Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Barang-Barang Seludup Rampasan Kerajaan

Soalan: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa kaola telah menerima surat Kementerian Kewangan, Negara Brunei Darussalam yang antara lain isinya seperti berikut:

Kaola minta nasihat untuk mengesahkan adakah barang-barang seperti barang-barang makanan, minuman keras, rokok, kereta dan sebagainya yang dirampas oleh kerajaan, mengikut hukuman mahkamah yang didapati dibawa masuk menyalahi undang-undang dapat disedekahkan atau dijual bagi mendapatkan hasil kepada negara?

Sukacita memaklumkan bahawa pada masa ini Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dari semasa ke semasa membuat rampasan ke atas barang-barang seludup ini dan barang-barang rampasan berkenaan ada yang dilelong, digunakan dan dimusnahkan.

Oleh kerana perkara tersebut ada kaitannya dengan hukum syara‘, maka perkara ini kaola edarkan kepada Pehin bagi mendapatkan fatwa, irsyad dan nasihat mengenainya.

Jawapan: Perkara yang dimusykilkan berbangkit daripada tindakan pihak berkenaan merampas barang-barang yang diseludup masuk ke negara ini, kemudian barang tersebut ada yang dilelong, digunakan atau dimusnahkan.

Di sini timbul pertanyaan: Bolehkah harta seseorang itu dirampas atau bolehkah harta yang dirampas itu juga digunakan atau dimusnahkan?

Agama Islam sangatlah menghormati hak milik individu, tidak ada sesiapapun boleh mengambil atau merampas hak seseorang tanpa izinnya.Perkara ini jelas berdasarkan Al- Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Firman Allah:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.” (Surah Al-Nisâ’: 29)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Setiap muslim ke atas muslim yang lain haram baginya menumpahkan darahnya, mengambil hartanya dan mencabul kehormatannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi dalam khutbahnya pada hajinya yang penghabisan:

Maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu haram atas kamu seperti haramnya hari kamu ini, pada bulan kamu ini, pada negeri kamu ini.” (Hadis riwayat Muslim)

Asas dalam mengambil harta seorang muslim itu ialah berdasarkan kerelaan hatinya, sabda Baginda:

Maksudnya: “Tidak halal harta seorang melainkan dengan kesukaan hatinya sendiri.” (Hadis riwayat Ahmad)

Nash-nash di atas jelas menunjukkan tentang haramnya mengganggu-gugat atau melanggar hak-hak yang dimiliki secara peribadi selama ianya dimiliki secara sah.

Seperti juga tanah, maka tidak dibenarkan oleh Islam dirampas atau diganggu-gugat oleh orang lain kiranya ianya telah dimiliki secara sah. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil sesuatu daripada tanah secara zalim, akan dikalungkan kepadanya daripada tujuh lapis bumi.” (Hadis riwayat Bukhari)

Bahkan pihak kerajaan sendiri tidak boleh mengambil harta orang lain secara paksa dan sewenang-wenangnya melainkan dengan hak tertentu yang dimiliki oleh kerajaan berdasarkan kaedah:

Ertinya: “Imam tidak berhak mengeluarkan sesuatu daripada tangan sesiapa melainkan dengan hak yang sabit yang diketahui.”

Adapun jika sekiranya pemilikan terhadap sesuatu itu tidak mengikut kebenaran hukum, maka pihak berkuasa boleh turut campur tangan mengenainya bagi memperbetulkannya seperti dengan merampasnya untuk memulangkan kepada yang berhak, sama ada kepada kerajaan sendiri atau kepada pihak tertentu.

Di antara cara pemilikan yang tidak mengikuti kehendak Islam ialah melalui jalan seperti curian, rasuah, penipuan, penyorokan barang-barang terkawal dan lain-lain seumpamanya.

