Menyediakan Kawasan Letak Kereta Di Bekas Tapak Surau Yang Berhampiran Dengan Masjid
Soalan: Dengan hormat sukacita dimaklumkan Jabatan ini telah menerima surat daripada Ketua Kampong Sungai Buloh memohon supaya kawasan berdekatan Masjid berkenaan diratakan dan dijadikan sebagai kawasan letak kereta.
Setelah meneliti, pihak Jabatan ini telah mendapati kawasan yang dipohonkan itu adalah bekas tapak Surau Kampong Sungai Buloh.
Sehubungan dengan itu, sebelum Jabatan ini mengambil sebarang tindakan, maka sukacita dipohonkan fatwa Yang Dimuliakan.
Jawapan: Tapak surau bukan tapak masjid, ia boleh digunakan bagi berbagai-bagai tujuan yang sesuai dengan keperluan masjid seperti kawasan letak kereta. Oleh kerana kawasan bekas tapak surau itu berhampiran dengan masjid, bererti ianya adalah kawasan masjid. Maka adalah harus tapak surau itu dijadikan sebagai kawasan letak kereta para jemaah masjid bagi kemudahan para jemaah masjid. Kawasan-kawasan tanah berhampiran dengan masjid seperti bekas tapak surau itu adalah harim masjid. Harim masjid tidak boleh dimajukan melainkan kerana perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan masjid sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8230
