Membayar Hutang Yang Dilebihkan
Soalan: Oleh sebab si B tidak mempunyai wang yang mencukupi, si A membelikan sejenis barang terlebih dahulu dengan harga $2,000.00 (dua ribu ringgit). Setelah selesai pembayaran secara ansuran si A menerima pembayaran daripada si B sebanyak $2,500.00 (dua ribu lima ratus). Apakah wang sebanyak $500.00 (lima ratus ringgit) yang diterima oleh si A hasil pembayaran si B itu juga dikira riba?
Jawapan: Seorang yang berhutang, apabila dia hendak membayar balik hutangnya melebihi jumlah yang dihutangnya itu dengan kehendak dan kerelaan orang yang berhutang itu sendiri, maka bayaran yang lebih itu bukan dinamakan riba. Bahkan pembayaran yang sedemikian itulah yang lebih baik dan sangat dituntut oleh syara‘. Berlainan keadaannya apabila lebihan itu disebut dalam akad, maka itu dinamakan riba.
Adapun dasar supaya orang berhutang melebihkan bayaran sewaktu membayar balik hutangnya ialah firman Allah:
Tafsirnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu sekalian dikembalikan.” (Surah Al-Baqarah: 245)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Daripada Abu Rafi‘, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berhutang seekor unta muda kepada seorang lelaki, kemudian Baginda mendapat unta sedekah, lalu memerintahkan Abu Rafi‘ membayarkan hutang Baginda kepada lelaki tadi dengan seekor unta muda. Abu Rafi‘ kembali kepada Baginda dan berkata: “Saya tidak menemukan di dalam unta sedekah itu kecuali unta yang bagus.” Baginda bersabda: “Bayarkan kepadanya, kerana sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah yang paling baik dalam membayar hutangnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Tiada seorang muslim yang memberikan pinjaman kepada seorang muslim dua kali melainkan pinjamannya itu seperti sedekahnya sekali.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya sebaik-baik kamu ialah orang yang suka berbudi (melebihi) dalam membayar hutangnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksudnya: “Daripada Mujahid, sesungguhnya dia berkata: “Abdullah bin Umar pernah meminjam wang dirham daripada seseorang, kemudian dia membayar balik hutangnya itu dengan wang dirham melebihi daripada jumlah yang dipinjamnya dahulu. Berkata orang itu: “Wahai Abu Abdul Rahman, ini lebih baik (lebih banyak) daripada jumlah dirhamku yang pernah ku pinjamkan.” Jawab Abdullah bin Umar:
“Sesungguhnya aku tahu, tetapi aku sendiri suka dengan menambah yang sedemikian itu.” (Hadis riwayat Malik dalam Al-Muwaththa’)
Maksudnya: “Daripada Malik Radhiallahu ‘anhu dia berkata: “Pernah disampaikan orang kepadaku, bahawa ada seorang lelaki datang kepada Abdullah bin Umar, lalu dia berkata: “Wahai Abu Abdurrahman, sesungguhnya aku telah menghutangkan kepada seseorang dan aku mensyaratkan ke atasnya supaya melebihkan bayarannya daripada jumlah yang telah aku hutangkan kepadanya.” Maka Abdullah bin Umar berkata: “Yang demikian itu adalah riba.” (Hadis riwayat Malik dalam Al-Muwaththa’)
Maka berdasarkan keterangan-keterangan di atas, lebihan membayar sebanyak $500.00 itu bukanlah riba, kerana ia tidak disyaratkan dalam akad. Nampaknya si B senghaja membayar lebih dengan kemahuannya sendiri. Ini tidaklah mengapa bahkan sangat bagus menurut pandangan syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8081
