Menggunakan Pelalian Pada Ayam Selepas Disembelih
Soalan: Dengan penuh hormat sukacita kaola menghadapkan surat mengenai penggunaan pelalian (special tranquilizer system) terhadap ayam selepas disembelih.
Untuk makluman pihak Pehin, penggunaan sistem tersebut adalah bagi mengurangkan kerosakan pada sayap-sayap ayam yang baru saja disembelih. Ini adalah memandangkan ayam yang baru disembelih akan menggeleparkan sayapnya dan ini akan menyebabkan sayap-sayap ayam tersebut rosak dan tidak dapat dijual dengan harga biasa. Mutunya menurun dan akan dijual dengan harga yang rendah.
Dengan adanya sistem ini, ayam yang selepas disembelih akan menjadi ‘lali’ dan tidak membuat pergerakan yang kuat. Sistem ini menggunakan tenaga elektrik dan ia dipasang di sebelah penyembelih.
Kami harap Pehin dapat menjelaskan kedudukan sistem ini, adakah ianya boleh digunakan tanpa menjejaskan kehalalan penyembelihan tersebut.
Jawapan: Kehalalan binatang darat yang boleh dimakan ialah dengan menyembelihnya dan binatang seperti ini ada dua macam keadaannya iaitu:
i. Binatang yang mudah disembelih. ii. Binatang yang susah disembelih.
Sehubungan dengan binatang yang mudah disembelih ini, maka rukun-rukunnya ada empat perkara iaitu:
i. Berlakunya sembelihan. ii. Yang menyembelih. iii. Yang disembelih. iv. Alat penyembelih. (Fath Al-Wahhâb h. 226)
Yang dimaksudkan dengan rukun pertama, (iaitu berlakunya sembelihan), ialah dengan senghaja memutuskan halkum (saluran makanan di leher) dan mari’ (saluran pernafasan di leher). Adapun urat-urat wajdajain (dua urat yang terdapat di kiri dan kanan leher) binatang tidak semestinya putus, tetapi adalah sunat memutuskannya bersama.
Rukun kedua, ketiga dan keempat ialah supaya yang menyembelih itu orang Islam dan yang disembelih itu pula adalah binatang yang halal dengan alat yang dibenarkan oleh syara‘.
Dalam ertikata bahawa binatang halal yang mudah dan dapat disembelih, adalah halal jikalau halkum dan mari’nya sudah diputuskan (disembelih) oleh orang Islam.
Walaupun begitu, masih ada lagi persyaratan lain supaya ia halal, di antaranya ialah: Tidak berlaku sesuatu yang boleh membantu kematian binatang itu sebelum atau semasa berlaku penyembelihan atau sebelum halkum dan mari’nya putus, misalnya seorang menyembelih, sementara seorang lain pula menusuk perutnya serentak. Jika perkara seperti ini berlaku sebelum halkum dan mari’nya putus, maka binatang sembelihan seperti ini tidak halal.
Berkata Al-Khatib Al-Syarbini:
Ertinya: “Jika seorang menyembelih seekor binatang dan seorang lain pula mengeluarkan isi perut atau menusuk lambungnya secara serentak, maka binatang itu tidak halal.” (Mughnî A-Muhtâj 4/430)
Apabila penyembelihan sudah berlaku, halkum dan mari’ sudah putus, tetapi roh yang disembelih belum keluar, lalu bulunya dicabut, kakinya dipotong atau digerak-gerakkan dan sebagainya, maka perbuatan seperti ini dihukumkan makruh.
Berkata Al-Khatib:
Ertinya: “Dan makruh memutuskan kepala, mematahkan leher, memotong sebahagian anggota, menggerak-gerakkan dan memindahkan binatang yang sudah disembelih ke tempat lain sehinggalah keluar rohnya.” (Mughnî Al-Muhtâj 4/342)
Mengikut mafhûm keterangan Al-Khatib ini, bermakna binatang berkenaan adalah halal kerana sembelihan sudah berlaku dengan putusnya halkum dan mari’ dan apa-apa perlakuan kepada binatang berkenaan selepas sembelihan walaupun rohnya belum keluar tidak menjejaskan kehalalannya walaupun perlakuan itu dikira boleh membantu mempercepatkan kematiannya kerana jika sudah berlaku penyembelihan yang diperakui syara‘, bererti yang disembelih sudah dihukumkan mati walaupun rohnya belum keluar dan inilah pendapat jumhûr ulama fiqh.
Dalam kertas kerja yang dibentangkan dalam Persidangan Akademi Fiqh Islam oleh Dr. Muhammad Sulaiman Al-Asyqar, h. 38, antara lain disebutkan:
Ertinya: “Apabila dilakukan sesuatu perkara kepada binatang selepas menyembelihnya dan sebelum rohnya keluar, yang mana perkara itu boleh membantu kematiannya, seperti dilanggar kereta atau merendam dalam air panas atau air sejuk, maka jumhûr ulama fiqh berpendapat bahawa binatang berkenaan tidak haram dengan cara yang demikian kerana dengan sebab dia disembelih, maka dia dihukumkan sudah mati.”
Selain daripada sikap berhati-hati di antara tuntutan sunat atau perkara-perkara yang disunatkan selepas binatang disembelih ialah: “Tidak segera dilapah kulitnya, dipecahkan tulang punggungnya dan tidak segera dipotong-potong anggota badannya, jangan digerak-gerak binatang sembelihan itu, tidak (terus) dipindah dari tempat sembelihannya ke tempat yang lain, bahkan dibiarkan semuanya sehingga benar-benar mati. Jangan diikat binatang selepas disembelih (dengan) sesuatu yang menghalang daripada ianya bebas bergerak.” (Raudhah Al-Thâlibîn li Al-Imam Al-Nawawi 3/201)
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, maka adalah peralatan yang ditanyakan itu jika dipakai atau berfungsi selepas berlaku penyembelihan (selepas betul-betul putus halkum dan mari’ mengikut kehendak syara‘) adalah ia makruh jua.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8121
