Sembahyang Berpijak Di Lantai Yang Diragui Kebersihannya Dan Sembahyang Tanpa Kebersihan Zahir
Soalan: Bagaimana kedudukan sembahyang seseorang (selepas mengambil air sembahyang) beliau menuju ke tempat bilik sembahyang memijak lantai yang diragui kebersihannya? Ada pendapat mengatakan kita boleh kerjakan sembahyang tersebut tanpa mempedulikan tentang kebersihan zahir, asalkan kita tidak merasa was-was.
Jawapan: Perkara yang perlu dihuraikan terlebih dahulu ialah perkataan ‘bersih’ dan ‘najis’. Kedua-dua perkara adalah tidak sama maknanya. Dengan sendirinya akan mempengaruhi pemahaman tentang kesahihan sembahyang seseorang.
Walau bagaimanapun, sama ada seorang itu ragu tentang kebersihan lantai yang dipijaknya atau ragu tentang kenajisan lantai itu tidaklah menyebabkan tidak sah sembahyang seseorang itu, namun perkataan ‘najis’ dan ‘tidak bersih’ mempunyai makna yang tersendiri.
Najis ialah benda-benda yang dianggap kotor oleh syara‘, kotor yang boleh membatalkan sembahyang walaupun ianya dianggap bersih oleh manusia. Apabila tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang kena najis, wajib dibasuh kerana benda-benda itu menghalang sah sembahyang.
Mengenai ‘bersih’ atau kebersihan, walaupun maknanya ‘tidak kotor’ dan ‘suci’, namun dari segi pengaruh hukumnya adalah berbeza kerana tiap-tiap yang najis itu bererti tidak bersih, kotor atau tidak suci, seperti anjing dan babi, darah, bangkai atau benda-benda yang keluar dari dubur dan qubul. Memandangkan adanya perbezaan ini, maka perlulah seseorang itu mengenali apa dia benda-benda najis atau yang kotor dalam pandangan syara‘ kerana yang bernajis itulah yang dianggap tidak bersih oleh syara‘ dan inilah yang boleh menjejaskan kesahihan sembahyang.
Sedangkan ‘tidak bersih’ tidak semestinya najis, seperti baju atau pakaian yang kena lumpur tanah, terkena kuah lauk dan seumpamanya. Pakaian itu boleh dipakai dan dibawa sembahyang. Sembahyang dengan baju yang kena lumpur tanah adalah sah, berlainan apabila terkena najis. Benda-benda najis menghalang sah sembahyang, manakala benda-benda tidak bersih tetapi tidak najis, tidak menghalang sah sembahyang.
Penjelasan ini adalah dirasakan perlu kerana ia memberi kefahaman tentang hukum mengenai kebersihan dan hukum najis dan hubungannya dengan kesahihan sembahyang.
Adapun mengenai kedudukan sembahyang seseorang yang ragu atau syak tentang kebersihan, sekalipun ragu atau syak tentang najis, sebagaimana yang dipohonkan fatwa, maka keraguan atau syak itu tidak menjejaskan hukum yang boleh menyebabkan sembahyang tidak sah kerana berdasarkan kaedah fiqh bahawa:
Ertinya: “Sesuatu yang sudah diyakini tidak dihilangkan oleh sebab adanya keraguan.”
Dalil bagi kaedah ini sabda Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Apabila salah seorang di antara kamu merasakan sesuatu di dalam perutnya, kemudian dia merasa ragu, adakah telah keluar sesuatu dari perutnya itu atau tidak, maka janganlah dia keluar dari masjid sehingga dia mendengar bunyi atau mendapati sesuatu bau.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalil lain lagi bagi kaedah ini ialah daripada Abdullah bin Zaid, katanya: “Ada seorang lelaki mengadu kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dia berasa terkhayal adakah dia berhadas semasa menunaikan sembahyang.” Maka Sabda Baginda:
Maksudnya: “Janganlah dia meninggalkan sembahyangnya sehingga dia mendengar bunyi atau mencium bau.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Daripada Abu Said Al-Khudri berkata: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Jikalau syak salah seorang kamu dalam sembahyangnya dan dia tidak tahu berapa jumlah rakaat dia telah sembahyang, adakah tiga (rakaat) ataupun empat, maka buangkan yang syak dan hendaklah dibina atas apa yang dia yakini.” (Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan kaedah di atas termasuk beberapa kaedah lain sebagaimana yang disebut oleh Pengarang Al-Asybâh wa Al-Nazhâ’ir:
Ertinya: “Sesiapa yang yakin dia dalam keadaan bersih (suci) dan merasa syak berhadas, maka dia adalah suci atau dia yakin dalam keadaan berhadas dan syak dalam suci, maka dia adalah berhadas.”
