‘Iddah Perempuan Yang Masuk Islam
Soalan: Dengan hormat sukacita dipohonkan fatwa dan sandaran hukum bagi masalah di bawah ini: Sepasang suami isteri telah berkahwin menurut adat resam bukan Islam. Kemudian mereka telah bercerai dan si isteri telah memeluk agama Islam dan telah bernikah dengan seorang lelaki Islam hanya dalam masa sebulan selepas si isteri bercerai. (i) Adakah si isteri ini mempunyai ‘iddah daripada bekas suaminya yang kafir itu? Jika ada, apakah sandarannya? (ii) Apakah sah pernikahan yang dilakukan ke atas perempuan tersebut? Untuk itu kaola mengharapkan penjelasan dan memohonkan fatwa mengenainya daripada Yang Dimuliakan Pehin.
Jawapan: Berkata Imam Al-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala dalam Matn Minhâj Al-Thâlibîn di dalam bab Nikâh Al-Musyrik:
Ertinya: “Dan pernikahan orang-orang kafir itu (dihukumkan) shahîh menurut (pendapat) yang shahîh.” Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah Ta‘ala yang menggunakan perkataan isteri dan menghubungkannya kepada Fir‘aun dan Abu Lahab, sedangkan Fir‘aun, Abu Lahab dan isterinya itu tidak beragama Islam dan perkahwinan mereka tidak dilakukan mengikut tatacara Islam. Firman Allah Ta‘ala dalam surah Al-Qashash, ayat 9:
Tafsirnya: “Dan (tatkala melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir‘aun: “(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu” (Surah Al-Qashah: 9)
Di dalam surah Al-Masad, ayat 4 Allah berfirman:
Tafsirnya: “Dan juga isterinya (isteri Abu Lahab), seorang perempuan pemunggah kayu api.” (Surah Al-Lahab: 4)
Begitu juga ini dikuatkan lagi dengan hadis berhubung dengan seorang sahabat bernama Ghailan yang memeluk Islam, pada waktu itu dia mempunyai lebih daripada empat orang isteri, maka Nabi memerintahkan kepadanya supaya dia mengekalkan bersamanya empat orang sahaja. Jika pernikahannya yang dahulu itu tidak sah nescaya Nabi tidak memerintahkannya supaya dia kekal bersama dengan empat orang isterinya dan tidak pula Nabi bertanya kepadanya bagi tujuan menyelidiki nikahnya yang dahulu.
Maka dengan itu, tiadalah wajib bagi kita menyelidiki syarat-syarat pernikahan orang bukan Islam kerana mengikut hukum asal pernikahan mereka sesama mereka adalah sah sebagai rukhshah seperti pernikahan orang Islam. (Lihat Mughnî Al-Muhtâj 3/248, I‘ânah Al-Thâlibîn 3/341)
Sehubungan dengan itu, apabila sepasang suami isteri yang bukan Islam memeluk agama Islam bersama-sama, sama ada sebelum atau selepas persetubuhan, maka pernikahan mereka yang dahulu itu adalah halal diteruskan ketika Islam. Walaupun pernikahan mereka yang dahulu itu mengandungi syarat-syarat yang rosak dalam pandangan Islam tetapi mengikut i‘tiqâd mereka adalah sah seperti pernikahan tanpa wali, saksi atau tanpa meminta izin daripada pengantin anak dara atau janda. Oleh itu, pernikahan mereka itu adalah dikekalkan dengan ijmâ‘ sebagaimana dinukil oleh Ibnu Al-Mundzir dan Ibnu Abdul Barr (tidak perlu dijalankan pernikahan yang baru). Tetapi jika pernikahan mereka yang dahulu itu tidak halal sama sekali di sisi Islam, umpamanya isterinya itu mahramnya, saudara sesusuan atau sudah ditalak tiga, maka tidaklah dikekalkan pernikahan mereka, bahkan mesti difasakhkan pernikahan itu. (Lihat kitab Al- Majmû‘ Syarh Al-Muhadzdzab 17/409, Mughnî Al-Muhtâj 3/246)
Adapun jika salah seorang daripada sepasang suami isteri yang bukan Islam memeluk agama Islam, maka ini tertakluk kepada perkara-perkara yang berikut:
(i) Jika si suami yang memeluk Islam, sama ada sebelum atau selepas persetubuhan dan isterinya seorang ahli kitab, maka kekal pernikahan mereka dengan ijmâ‘ kerana harus lelaki muslim mengahwini perempuan ahli kitab.
