Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Qunut Nâzilah Selepas Qunut Subuh

Soalan: Dengan hormat dan sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Masjid sedang merancang usaha-usaha yang akan diambil dalam usaha menangani fenomena La Nina yang dijangka akan melanda Asia Tenggara dalam bulan Oktober akan datang. Di antara usaha yang akan diambil ialah membaca qunut Nâzilah selepas doa qunut Subuh.

Sehubungan dengan itu, sebelum perkara tersebut dilaksanakan maka dengan sukacita dipohonkan fatwa Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Mufti Kerajaan mengenai perkara berikut: “Pembacaan Nâzilah disambung selepas qunut Subuh.”

Jawapan: Haruskah membaca qunut selain sembahyang fardhu Subuh? Dalam kata lain bolehkah qunut itu dibaca pada tiap-tiap kali sembahyang fardhu?

Ada tiga qaul ulama mengenai perkara ini sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Al- Haramain, Al-Ghazali dan banyak lagi ulama.

Berkata Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmû‘:

Qaul al-shahîh al-masyhûr yang telah ditetapkan oleh jumhûr ulama, jikalau berlaku bala dan bencana ke atas orang-orang Islam seperti ketakutan, kemarau, wabak (penyakit) atau serangan belalang atau seumpamanya, bolehlah dilakukan qunut Nâzilah pada setiap kali sembahyang fardhu. Jika tidak berlaku bala bencana maka tidaklah payah qunut Nâzilah itu.

Menurut yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca qunut Nâzilah selama sebulan terus-menerus pada tiap-tiap kali di belakang sembahyang Zuhur, Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh apabila Baginda membaca ملن محده pada rakaat akhir Baginda berdoa (supaya ditimpakan kecelakaan) ke atas suku/puak daripada bani Salim dan ke atas Ra‘al, Zakuan dan ‘Ashiyyah sementara makmum di belakang Baginda mengaminkannya.” (Hadis riwayat Abu Daud dengan isnâd hasan atau shahîh)

Mengenai dengan lafaz qunut itu adakah hanya terkhusus atau tertentu perkataan: ( اللهم اهد ِن فيمن هديت..... ) atau bolehkah juga membaca dengan lafaz yang lain. Pendapat ulama yang shahîh lagi masyhur yang telah ditetapkan oleh jumhûr ulama tidak semestinya begitu, bahkan boleh dengan apa jua doa.

Menurut qaul “al-mazhab” bahawasanya pendapat tidak terkhusus atau tertentu (ِن اللهم اهد فيمن هديت... ) itu disebut oleh Al-Mawardi, Al-Qhadhi Husain, Al-Baghawi, Al- Mutawalli dan ramai lagi kalangan ulama. Berkata Al-Sheikh Abu ‘Amru bin Al-Shalah: “Pendapat yang mengatakan qunut itu hanya terkhusus “اللهم اهد ِن فيمن هديت... ” adalah qaul shâdz (ganjil) ditolak dan berlawanan dengan qaul jumhûr ulama Al-Syafi‘e, bahkan berlawan dengan ulama yang lain, bahkan berlawanan juga dengan perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana Baginda pernah berdoa:

Imam Nawawi pula berpendapat: “Bahawa qunut itu tidak terkhusus atau tertentu kepada: اللهم اهد ِن فيمن هديت...”. Menurut pendapat Shâhib Al-Hawi: “Hasil berdoa qunut itu dengan yang al-ma’thûr (doa yang datangnya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) atau bukan doa al -ma’thûr”. Tambah Shâhib Al-Hawi lagi: “Adalah harus berdoa qunut dengan membaca ayat daripada Al-Qur’an iaitu ayat yang merupakan doa atau seumpama doa seperti di akhir surah Al-Baqarah.”

Kita bawa persoalan boleh atau tidak membaca doa selain qunut biasa yang termaklum di waktu sembahyang Subuh itu mempunyai kaitan dengan qunut Nâzilah. Dalam kata yang lain, bolehkah membaca dengan qunut Nâzilah (disambung) selepas qunut sembahyang Subuh?

Berkata sahabat-sahabat kami (ulama mazhab Al-Syafi‘e) andainya dibaca qunut yang dinukil atau yang diriwayatkan daripada ‘Umar bin Al-Khaththab Radiallahu ‘anhu, itulah yang sebaik-baiknya. Doanya ialah sebagaimana yang disebut oleh Al-Imam Al- Syirazi dalam Al-Muhadzdzab:

Doa qunut ini telah dibaca oleh Sayyidina ‘Umar pada waktu sembahyang fardhu Subuh. Demikian apa yang diriwayatkan oleh Abu Rafi‘ yang dia sendiri mendengar bacaan itu daripada Sayyidina ‘Umar.

Menurut Al-Baihaqi apa yang diriwayatkan oleh Al-Syirazi itu adalah shahîh daripada Sayyidina ‘Umar Al-Khaththab. Cuma para periwayat berbeza pendapat tentang mana yang dahulu dan terkemudian sebagaimana dapat diperhatikan doa berikut:

Adapun bacaan doa qunut: (اللهم عذب كفرة أهل الكتاب ) ditentukan kepada ahli kitab kerana mereka itulah yang membunuh orang-orang Islam pada waktu itu. Adapun sekarang (zaman Imam Nawawi), yang terpilih ialah membaca: (اللهم عذب الكفرة ) kerana dengan sendirinya termasuk ahli kitab dan selain mereka daripada orang-orang kafir.

Oleh yang demikian menurut ulama mazhab Al-Syafi‘e adalah sunat menghimpunkan atau menyatukan di antara qunut Nâzilah Sayyidina ‘Umar Radiallahu ‘anhu dan qunut biasa ( اللهم اهد ِن فيمن هديت... ). Andainya disatukan kedua-dua qunut tersebut, menurut qaul yang lebih kuat (al-ashah) ialah mengkemudiankan qunut Sayyidina ‘Umar. Sebenarnya sunat menghimpunkan kedua-dua qunut itu, kiranya seorang itu bersembahyang bersendirian atau imam di kelilingi oleh para jemaah yang suka dengan bacaan qunut yang panjang.

Begitu juga berkata setengah ulama bahawa sunat dibaca di dalam qunut Nâzilah itu doa yang bersesuaian dengan situasi kejadian yang berlaku sebagaimana doa qunut Nâzilah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis yang telah disebutkan terdahulu.

Dengan itu di dalam qunut sembahyang Subuh itu bolehlah dibaca qunut berikut:

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8163