Surat Wasiat Penjaga Makam Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
Soalan: Dikemukakan pertanyaan mengenai risalah Surat Wasiat Dari Penjaga Makam Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mempunyai pengertian yang tersendiri.
Sehubungan dengan ini, sukacita ingin mengetahui fatwa mengenainya dan dihadapkan perkara ini untuk tindakan Pehin selanjutnya.
Jawapan: Dalam mengamalkan mana-mana ajaran yang dihubungkaitkan dengan Islam, sama ada dalam bentuk aqidah, syariat atau akhlak, ia mestilah bersumber dan berdalilkan Al- Qur’an, sunnah Nabawi atau kedua-duanya atau sesuatu yang disepakati oleh ulama mu‘tabar.
Sekiranya ada sesuatu ibadah atau amalan yang dikatakan orang jika diamalkan akan membawa kesan memperolehi sesuatu yang baik atau menjauhkan sesuatu yang buruk, ia tidak boleh dipercayai melainkan jika ianya disokong atau berdalilkan Al-Qur’an atau sunnah atau kata-kata ulama mu‘tabar. Jika diamalkan juga dan dipercayai pula akan kebenaran dan kesan-kesan amalan itu, sedangkan ia tidak disokong atau berdalilkan Al- Qur’an, sunnah atau kata-kata ulama mu‘tabar, maka ianya dikira salah dan boleh membawa sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.
Orang-orang yang mengaku Islam akan tetap selamat di dunia dan di akhirat serta tidak akan sesat selama mereka beramal dan berpegang dengan Al-Qur’an dan sunnah Nabawi.
Sehubungan dengan ini, maka apa yang disebut sebagai wasiat Syeikh Ahmad itu, telahpun menjadi persoalan yang mengelirukan sebahagian orang Islam yang lemah pengetahuannya.
Sebenarnya perkara wasiat ini telah berlaku sejak berpuluh tahun yang lalu dan sudah ramai ulama besar dan mufti-mufti yang mengulas dan membantahnya. Mereka semua sepakat menolak kebenaran wasiat itu dari segi hukum dan ianya tidak boleh dijadikan suatu kepercayaan dalam agama, bahkan ianya boleh menyesatkan.
Di antara ulama dan mufti yang memberi keterangan mengenainya secara terperinci ialah Mufti Kerajaan Arab Saudi, Syeikh Abdullah bin Baz.
Berikut ini dicatatkan sebahagian besar daripada keterangan beliau itu yang dinukil daripada catatan kumpulan fatwa Jawatankuasa Fatwa Arab Saudi, jilid 3, bahagian ‘Aqidah, h. 79-82:
Di antara lain Abdullah bin Baz berkata:
“Saya telah menanya sebahagian keluarga Syeikh Ahmad tentang pembangsaan rekaan-rekaan wasiat ini kepadanya. Mereka memberi jawapan kepada saya bahawa ianya adalah suatu pembohongan ke atas Syeikh Ahmad kerana dia sekali-kali tidak pernah berkata seperti itu.
Syeikh Ahmad berkenaan telah lama meninggal. Jika sekiranya kita katakan juga bahawa Syeikh Ahmad ini atau orang yang lebih tua lagi daripadanya, telah mendakwa dia melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam tidur atau ketika jaga dan Baginda berwasiat pula dengan wasiat ini, nescaya kita dapat mengetahui dengan yakin bahawa dia adalah berbohong atau bahawa yang berkata itu kepadanya adalah syaitan, bukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan sebab-sebab berikut:
- Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah mengatakan sesuatu yang bertentangan dengan kebenaran, sama ada ketika hidup atau selepas wafat. Yang dikatakan wasiat ini adalah jelas bertentangan dengan syariat Baginda daripada berbagai sudut. Di antaranya:
- Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam terkadang boleh dilihat semasa tidur dan sesiapa yang melihat Baginda mengikut bentuk mulia Baginda, maka sesungguhnya dia telah melihatnya kerana syaitan tidak berupaya menggambarkan bentuk Baginda yang mulia sebagaimana yang diterangkan dalam hadis-hadis shahîh.
Walau bagaimanapun, orang yang mendakwa bermimpi melihat Baginda itu mestilah diperhatikan keimanan, kejujuran, keadilan, keadaannya, agama dan keamanahannya dan adakah benar dia melihat Baginda dalam bentuk Baginda atau bentuk yang lain.