(ii) Jika si suami yang memeluk Islam dan isterinya bukan seorang ahli kitab, maka terdapat dua keadaan:
(a) Jika pengislaman si suami berlaku sebelum persetubuhan, maka terfasakh pernikahan mereka dengan pengislamannya itu dan tiadalah sebarang ‘iddah bagi perempuan itu berdasarkan firman Allah Ta‘ala dalam surah Al-Ahzâb, ayat 49:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang ‘iddah yang kamu boleh hitungkan masanya”
(b) Jika pengislaman si suami selepas persetubuhan, maka terhenti (tergantung) pernikahan mereka, tertakluk kepada perkara berikut: Jika isterinya turut memeluk Islam ketika dalam waktu ‘iddah maka kekal pernikahan mereka, tetapi jika si isteri tidak juga memeluk Islam sehingga habis ‘iddah atau dia memeluk Islam setelah habis ‘iddahnya maka pernikahan mereka sudah dianggap terfasakh semenjak suami memeluk Islam.
(iii) Jika si isteri yang memeluk Islam dan suaminya sama ada seorang ahli kitab atau bukan, adalah seperti berikut:
(a) Jika si isteri memeluk Islam sebelum persetubuhan maka terfasakh pernikahan mereka dengan pengislamannya itu.
(b) Jika pengislaman si isteri selepas persetubuhan maka terhenti (tergantung) pernikahan mereka tertakluk kepada perkara berikut: Jika suaminya turut memeluk Islam ketika isteri masih dalam ‘iddah maka kekal pernikahan mereka, tetapi jika si suami tidak juga memeluk Islam semasa isterinya masih dalam ‘iddah atau dia memeluk Islam setelah habis ‘iddah isterinya maka pernikahan mereka sudah dianggap terfasakh daripada mula isterinya memeluk Islam. (Lihat kitab Al-Majmû‘ Syarh Al-Muhadzdzab 17/409-410, Mughnî Al-Muhtâj 3/245, Tuhfah Al-Muhtâj 7/328, I‘ânah Al-Thâlibîn 3/340)
Apabila pasangan suami isteri kafir yang sudah melakukan persetubuhan, memeluk Islam dalam jangkamasa yang berbeza, maka ‘iddah isteri menjadi panduan kepada putus atau masih kekalnya ikatan perkahwinan mereka berdasarkan riwayat Abdullah bin Syubrumah, iaitu:
Ertinya: “Sesungguhnya (keadaan) manusia pada masa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, (kadang-kadang) seorang lelaki memeluk Islam sebelum isteri dan (kadang-kadang) seorang perempuan memeluk Islam sebelum suami, maka mana-mana di antara keduanya yang memeluk Islam sebelum habis (waktu) ‘iddah isteri maka dia itu (masih) isterinya dan jika (mana-mana di antara keduanya) memeluk Islam setelah habis (waktu) ‘iddah maka tiada (kekal lagi) pernikahan di antara mereka berdua.” (Lihat kitab Al-Majmû‘ Syarh Al-Muhadzdzab 17/404)
Khabar Abdullah bin Syubrumah ini dikuatkan lagi dengan hadis riwayat Imam Bukhari daripada Ibnu ‘Abbas:
Maksudnya: “Adalah orang-orang musyrikin itu (terbahagi) dua taraf (golongan) di sisi Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang-orang beriman, (satu golongan ialah) mereka orang-orang musyrikin ahli harb (kafir harbi) yang Nabi memerangi mereka dan mereka (juga) memerangi Nabi (satu golongan lagi ialah) mereka orang-orang musyrikin ahli ‘ahd (yang membuat perjanjian dengan Nabi) yang Nabi tidak memerangi mereka dan mereka tidak memerangi Nabi, dan apabila seorang perempuan (seorang isteri) daripada ahli harb berhijrah (masuk Islam), tidak dia dipinang sehingga dia haidh dan suci (selesai menjalani ‘iddah), maka apabila dia telah suci (selesai menjalani ‘iddah), halal baginya untuk bernikah, maka jika suaminya berhijrah (masuk Islam) sebelum dia (isterinya itu boleh) bernikah (sebelum habis ‘iddahnya) dikembalikan dia kepada suaminya (kekal di dalam pernikahan mereka yang dahulu).” (Hadis riwayat Bukhari)
Berkata Ibnu Hajar Al-‘Asqalani dalam Fath Al-Bârî berkenaan dengan riwayat di atas ini:
Ertinya: “Dan jumhur ulama (termasuk ulama Al-Syafi‘e berpendapat) bahawa (perempuan musyrik yang memeluk Islam) ber‘iddah (seperti) ‘iddah perempuan merdeka, dan daripada Imam Abu Hanifah (berpendapat) memadai dia beristibrâ’ dengan satu haidh.”