Jika terdapat sebarang pemilikan melalui cara yang tidak dibenarkan oleh syara‘ itu, maka barang yang dimiliki itu bolehlah dirampas oleh pihak berkuasa dan ini terserahlah kepada pandangan pihak berkuasa itu bagaimana cara hendak memperlakukannya sama ada mengembalikannya kepada yang empunya di samping juga mengenakan hukuman, atau memulangkannya kepada yang berhak, memanfaatkannya, memusnahkannya atau lain-lain cara yang difikirkan munasabah.

Dalam sejarah pemerintahan Islam tidaklah pernah terjadi pengambilan harta orang kaya tanpa persetujuannya dan harta berkenaan diserahkan kepada orang miskin umpamanya, walaupun orang miskin itu sangat memerlukannya.

Apa yang pernah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lakukan ialah mendorong dan menggalakkan orang-orang Islam supaya memberikan sesuatu harta dalam bentuk wakaf, sedekah dan hibah dengan menyatakan ganjaran-ganjaran atau balasan tiap-tiap satu daripada sumbangan itu. Dorongan dan galakan ini bukan perintah wajib seperti zakat.

Perkara para sahabat menyumbangkan harta pula telah disebut-sebut dalam sejarah, umpamanya Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu yang dengan rela menghulurkan semua hartanya, Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu menyumbangkan sebahagian hartanya, manakala Sayyidina Othman Radhiallahu ‘anhu memberi hartanya untuk kelengkapan tentera. Demikian juga sahabat-sahabat yang lain masing-masing berperanan terhadap Islam.

Dalam syariat Islam, harta peribadi yang dimiliki secara sah dan tidak menyalahi undang-undang, hanya akan boleh menjadi hak atau harta awam apabila:

i. Dengan kehendak atau kerelaan si pemilik sendiri (seperti untuk dijadikan tanah perkuburan, wakaf dan lain-lain).

ii. Berlaku kehendak hukum seperti tindakan kerajaan mengambil tanah peribadi bagi kemanfaatan atau maslahat orang awam, (umpama jalan atau tapak masjid). (Al- Madkhal Al-Fiqh Al-‘آm 3/226)

Dengan hal yang demikian dapatlah disabitkan bahawa pemilikan terhadap sesuatu itu untuk menjadi hak, tidak boleh dilakukan oleh sesiapapun hatta oleh pihak kerajaan sendiri, kecuali ianya melalui undang-undang bagi tujuan untuk melindungi maslahat dan kepentingan awam.

Inilah antara tugas utama atau tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat iaitu menjaga kemaslahatan, bertindak semata-mata kerana kemaslahatan dan melakukan perkara-perkara yang bertujuan bagi melindungi dan memelihara kemaslahatan mereka itu.

Di antara perkara yang menjadi maslahat rakyat ialah melaksanakan hukuman mengikut syariat Islam. Maka dalam hal ini pihak kerajaan hanya perlu mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Al-Qur’an, al-sunnah, kaedah-kaedah fiqhiyyah atau perundangan yang bertujuan mengawal kemaslahatan itu.

Tetapi jika tidak terdapat nash Al-Qur’an atau al-sunnah, maka dalam kes-kes tertentu yang menyalahi kepentingan umum atau bagi tujuan pengajaran atau pencegahan, pihak kerajaan bolehlah menjatuhkan hukuman berdasarkan kebijaksanaan berasaskan hukum ta‘zîr, dan adalah hukum ta‘zîr ini tiada dipertikaikan lagi.

Mengikut konsep siyâsah syar‘iyyah dalam pemerintahan Islam, segala tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa mestilah berdasarkan maslahat, sebagaimana kaedah fiqh mengatakan:

Ertinya: “Tasharruf (tindakan) imam (kepala negara) terhadap rakyat mestilah berdasarkan maslahat.”

Di dalam kitab Al-Asybâh wa Al-Nazhâ’ir h. 84 disebutkan bahawa kaedah ini berasal daripada fatwa Imam Al-Syafi‘e yang berbunyi:

Ertinya: “Kedudukan imam terhadap rakyat samalah seperti kedudukan wali (penguasa) terhadap anak yatim.”

