Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Balai Ibadat Dijadikan Semula Sebagai Rumah Kediaman

Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim sukacita kaola memaklumkan bahawa pada masa ini Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mempunyai skim perumahannya di Kampong Ayer iaitu Kampong Bolkiah A dan Kampong Bolkiah B. Tujuan asal skim perumahan ini ialah untuk memberi bantuan tempat tinggal kepada keluarga-keluarga yang terlibat dalam musibah kebakaran di Kampong Ayer.

Memandangkan pada masa itu di kampung tersebut tidak terdapat masjid atau surau untuk kegunaan orang-orang kampung, pihak Yayasan telah menyediakan dua buah rumah untuk dijadikan balai ibadat iaitu sebuah di Kampong Bolkiah A dan sebuah lagi di Kampong Bolkiah B. Pihak Yayasan telahpun memohon kebenaran daripada Jabatan Hal Ehwal Masjid bagi mengadakan balai ibadat tersebut dan juga kebenaran bagi mendirikan sembahyang fardhu Jumaat.

Untuk makluman Pehin jua, pada bulan Disember 1997 sebuah masjid telah mula dibina di Kampong Bolkiah A bagi menggantikan balai-balai ibadat di atas. Masjid tersebut adalah waqaf peribadi seorang hamba Allah dan ianya dijangka siap sepenuhnya pada bulan September 1999.

Sehubungan dengan itu, sukacita kaola pohonkan jasabaik dan kerjasama Pehin kiranya akan dapat memberikan pandangan mengenai kedudukan balai-balai ibadat yang tersebut di atas sama ada ianya boleh dijadikan semula sebagai tempat kediaman untuk dijual seperti rumah-rumah yang lain atau pun boleh dijadikan tempat bagi mengadakan tujuan-tujuan dan kegiatan-kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan.

Jawapan: Tujuan asal pembinaan rumah berkenaan adalah untuk tempat tinggal. Kemudian rumah tersebut dijadikan tempat sembahyang (balai ibadat) yang dengan sendirinya untuk tujuan bersembahyang lima waktu. Walaupun di balai tersebut telah didirikan juga sembahyang Jumaat, namun status balai ibadat tetap balai ibadat, yakni tidaklah dihukumkan sebagai masjid. Oleh kerana rumah itu bukan masjid, maka kekallah ia sebagai rumah.

Oleh yang demikian, pada hukum syara‘ adalah harus rumah (bekas balai ibadat) tersebut dijadikan semula sebagai tempat kediaman (rumah) sebagaimana tujuan asal pembinaannya atau dijual atau dijadikan tempat bagi mengadakan kegiatan-kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8183