Papan Tanda “Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam”
Soalan: Kandungan fatwa Allahyarham Pehin Mufti Kerajaan Brunei Darussalam yang menyatakan sebagaimana berikut:
oleh orang Islam atau pengurusnya orang Islam sedang tukang masaknya orang bukan Islam, adalah diiktibarkan masakan bukan orang Islam.”
Pada muka surat 4, para 2 & 3: “Restoran atau kedai makan bukan Islam, pemilik atau pengurusnya orang bukan Islam, dan tukang masaknya orang Islam, boleh jadi di samping tukang masak Islam, ada tukang masak bukan Islam bagi makanan orang bukan Islam, dan pelayannya bukan Islam.
Keadaan seumpama di atas adalah meragukan.”
Serta pada muka surat 6 para 1 yang berbunyi: “Maka saya mengesyorkan restoran-restoran dan kedai-kedai makan macam ini dimasukkan di bawah erti kata restoran dan kedai makan dilarang orang-orang Islam makan di situ atau kedai makan bukan untuk orang Islam.”
Di samping itu sukacita juga memetik Fatwa Yang Dimulikan Lagi Dihormati Pehin Mufti Kerajaan Brunei Darussalam berhubung perkara yang sama yang dimuatkan dalam majalah al-Hadaf keluaran Ramadhan - Zulhijjah 1419, Januari - Mac 1999, Tahun 3 bilangan 1, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam pada muka surat 5 ruang 3 para 3 yang menyatakan;
“Jika pemilik dan pengurus sepenuhnya orang Islam, kita adalah disuruh tetap berperasangka baik terhadap sesama saudara seagama kita itu, tidak perlu ragu terhadap makan dan minuman yang dihidangkannya kecuali jika jelas dan nyata ada bukti-bukti lain yang makanan dan minuman itu tidak halal atau syubhah.”
Peraturan yang berjalan pada masa ini adalah berdasarkan fatwa Allahyarham Pehin Mufti Kerajaan Brunei Darussalam yang menyatakan:
“Pemilik, pengurus dan tukang masak mestilah beragama Islam, jika didapati mana-mana restoran dan kedai makan yang tidak mengikut peraturan dan syarat yang dinyatakan di atas, maka Jabatan ini akan menasihatkan kepada jabatan-jabatan berkenaan supaya restoran dan kedai makan tersebut diletakkan papan tanda/label “Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam.”
Oleh itu, sukacita untuk mendapatkan penjelasan daripada Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin.
Jawapan: Mula-mula sekali hendaklah dilihat dahulu latar belakang persoalan fatwa yang disiarkan dalam al-Hadaf Tahun 3 Bilangan 1 (Jan-Mac 1999), iaitu tentang kedudukan syarikat/restoran/kedai makan yang pemilik sahamnya terbanyak dipunyai oleh orang Islam, bukan soal tukang masaknya. Dalam erti kata yang lain dapat difahami yang bertanya ingin tahu sejauhmana kesan pemilik saham yang bukan Islam dapat mempengaruhi suatu syarikat atau restoran atau kedai makan, sama ada boleh dilabel tanda seperti: “Bukan tempat makan minum orang Islam.”
Bagi faedah-faedah pembaca yang tidak dapat mengikuti persoalan fatwa sama ada yang disiarkan oleh al-Hadaf atau buku Fatwa Mufti Kerajaan, elok kita perturunkan semula bentuk pertanyaan dan fatwa berkenaan sebagai Lampiran ‘A’.
Memang dalam fatwa tersebut tidak disebut atau disentuh secara khusus mengenai ‘tukang masak yang terdiri daripada orang bukan Islam,’ kerana persoalan yang hendak diminta fatwa ialah tentang kedudukan syarikat/restoran/kedai makan yang pemilik sahamnya terbanyak dipunyai oleh orang Islam. Ini bererti ada juga pemilik bukan Islam dalam syarikat/restoran/kedai makan itu. Perkara inilah yang hendak ditanyakan.
Apabila tidak disebut tentang tukang masak bukan orang Islam itu, ini tidaklah bererti akan menafikan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh fatwa Allahyarham Mufti Kerajaan Brunei yang terdahulu atau ada menunjukkan percanggahan sehingga menjadi harus pula memakan makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam. Tidaklah demikian maksudnya.
Jika kita perhatikan dalam hadis tentang perkara yang halal itu jelas dan yang haram itu pula jelas dan disebut juga tentang perkara syubhah, perkara syubhah itu adalah umum, harus juga termasuk jika tukang masak bukan Islam.
Fatwa yang disiarkan dalam al-Hadaf adalah juga menyebutkan tentang cara-cara pengendalian.
“Jadinya keadaan sesebuah syarikat makanan serta cara-cara pengendalian dan juga kuasa-kuasanya, akan turut menentukan sama ada wajar di tanda “Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam” atau sebaliknya.”