Sekiranya ada hadis yang disabdakan oleh Baginda semasa Baginda masih hidup, yang diriwayatkan melalui riwayat perawi-perawi yang tidak tsiqât, tidak dipercayai, tidak ‘âdil dan tidak hati-hati, maka hadis berkenaan tidak diakui dan tidak dijadikan hujah. Jika hadis itu datang melalui perâwi-perâwi yang tsiqât, dipercayai lagi jelas terang, tetapi dia menyalahi riwayat perâwi yang lebih hafiz daripada mereka dan lebih dipercayai dan kedua-dua riwayat ini tidak dapat dikompromikan, maka salah satu daripada keduanya membatalkan yang lain. Hadis yang terbatal ini tidak boleh diamalkan tetapi yang membatalkan riwayat pertama boleh diamalkan jika didapati sesuai dengan syarat-syaratnya.
Apabila tidak memahami persyaratan yang sedemikian dan tidak pula dapat dikompromikan, maka riwayat yang lebih rendah dari segi hafalan dan ke‘âdilan, wajiblah dibuang dan ia dihukumkan syâdz, tidak dipakai. Ini dalam perkara riwayat hadis.
Maka apa halnya berhubung dengan wasiat yang tidak dikenali siapa sebenarnya periwayat yang mengambilnya daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, tambahan lagi tidak diketahui ke‘âdilan dan keamanahannya, tentulah ia mesti dibuang dan tidak boleh diperdulikan, walaupun sekiranya ia tidak mengandungi perkara-perkara yang bertentangan dengan syara‘.
Di samping itu bagaimana pula halnya apabila wasiat berkenaan memang mengandungi berbagai perkara yang menunjukkan kebatilan dan merupakan suatu pembohongan terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, serta penambahan hukum syara‘ baru yang tidak dibenarkan oleh Allah.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesiapa yang membangsakan perkataan kepadaku yang tidak pernah aku sabdakan, maka dia menyediakan tempatnya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Ahmad dan lain-lain)
Orang yang mereka-reka wasiat ini telah membangsakan (wasiat tersebut) kepada Nabi, sedangkan ia tidak pernah disabdakan oleh Nabi dan adalah orang berkenaan itu telah benar-benar membuat pembohongan ke atas Nabi lagi membahayakan.
Orang berkenaan ini hendaklah takut akan balasan buruk dan sepatutnya bersegera bertaubat serta mengisytiharkan kepada orang ramai bahawa dia telah membuat pembohongan ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sesiapa yang telah menyebarkan kebatilan kepada orang ramai dan membangsakannya kepada agama, maka taubatnya tidak sah melainkan memaklumkan dan menzahirkannya sehingga orang ramai mengetahui akan taubat dan rujuknya daripada pembohongan itu dan juga daripada pembohongan terhadap dirinya, berdasarkan firman Allah:
Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Baqarah: 159-160)
Allah Ta‘ala telah menyempurnakan agama kepada hamba-hambaNya dan juga menyempurnakan limpah kurniaNya dengan membangkitkan RasulNya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Allah Ta‘ala tidak akan menurunkan syariat yang sempurna kepada RasulNya dan tidak akan mewafatkannya melainkan selepas ianya cukup sempurna dan jelas. FirmanNya:
Tafsirnya: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan Aku redhai Islam itu agama bagimu.” (Surah Al-Mâ’idah: 3)
Reka-rekaan wasiat ini telah muncul dalam abad ke-14 dengan tujuan menyamar dan mengacau-bilaukan orang ramai terhadap ajaran agama mereka dan membawa syariat baru sebagai agama baru mereka. Kononnya sesiapa yang menerima syariat baru ini akan beruntung dan masuk syurga, dan sesiapa yang tidak menerimanya akan celaka dan masuk neraka serta diharamkan masuk syurga.
Pereka wasiat ini juga bertujuan menjadikan wasiat itu lebih agung dan utama daripada Al-Qur’an, di mana kononnya sesiapa yang menulis, kemudian mengirimkannya dari satu negeri ke negeri lain atau dari satu tempat ke tempat lain, akan dibangunkan baginya sebuah istana di syurga, dan kononnya sesiapa yang tidak mahu menulis dan mengirimkannya, dia akan ditegah daripada mendapat syafaat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Sedangkan bagi siapa yang menulis dan mengirimkan Al-Qu’ran dari satu negeri ke negeri lain atau dari satu tempat ke tempat lain, tidakpun dikatakan akan memperolehi balasan pahala yang sebegitu besar kiranya dia tidak beramal dengan ajaran Al-Qur’an itu sendiri.
Begitu juga macam mana orang yang tidak mahu menulis dan menyebarkannya akan mendapat bala bencana, sedangkan orang yang tidak menulis Al-Qur’an dan tidak mengirimkannya dari satu negeri ke negeri lain tidaklah diharamkan daripada mendapat syafaat Nabi.
