Cara Membayar Hutang Berbentuk Riba
Soalan: Si A meminjamkan wang $1,000.00 (satu ribu ringgit) kepada si B dan si B diminta membayar secara ansuran sebanyak $100.00 (satu ratus ringgit) sebulan untuk selama tiga belas bulan. Ini bererti si B akan membayar kesemuanya sebanyak $1,300.00. Apakah wang sebanyak $300.00 yang diterima oleh si A hasil pembayaran si B itu dikira riba?
Jawapan: Seseorang yang meminjamkan wang $1,000.00, kemudian orang yang berhutang akan dikenakan membayar balik sebanyak $1,300.00, maka wang yang lebih sebanyak $300.00 itu adalah riba atau bunga. Hukumnya adalah haram dan dosa besar. Riba jenis ini dinamakan dengan riba al-fadhl atau riba al-qardh menurut kitab-kitab fiqh yang mu‘tabar. Hukum riba itu disebut dalam Al-Qur’an:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki-baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Baqarah: 278)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat ganda dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.” (Surah Ali-‘Imran: 130)
Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa riba itu tetap haram sama ada sedikit ataupun banyak.
Sementara sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melaknat orang yang makan riba dan orang yang memberi wakil pada riba, dan penulisnya, dan dua saksinya, sabda Baginda: “Mereka itu semuanya sama.” (Hadis riwayat Muslim)
Sabdanya lagi:
Maksudnya: “Riba itu mempunyai 73 pintu, pintu yang paling kecil ialah seperti seorang lelaki berkahwin dengan ibunya.” (Hadis riwayat Al-Hakim dan katanya: “ Hadis shahîh berdasarkan syarat Bukhari dan Muslim”).
Sabdanya lagi:
Maksudnya: “Satu dirham (wang perak) daripada riba yang dimakan oleh seseorang itu, padahal dia mengetahui wang dirham itu riba, adalah dia lebih dahsyat daripada 36 kali berzina.” (Hadis riwayat Ahmad)
Bagi mereka yang mengamalkan riba ini, maka dia tidak akan terlepas daripada azab Allah, sepertimana yang dijanjikan Allah di dalam Al-Qur’an:
Tafsirnya: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba.” Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah: 275)
Oleh yang demikian, jelas daripada nash-nash di atas, maka wajib ke atas setiap orang Islam itu menjauhkan diri daripada muamalah yang membawa riba. Riba adalah termasuk salah satu dosa yang paling besar. Jika perbuatan riba itu telah tersebar luas dalam masyarakat, ia akan menjadi sebab turunnya azab Allah sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Jikalau nyata perbuatan zina dan riba dalam sebuah kampung, maka sesungguhnya mereka sendiri telah menghalalkan turunnya azab Allah.” (Hadis riwayat Al-Hakim dan katanya: Shahih Al-Isnâd)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8032
