Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Menguburkan Mayat Kanak-Kanak Damit Yang Dijumpai

Soalan: Sukacita dimaklumkan, pada 10 Disember, 1997 jam 7.30 pagi pihak polis telah menemui mayat anak damit perempuan terapung-apung di perairan Sungai Siamas, Kampong Ayer, tidak diketahui siapa ibu bapa atau keluarga anak damit itu.

Hasil pemeriksaan dan bedah siasat, anak damit ini berusia dalam lingkungan 3 hari dan kematiannya kerana lemas dan bukan semasa dilahirkan.

Buat masa ini anak damit tersebut berada di bilik mayat Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Sukacita dipohonkan fatwa daripada Jabatan Tuan, sama ada anak damit ini akan dikebumikan di perkuburan orang-orang Islam atau sebaliknya.

Jawapan: Pertama-tama sebelum saya menjawab pertanyaan di atas, saya merasa sangat berdukacita di atas kejadian yang berlaku ke atas kanak-kanak damit yang telah ditemui mati terapung-apung di Kampong Ayer. Kejadian ini suatu pertanda atau isyarat betapa tidak berperikemanusiaan dan rendahnya moral orang yang melakukan perbuatan ini.

Menurut pemeriksaan dan bedah siasat, kematian kanak-kanak damit itu kerana lemas bukan semasa dilahirkan. Jika ini sabit, ia adalah pembunuhan yang disenghajakan. Membunuh hukumnya qishâsh. Menumpahkan darah orang mukmin (membunuh) termasuk tujuh dosa yang paling besar. Hukumannya pula sangat berat dan keras sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan senghaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (Surah Al-Nisâ’: 93)

Ayat ini jelas bahawa ke atas pembunuh akan dikenakan empat macam hukuman:

(i) Berkekalan di dalam neraka Jahannam. (ii) Kemurkaan Allah. (iii) Dilaknat atau dikutuk hidupnya. (iv) Azab yang sangat pedih dan keras yang akan disediakan oleh Allah baginya di akhirat.

Di antara hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mengancam tentang dosa dan hukum pembunuh ialah:

Maksudnya: “Aku (Ubaidullah bin Abu Bakar) mendengar Anas bin Malik, dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyebut dosa-dosa besar (atau Baginda ditanya mengenai dosa-dosa besar), jawab Baginda: “Menyekutukan Allah, membunuh manusia dan derhaka kepada kedua ibu bapa.” (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi peringatan tentang tujuh perkara yang membinasakan yang perlu dijauhi di antaranya disebutkan:

Maksudnya: “Membunuh seorang manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak.” (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang membunuh seorang yang bukan Islam, yang telah mengikat persetujuan dengan pemerintah Islam, maka tidaklah si pembunuh itu akan mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu didapati sejauh perjalanan 40 tahun.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jika membunuh orang yang berlainan agama yang telah mendapat perlindungan daripada pemerintah Islam, tidak akan mencium bau syurga, yang baunya boleh dicium dari jarak 40 tahun perjalanan, maka betapa halnya membunuh seorang muslim.

Oleh sebab itu Ibnu ‘Abbas adalah di antara sahabat-sahabat Rasulullah yang berpendapat bahawasanya orang yang membunuh manusia dengan senghaja, bukan kerana menjalankan hukum dan bukan pula kerana keizinan membunuh di dalam peperangan, terutama membunuh seorang muslim, tidaklah akan diberi taubat oleh Allah. Tertutup pintu taubat baginya selama-lamanya. Pendapat Ibnu ‘Abbas ini sampai menjadi perbincangan panjang lebar dan secara mendalam di kalangan ulama-ulama tafsir, ahli-ahli hadis dan ahli fiqh, sama ada diterima taubatnya atau tidak.