Kaedah ini memberi pengertian, bahawa setiap tindakan dan kebijaksanaan pihak penguasa berhubung dengan hak-hak rakyat mestilah dikaitkan dengan kemaslahatan rakyat terbanyak bagi tujuan kebaikan.

Antara contoh berhubung dengan kaedah ini ialah apa yang pernah disebutkan oleh Al- Mawardi, bahawa mana-mana penguasa itu tidak boleh melantik orang fâsiq sebagai imam sembahyang. Walaupun sembahyang makmum itu sah di belakang imam yang fâsiq ini, namun perbuatan itu hukumnya makruh. Pihak berkuasa diperintahkan supaya menjaga kemaslahatan dan bukanlah maslahat meminta orang ramai melakukan perbuatan makruh.” (Al-Asybâh wa Al-Nazhâ’ir h. 84)

Contoh yang lain: “Pihak berkuasa tidak boleh memberi peruntukan daripada Baitulmal kepada yang kurang memerlukannya sebelum memberikan kepada orang yang lebih memerlukan.

Ketika memperkatakan tugas dan kewajipan ketua negara (pemerintah) dalam mentadbir keperluan orang ramai, Imam Al-Mawardi dalam Al-Ahkâm Al-Sulthâniyyah menyebutkan sepuluh perkara, dua perkara ialah mengenai tugas:

i. Memungut harta rampasan serta cukai-cukai sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘ dan berdasarkan ijtihâd, tanpa merasa sebarang perasaan takut dan tanpa kekerasan.

ii. Menentukan peruntukan dan apa yang dimestikan daripada Baitulmal, tanpa sikap boros dan kikir, serta menunaikannya dalam waktunya tanpa lebih awal dan tanpa juga terlewat.

Menentukan peruntukan daripada Baitulmal ini adalah umum, dalam makna yang merangkumi: Harta perolehan daripada cukai, harta rampasan perang, zakat, hasil-hasil kutipan dan harta yang tidak lagi bertuan.

Merujuk semula kepada kaedah di atas, pengarang kitab Al-Qawâ‘id Al-Fiqhiyyah berkata: “Kaedah ini amat penting, ia mempunyai pertalian rapat dengan siyâsah syara‘ dan sistem perjalanan negara Islam. Ia meletakkan dasar dan asas bagi kesemua tindakan hakim dan setiap orang yang diberi mandat mengurus umat Islam.....” (Ali Ahmad Al-Nazwi h. 317).

Untuk mewujudkan kestabilan dan keadilan menurut yang semestinya, selain hukum hadd dan qishâsh, para fuqahâ’ juga menetapkan keharusan mewujudkan hukum ta‘zîr.

Hanya dalam menetapkan hukum ta‘zîr dengan wang atau harta, para ulama berbeza pendapat.

Sebenarnya, perkara ta‘zîr dengan denda berupa wang atau harta dalam kes-kes tertentu telahpun berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat.Oleh yang demikian, harus kerajaan menghukum dengan wang atau harta mengikut ulama yang berpendapat demikian.Inilah pendapat yang masyhur bagi Al-Imam Malik, Ahmad bin Hanbal dan salah satu daripada dua qaul Al-Imam Al- Syafi‘e. (Lihat Al-Thuruq Al-Hukmiyyah fi Al-Siyâsah Al-Syar‘iyyah h. 224).

Oleh itu, adanya undang-undang di negara ini (Negara Brunei Darussalam) yang membolehkan pihak berkuasa merampas barang-barang yang diseludup dengan melelong, mengguna atau memusnahkannya, adalah ia tidak bertentangan dengan syara‘.

