membuat pilihan sama ada farâ’idh atau pembahagian sama rata?

Jawapan: Ketetapan dan ketentuan orang-orang yang berhak menerima pembahagian harta pusaka atau harta waris telah ditetapkan oleh Allah, firmanNya:

Tafsirnya: Bagi lelaki ada bahagian pada barang yang ditinggalkan ibu bapa dan kerabat-kerabat dan bagi perempuan ada pula bahagian pada yang ditinggalkan ibu bapa dan kerabat-kerabat, sedikit atau banyak menurut pembahagian yang ditentukan. (Surah an-Nisâ’: 7)

Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda: “Bahagi-bahagilah harta di antara ahli farâ’idh, menurut Kitab Allah Ta‘ala.” (Hadits riwayat Muslim dan Abu Daud)

Berdasarkan ayat dan hadits di atas, mana-mana ahli waris yang berhak menerima pusaka tidak boleh diketepikan haknya atau jika ada di kalangan ahli waris mengambil bahagian hak ahli waris yang lain tanpa keizinan, maka perbuatan ini berdosa kerana adanya tegahan memakan atau mengambil hak orang lain, antaranya sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah: 188)

Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pula:

Maksudnya: Dan sesungguhnya harta itu manis, barang siapa mengambil atau memperolehinya dengan hak (cara halal) dan meletakkannya pada yang hak pula, maka inilah sebaik-baik bantuan (untuk memperolehi pahala) kepadanya dan barang siapa mengambil atau memperoleh harta itu bukan dengan haknya (cara halal), maka dia seperti orang yang makan tetapi tidak merasa kenyang (puas). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hak harta seseorang tidak boleh diketepikan, apatah lagi diambil, dengan sebab tua atau lain-lain alasan kerana harta itu banyak manfaatnya seperti disedekahkan, diwaqafkan atau dibelanjakan kerana jalan Allah dan lain-lain seumpamanya yang berupa amal jâriah. Semua amal jâriah pahalanya akan diperolehi oleh seseorang sampai bila-bila, selama amal jâriahnya itu masih boleh dimanfaatkan.

Seseorang yang telah lanjut usianya lebih wajar memperbanyakkan belanja atau mengeluarkan hartanya bagi tujuan amal jâriah, sedekah dan lain-lain seumpamanya sebagai bekalannya di akhirat kelak yang akan memberatkan timbangan pahalanya nanti, in syâ’ Allah.

Membelanjakan harta di jalan Allah dalam bentuknya yang luas itulah sebenar-benar perbelanjaan, sudah tentu ini sangat bermanfaat kepadanya.

Mengenai dengan soalan (b) itu sudah tentu tidak boleh diketepikan hak seseorang untuk menerima bahagiannya. Sebab itu rujukkan cara pembahagian itu berdasarkan apa yang telah ditentukan oleh hukum farâ’idh, kemudian barulah tiap-tiap orang boleh berkira-bicara sama ada hendak melepaskan haknya supaya menjadi sama rata sebagaimana yang disepakati bersama.

Hukum asal pembahagian harta pusaka mestilah berdasarkan hukum farâ’idh sebagaimana yang ditentukan oleh Allah. Namun jika semua ahli waris bersetuju supaya dibahagi sama rata, maka perkara tersebut adalah seperti yang disebutkan di atas.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7969