Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Muamalah Bank Konvensional Dalam Projek Yang Halal

Soalan: Dengan segala hormatnya kaola merujuk perkataan “So long as the banks invest the money in halal fields, then the transaction is halal” dalam keratan sebuah akhbar.

Kaola mencadangkan kepada Jabatan Mufti untuk menyiasat dan mendapatkan salinan penuh fatwa mengenai muamalah bank konvensional dalam projek yang halal kerana tajuk artikel tersebut mengelirukan dan berkemungkinan pihak akhbar tersebut salah terjemah teks asalnya.

Perkataan “So long as the banks invest the money in halal fields, then the transaction is halal”, boleh membawa erti misalnya, IBB boleh memperkenalkan RIBA semula pada pelanggannya (boleh buang sistem Al-Bai’ bi Tsaman آjil atau lainnya) kerana IBB pada masa ini sudah melaburkan wang bank kepada pelaburan yang halal.

Kami memohon fatwa dan ulasan daripada Pehin tentang perkara yang berbangkit.

Jawapan: Mudah-mudahan Allah sentiasa menanamkan rasa takut kepada penanya terhadap akibat yang ditimbulkan oleh perkara-perkara haram.

Rasanya tidak perlu Jabatan Mufti Kerajaan untuk mendapatkan salinan penuh fatwa yang disiarkan oleh akhbar berkenaan, sama ada yang disiarkan oleh Borneo Bulletin atau akhbar di Dubai kerana ini jelas bahawa kenyataan yang dibuat oleh ulama berkenaan adalah sewaktu beliau itu diwawancara, maka sudah tentu tidak ada fatwa bertulis pada masa itu.

Secara umumnya apa-apa jua faedah atau interest yang didapati atau diperolehi oleh penyimpan di bank konvensional adalah riba yang diharamkan.

Adapun riba itu ialah setiap yang bertambah yang dipersyaratkan ke atas wang pokok. Pertambahan ke atas wang pokok itu adalah riba. Inilah firman Allah mengenai riba yang dimaksudkan:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah oleh kamu akan adanya peperangan daripada Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Surah Al-Baqarah: 278-279)

“Taubat” yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah seseorang itu mengekalkan wang pokoknya dan tidak menuntut lebih atau mengambil apa yang lebih ke atas wang pokok itu yang dinamakan riba, sebabnya ialah bahawa faedah atau interest yang bertambah ke atas wang pokok itu datang atau terjadi tanpa perkongsian, tidak juga secara mudhârabah atau tanpa sesuatu peranan pun daripada penyimpan.

Islam tidak membenarkan bagi seseorang meletakkan atau menaruh wang pokoknya dalam perkongsian kemudian mendapat untung yang telah ditentukan atau disyaratkan kerana perkongsian yang sebenar-benarnya ialah seseorang itu pasti akan memperolehi daripada wang taruhannya itu keuntungan atau kerugian bersama. Jika keuntungan sedikit, penyimpan akan memperolehi sedikit pula, jika keuntungan banyak, penyimpan akan memperolehi banyak pula keuntungannya. Jika bank rugi, penyimpan juga akan memikul tanggungjawab kerugian itu. Inilah maknanya perkongsian yang membawa tanggungjawab bersama.

Adapun perjanjian untuk memberikan untung yang tertentu, bermakna bahawa sama ada bank sebenarnya untung atau tidak ada untung, bahkan bank kadang-kadang memperolehi keuntungan besar, sedangkan penyimpan hanya memperolehi kadar peratus kecil yang terhad yang telah ditetapkan.

Mungkin juga bank mengalami kerugian namun penyimpan tidak berkongsi kerugian itu. Ini bukanlah cara yang sah menurut Islam.

Bank-bank konvensional yang melaburkan kewangannya dalam urusniaga yang halal atau projek yang halal adalah suatu langkah yang baik, sekurang-kurangnya mengurangkan kadar atau nisbah riba, namun dengan urusniaga atau projek yang halal itu sahaja tidaklah akan menghilangkan hakikat sebagai bank konvensional yang mengamalkan sistem riba.

Mengenai dengan kekhuatiran penanya bahawa IBB (Islamic Bank Of Brunei) akan memperkenalkan RIBA, ini tidak mungkin berlaku, kerana IBB dikawal oleh Badan Penasihat Syara’iahnya yang memandu bank itu melaksanakan muamalahnya berdasarkan syara‘, kecuali jika IBB melaksanakan sesuatu projek itu tidak menurut syara‘ yang di luar pengetahuan Badan Penasihat Syara‘iah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8133