Di antara hujah-hujah para ulama yang mengharuskan ta‘zîr dengan wang atau harta itu ialah hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Daripada Sulaiman bin Abu Abdillah, katanya: “Aku telah melihat Sa’ad bin Abu Waqqas menangkap seorang lelaki yang sedang berburu di tanah haram Madinah yang diharamkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka Sa’ad pun merampas baju lelaki itu. Kemudian datanglah tuan (kepada) lelaki itu dengan mengatakan sesuatu di tempat itu. Jawab Sa’ad: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengharamkan tanah haram ini.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa menangkap seorang yang sedang berburu (di tanah haram Madinah), maka rampaslah pakaiannya.” Maka kataku (Sa’ad). “Aku tidak akan mengembalikan/menyerahkan kepada kamu makanan yang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberikannya kepadaku, akan tetapi jika kamu mahu, aku serahkan harganya kepadamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Maksudnya: “Daripada Abdullah bin ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melihat cincin daripada emas dipakai di tangan seorang lelaki. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun melucutkan cincin itu dan mencampakannya, lalu Baginda bersabda: “Adakah salah seorang daripada kamu senghaja mengambil bara daripada api neraka, kemudian dipakainya di tangannya?” Lalu dikatakan kepada lelaki itu - selepas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berlalu pergi - “Ambillah cincinmu itu, manfaatkan ia.” Jawab lelaki itu: “Tidak! Demi Allah! Aku tidak akan mengambilnya (cincin itu) untuk selama-lamanya kerana cincin itu telahpun dilemparkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Hadis riwayat Muslim)

Maksudnya: “Daripada Abdullah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawasanya Baginda telah membakar kebun kurma Bani Nadhir dan memotongnya, iaitu pohon yang berada di tanah Buwairah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Daripada Salamah bin Al-Akwa‘ Radhiallahu ‘anhu sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada masa pertempuran Khaibar melihat api dinyalakan, Baginda bertanya: “Atas apa api itu dinyalakan?” Para sahabat menjawab: “Atas suatu bejana berisi minyak daripada keldai-keldai peliharaan.” Nabi bersabda: “Kamu pecahkanlah benda itu dan tuangkan isinya.” Para sahabat berkata: “Apa tidak boleh ksmi menuangkan dan kami menyucinya.” Baginda bersabda: “Cucilah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Inilah di antara hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh mereka yang mengharuskan merampas harta seseorang itu, selama mana ia bersesuaian dengan perintah syara‘.

Maka berdasarkan hadis di atas dan juga hadis-hadis lain seumpamanya, adalah harus bagi kerajaan merampas barang-barang yang ditegah masuk ke negara ini sama ada barang itu merbahaya atau najis atau seumpamanya seperti arak, rokok, racun yang terkawal atau barang-barang itu daripada yang harus, tetapi masuknya menyalahi undang-undang atau peraturan kerajaan, seperti ia dibawa masuk tanpa kebenaran atau diseludup untuk mengelak cukai dan lain-lain lagi.

Diriwayatkan daripada Abu Yusuf: “Sesungguhnya harus bagi Sultan menghukum ta‘zîr dengan mengambil wang/harta (sebagai denda). Makna ta‘zîr dengan mengambil wang/harta menurut pendapat yang mengharuskannya: Iaitu menahan sesuatu harta penjenayah di sisinya (sultan) dalam suatu tempoh tertentu, supaya menghalang penjenayah itu daripada mengulangi melakukan kesalahan, kemudian harta yang ditahan oleh hakim itu dikembalikan semula kepadanya (penjenayah), bukan harta itu diambil oleh hakim untuk dirinya atau harta itu diserahkan kepada Baitulmal (Perbendaharaan Negara) sebagaimana yang disangkakan oleh orang yang menyalahgunakan kuasa, padahal tidak boleh (haram) bagi seseorang muslim mengambil harta orang lain tanpa sebab-sebab syar‘i.

Berkata Ibnu Abidin: “Saya berpendapat adalah boleh (harus) bagi hakim mengambil harta penjenayah dan menahannya di sisinya. Jika hakim melihat tiada harapan bagi penjenayah itu untuk bertaubat, maka hakim boleh membelanjakan harta penjenayah yang ditahannya itu kepada apa yang dipandangnya membawa maslahat. (Al-Fiqh Al- Islâmi wa Adillatuh: Al-Doktor Wahbah Al-Zahaili 6/202).

