Menulis Label: Pengangkutan Daging Babi
Soalan: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa Kementerian Hal ehwal Ugama telah menerima memo daripada Pengarah Pengangkutan Darat kerana memohon pandangan terhadap satu permohonan untuk mendapatkan permit “P” bagi kenderaan khas membawa babi. Pertanyaan Jabatan berkenaan ialah seperti berikut:
Sebelum permohonannya dipertimbangkan, dicadangkan supaya diberikan kebenaran dengan syarat kenderaan berkenaan hendaklah ditanda dengan jelas perkataan “Kenderaan Membawa Babi” di kiri dan kanan serta belakang supaya orang Islam tidak menghampiri kenderaan berkenaan.
Oleh itu dipohonkan apa jua pandangan/fatwa daripada pihak Tuan mengenai permohonan ini.
Jawapan: Pada dasarnya kerajaan Islam tidak melarang penjualan daging babi untuk menjadi makanan orang-orang bukan Islam, melainkan ada sebab yang ianya ditegah berbuat demikian seperti penjualan babi dilakukan secara terang-terangan atau terbuka di hadapan umum.
Tegahan orang-orang bukan Islam menampakkan babi itu disebut oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Minhâj:
Ertinya: “Ditegah orang kafir memperdengarkan perkara-perkara syirik kepada orang-orang Islam, kata-kata mereka mengenai Nabi ‘Uzair dan Al-Masîh (Nabi Isa) ‘Alaihimassalam, menampakkan arak, khinzîr (babi), loceng sembahyang dan hari perayaan mereka.” (Mughnî Al-Muhtâj 4/322)
Pengarang Al-Anwâr li A‘mâl Al-Abrâr pula ketika membicarakan persyaratan kafir dzimmi di negara Islam berkata:
Ertinya: “Mereka mesti menahan lidah mereka daripada memperdengarkan kepada orang-orang Islam tentang kemusyrikan mereka, aqidah tuhan tiga dalam satu, aqidah mereka terhadap Nabi Isa dan Nabi ‘Uzair ‘Alaihimassalam, menzahirkan arak, khinzîr, loceng gereja, hari-hari raya mereka, bacaan Taurat dan Injil secara nyaring dan membangun gereja dalam negeri kita.......” (Al-Anwâr 2/366)
Berdasarkan nash ini, orang-orang bukan Islam ketika menjual babi hendaklah secara terasing dan tidak dilihat oleh umum yang juga terdapat orang-orang Islam.
Apabila sebuah kenderaan ditulis “Pengangkutan Daging Babi” atau “Kenderaan Membawa Babi” dengan menyebutkan pemiliknya, maka adalah ia memberi erti suatu pemakluman atau pemberitahuan kepada orang ramai bahawa si Polan pemilik kenderaan berkenaan itu ada memberikan kemudahan atau perkhidmatan membawa dan menjual daging babi. Dalam kata lain, tulisan tersebut tidak syak lagi adalah suatu iklan.
Oleh kerana kenderaan itu akan bergerak ke mana-mana sahaja, maka perkataan babi yang tertulis di kenderaan itupun demikian juga akan menjadi lumrah, terang dan jelas, turut muncul dan terpapar di mana-mana sahaja kenderaan itu bergerak.
Perkara ini adalah tidak pernah wujud sebelum ini di negara Brunei Darussalam, lalu jika ia berlaku, maka tidak syak lagi akan mengubah wajah Brunei di mata umum, bukan sahaja di mata orang-orang Brunei sendiri malahan juga di mata pelancong-pelancong asing, khasnya yang beragama Islam. Mereka akan mengambil kesimpulan (sekurang-kurangnya) menganggap Brunei tidak sensitif dengan perkara-perkara yang menjadi jijik, kotor dan najis kepada orang-orang Islam sendiri, padahal negara ini amat terkenal dengan situasinya yang kuat beragama.
Walaupun daging-daging babi tidak dilarang bagi orang-orang bukan Islam, namun mengiklankannya dengan begitu rupa mungkin menimbulkan berbagai-bagai perkara buruk, di antaranya:
i. Kritikan daripada masyarakat Islam, berdasarkan psikologi mereka terhadap babi adalah sama-sama dimaklumi. Mereka cukup tidak mahu dengan babi, cukup loya dan jijik, sehingga bukan sahaja melihat rupa dan dagingnya, malahan sekadar menyebut namanya pun jadi berat kepada mereka. Betapa pula dengan nama itu jika ia tertonjol, terpapar, terpamer dan tertayang di kenderaan-kenderaan yang menjadikannya semacam satu promosi lengkap kepada babi itu.
ii. Akan menolong membentuk sikap baru orang ramai, khasnya belia-belia, kanak-kanak sekolah atau generasi muda, sehingga pada akhirnya nanti mereka itu akan jadi terbiasa dengan penayangan-penayangan begini (penayangan benda-benda yang dianggap jijik dan haram), seperti kita ada melihat di beberapa tempat lain, iklan-iklan seperti arak dan lain-lain.
iii. Memberi imej hitam kepada Brunei seolah-olah makanan daging babi itu menjadi makanan asas dan terpenting di negara ini.
Rumusan kita, terdapat buruk dan baik dalam perkara itu. Mengikut kaedah syara‘ jika bertembung di antara dua perkara, baik dan buruk, maka kaedah itu menyebut:
Ertinya: “Menolak keburukan dan kerosakan lebih utama daripada mendatangkan kebaikan.”
Satu kaedah lain lagi:
Ertinya: “Apabila bertembung atau bertentangan yang menegah dengan yang menghendaki, utamakanlah yang menegah.”
Daripada penerangan di atas, kenderaan yang menaruh tanda “Pengangkutan Daging Babi” atau “Kenderaan Membawa Babi” adalah nyata ianya (menaruh tanda itu) membawa dharar (mudarat) atau mungkin membawa dharar. Maka ini juga menguatkan lagi perkara itu tidak boleh dilakukan, berdasarkan kaedah:
Ertinya: “Kemudaratan itu dihilangkan atau dihindarkan.”
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8129
