Mengambil Ikan Daripada Bubu Milik Orang
Soalan: Apakah hukum ‘membangkit’ bubu orang yang ditahan di sungai atau di laut, isinya
diambil lalu dijual di pasar dan duitnya diambil oleh keluarga orang itu atau isinya dimakan sendiri oleh orang itu dan keluarganya?
Jawapan: Adapun sebab atau sumber-sumber milik sempurna mengikut syariat Islam ada empat iaitu; penguasaan ke atas sesuatu yang harus, melalui akad (kontrak), melalui penggantian dan (anak) yang lahir daripada sesuatu yang dimiliki.
Barang yang harus (mubâh) dimiliki ialah harta yang tidak masuk dalam milik seseorang yang tertentu dan tidak ada halangan syara‘ untuk memilikinya. Contohnya seperti air di tempat keluarnya, rumput dan kayu di hutan dan binatang buruan di darat atau di laut. Keistimewaan penguasaan harta jenis ini adalah seperti berikut:
i. Ia menjadi sebab pemilikan sesuatu yang tidak dimiliki oleh sesiapa. Adapun sebab pemilikan yang lain seperti akad (kontrak), pusaka dan lain-lain, maka pemilikan yang berlaku adalah didahului dengan pemilikan yang lain.
ii. Ia adalah sebab pemilikan yang berbentuk perbuatan bukan berbentuk perkataan. Pemilikan ini berlaku dengan perbuatan atau dengan pemilikan. Oleh sebab itu, siapa sahaja boleh melakukannya biarpun dia seorang yang kurang berkelayakan (nâqis ahliyyah) seperti kanak-kanak, orang gila dan orang yang ditahan daripada mentadbir hartanya (mahjûr ‘alaih). Sedangkan dalam kes akad (sebab pemilikan melalui perkataan) mereka tidak boleh (tidak sah) melakukannya ataupun jika mereka melakukannya akad itu tergantung dan terhenti ke atas kehendak orang lain.
Syarat pemilikan melalui penguasaan ke atas harta yang harus (mubâh) ini ada dua:
i. Janganlah ada orang lain yang telah mengambil (memilikinya) dahulu kerana terdapat hadis yang menyatakan:
Maksudnya: “Sesiapa yang terdahulu mengambil atau memperolehi sesuatu yang tidak didahului oleh seseorang Islam yang lain, maka barang itu adalah miliknya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Dhiya’ daripada Ummi Jundub)
ii. Niat memiliki: Jika sesuatu itu termasuk ke dalam milik seseorang tanpa niat (usaha) daripada orang itu, maka dia tidak boleh memilikinya. Contohnya, jika seekor burung jatuh ke dalam kawasan milik seseorang maka dia tidak boleh memiliki burung itu. Sesiapa yang membuka jaringnya, jika dia berniat atau bertujuan untuk memburu, maka dia akan memiliki binatang yang jatuh ke dalam jaringnya itu. Tetapi jika dia membuka jaringnya dengan tujuan untuk mengeringkannya sahaja, maka dia tidak memiliki binatang yang jatuh ke dalamnya. Ini kerana mengikut kaedah ُ ِبَِقَاصِدِهَا رحاَألُمُو (sesuatu itu adalah dikira menurut tujuannya).
Salah satu pemilikan itu ialah dengan cara perburuan (al-ishtiyâd).
Perburuan itu ialah menguasai sesuatu binatang yang harus, yang tidak dimiliki oleh sesiapa. Perburuan ini berlaku dengan menguasai secara perbuatan (menangkap) binatang yang diburu itu, ataupun dengan penguasaan secara hukum (hukmi) iaitu dengan menggunakan perbuatan yang melemahkan burung, binatang atau ikan daripada terlepas lari. Umpamanya membuat kolam, memasang jaring ataupun menggunakan binatang yang dilatih untuk perburuan seperti menggunakan anjing, harimau bintang ataupun burung-burung yang terlatih. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri daripada memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya.”
