Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Keuzuran Yang Mengharuskan Tidak Bermalam (Mabît) Di Mina Tanpa Dam

Soalan: Dengan hormatnya sukacita Jabatan Urusan Haji menghadapkan kemusykilan haji seperti berikut:

Dalam satu kebakaran besar yang berlaku di Mina pada musim haji tahun 1417 hijriah/1997 masehi, sebilangan besar jemaah dari negara lain yang terlibat terutama jemaah dari Pakistan, India dan Bangladesh tidak diwajibkan bermalam di Mina dengan alasan darurat dan menghindari sebarang musibah, tambahan pula tidak ada tempat lagi. Cuma mereka melontar di hari-hari Tasyriq. Jika timbul perkara ini ke atas jemaah haji dari negara-negara Asean yang rata-rata bermazhab Syafi‘e, adakah diharuskan tidak bermalam di Mina (al-mabît) tanpa membayar dam?

Jawapan: Mengikut pendapat al-ashah dalam mazhab Al-Syafi‘e, bahawa bermalam di Mina pada hari-hari Tasyriq adalah salah satu daripada wajib-wajib haji yang jika ditinggalkan oleh orang yang mengerjakan ibadat haji, wajib ke atasnya membayar dam.

Walau bagaimanapun ada beberapa golongan yang diharuskan tidak bermalam di Mina tanpa membayar dam yang disebabkan oleh keuzuran yang mereka hadapi.

Berkata Imam Nawawi dalam Kitab Al-خdhâh fi Manâsik Al-Hajj wa Al-‘Umrah bahawa orang-orang yang diharuskan meninggalkan bermalam di Muzdalifah atau di Mina tanpa dikenakan dam yang disebabkan oleh keuzuran di antaranya ialah:

Ertinya: “Yang ketiga (mereka yang dibolehkan meninggalkan bermalam di Mina tanpa membayar dam): Orang yang ada baginya keuzuran dengan sebab yang lain, seperti orang yang takut kehilangan hartanya kalau dia bermalam atau dia takut ke atas dirinya atau harta yang bersamanya atau baginya orang sakit yang memerlukan kepada penjagaannya atau dia mencari hamba yang lari atau keadaan dirinya yang sakit yang menyusahkan untuknya bermalam atau yang seumpama demikian, maka (mengikut pendapat yang shahîh) bahawa harus bagi mereka ini meninggalkan bermalam dan bagi mereka meninggalkan (Mina) selepas terbenam matahari dan tidak dikenakan sesuatu (dam) ke atas mereka”

Manakala tersebut pula di dalam kitab I‘ânah Al-Thâlibîn:

Ertinya: “Dan gugur (hukum wajib) bermalam secara mutlak juga, daripada orang yang takut (terjadi apa-apa) kepada diri atau anggota atau kemaluan atau harta walaupun sedikit.”

Melihat kepada keuzuran di dalam persoalan yang dikemukakan iaitu keadaan darurat dan bagi menghindari sebarang musibah, tambahan pula tidak ada tempat, maka keuzuran yang seumpama ini boleh dikategorikan termasuk di dalam keuzuran yang telah disebutkan oleh Imam Nawawi di atas dan jika perkara itu terjadi kepada jemaah kita, adalah harus juga bagi jemaah kita meninggalkan bermalam di Mina tanpa membayar dam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8064