Belian Berhadiah
Soalan: Sukacita dipohonkan pandangan Tuan mengenai Hukum Belian Berhadiah di mana suatu aktiviti yang menggunakan mekanisme berupa setiap belian akan diberikan kupon untuk dikumpulkan sehingga cukup bilangannya bagi membolehkan pelanggan berkenaan mendapatkan hadiah (imbalan) daripada belian sebelumnya. Ini bererti setiap orang ramai khususnya pelanggan itu pada akhirnya pasti akan mendapatkan hadiah yang disediakan melalui belian mereka dan di antara hadiah yang disediakan dan ditawarkan adalah merupakan hadiah istimewa untuk mana-mana pelanggan mendapatkannya. Pembahagian dan pengedaran kupon berkenaan adalah tanpa mengenakan syarat nilai belian tetapi lebih cenderung kepada jumlah bilangan barangan yang dibeli.
Pandangan dan jawapan daripada pihak Tuan itu nanti iaitu sama ada aktiviti demikian mendekati ‘judi’, atau ‘mengadu nasib’ sebaliknya, dapatlah nanti membantu Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Kementerian Kewangan ini memberikan jawapan kepada pihak berkenaan.
Jawapan: Hadiah-hadiah yang diberikan sama ada dalam bentuk barangan atau lainnya oleh sesebuah syarikat kepada pelanggan-pelanggannya yang dapat memenuhi syarat-syarat yang disebutkan dalam aktiviti jualan itu, tidaklah termasuk dalam bidang perjudian yang ditegah oleh syara‘ kerana di antara unsur-unsur suatu perjudian itu salah satu pihak akan beroleh keuntungan atau menanggung kerugian. Semua ini nampaknya tidak berlaku dalam aktiviti yang dicadangkan oleh syarikat penganjurnya.
Apa yang jelas hadiah-hadiah yang diberikan oleh syarikat penganjur itu adalah dengan kesukaannya sendiri untuk memberikan hadiah itu. Sementara di pihak pembeli atau pelanggan apabila membeli akan menerima barang belian tanpa sedikitpun teraniaya seperti dinaikkan harga barang yang dibelinya kerana hadiah itu. Inilah jaminan pihak jabatan kerajaan yang mengendalikan urusan kebenaran bagi aktiviti jualan yang dimaksudkan.
Jika demikian, haruslah penganjur berkenaan menjalankan aktiviti jualannya dan memberikan hadiah atas dasar kesukaannya sendiri tanpa merugikan pembeli atau pelanggannya itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8028
