Membeli Barang Dengan Tawaran Hadiah Melalui Kuiz
Soalan: Sebuah syarikat makanan dari Malaysia memohon bagi mendapatkan kebenaran untuk mempromosikan barang keluarannya di negara ini secara pertandingan kuiz melalui iklan televisyen Brunei.
Untuk makluman Pehin bahawa borang atau soalan kuiz akan diperolehi di dalam setiap pembelian barang-barang keluaran syarikat ini. Pertandingan ini dibuka kepada semua orang yang tinggal di Negara ini sama ada penduduk tetap atau ‘expatriate’ dan projek ini akan bermula pada bulan Ogos 1998 hingga Januari 1999.
Jawapan: Hadiah-hadiah yang diberikan sama ada dalam bentuk barangan atau lainnya oleh sesebuah syarikat kepada pelanggan-pelanggannya dalam aktiviti jualan sebagaimana disebutkan itu, tidaklah termasuk perjudian yang ditegah oleh syara‘, kerana di antara unsur-unsur suatu perjudian itu, salah satu pihak akan beroleh keuntungan ataupun menanggung kerugian. Semua ini nampaknya tidak akan berlaku dalam aktiviti yang dicadangkan oleh syarikat berkenaan.
Apa yang dapat dikesan hadiah daripada barang-barang keluaran yang diberikan oleh syarikat penganjur itu adalah berlaku atas kesukaannya sendiri untuk memberikan hadiah itu. Sementara di pihak pembeli atau pelanggan pula akan tetap menerima barang beliannya tanpa sedikitpun teraniaya, seperti dilebihkan harga barang yang dibeli itu kerana hadiah. Kiranya barang-barang itu dinaikkan harganya atau lebih mahal daripada sebelum promosi ini diadakan bererti hadiah-hadiah yang dijanjikan itu sebenarnya adalah ditanggung oleh pembeli atau pengguna sendiri. Jika inilah yang berlaku, maka suatu penganiyaan telah terjadi yang menjadikannya tiadalah harus.
Bagi maksud terlepas daripada menolong perkara yang ditegah oleh syara‘, maka produk itu hendaklah terdiri daripada barang-barang makanan yang halal.
Walaupun pada dasarnya aktiviti jualan berhadiah ini harus hukumnya tertakluk kepada syarat-syarat yang diterangkan di atas namun bagi pembeli yang membeli barang berhadiah itu hendaklah semata-mata bertujuan membeli, bukan membeli kerana hendak mendapatkan hadiah, supaya tidaklah berbangkit ada pihak yang merasa rugi sekiranya hadiah itu tidak diperolehinya.
Adapun jika seseorang itu membeli barang, dengan juga ada tujuan sampingan untuk mendapatkan hadiah, maka perbuatan pembeli yang sedemikian itu tidaklah digemari oleh ulama.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8085
