Pembahagian Harta Pusaka yang Adil
Soalan: Seorang ibu telah meninggal dunia dengan meninggalkan: i. Suami. ii. Anak-anak daripada suami pertama. iii. Anak-anak daripada suami sekarang. vi. Harta, (katalah) yang diwarisi daripada suami pertama. Jumlah kesemua anak-anak (daripada kedua-dua suami pertama dan kedua) ialah 5 anak lelaki dan 4 anak perempuan. Persoalannya: (a) Bagaimanakah pembahagian harta yang sepatutnya? (b) Adakah boleh harta-harta berkenaan dibahagikan hanya kepada anak-anak daripada suami pertama sahaja? (c) Apakah hukumnya membahagi-bahagikan harta berkenaan menggunakan kaedah sendiri kerana merasakannya lebih adil dan saksama?
Jawapan: (a) Bagaimanakah pembahagian harta yang sepatutnya? Pembahagian harta waris yang sepatutnya ialah mengikut cara yang diajarkan oleh Islam melalui al-Qur’an dan hadits. Agama Islam dengan penuh kebijaksanaan dan keadilan telah menetapkan sistem pembahagian harta waris dalam satu peraturan yang dinamakan ‘farâ’idh’. Mengikut syara‘, makna farâ’idh ini ialah bahagian yang sudah ditetapkan untuk ahli waris. Farâ’idh ini mengandungi tatacara pembahagian harta waris yang seadil-adilnya kerana ia mengikut ukuran wahyu dan tatacara ini bukan ciptaan manusia, sebagaimana tersebut dalam al-Qur’an. Dalam konteks ini, manusia atau seperti pihak mahkamah hanya berfungsi sebagai pelaksana kepada tatacara tersebut. Hukum atau tatacara pembahagian harta melalui farâ’idh adalah wajib. Ayat-ayat mengenai farâ’idh ini banyak terdapat dalam al-Qur’an, begitu juga dalam hadits-hadits. Antaranya adalah ayat berikut:
Tafsirnya: Allah memerintahkan kamu mengenai pembahagian harta pusaka untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja maka bahagiannya ialah seperdua (separuh harta itu)..... (sehingga akhir ayat). (Surah an-Nisâ’: 11)
Dan hadits:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, sabdanya: “Kamu bahagi-bahagikanlah harta (pusaka) di antara ahli farâ’idh (waris) berdasarkan Kitâbullah.” (Hadits riwayat Muslim dan Abu Daud)
Orang-orang Arab di zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam tidak membenarkan kaum wanita mendapat bahagian daripada harta waris, semua harta waris mereka hanya dikhaskan untuk pihak lelaki, tetapi itupun hanya lelaki yang sudah dewasa, tidak lelaki yang masih kanak-kanak. Adat jahiliyyah ini telah dilarang dan dihapuskan oleh Allah melalui ayat di atas.
Di zaman permulaan Islam pula sebagaimana yang diceritakan oleh Jabir Radhiallâhu ‘anhu, bahawa seorang perempuan (janda) iaitu isteri kepada Sa‘ad bin ar-Rubai‘ datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengadukan perihal dua orang anak perempuannya hasil perkongsiannya dengan Sa‘ad. Perempuan (janda) ini berkata: “Wahai Rasulullah, dua orang ini adalah anak perempuan Sa‘ad bin ar-Rubai‘, bapa mereka telah mati syahîd semasa berperang bersamamu wahai Rasulullah di Uhud. Kemudian bapa saudara mereka berdua telah mengambil harta mereka, dia tidak memberikannya kepada mereka walau sedikitpun dan kedua-dua mereka ini tidak akan dapat berkahwin tanpa harta.” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Allah akan memberi keputusan hukum mengenainya.”
Tidak berapa lama kemudian turunlah ayat 11, dalam surah an-Nisâ’ yang disebutkan sebahagiannya di atas. Setelah itu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengirim utusan kepada bapa saudara kedua-dua anak perempuan itu untuk memaklumkan pesan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang berbunyi: “Berikan kepada dua anak perempuan Sa‘ad 2/3 dan kepada ibunya 1/8, manakala bakinya untukmu.” (Hadits Jabir ini diriwayatkan oleh ahli hadits yang lima kecuali an-Nasa’i).
Berdasarkan ayat dan hadits Jabir yang di atas, adalah wajib membahagikan harta waris mengikut bahagian yang telah ditetapkan dalam farâ’idh dan mengikut cara inilah yang paling baik bagi mencapai keadilan yang sebenar.
