Cabutan Hadiah Istimewa
Soalan: Dengan hormatnya sukacita kaola menghadapkan surat ini untuk memohon pendapat Pehin mengenai hukum cabutan hadiah istimewa sempena sambutan ulang tahun ketiga sebuah restoran.
Adalah dimaklumkan bahawa cabutan hadiah istimewa ini adalah salah satu daripada acara yang diadakan untuk para pelanggan sempena sambutan ulang tahun ketiga restoran berkenaan. Acara ini adalah terbuka kepada semua pelanggan di mana pelanggan yang berjaya memiliki resit pembayaran yang hujungnya nombor (00) akan diberikan hadiah saguhati berbentuk beg, jam dan barang hiasan pada masa itu juga dan nama mereka akan disenaraikan untuk cabutan hadiah istimewa. Hadiah tersebut adalah berbentuk barang elektrik, basikal, tiket kapal terbang dan baucer makanan.
Jawapan: “Cabutan Hadiah Istimewa” yang akan diadakan oleh sebuah restoran bagi resit-resit pembayaran makanan/minuman pelanggannya tanpa memberikan apa-apa syarat kepada mereka, adalah harus, tidak menyalahi pada syara‘, kerana mengikut keterangan yang diberikan ianya tidak mengandungi unsur judi. Pelanggan hanya datang membeli makanan dan minuman seperti biasa kemudian pihak penjual memberi resit pembayaran sesuai dengan kadar harga makanan/minuman itu dan resit yang berhujung (00) daripadanya akan diundi. Ini bermakna mana-mana hadiah yang akan diberikan kepada pelanggan adalah dengan kesukaan dan rela hati penganjur (restoran berkenaan) sendiri tanpa sebarang unsur membawa mudarat dan penganiayaan kepada pelanggan seperti dinaikkan harga makanan/minuman disebabkan hadiah itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8187