Selain daripada itu, dalam wasiat ini juga masih banyak lagi tanda-tanda yang menunjukkan kebatilan dan kebohongannya, sekalipun orang yang mereka-reka wasiat itu bersumpah seribu kali atau lebih, bahawa wasiat itu benar dan walaupun dia berkata sanggup menerima sebesar-besar seksa sekiranya wasiat yang diterimanya itu tidak benar, namun wasiat itu tetap tidak benar, bahkan adalah sebesar-besar pembohongan dan sekeji-keji kebatilan.
Kami mempersaksikan kepada Allah dan kepada para malaikat dan kepada sesiapa yang membaca tulisan ini, bahawa wasiat ini bohong dan dusta, serta suatu rekaan ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Semoga Allah menghinakan orang yang melakukan pembohongan itu dan menghukumnya dengan selayaknya.
Selain daripada yang telah disebutkan, di antara bukti kebatilan dan kebohongannya adalah seperti berikut:
i. Dalam wasiat itu disebutkan: “Dari satu Jumaat ke Jumaat lain, seratus enam puluh ribu orang mati di luar agama Islam.”
Perkara ini adalah perkara ghaib. Wahyu telahpun putus selepas wafatnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Semasa Baginda masih hiduppun, Baginda sendiri tidak mengetahui yang ghaib, jadi bagaimana pula Baginda mengetahuinya selepas wafatnya?
Firman Allah:
Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib.”
(Surah Al-An‘âm: 50)
Tafsirnya: “Katakanlah lagi: “Tiada siapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” (Surah Al-Naml: 65)
ii. Di antara tanda-tanda menunjukkan kebatilan dan kebohongan wasiat itu lagi ialah kandungannya yang berbunyi:
“Sesiapa yang menulisnya sedangkan dia seorang miskin, maka Allah akan mengkayakannya, atau dia berhutang maka Allah akan membayar hutangnya, atau dia mempunyai dosa, maka Allah akan mengampunkan dosanya dengan berkat wasiat ini............”
Ini termasuk sebesar-besar pembohongan dan bukti yang paling jelas terhadap kebohongan pereka wasiat itu serta menandakan tiada maruah dan malunya dia kepada Allah dan manusia kerana sedangkan ketiga-tiga perkara ini tidak dapat dicapai dengan menulis Al-Qur’an Al-Karim, jadi, bagaimana ia dapat pula diperolehi dengan hanya menulis wasiat yang batil itu?
Pereka wasiat ini hanyalah bertujuan memberi kesamaran kepada orang ramai, supaya mereka bergantung kepada wasiat ini dan menulisnya bagi mendapatkan kelebihan-kelebihan seperti menjadi kaya, terbayar hutang dan memperolehi keampunan dosa.
Kita berlindung dengan Allah daripada melakukan sebab-sebab yang boleh membawa kehinaan dan daripada mengikuti hawa nafsu dan syaitan.
iii. Membuktikan kebatilan wasiat ini lagi ialah kandungannya yang berbunyi:
“Dan sesiapa yang tidak menuliskannya dari hamba-hamba Allah, hitamlah mukanya di dunia dan di akhirat.”
Dakwaan ini juga merupakan sekeji-keji pembohongan dan bukti yang paling jelas menunjukkan kebatilan wasiat ini dan kebohongan penciptanya. Bagaimanakah boleh jadi mengikut akal yang waras bahawa orang yang tidak menuliskan wasiat yang dibawa oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ini, mukanya akan hitam di dunia dan di akhirat? Dan sesiapa menuliskannya pula akan kaya setelah miskin, lepas daripada hutang dan terampun dosa-dosa yang pernah dilakukannya?
Maha Suci Engkau ya Allah, ini adalah satu pembohongan besar.
Kenyataan yang dapat disaksikan adalah menunjukkan pembohongan pencipta wasiat ini. Ramai orang yang tidak menulis wasiat ini, tetapi muka mereka masih tetap tidak hitam dan ramai pula yang sudah berkali-kali menulisnya, tetapi hutang mereka masih juga belum terlunas dan mereka masih miskin.