Persoalan yang timbul dengan barang-barang selepas rampasan dibuat ialah apakah ia harus dimusnahkan atau diubah rupa bentuknya tetapi masih boleh digunakan, dijual oleh kerajaan atau lain-lain tujuan. Semua persoalan ini akan tertakluk kepada barang-barang yang dirampas itu.

Barang yang dirampas kadangkala terdiri daripada barang yang haram seperti arak, bekas (tempat menyimpan) arak, khinzîr, patung-patung yang disembah, alat-alat muzik dan lain-lain. Kadangkala pula ada yang terdiri daripada benda-benda yang tidak haram seperti susu yang bercampur air untuk dijual.

Adapun barang-barang yang haram tidaklah harus digunakan bahkan ianya dimusnahkan.Keharusan melakukan pemusnahan ini berdasarkan riwayat, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan supaya dipecahkan tempayan arak tempat menyimpan arak. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Daripada Thalhah, bahawasanya dia berkata: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya saya telah membeli khamr (arak) untuk anak-anak yatim yang ada di rumahku.” Nabi bersabda: “Tumpahkanlah khamr itu dan pecahkan bekasnya.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Perkara perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada lelaki yang memakai cincin emas supaya lelaki itu mencampakkan cincin tersebut, adalah juga menunjukkan hakim boleh menghukum dengan wang atau harta dan boleh memusnahkan barang yang menjadi kesalahan itu.

Dalam Al-Qur’an melalui lisan (percakapan) Nabi Musa ‘Alaihissalam, Allah berfirman:

Tafsirnya: “Nabi Musa berkata kepada Samiri: “Jika demikian, pergilah (engkau adalah diusir dan dipulaukan) kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: “Jangan sentuh aku”, dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya, kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.” (Surah Thâhâ: 97)

Contoh yang lain lagi ialah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memusnahkan masjid Dhirar yang masyhur dalam sejarah itu.

Sayyidina ‘Umar dan Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anhuma pernah membakar tempat yang digunakan menjual arak. Sayyidina ‘Umar pernah membakar istana Sa‘ad bin Abu Waqqash kerana istananya itu menghalangnya daripada rakyat sehingga keadaan rakyat di daerahnya sendiri tidak diketahuinya. (Sa‘ad bin Abu Waqqash adalah seorang gabenor). (Al-Thuruq Al-Hukmiyyah fi Al-Siyâsah Al-Syar‘iyyah Ibn Al-Qayyim h. 126).

Kadang-kadang barang-barang yang menjadi tajuk kesalahan walaupun boleh diubah rupa bentuknya tetapi masih boleh digunakan. Ini bersandarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Abu Hurairah memberitahu kepada kami, dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jibril datang kepadaku dan berkata: “Tadi malam saya datang kepada Tuan, tidak ada yang menghalangiku untuk aku masuk ke rumah yang engkau ada di dalamnya, kecuali pintu rumah ada patung-patung lelaki, di rumah ada kelambu yang ada gambar patung, dan di rumah juga ada anjing. Maka perintahkanlah supaya kepala patung yang ada di pintu itu dipotong dijadikan seperti bentuk pohon dan perintahkanlah supaya kelambu itu dipotong dan dijadikan daripadanya dua bantal buat sandaran dan diduduki, dan perintahlah dengan anjing itu supaya dikeluarkan, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan semua itu.” Adapun anjing itu adalah anak anjing kepunyaan Husain atau Hasan di bawah tempat tidurnya, maka Rasulullah memerintahkannya, maka dikeluarkannya (anjing itu).” (Hadis ini hasan shahîh) (Hadis riwayat Tirmidzi)