Di dalam kitab Al-Asybâh wa Al-Nazhâ’ir karangan Imam Al-Suyuthi, ada satu kaedah fiqhiyyah yang berbunyi:
Ertinya: “Tiap-tiap perceraian (sama ada) daripada talak atau fasakh (yang berlaku) selepas persetubuhan walaupun (persetubuhan itu berlaku) di dubur atau memasukkan air mani suami (tanpa berlakunya memasukkan zakar) adalah mewajibkan ‘iddah.”
Adapun kedudukan perkahwinan si isteri dengan suaminya yang kedua itu sama ada sah atau batil adalah tertakluk kepada keadaan perempuan itu ketika akad nikah dilakukan, sama ada dia di dalam ‘iddah atau telah habis ‘iddah atau tidak ber‘iddah langsung.
Hukum perempuan yang melakukan akad nikah ketika dia sudah habis menjalani ‘iddahnya atau perempuan yang tidak perlu ber‘iddah seperti isteri yang dicerai sebelum disetubuhi adalah jelas bahawa pernikahan yang sedemikian itu sah di sisi syara‘.
Adapun pernikahan yang dilakukan ketika seorang perempuan masih di dalam waktu ‘iddah, maka pernikahannya itu adalah bâthil dan tidak sah.
Berkata Imam Ibnu Katsir, telah ijmâ‘ ulama bahawa tidak sah akad nikah yang dilakukan dalam waktu ‘iddah. Ini jelas daripada firman Allah Ta‘ala di dalam surah Al- Baqarah, ayat 235:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis ‘iddah yang ditetapkan itu.”
Maka dalam hubungan ini, jika seorang perempuan yang bernikah di dalam waktu ‘iddahnya dan dia belum disetubuhi oleh suaminya yang kedua itu, maka hendaklah dipisahkan keduanya dan berjalan terus ‘iddahnya bagi suami yang pertama.
Dalam perkara ini, berkata Syeikh Muhammad Najib Al-Muthi‘i dalam kitab Al-
Majmû‘ Syarh Al-Muhadzdzab li Al-Syirazi 20/46-47:
“Apabila seorang lelaki mentalak isterinya atau seorang isteri yang kematian suaminya bernikah dengan seorang lelaki yang lain di dalam masa ‘iddah, maka nikah itu adalah batal berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya: “Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis ‘iddah yang ditetapkan itu.” (Dalam ayat tersebut) Allah menegah daripada melakukan akad nikah sebelum selesai masa ber‘iddah dan tegahan itu memberi maksud rosak perkara yang ditegah (pernikahan itu).
(Jika pernikahan berlaku juga) maka jika lelaki yang kedua belum mensetubuhinya dan mereka berdua mengetahui hukum haram melakukan akad nikah, mereka berdua boleh dijatuhi hukuman ta‘dzîr kerana mereka berdua melakukan perkara yang haram. Jika mereka berdua jahil akan hukum haram tersebut tidaklah mereka dijatuhi hukuman ta‘dzîr. Jika salah seorang daripada mereka mengetahui hukum haram dan yang seorang lagi jahil, maka yang mengetahui dijatuhi hukuman ta‘dzîr dan yang jahil tidak. Dengan berlakunya akad nikah (yang diharamkan itu), gugurlah kewajipan tempat tinggal dan nafkah isteri jika dia berhak menerima nafkah daripada suami pertama kerana dia (isteri) telah berlaku nusyûdz. Isteri yang nusyûdz gugur nafkahnya dan kewajipan tempat tinggalnya dan tidak putus ‘iddah bagi suami yang pertama dengan berlakunya akad nikah kedua.