(Surah Al-Mâ’idah: 4)
Memburu adalah halal kecuali seseorang yang berada di dalam ihram haji atau umrah, ataupun binatang buruan itu berada di dalam tanah haram Makkah atau Madinah Al-Munawwarah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanan yang didapati daripada laut sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.” (Surah Al-Mâ’idah: 96)
Perburuan merupakan salah satu sebab pemilikan. Dalam penguasaan secara hakiki (menangkap secara perbuatan) tidak perlu ada “niat untuk memiliki.” Tetapi dalam penguasaan secara hukum (ishtilâh hukmi) mesti ada niat untuk memiliki, berdasarkan kaedah ُ ِبَِقَاصِدِهَا رحاَألُمُو (sesuatu itu dikira mengikut tujuannya). Oleh itu, dalam kes seseorang yang meletakkan pukat jika tujuan diletaknya adalah untuk mengeringkannya sahaja maka buruan yang terkena itu akan dimiliki oleh sesiapa yang terlebih dahulu mengambilnya. Ini kerana pemilik pukat itu tidakpun berniat untuk menangkap buruan itu. Tetapi sebaliknya, jika dia meletakkannya untuk tujuan memburu, maka binatang buruan yang terkena itu menjadi miliknya. Dalam kes ini, jika ia diambil oleh orang lain, maka itu dikira sebagai merampas. Jika seekor burung bersarang di dalam tanah seseorang, maka ia menjadi milik orang yang terlebih dahulu mengambilnya, kecualilah jika pemilik tanah itu membuat persediaan untuk burung bertelur.
Jika seekor burung memasuki rumah seseorang lalu pemilik rumah itu menutup pintu untuk tujuan menangkapnya, maka dia memiliki burung itu. Tetapi jika dia menutup pintu itu hanya sekadar kebetulan sahaja, maka dia tidak memiliki burung itu. Sama juga kesnya jika binatang buruan terjatuh atau terjerat di dalam lubang atau kolam yang dibuat untuk tujuan menangkap buruan, maka binatang itu adalah miliknya, tetapi jika tidak dengan tujuan demikian, maka binatang itu menjadi milik orang yang terlebih dahulu mengambilnya.
Dengan penjelasan mengenai perburuan itu, nyatalah haram hukum membangkit bubu orang yang ‘ditahannya’ di sungai atau di laut dengan tujuan sebenarnya memang untuk memerangkap ikan-ikan, lalu orang itu mengambil ikan yang ada di dalam bubu itu sama ada dijualnya dan wangnya diambilnya, atau ikan itu dimakannya.
Mengambil ikan atau apa jua milik seseorang adalah haram. Ini jelas dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Firman Allah:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.” (Surah Al-Nisâ’: 29)
Dalam Tafsir Al-Nasafi larangan memakan harta dengan jalan yang batil itu ialah:
“Apa jua yang tidak diharuskan oleh syara‘ di antaranya seperti harta curian, perolehan daripada pengkhianatan, harta rampasan, judi dan akad riba.”
Adapun pengkhususan sebutan َتَِارَةح (perniagaan) dalam ayat di atas, adalah kerana sebab-sebab punca rezeki itu kebanyakannya datang daripada jalan perniagaan (1/248).
Menurut Al-Imam Al-Razi dalam Al-Tafsîr Al-Kabîr bahawa bâthil itu ialah nama bagi setiap perkara yang tidak dihalalkan oleh syara‘ seperti riba, rampasan, curian, pengkhianatan, kesaksian palsu, mengambil harta dengan sumpah dan menentang kebenaran. Bahkan memakan harta-harta secara batil itu termasuk di bawahnya memakan harta orang lain secara batil dan memakan harta sendiri dengan batil. (Al-Majdu Al- Khâmis h. 57)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Setiap muslim ke atas muslim yang lain haram baginya menumpahkan darah (saudaranya) dan mengambil hartanya dan mencabul kehormatannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Baginda lagi dalam khutbahnya pada haji yang penghabisan:
Maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu dan harta benda kamu dan kehormatan kamu haram atas kamu seperti haramnya hari kamu ini, pada bulan kamu ini, pada negeri kamu ini.” (Hadis riwayat Muslim)
Oleh yang demikian, sesiapa yang mengambil harta orang lain, sama ada dalam bentuk curian, rampasan dan lain-lain, maka hendaklah dikembalikan harta itu.
Dalam kes mengambil ikan dalam bubu, maka yang dikembalikan ialah harga atau nilai harga ikan itu (sekiranya ikan-ikan itu sudah tiada atau rosak). Jika tuan punya bubu itu tidak dapat dikesan lagi, maka orang yang mengambil ikan itu hendaklah menyedekahkan harga ikan itu kepada sesisapa yang layak menerimanya seperti fakir, miskin, anak yatim dan badan khairat dengan niat pahalanya untuk tuan punya bubu itu. Mudah-mudahan dengan taubat dan dengan cara ini akan dapat melepaskannya daripada beban dosa yang ditanggungnya disebabkan perbuatannya mengambil hak seseorang tanpa izin.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8113
