Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Mengadakan Aktiviti Jualan Berhadiah

Soalan: Sukacita mendapat khidmat nasihat Yang Dimuliakan Pehin dari segi hukum Islam tentang aktiviti di atas sama ada ianya bertentangan atau sebaliknya.

i. Sebelum skim ini dijalankan, syarikat ini melalui dua orang pegawainya akan memilih salah satu daripada 630 kupon lebih awal sebagai pemenangnya.

ii. Sebelum skim ini dijalankan syarikat ini melalui dua orang pegawainya akan memilih salah satu daripada 630 kupon yang bersarung surat bertutup lebih awal sebagai pemenangnya.

iii. Pemilihan pemenang akan dijalankan dengan mencabut salah satu kupon-kupon pembeli di hadapan beberapa orang saksi. Cabutan kupon pemenang akan dilakukan oleh Pengarah/Pengurus Am Syarikat yang mana dijalankan sebaik-baik saja mencapai 630 buah jualan kereta baru jenis Toyota.

Jawapan: Hadiah-hadiah yang diberikan sama ada dalam bentuk barangan atau lainnya oleh sesebuah syarikat kepada pelanggan-pelanggannya dalam aktiviti jualan sebagaimana disebutkan itu, tidaklah termasuk perjudian yang ditegah oleh syara‘, kerana di antara unsur-unsur suatu perjudian itu, salah satu pihak akan beroleh keuntungan atau menanggung kerugian. Semua ini nampaknya tidak berlaku dalam aktiviti yang dicadangkan oleh syarikat berkenaan.

Apa yang dapat dikesan ialah hadiah kereta yang diberikan oleh syarikat penganjur itu berlaku atas kesukaannya sendiri untuk memberikan hadiah itu. Sementara di pihak pembeli atau pelanggan pula akan tetap menerima kereta beliannya tanpa sedikitpun teraniaya, seperti dilebihkan harga kereta yang dibeli itu kerana hadiah. Dalam perkara jualan kereta, apa yang kita ketahui, kerajaan telahpun menetapkan harga setiap sebuah kereta.

Sebagai irsyâd yakni panduan, penganjur dinasihatkan supaya memilih cara yang ketiga sebagaimana yang disebutkan dalam (iii) kerana cara-cara yang lain itu memerlukan amanah yang sempurna, umpamanya dalam (ii) itu tidak disebutkan tentang pemusnahan semua kupon setelah memilih satu kupon sebagai pemenang yang akan menerima hadiah itu, berbanding dengan cara dalam (iii) cabutan akan dilakukan oleh Pengarah/Pengurus Am Syarikat di hadapan beberapa orang saksi.

Namun bagi pembeli yang membeli barang berhadiah itu hendaklah semata-mata bertujuan membeli, bukan membeli kerana hendak mendapatkan hadiah, supaya tidaklah berbangkit dia akan merasa rugi sekiranya hadiah itu tidak diperolehinya.

Adapun jika seseorang membeli barang dan di samping itu ada pula tujuan lain untuk mendapatkan hadiah, maka perbuatan pembeli yang sedemikian ini tidak digemari oleh ulama.

Sementara jika seseorang yang tujuan asasinya bukan membeli barang, bahkan tujuannya yang sebenar semata-mata untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan, maka perbuatan seperti ini menuju kepada cara atau bentuk perjudian atau menghampiri perjudian.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8109