Tidak syak lagi ‘cara-cara pengendalian’ itu adalah termasuk juga bagaimana ia (makanan) itu dimasak dan siapa tukang masaknya. Jika yang berbangkit itu semata-mata tukang masak bukan Islam, maka soal syubhah adalah reliven, sekalipun ia milik orang Islam kerana mungkin berbangkit orang Islam itu hanyalah sekadar pemilik tetapi tidak terlibat dengan hal-hal permasakan dan pengendalian bahan-bahan yang dimasak. Dengan kata lain, semua hal-hal permasakan, termasuk bahan-bahan masakan, alat-alat perkakas dapur dan sebagainya itu terserah atau diserahkan bulat-bulat kepada tukang masak bukan Islam itu. Dalam kedudukan begini, soal syubhah tidaklah boleh ditolak, sekalipun kedai makan atau restoran itu milik orang Islam.
Dalam fatwa yang disiarkan dalam al-Hadaf itu telah memperingatkan tentang dasar-dasar persyaratan mengikut hukum syara‘. Ini adalah lebih umum lagi daripada hanya menyebut: Pemilik orang Islam, pengurus orang Islam dan tukang masak orang Islam. Cuba perhatikan ungkapan ini:
“Oleh itu persoalan ini hendaklah dilihat berdasarkan “kes” demi “kes” dengan menyediakan garis pandu mengapa ianya dilabelkan “Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam” atau sebaliknya, adalah berdasarkan persyaratan-persyaratan mengikut hukum syara‘. Jaminan atau ikrar oleh pemegang-pemegang saham Islam akan kehalalan sesuatu produk syarikatnya itu dapatlah dilihat sebagai suatu perkara yang positif.”
Suatu perkara lagi dalam fatwa yang disiarkan dalam al-Hadaf menyebutkan tentang jika pemilik dan pengurus sepenuhnya orang Islam:
“Jika pemilik dan pengurus sepenuhnya orang Islam, kita adalah disuruh tetap berperasangka baik terhadap sesama saudara seagama kita itu, tidak perlu ragu terhadap makanan dan minuman yang dihidangkannya kecuali jika jelas dan nyata ada bukti-bukti lain yang makanan dan minuman itu tidak halal atau syubhah.”
Membaca sepenuhnya ungkapan ini, sayugia janganlah diabaikan daripada mengamati kata-kata yang bergaris bawah.
Tidakkah ungkapan ini ada menyebutkan tentang “pengecualian”, sekalipun ia milik dan di bawah urusan orang Islam? Apatah lagi jika ia milik bukan orang Islam, atau di bawah urusan orang bukan Islam itu.
Jadi, suatu perkara yang mesti dilihat dalam menentukan sama ada sesebuah syarikat yang mengeluarkan makanan, restoran atau kedai makan itu patut dilabel seperti “Bukan tempat makan minum orang Islam” atau seumpamanya, hendaklah turut juga diambil kira “nature” syarikat, restoran atau kedai makan itu, supaya ianya dapat dinilai dan ditimbangkan daripada semua segi, termasuk perkara “pengecualian” jika perlu.
Adapun perkara pengecualian dalam sesuatu hukum itu merupakan perkara biasa, tertakluk kepada penggunaannya yang betul dan tepat menurut kaedah syara‘ pula.
Lampiran ‘A’
Soalan: Di dalam fatwa Allahyarham Pehin Mufti Bil: 14 dalam MKB/9/179 (37/MU/JUB/11/1981) bertarikh 14hb September 1982 bersamaan 25hb Zulkaedah 1402.
“Mana-mana restoran/kedai makan yang tidak memenuhi syarat-syarat berikut:
i) Pemilik Orang Islam. ii) Pengurus Orang Islam. iii) Pekerja Orang Islam.
Pada lazimnya akan di label/ditanda dengan “Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam.”
Persoalannya: Bagaimana kedudukan syarikat/restoran/kedai makan yang pemilik sahamnya terbanyak dipunyai oleh orang Islam.
Jawapan: Dalam sistem perniagaan masa kini, pemilik syarikat, restoran, kedai makan atau pemegang sahamnya yang terbanyak, belumlah tentu mereka itu sendiri yang terjun secara langsung menangani pengurusan syarikat, restoran atau kedai makan itu. Bahkan di antara para pemegang saham yang kurang tahu menahu tentang perjalanan syarikat. Yang paling utama baginya hanyalah pulangan atau keuntungan sahaja.
Selain itu ada juga yang berurusan berkongsi dengan orang lain, seperti dengan orang bukan Islam.