Dalam Fath Al-Mu‘în (h. 14) oleh Al-‘Allâmah Al-Sheikh Zainuddin bin Abdul Aziz Al- Malibari anak murid kepada Ibnu Hajar Al-Haitamie, sewaktu membahaskan perkara-perkara najis yang dimaafkan (ma‘fuw) khasnya mengenai tempat laluan atau jalan yang bernajis, beliau berkata:
Ertinya: “Termasuk najis ma‘fuw (yang dimaafkan): Sedikit lumpur di tempat laluan berjalan yang telah diyakini najisnya, sekalipun najis mughallazhah, dengan alasan susah menghindarinya; selagi benda najisnya tidak nampak dengan jelas. Tentang kemaafan adanya najis ini, adalah berbeza sesuai dengan waktu dan tempatnya, mengenai pada pakaian dan badan. Jika zat najis itu jelas terang kelihatan di atas jalan laluan, walaupun tempat laluan anjing, maka ia tidak dimaafkan - walaupun ia merata di atas jalan - mengikut pendapat yang paling aujah. Guru kita mengeluarkan fatwa tentang jalan yang tidak berlumpur bahkan yang terdapat di sana kotoran manusia, kotoran anjing dan binatang-binatang lain, lalu terkena air hujan, sebagai najis yang dimaafkan ketika susah menghindarinya.
Kaedah penting iaitu: Sesuatu yang asalnya suci, lalu ada prasangka ia menjadi najis dengan alasan bahawa barang yang seperti itu pada umumnya najis, maka di sini ada dua pendapat yang terkenal dengan pendapat asal (ia suci) dan pendapat zahir atau ghâlib. Pendapat yang lebih kuat adalah pendapat bahawa barang tersebut suci, dengan alasan “asal keyakinan yang telah ada”, di mana hal ini lebih dipercayai daripada “kebiasaan kejadian” yang selalu berbeza sesuai dengan keadaan dan masa. Yang demikian itu seperti pakaian pembuat arak, pakaian orang haidh, pakaian kanak-kanak, bejana milik pemeluk-pemeluk agama yang menggunakan barang najis, daun yang umumnya berjatuhan di tempat najis, air liur kanak-kanak kecil, sutera jukh yang terkenal diperbuat daripada lemak babi, keju Syria yang terkenal diperbuat daripada perut besar babi.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah diberikan keju oleh penduduk Syria, lalu Baginda makan sebahagiannya, Baginda tidakpun bertanya daripada apa keju itu diperbuat. Demikianlah kaedah yang sebahagian besarnya telah dikemukakan oleh guru kita dalam syarh Minhâj.”
Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, maka kedudukan sembahyang sebagaimana yang diminta fatwa adalah sah.
Mengenai dengan perkara merasa was-was, ragu atau syak, maka penjelasannya sebagaimana yang telah diterangkan di atas.
Adapun mengenai kebersihan zahir, maka perkataan kebersihan telahpun dijelaskan, iaitu bukan maksudnya najis kerana, apabila terkena najis pada badan, pakaian atau tempat sembahyang, maka sembahyang tidak sah.
Islam menggalakkan supaya sembahyang didirikan dalam keadaan bersih (bukan lawan najis), bahkan berhias. Perkara ini telah disentuh oleh Al-Qur’an:
Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (seperti mengerjakan sembahyang).” (Surah Al-A‘râf: 31)
Dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam juga ada diterangkan supaya berhias dengan memakai pakaian yang indah ketika hendak ke masjid mengerjakan sembahyang, terutama pada hari Jumaat dan Hari Raya, bahkan juga memakai bau-bauan yang semerbak harum.
Bahkan sunat sesiapa yang hendak mendirikan sembahyang sama ada lelaki atau
perempuan (tanpa kehadiran lelaki asing atau ajnabiy), memakai seindah-indah pakaian
dan menjaga dengan apa yang boleh dibuat berhias, menurut kebiasaan, berdasarkan zahir ayat di atas.
Makruh seseorang itu dengan pakaian yang ada gambar atau ada ukiran kerana kemungkinan boleh mengganggu sembahyangnya. (Fath Al-‘Allâm bi Syarh Mursyid Al-Anâm fî Al-Fiqh ‘alâ Madzhab Al-Sâdah Al-Syafi‘iyyah, li Al-‘Allâmah Al-Sayyid Muhammad Abdullah Al-Jordani 2/172-173)
Di antara hadis-hadis yang menganjurkan berpakaian yang indah ketika hendak mendirikan sembahyang ialah:
Maksudnya: “Apabila sembahyang seseorang kamu (ertinya hendak sembahyang), pakailah dua kain, kerana Allah Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi lebih layak kita berhias di hadapanNya. Kalau tidak ada padanya dua helai kain, pakailah îzâr (bersarung) bila sembahyang. Dan jangan berkerudung sembahyang, sebagai sembahyang Yahudi. Dan jangan berselimut-selimut tidak berketentuan.” (Hadis riwayat Thabarani dan Baihaqi)
Dengan keterangan-keterangan di atas jelaslah bahawa adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa mendirikan sembahyang itu tidak perlu mempedulikan kebersihan zahir. Bahkan menghias diri sewaktu hendak mendirikan sembahyang adalah disunatkan, sebagaimana keterangan Al-Qur’an dan hadis mengenainya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8166