Berkata Al-Qaffal Al-Syasyi: Terputus ‘iddah suami pertama dengan berlakunya akad nikah yang kedua kerana akad kedua itu bertujuan untuk boleh bersekedudukan (bersetubuh). Akad yang fâsid sejalan dengan perjalanan akad yang shahîh, seumpama persetubuhan yang berlaku di dalam pernikahan yang fâsid sejalan dengan perjalanan (hukum) persetubuhan di dalam pernikahan yang shahîh.
Dan (pendapat Al-Qaffal) ini (kata Syeikh Muthi‘i) adalah salah kerana akad yang seumpama ini tidak ada hukum baginya. Oleh sebab itu tidak terputus ‘iddah yang pertama, berbeza dengan persetubuhan, sesungguhnya bagi persetubuhan itu ada hukum.
Jika lelaki yang kedua itu telah mensetubuhinya; jika mereka berdua mengetahui haram (melakukan akad nikah itu), maka mereka berdua adalah berzina dan wajib dijatuhi hukuman hadd ke atas mereka, tidak wajib bagi perempuan itu mahar, tidak wajib ke atasnya ber‘iddah bagi lelaki yang kedua dan tidak terputus ‘iddah bagi suami yang pertama. Jika suami kedua itu mengetahui haram (melakukan akad nikah itu) dan perempuan itu jahil, wajib ke atas lelaki itu membayar mahar, tidak dijatuhi hukuman hadd ke atas perempuan, wajib dijatuhi hukuman hadd ke atas lelaki itu, tiada ‘iddah ke atas perempuan itu bagi suami kedua dan tidak terputus ‘iddah perempuan itu bagi suami yang pertama. Jika mereka berdua jahil dengan hukum haram maka tidak dijatuhi hukuman hadd ke atas mereka dan bagi perempuan itu mahar dan ‘iddah bagi suami yang kedua. Jika suami yang kedua itu jahil dengan hukum haram dan perempuan itu mengetahui, maka dijatuhi hukuman hadd ke atas perempuan itu, tiada mahar baginya, dan tidak dijatuhi hukuman hadd ke atas lelaki itu dan dia (perempuan) ber‘iddah baginya (suami kedua).
Maka setiap keadaan di mana suami kedua jahil akan hukum haram persetubuhan (dan dia telah mensetubuhinya), maka perempuan itu menjadi firasy (isteri yang telah disetubuhi dengan hak syara‘) baginya dan persetubuhan itu memberhentikan ‘iddah suaminya yang pertama jika si isteri itu tidak hamil daripada suaminya yang pertama, kerana ‘iddah adalah bertujuan bagi memastikan kosongnya rahim, dan tidak mungkin dapat dipastikan kosong rahimnya daripada suaminya yang pertama dalam waktu yang sama dia menjadi firasy (isteri yang telah disetubuhi dengan hak syara‘) bagi suaminya yang kedua. (Maka dengan itu hendaklah) dipisahkan di antara perempuan itu dengan suaminya yang kedua dan wajib bagi perempuan itu menyempurnakan ‘iddahnya bagi suaminya yang pertama terlebih dahulu dan kemudian selepas itu dia ber‘iddah pula bagi suaminya yang kedua dan kedua-dua ‘iddah itu tidak boleh dicampurkan (dalam masalah ini).”
Jika perempuan itu hamil, maka hendaklah dipastikan kandungan itu, adakah daripada suami yang pertama atau suami yang kedua kerana perkara itu akan menentukan hukum-hukum yang berbeza dalam perkara ‘iddah, nasab dan lain-lain yang memerlukan huraian yang lebih lanjut lagi.
Maka kesimpulan jawapan bagi soalan yang diajukan ialah isteri kepada orang kafir yang sudah disetubuhi suaminya, apabila dia memeluk Islam, adalah dia ber‘iddah daripada suaminya yang masih kafir itu seperti ‘iddah perempuan merdeka dan apabila suaminya ini memeluk Islam dalam tempoh dia masih dalam ‘iddah, mereka boleh kembali semula tanpa pernikahan yang baru, kerana perkahwinan orang kafir sesama mereka adalah diakui Islam.
Isteri berkenaan tidak boleh berkahwin dengan lelaki Islam lain selama dia masih dalam ‘iddahnya dan jika dia berkahwin juga sedangkan ‘iddahnya belum habis maka perkahwinan itu tidak sah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8017
