Menyediakan Tempat Tinggal Isteri
Soalan: Selain kewajipan suami memberi nafkah dan sebagainya kepada isteri patutkah suami itu menyediakan tempat tinggal untuk berteduh?
Jawapan: Agama Islam mengajarkan cara-cara yang paling baik untuk mengatasi permasalahan yang dihadapi oleh para belia Islam dari sudut kekeluargaan. Apabila mereka itu sudah berkeupayaan dan layak, maka mereka pun dianjurkan supaya berkahwin. Anjuran ini diiringi lagi dengan memilih wanita yang salihah, yang berketurunan baik, yang cantik serta berada, tetapi paling utama ialah wanita yang salihah dan beragama kerana wanita seperti ini pasti akan membawa keuntungan dan kebahagiaan.
Sabda Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Wahai para belia sesiapa daripada kamu yang berkeupayaan untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin,...... (sehingga akhir hadis). (Hadis riwayat Bukhari dan lain-lain)
Sabdanya lagi:
Maksudnya: “Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya, maka ambillah kesempatan dengan menikahi perempuan yang mempunyai agama, nescaya engkau beroleh keuntungan.” (Hadis riwayat Bukhari dan lain-lain)
Di dalam hadits pertama terdapat perkataan ‘berkeupayaan’. Melalui perkataan ini, Baginda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah membayangkan adanya tugas atau kewajipan yang harus dipikul oleh suami apabila berkahwin, iaitu kewajipan terhadap isteri, anak-anak dan orang-orang yang termasuk di bawah tanggungannya.
Kewajipan suami kepada mereka ini adalah suatu perkara yang tidak boleh tidak. Jika disia-siakan, maka suami akan dianggap bersalah dan berdosa. Sabda Nabi Shallallhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Cukuplah bagi seseorang (suami) dosa jika dia mensia-siakan orang yang di bawah jagaannya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan lain-lain)
Khusus mengenai kewajipan suami terhadap isteri ada tujuh perkara iaitu: Memberi makan, lauk pauk (bumbu), pakaian, peralatan untuk membersih, peralatan rumah, tempat tinggal dan pembantu (jika dia sudah biasa mempunyai pembantu sebelum berkahwin). (Mughni Al-Muhtâj 3/542-543)
Di dalam tertib yang keenam daripada kewajipan suami seperti disebutkan ialah menyediakan tempat tinggal dan inilah perkara yang ditanyakan. Ulama telah sepakat, bahawa selain kewajipan suami memberi nafkah makan minum, dia juga wajib menyedia dan memberikan tempat tinggal berdasarkan nash:
Tafsirnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani ‘iddahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu.”
Ayat ini menerangkan kewajipan suami memberikan tempat tinggal kepada isteri yang diceraikan yang masih di dalam ‘iddah. Jadi isteri yang tidak atau belum diceraikan adalah lebih layak dan lebih patut lagi untuk mendapatkan tempat tinggal itu.
Tempat kediaman yang dimaksudkan ialah yang bersesuaian dan layak bagi isteri mengikut kebiasaan, sama ada ia dalam bentuk rumah, bilik atau pondok, dan juga paling penting diperhatikan ialah rumah itu dapat memberikan keselesaan kepada isteri yakni tidak menyakitkannya.
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).”
Dalam pada itu, tempat tinggal berkenaan tidaklah pula disyaratkan milik suami, bahkan harus menempatkan isteri di rumah atau di bilik waqaf, sewa atau pinjaman. (Mughni Al-Muhtâj 3/550)
Jadi kesimpulannya suami patut bahkan wajib menyediakan tempat tinggal bagi isteri sesuai dengan kemampuan suami itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8234