Sifat dan imbalan seperti ini tidak pernah disebutkan oleh syara‘, bahawa sesiapa yang menulis akan menjadi kaya dan terlunas segala hutang dan sebagainya, walaupun yang terlebih utama dan mulia daripada wasiat itu, iaitu Al-Qur’an Al- Karim. Jadi macam mana pula ianya akan dapat diperolehi oleh orang yang hanya sekadar menuliskan wasiat bohong yang penuh dengan kebatilan dan kekufuran itu? Maha Suci Allah. Alangkah beraninya orang itu melakukan pembohongan ini.
iv. Satu lagi bukti yang menunjukkan kebatilan wasiat ini dan kebohongannya, ialah kandungannya yang berbunyi:
“Sesiapa yang membenarkannya, dia akan selamat dari seksa neraka, dan sesiapa yang mendustakannya, dia menjadi kufur.”
Ini juga satu keberanian luar biasa yang didakwakan oleh si pembohong. Pereka wasiat ini menyeru semua orang supaya membenarkan rekaannya, dia menyangka mereka akan selamat daripada seksa neraka jika membenarkannya dan sesiapa yang mengingkarinya akan menjadi kufur.
Pembohong ini berani benar melakukan rekaan ke atas Allah. Demi Allah! Yang sebenar dan sepatutnya, orang yang membenarkannyalah yang layak menjadi kufur, bukan orang yang mendustakannya kerana wasiat ini adalah suatu rekaan batil dan bohong, tidak mempunyai dalil untuk mengesahkannya.
Kami bersaksi demi Allah, bahawa wasiat ini adalah bohong dan perekanya pula dusta bertujuan memberikan ajaran baru kepada manusia, sedangkan ajaran itu tidak dibenarkan oleh Allah. Dia bermaksud memasukkan ajaran baru ke dalam agama umat Islam, sedangkan ajaran itu bukan daripada agamanya sendiri.
Demi Allah! Agama Islam telahpun sempurna dan lengkap untuk umat Islam semenjak empat belas abad yang lalu.
Berhati-hatilah para pembaca dan saudara sekalian. Jangan sekali-kali membenarkan rekaan-rekaan seperti ini dan janganlah menjadikannya perbincangan serius di antara kamu kerana kebenaran itu mempunyai cahaya yang tidak samar kepada sesiapa yang mencarinya. Carilah kebenaran berdasarkan petunjuk Allah. Tanyalah ulama tentang perkara-perkara yang menjadi musykil kepada kamu dan jangan sekali-kali terpedaya dengan sumpah-sumpah para pendusta kerana sesungguhnya iblis yang tercela pernah bersumpah di hadapan Adam dan Hawa bahawa katanya dia memberi nasihat kepada keduanya. Iblis adalah pengkhianat paling besar dan pendusta yang paling dahsyat, sebagaimana yang diberitakan oleh Allah dalam surah Al-A‘râf, ayat 21:
Tafsirnya: “Dan ia (iblis) bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): “Sesungguhnya aku adalah daripada mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” (Surah Al-A‘raf: 21)
Berjaga-jagalah daripada iblis dan pengikut-pengikutnya yang terdiri daripada mereka yang suka mencipta dan mereka-reka perkara agama. Betapa banyaknya sumpah bohong dan janji palsu serta kata-kata manis yang menyesatkan yang telah mereka lakukan.
Adapun perkara yang disebutkan oleh pereka wasiat ini tentang munculnya berbagai kemungkaran, adalah perkara yang telah jelas terjadi. Al-Qur’an dan sunnah sendiri telah lebih awal lagi memberi peringatan mengenainya.
Mengenai alamat-alamat ketibaan Hari Kiamat juga telah disebutkan oleh hadis-hadis Nabawi dan oleh Al-Qur’an sendiri sebahagiannya.
Demikian kita nukil secara ringkas penerangan Syeikh Abdullah Bin Baz, Mufti Kerajaan Saudi Arabia mengenai apa yang disebut orang sebagai wasiat Syeikh Ahmad.
Adapun mengenai perkara yang diceritakan mengenai seorang saudagar di Bombay yang mendapat keuntungan besar, Tun Datu Musthafa yang mendapat hadiah, seorang pekerja bengkel di Terengganu yang mendapat seorang gadis baik, juga seorang penasihat di Terengganu yang sembuh daripada penyakit kerana mencetak dan mengedarkan wasiat itu kepada orang lain, adalah cerita semata-mata, dan cerita seperti ini tidak boleh dijadikan sandaran dalam agama, siapa sahaja boleh mengada-adakan cerita dengan bertopengkan agama kononnya atas nama agama tetapi sebenarnya bukan daripada agama.
Perkara tanda-tanda atau alamat-alamat ketibaan Hari Kiamat, ialah daripada perkara-perkara ghaib yang tidak siapa dapat mengetahuinya melainkan apa yang disebut oleh Al-Qur’an atau yang diceritakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui hadis-hadis Baginda sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8171