Bagi menjawab pertanyaan di atas, maka harta waris berkenaan sepatutnyalah dibahagi-bahagikan terlebih dahulu berdasarkan farâ’idh, setelah itu barulah dibuat persetujuan tertentu yang dikehendaki bersama atau oleh sebahagian ahli waris yang sudah sama-sama mengetahui dan menerima bahagian masing-masing.
(b) Adakah boleh harta-harta berkenaan dibahagikan hanya kepada anak-anak daripada suami pertama sahaja?
Telah sedia maklum bahawa harta yang ditinggalkan si mati atau yang disebut sebagai harta waris, adalah wajib dibahagi-bahagikan kepada ahli waris yang berhak yang ada berdasarkan farâ’idh.
Erti farâ’idh ini ialah bahagian yang sudah ditetapkan oleh syara‘ kepada ahli waris yang berhak. Dengan pengertian lain: Dalam harta yang ditinggalkan si mati, ada hak setiap waris sesuai dengan kedudukan masing-masing dan kadar hak masing-masing ini sudahpun ditetapkan oleh hukum syara‘ dan orang yang bukan ahli waris tidak berhak menerima pembahagian harta waris. Ahli waris berjumlah 25 orang, 15 orang daripada pihak lelaki dan 10 orang daripada pihak perempuan.
Ahli waris daripada pihak lelaki adalah seperti berikut:
1. Anak lelaki. 2. Anak lelaki daripada anak lelaki (cucu). 3. Bapa. 4. Datuk lelaki. 5. Saudara lelaki seibu sebapa (saudara kandung). 6. Saudara lelaki sebapa. 7. Saudara lelaki seibu. 8. Anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa. 9. Anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa. 10. Bapa saudara yang seibu sebapa dengan bapa. 11. Bapa saudara yang sebapa dengan bapa. 12. Anak lelaki daripada bapa saudara yang seibu sebapa. 13. Anak lelaki daripada bapa saudara yang sebapa dengan bapa. 14. Suami. 15. Orang yang memerdekakan hamba sahaya (bekas tuannya).
Ahli waris daripada pihak perempuan:
1. Anak perempuan.
2. Anak perempuan daripada anak lelaki. 3. Ibu. 4. Nenek perempuan daripada pihak ibu. 5. Nenek perempuan daripada pihak bapa. 6. Saudara perempuan seibu sebapa. 7. Saudara perempuan sebapa. 8. Saudara perempuan seibu. 9. Isteri. 10. Perempuan yang memerdekakan hambanya.
Sehubungan dengan persoalan yang dikemukakan maka suami, 5 orang anak lelaki dan 4 orang anak perempuan adalah ahli waris kepada harta yang ditinggalkan oleh si mati kerana mereka ini termasuk dalam senarai 25 orang yang disebutkan di atas.
Nisbah kepada si mati, maka anak-anaknya adalah sama, sama ada daripada suami pertama atau yang kedua. Apa yang membezakan mereka hanyalah daripada lelaki dan perempuan dalam pandangan ilmu farâ’idh, di mana pihak lelaki mendapat kadar dua bahagian daripada bahagian perempuan. Dalam kes seperti ini si suami mendapat 1/4 daripada harta peninggalan isterinya.
Jadi mengikut ilmu farâ’idh harta berkenaan tidak boleh hanya dibahagi-bahagikan kepada anak-anak daripada suami pertamanya.
Sehubungan dengan soalan C, kita mesti yakin bahawa Allah Ta‘ala Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Allah Ta‘ala lebih mengetahui apa yang baik dan yang tidak baik.
Allah Ta‘ala menurunkan hukum farâ’idh adalah kerana ianya lebih sesuai dan lebih baik kepada ahli waris kerana membahagi-bahagikan harta waris dengan cara farâ’idh ini akan membawa keadilan dan kesaksamaan kepada semua ahli waris.
Jadi, menggunakan kaedah sendiri dalam membahagi-bahagikan harta waris kerana dirasakan ianya lebih adil dan saksama adalah satu sangkaan yang salah dan tidak betul. Apa yang betul, adil dan lebih saksama hanyalah hukum Allah Ta‘ala jua.