Ibnu Qayyim berkata di dalam kitabnya Al-Jawâb Al-Kâfî: “Setelah nyata bahawa kezaliman dan sifat permusuhan sangat bertentangan dengan keadilan, yang dengan keadilan itulah semua langit dan bumi ini ditegakkan oleh Allah, dan kerana sudah terang pula bahawa Allah Ta‘ala mengutus rasul-rasulNya dengan diberi kitab-kitab suci untuk menegakkan keadilan di antara sesama manusia, maka kezaliman itu nyatalah termasuk yang sebesar-besar dosa besar dan tingkat besarnya dosa itu ialah menurut besar bahayanya pada dirinya. Lantaran itu manusia yang membunuh anak kecil yang tidak berdosa adalah termasuk yang sekeji-keji kezaliman.” (Al-Jawâb Al-Kâfî: m.s 150).

Sebab itulah maka tersebut dalam surah Al-Mâ’idah ayat 32:

Tafsirnya: “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu Kami tetapkan atas Bani Isra’el, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusiasemuanya.” (Surah Al-Mâ’idah: 32)

Tersebut pula dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas‘ud, bahawasanya kes pertama yang mula-mula akan dibicarakan di Hari Kiamat ialah perkara darah. Pendeknya banyak lagi hadis lain yang mengancam perbuatan membunuh. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Melenyapkan dunia ini lebih mudah bagi Allah daripada membunuh seorang mukmin.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Dalam riwayat yang dibawa oleh Tirmidzi dan Nasa’i disebut:

Maksudnya: “Lebih ringan daripada membunuh seorang Islam.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan Nasa’i)

Perbuatan membunuh tidak syak lagi adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak bermoral, dalam waktu yang sama, martabat kanak-kanak damit yang mati itu lebih hina daripada binatang kerana binatang yang mempunyai tuan, apabila ianya mati biasanya akan ditanam. Zaman jahiliah, sebelum kedatangan Islam, kanak-kanak damit yang dibunuh, dibunuh dalam keadaan ianya ditanam hidup-hidup ertinya dikubur, tidak dibiarkan, seperti terbiarnya kanak-kanak damit itu.

Sekarang zaman jahiliyah telah berlalu. Kita yang hidup bukan di zaman jahiliyah, namun hati perut, otak dan perangai lebih jahat dan kejam daripada kelakuan orang zaman jahiliyah. Yang lebih malang lagi, kejadian membuang kanak-kanak damit tadi berlaku di negara yang pengajian dan penerangan mengenai hukum-hakam Islam tersebar luas, ditambah lagi dengan suasana keislaman yang wujud, maka sepatutnya kejadian membuang kanak-kanak damit itu sukar dipercayai.

Inilah serba sedikit curahan perasaan kita mengenai kejadian yang sangat mendukacitakan itu. Mudah-mudahan ianya tidak berulang.

Adapun mengenai agama kanak-kanak damit itu dihukumkan Islam kerana ianya dijumpai di negara Islam. Kanak-kanak yang dijumpai, dinamakan dia laqîth atau manbûdz. Ertinya kanak-kanak kecil yang dipungut atau dibuang di jalan atau seumpamanya dengan tidak diketahui siapa ibu bapanya. Perbuatan membuang kanak-kanak itu biasanya bertujuan untuk mengelakkan ketakutan daripada tanggungjawab keluarga, lari daripada tohmah yang menyangsikan atau tohmah zina - sehingga tidak diketahui ibu bapanya atau ada sebab-sebab lain mengapa kanak-kanak itu dibuang.

Imam Nawawi telah menjelaskan kedudukan hal ehwal kanak-kanak yang dijumpai dalam kitabnya Minhâj Al-Thâlibîn dalam bahagian Al-Laqîth yang huraiannya dibuat oleh Al-Khatib Al-Syarbini:

Ertinya: “Apabila didapati seorang kanak-kanak yang dibuang dalam negara Islam, yang terdapat di dalamnya juga ahli dzimmi, atau didapati di negara yang dibuka oleh Islam, dan orang-orang Islam bersetuju negara itu dikuasai oleh orang kafir secara perdamaian, atau orang-orang Islam memiliki negara itu dengan orang-orang dzimmi membayar jizyah, di dalam negara itu ada orang Islam, maka kanak-kanak yang dijumpai itu dihukumkan sebagai kanak-kanak Islam. Adapun jikalau kanak-kanak yang didapati itu di negara kafir, maka dihukumkan kanak-kanak itu kafir, kiranya tidak didiami di negara itu orang Islam. Akan tetapi jika dalam negara itu ada orang Islam seperti orang tawanan dan peniaga, maka dihukumkan kanak-kanak yang dijumpai itu sebagai kanak-kanak Islam menurut qaul al-ashah.” (Lihat Mughnî Al-Muhtâj 2/572- 573).

