Kemudahan Tapak Tanah Kepada Non-Muslim Untuk Menjual Daging Babi
Soalan: Adakah bertentangan dengan hukum Islam memberi kemudahan seperti tapak tanah khas untuk orang-orang yang bukan Islam menjual makanan yang tidak halal seperti dalam sebuah supermarket khas yang hanya menjual daging babi atau daging segar yang didatangkan dari luar dan demikian juga jenis-jenis makanan/minuman dalam tin yang tidak bercampur dengan makanan orang-orang Islam. Perkara ini adalah semata-mata bertujuan untuk menjaga maslahat orang Islam di negara Islam sendiri.
Jawapan: Berdasarkan hukum syara‘ orang-orang yang bukan Islam tidak dibenarkan menampakkan arak, khinzîr (babi), nâqûs (lambang), hari-hari perayaan mereka dan beberapa perkara tertentu kepada orang Islam. Perkara-perkara ini telah disebutkan oleh Al-Imam Al-Nawawi dalam kitabnya Minhâj Al-Thâlibîn dan kitab ini telah disyarahkan oleh Al-Khathib Al-Syarbini:
Ertinya: “Ditegah orang kafir mendengarkan perkara-perkara syirik kepada orang-orang Islam, kata-kata mereka mengenai nabi ‘Uzair dan Al-Masîh (Nabi Isa) menampakkan arak, khinzîr (babi), lonceng sembahyang dan hari perayaan mereka.” (Mughnî Al-Muhtâj 4/322)
Pengarang Al-Anwâr li A‘mâl Al-Abrâr pula ketika membicarakan persyaratan kafir dzimmi di negeri Islam berkata:
Ertinya: “Mereka mesti menahan lidah mereka daripada memperdengarkan kepada orang-orang Islam tentang kemusyrikan mereka, aqidah tuhan tiga dalam satu, aqidah mereka terhadap Nabi Isa dan Nabi ‘Uzair ‘Alaihimassalam, menzahirkan arak, khinzîr, lonceng gereja, hari-hari raya mereka, bacaan Taurat dan Injil secara nyaring dan membangun gereja dalam negeri kita.......” (Al-Anwâr 2/366)
Berdasarkan nash ini, orang-orang bukan Islam ketika menjual khinzîr hendaklah dijual secara terasing dan tidak dilihat oleh orang-orang Islam. Penjualan khinzîr di sesetengah pasar raya sekarang di negara ini, sungguhpun telah ditempatkan di bilik yang khas yang terasing dan tidak bercampur dengan daging-daging yang bukan khinzîr dan tidak dapat dilihat oleh orang-orang Islam, namun pasar raya itu juga masih turut menjual lain-lain barangan yang boleh dibeli oleh orang-orang Islam. Ini menjadikannya masih dalam satu bangunan juga dan bahkan satu pengurusan. Perkara dan keadaan begini adalah tidak menjamin bahawa khinzîr dan lain-lain barang itu tidak akan bercampur-aduk kerana sebelum ia (daging khinzîr) dimasukkan ke tempatnya yang khas itu, tentulah terlebih dahulu ia dibawa melalui tempat yang sama dengan tempat membawa dan melalukan lain-lain barang bukan khinzîr, iaitu mungkin dengan menggunakan bekas dan alat-alat yang sama pula, seperti bakul, troli, pisau, mesin pemotong daging dan lain-lain sebagainya.
Dalam erti kata lain, adalah belum tentu selamat jika penempatan penjualan daging khinzîr dalam satu bangunan, apalagi jika pekerjanya memang terdiri daripada orang-orang bukan Islam yang tidak kenal mana yang halal, mana yang haram dan mana yang suci dan mana yang najis.
Adapun mengenai dengan menjual daging yang tidak halal yang bukan khinzîr, makanan lain yang tidak halal atau barang-barang yang najis supaya tidak bercampur dengan makanan halal atau barang-barang yang tidak najis, adalah ia suatu keputusan yang bijaksana jika ada pihak-pihak yang mengambil langkah demikian, lebih-lebih lagi pihak kerajaan. Yang demikian itu sudah pasti akan menyelamatkan orang-orang Islam daripada terbeli bahan-bahan makanan atau barangan yang tidak halal itu.
Oleh itu, khusus bagi penjualan daging khinzîr secara terasing, tidak dilihat oleh orang-orang Islam dan tidak mengganggu mereka, maka adalah harus bagi kerajaan Islam memberi kemudahan tapak tanah khas untuk orang-orang bukan Islam menjual daging khinzîr itu. Ini supaya daging khinzîr itu tidaklah terdedah sehingga dapat dilihat oleh orang-orang Islam, di mana pada masa yang sama merupakan satu cara mengawal kesihatan dan juga mengelakkan fitnah (kekacauan) yang berpunca daripada kegelisahan orang ramai sekiranya daging-daging khinzîr itu mudah dilihat dan dijumpai di kalangan orang ramai itu.
Jikalau berbangkit perkara fitnah yang boleh menimbulkan dua mudarat di dalam sesuatu masalah, seperti masalah tiada kemudahan bagi orang-orang bukan Islam menjalankan urusan muamalahnya, maka kerajaan Islam bolehlah mengambil mudarat yang lebih ringan, tambahan lagi tindakan ketua negara Islam itu ialah berdasarkan maslahat, sebagaimana kaedah menyebutkan:
Ertinya: “Tindakan ketua negara ke atas rakyat terikat dengan maslahat.”
Dalam pada itu, mesti diingat bahawa apabila kerajaan memberi kemudahan yang dimaksudkan itu, hanyalah untuk memenuhi hajat atau keperluan semata-mata tanpa menjejaskan orang Islam sendiri, seperti terjejas aqidah atau lain-lain kepentingan mereka, hatta sekadar kepentingan duniawi sekalipun.
Maka kerana itulah pemilihan tapak tanah misalnya, bukanlah jenis yang bermutu (prime land) sehingga boleh merugikan umat Islam sama ada dalam jangka pendek mahupun jangka panjang. Kerajaan harus mengambil sewa yang munasabah sepertimana sewa kepada lain-lain kemudahan iaitu sekiranya ia disediakan oleh kerajaan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8060