Keraguan-keraguan yang ditimbulkan mengenai ketidakadilan dalam pembahagian pusaka telah pun dijawab oleh Muhammad Qutub dalam bukunya: “Salah Faham Terhadap Islam” (yang diterjemahkan oleh Yussof Zaky Yacob). Elok kita menatapi dan mengikuti fikiran Muhammad Qutub itu, betapa indahnya Islam itu dalam semua peraturannya:
“Kini marilah kita tinjau dua masalah besar, di mana Islam membeza-bezakan di antara lelaki dan wanita, iaitu masalah pembahagian pusaka dan masalah pengetuaan keluarga.
Menurut Islam lelaki diberi hak menerima pusaka sekali ganda daripada perempuan. Pembahagian sedemikian memang wajar kerana Islam mewajibkan lelaki menanggung semua perbelanjaan keluarga, sedangkan perempuan tidak diwajibkan mengeluarkan perbelanjaan seperti itu kecuali perbelanjaan untuk kepentingan diri dan perhiasannya sahaja. (Melainkan jika perempuan itu satu-satunya menjadi penyara hidup keluarganya dan hal yang seperti ini jarang berlaku di dalam sistem Islam kerana lelaki yang mengambil bahagian ‘ashabah diwajibkan menanggung perbelanjaan perempuan walaupun darjah pertaliannya jauh). Dengan peraturan yang sedemikian, di manakah ketidakadilan yang dikatakan oleh pejuang-pejuang yang menuntut persamaan yang muthlaq di antara lelaki dan perempuan? Marilah kita ketepikan sentimen dan dakwaan-dakwaan dan marilah kita tinjau persoalan ini dengan menggunakan satu kira-kira yang mudah, iaitu jika perempuan menerima sepertiga bahagian daripada harta pusaka untuk dibelanjakan bagi kepentingan dirinya, sedangkan lelaki pula menerima dua pertiga bahagian tetapi pertama dia harus menanggung sara hidup isterinya (kaum perempuan) dan kedua dia harus menanggung sara hidup keluarga dan anak-anaknya, maka manakah pihak yang lebih banyak mendapat bahagian menurut lojik kira-kira dan angka? Seandainya di sana terdapat laki-laki yang membelanjakan seluruh harta kekayaan mereka untuk kepentingan diri mereka sahaja tanpa berkahwin dan membentuk keluarga, maka kes-kes yang seperti itu sangat sedikit berlaku kerana kaum lelaki sememangnya ditugas membelanjakan harta kekayaannya untuk membentuk keluarga yang sudah tentu termasuk di dalamnya kaum wanita iaitu isterinya. Dia mengeluarkan perbelanjaan itu bukan di atas asas sukarela, tetapi di atas asas kewajipan sebagai lelaki.
Bagi pihak perempuan (isteri) pula walaupun sebanyak mana dia memiliki kekayaan, namun lelaki (suami) tidak berhak menggunakan kekayaan itu sedikit pun kecuali dengan sepenuh persetujuannya. Malah dialah yang harus menyarakan perbelanjaan hidup isterinya seolah-olah isterinya itu tidak punya milik apa-apa dan bagi pihak isteri yang kaya itu pula berhak mengadu kepada pihak yang berkuasa jika suaminya enggan memberi nafkah atau tidak cukup memberi nafkah kerana menimbangkan isterinya sudah berharta, maka pihak mahkamah akan memaksa suami itu sama ada menanggung nafkah isterinya atau menceraikannya.
Berdasar perhitungan ini tidak syak lagi bahawa kaum wanitalah yang lebih banyak mendapat bahagian daripada keseluruhan harta pusaka, sedangkan dua bahagian yang diterima oleh kaum lelaki itu bukanlah merupakan satu pembahagian istimewa kerana kaum lelaki telah dipertanggungjawabkan dengan tugas nafkah yang tidak dipertanggungjawabkan kepada kaum wanita.
Demikian sistem pembahagian yang diatur oleh Islam mengenai harta pusaka yang didapati tanpa susah payah itu. Pembahagian itu memanglah diasaskan di atas seadil-adil undang-undang yang pernah dicapai oleh manusia hari ini iaitu undang-undang yang menetapkan bahawa: “Setiap orang berhak mendapat kadar yang diperlukannya”, dan ukuran keperluan itu bergantung kepada tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.”
Bagaimanapun, jika masih mahu juga melakukan pembahagian mengikut kaedah sendiri, mula-mula hendaklah pembahagian itu dilakukan mengikut kaedah farâ’idh, kemudian sesudah masing-masing ahli waris mengetahui bahagian masing-masing, maka barulah mereka melakukannya secara muafakat dan sukarela menurut yang disukai oleh mereka sendiri.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7973