Sebagai maklumat tambahan mengenai agama seorang kanak-kanak, selain kanak-kanak pungut, telah dijelaskan oleh Al-Khatib Al-Syarbini:

“Selain daripada Islam secara turun temurun, kanak-kanak dapat dihukumkan sebagai Islam melalui dua sebab dan kedua-dua sebab ini tidak dikenakan kepada kanak-kanak pungut:

i) Sebab kelahiran (wilâdah).

ii) Kanak-kanak yang ditawan oleh orang Islam jika tidak bersama ibu atau bapanya.

Sehubungan dengan perkara di atas, maka akan dihuraikan apa yang berhubung dengan kelahiran (wilâdah) sahaja:

(a) Apabila salah seorang daripada kedua ibu bapa kanak-kanak itu beragama Islam semasa dia masih dalam kandungan lagi, maka dia dihukumkan Islam dengan ijmâ‘ ulama dan kerana mengutamakan Islam. Kanak-kanak ini merangkumi kanak-kanak perempuan dan khuntsâ. Jika murtad ibu bapanya selepas berlaku persenyawaan benih mereka dalam kandungan, perkara ini tidak memberi apa-apa kesan terhadap keislaman janin itu.

(b) Kanak-kanak yang dihukumkan Islam dengan sebab mengikut keislaman salah seorang ibu bapanya, kemudian setelah baligh dia menunjukkan sifat-sifat kufur, maka dia dihukumkan murtad, kerana pada asalnya dia adalah Islam zahir dan batin.

(c) Jikalau telah berlaku persenyawaan benih ketika kedua ibu bapanya masih dalam keadaan kafir, kemudian salah seorang daripada keduanya masuk Islam sebelum baligh anak itu, maka kanak-kanak itu adalah dihukumkan terus sebagai Islam dengan sendirinya, sama ada salah seorang daripada kedua ibu bapanya itu masuk Islam sebelum atau selepas kelahirannya atau sebelum atau selepas mumayyiznya dan sebelum baligh anak tersebut.

Ini disebutkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan orang-orang yang beriman dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan. Kami akan hubungkan anak-cucu mereka itu dengan mereka.” (Surah Al-Thûr: 21)

Adapun jikalau salah seorang daripada kedua ibu bapanya itu masuk Islam selepas dia baligh, maka ia dihukumkan kufur.

Perkataan Imam Nawawi: “Kemudian salah seorang daripada kedua ibu bapanya masuk Islam,” (dalam perkara c) adalah membawa kewahaman bahawa ianya hanya terhad kepada kedua ibu bapanya saja, tetapi sebenarnya pengertian ibu bapanya di sini termasuklah juga nenek lelaki dan perempuan dan walaupun sekiranya mereka tidak saling mewarisi.” (Mughnî Al-Muhtâj 2/573-574)

Dengan keterangan di atas, jelaslah bahawa anak damit yang dijumpai terapung-apung di Kampong Ayer itu hendaklah dikuburkan di perkuburan Islam kerana kanak-kanak yang dijumpai atau dipungut di negara Islam dihukumkan dianya Islam.

Dan mengikut hukum, bahawa orang Islam haram dikuburkan di perkuburan orang yang bukan Islam dan orang kafir pula haram ditanam di tanah perkuburan orang Islam.

Berkata Al-Syarbini:

Ertinya: “Tidak harus menanam mayat orang Islam dalam perkuburan orang kafir dan sebaliknya.” (Mughnî Al-Muhtâj 1/491)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8125