Barang-barang yang dirampas boleh juga dimiliki. Ibnu Taimiyyah dalam bukunya Al- Hisbah wa Mas’ûliyyah Al-Hukûmah Al-Islâmiyyah telah membawa contoh dalam perkara ini melalui perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Daripada ‘Amr ibnu Syu‘aib daripada ayahnya daripada datuknya (Abdullah ibnu ‘Amr) daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya mengenai buah yang dicuri ketika masih dipohon, Baginda bersabda: “Bila seseorang mencuri buah kerana terpaksa, maka dia tidak dikenakan hukuman apapun, selagi dia tidak membawanya pulang, tetapi barangsiapa yang membawanya pulang, maka dia dikenakan denda dua kali lipat harga buah yang dicurinya, dan diberi hukuman sebagai peringatan. Dan barangsiapa yang mencuri buah yang telah berada di tempat pengeringan, sedangkan buah yang dicuri itu harganya mencapai harga sebuah perisai, maka tangannya hendaklah dipotong, tetapi barangsiapa yang mencuri kurang daripada itu, maka dikenakan denda dua kali lipat dan hendaklah diberi hukuman sebagai peringatan.” (Hadis riwayat Nasa’i)

Demikian juga barang-barang yang dirampas yang dimusnahkan itu termasuklah seperti daging khinzîr, arak, patung-patung yang disembah atau barang-barang yang najis atau mudarat seperti sayur-sayuran yang mengandungi racun.

Dasar memusnahkan sayur-sayuran yang beracun dan setiap yang membahayakan itu adalah berasaskan perintah umum melalui firman Allah:

Tafsirnya: “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” (Surah Al-A‘râf: 157)

Firman Allah lagi:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu senghaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah: 195)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tidak mendatangkan mudarat dan tidak dimudaratkan.” (Hadis riwayat Baihaqi, Daruquthni dan Ibnu Majah)

Sementara kaedah fiqh pula menyatakan:

Ertinya: “Setiap sebab yang membawa kepada kebinasaan itu adalah dilarang, selama mana padanya tiada maslahat yang lebih kuat.”

Mengenai dengan barang-barang yang dirampas yang bukan haram atau bukan najis pula, adalah utama dan lebih baik ianya tidak dimusnahkan. Ia boleh digunakan kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah memerintahkan dalam peperangan Khaibar supaya dipecahkan periuk-periuk yang digunakan memasak daging keldai peliharaan, kemudian sahabat meminta izin daripada Baginda supaya membersihkan periuk-periuk itu dan Baginda mengizinkannya. Ini menunjukkan bahawa adalah harus sama ada dimusnahkan/dipecahkan barang-barang itu atau tidak.

Perkara memanfaatkan sesuatu itu, secara terperinci telah disebutkan oleh Ibnu Taimiyyah dalam bukunya Al-Hisbah wa Mas’ûliyyah Al-Hukûmah Al-Islâmiyyah beliau berkata: “Dan demikian juga halnya sesuatu yang dengan sebabnya terjadi kemungkaran, di mana dengan memusnahkannya merupakan satu pencegahan daripada berulangnya perbuatan mungkar itu.

Walau bagaimanapun, pemusnahan berkenaan bukanlah wajib secara mutlak, bahkan apabila sesuatu itu tidak menimbulkan kerosakan (bahaya), maka bolehlah ia dikekalkan, sama ada dijadikan wakaf atau disedekahkan sebagaimana yang difatwakan oleh segolongan ulama, di mana asas persoalan ini diqiyâskan kepada: “Bahawa makanan yang ada padanya penipuan seperti roti dan seumpamanya, yang bercampur dengan yang buruk, kemudian dipamerkan kepada si pembeli sebagai barangan yang baik, maka adalah ianya boleh disedekahkan kepada orang-orang fakir kerana tindakan menyedekahkannya itu sudah dikira sebagai pemusnahan juga.”

Katanya lagi: “Jikalau Sayyidina ‘Umar bin Al-Khaththab telah memusnahkan susu yang sudah dicampur (dengan air) untuk dijual, adalah kerana susu itu memang boleh disedekahkan dan inilah cara yang paling baik, di mana dengan menyedekahkan itu akan tercapai juga maksud menghukum orang yang melakukan penipuan dan menghalanginya daripada mengulangi perbuatannya itu. Dalam masa yang sama juga menyedekahkan itu lebih memberi manfaat kepada orang-orang fakir berbanding dengan memusnahkannya.

Adapun tindakan Sayyidina ‘Umar bin Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu memusnahkan susu yang dicampur dengan air bagi tujuan menipu, adalah mungkin kerana orang ramai pada masa itu tidak memerlukannya sekalipun diberikan kepada mereka kerana orang-orang fakir di Kota Madinah masa itu boleh jadi sedikit atau pun memang tidak ada.

Oleh sebab itu, segolongan ulama menghukumkan harus menyedekahkannya dan makruh memusnahkannya.

Dalam kitab Al-Mudauwanah ada diriwayatkan daripada Malik bin Anas, bahawa ‘Umar bin Al-Khaththab bertindak mencurahkan susu yang sudah bercampur (dengan air) ke tanah sebagai pengajaran kepada yang empunya susu itu, akan tetapi mengikut riwayat Ibnu Qasim: “Imam Malik sendiri menghukumkan bahawa membinasakan atau mencurahkan susu itu ke tanah sebagai makruh. Beliau berpendapat supaya ianya disedekahkan.”

Jelaslah bahawa jika barang-barang yang dirampas itu bukan daripada yang haram, bukan najis atau tidak memudaratkan, maka boleh dilelong atau dijual dan hasilnya dimasukkan ke dalam perbendaharaan negara, disedekahkan atau diberikan kepada badan-badan khairât atau kebajikan. Cara ini adalah lebih munasabah dan elok.

Abu Waqid pernah berkata:

Maksudnya: “Saya pernah memasuki bumi Rom bersama Maslamah, lalu didatangkan seorang lelaki yang telah khianat, kemudian Maslamah bertanya kepada Salim tentang lelaki berkenaan. Salim berkata: “Saya pernah mendengar hadis yang dibacakan bapa saya daripada ‘Umar bin Al-Khaththab daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila kamu mendapati seseorang itu khianat, maka bakarlah barang-barangnya dan sebatlah dia.” Waqid berkata: “Kemudian kami menemui mushhaf di dalam barang-barangnya dan dia bertanya kepada Salim, maka Salim berkata: “Jual dan sedekahkan hasil jualannya.” (Hadis riwayat Abu Daud, 1/627 hadis 2713)

Jika barang-barang rampasan itu memudaratkan, maka kemudaratan itu mestilah dihindarkan dengan apa juga cara yang difikirkan oleh hakim, seperti memusnahkannya bagi barang makanan yang rosak dan busuk umpamanya.

Jadi apabila memusnahkan sesuatu barang atau menyedekahkannya dihukumkan harus, maka demikian juga tiada halangan bagi sebuah negara menyimpan atau mengekalkan barang rampasan untuk dimiliki oleh negara.

Maka berdasarkan kepada keterangan-keterangan dan penjelasan-penjelasan di atas, adalah harus bagi kerajaan Islam mengenakan hukuman kepada pesalah-pesalah dalam bentuk denda dengan wang atau harta kerana perkara ini telah sabit dalam sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan siasah para sahabat Baginda.

Oleh yang demikian, tindakan kerajaan merampas barang-barang yang menyalahi peraturan atau undang-undang itu adalah tidak bertentangan dengan syara‘.

Kerajaan boleh mengenakan tindakan ke atas barang-barang yang menjadi kesalahan itu, sama ada ia dimusnahkan, diubah rupa bentuknya, disedekahkan atau dimiliki, tertakluk kepada jenis barang-barang itu sendiri, yakni sama ada ia jenis yang haram, najis, memudaratkan ataupun sebaliknya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8020