Jadi, pemilikan orang-orang Islam terhadap sesebuah syarikat, restoran atau kedai makan jika hanya ditinjau dari segi hak milik sahaja, belumlah boleh menjamin kehalalan makanan yang dihidang atau diproduksi itu. Pada hakikatnya kehalalan makanan bukanlah semata-mata berdasarkan kepada siapa pemilik restoran, malahan dasar utamanya ialah bertolak daripada bahan makanan yang dihidang itu sendiri, misalnya jika yang dihidang sate daging maka wajiblah daging itu berasal daripada binatang yang halal yang disembelih mengikut syara‘. Kemudian adakah ia bercampur dengan bahan-bahan yang syubhah, seperti minyak binatang atau bahan-bahan najis.
Jika ianya jelas berasal daripada binatang halal, disembelih mengikut syara‘ dan tidak bercampur dengan yang syubhah atau najis, maka hidangan di syarikat, restoran atau kedai makan itu adalah halal.
Akan tetapi jika ianya masih diragukan, apalagi diyakini tidak berasal daripada binatang halal, tidak disembelih atau bercampur dengan yang syubhah atau najis, seperti dimasak di tempat memasak babi atau dalam bekas yang najis, maka hidangan atau sajian di syarikat, restoran atau di kedai makan itu adalah haram.
Jika pemilik dan pengurus sepenuhnya orang Islam, kita adalah disuruh tetap berprasangka baik terhadap sesama saudara seagama kita itu, tidak perlu ragu terhadap makanan minuman yang dihidangkannya, kecuali jika jelas dan nyata ada bukti-bukti lain yang makanan dan minuman itu tidak halal atau syubhah.
Jika pemilik dan pengurus sepenuhnya bukan orang Islam, maka ini sudah jelas makanan dan minuman yang dihidang itu boleh menjadi haram atau syubhah kerana orang bukan Islam itu tidak mengerti dan tidak mengenali apa itu halal atau haram dalam Islam.
Manakala jika pemilikan dan pengurusan itu dikongsi sama oleh orang Islam dan bukan Islam, maka makanan hidangannya juga boleh membawa kepada syubhah atau haram, kerana dalam perkara ini timbullah kesamaran dan ketidakpastian akibat percampuran dan perkongsian itu, memandangkan bahawa kedua-dua pihak adalah sama-sama berkuasa dan berpengaruh ke atasnya.
Orang Islam tahu dan kenal apa itu halal dan haram, sedangkan orang bukan Islam pula sebaliknya. Orang Islam percaya dan sangat tamak kepada pahala daripada Allah, sedangkan orang bukan Islam tidak percaya dan tidak timbul sama sekali untuk mendapatkan pahala itu. Orang Islam, jika melanggar hukum Allah akan takut rugi serta takut akan diazab di akhirat, sedangkan orang bukan Islam tidak merasakan apa-apa. Tetapi kedua-duanya itu sama-sama berkuasa dan berpengaruh ke atas syarikat-syarikat, restoran-restoran, atau kedai-kedai makan yang dimiliki bersama itu. Yang satu pihak masih terikat dengan hukum halal haram dan masih ingatkan janji Allah mengenai dengan Hari Akhirat atau kehidupan di akhirat, sementara yang satu lagi tidak merasa terikat dengan hukum halal haram, dan bahkan tidak terlintas atau terdetik walau sebesar habuk sekalipun mengenai kehidupan yang sedang menunggunya di akhirat itu.
Namun daripada segi pengaruh, kuasa dan peluang, mereka tidaklah berbeza.
Ibarat dua nakhoda bagi sebuah kapal, masing-masingnya itu sama-sama mahir dan sama-sama ada tauliah serta sama-sama ada budi bicara, peluang dan kuasa. Tidak diragukan kedua-duanya itu sama-sama mampu melakukan peranan masing-masing. Mereka tidak sunyi daripada mempunyai peluang, kuasa dan pengaruh untuk itu. Maka begitulah pula halnya dengan keadaan dua pemilik dan pengurus tadi, masing-masingnya mempunyai peluang, pengaruh dan kuasa untuk membawa ke mana jua syarikat, restoran, atau kedai makan yang dikongsi itu mengikut citarasa masing-masing. Pendeknya kerana kuasa dan pengaruh yang sama, mereka sama-sama pula mempunyai kesempatan untuk memenuhi citarasa masing-masing, walaupun apa yang dilakukan oleh satu pihak itu tidak disukai oleh pihak yang lain.
Inilah hakikat yang ada, bahawa pengaruh dan kuasa itu adalah perkara yang paling menentukan.
Dalam pengertian lain, jika pemilik dan pengurus Islam, dengan kuasa dan pengaruh yang ada padanya sebagai pemilik dan pengurus boleh membawa dan memasukkan benda-benda yang baik atau halal, mengapa pula rakan kongsi milik dan urusan yang bukan Islam yang juga sama-sama mempunyai kuasa dan pengaruh yang sama tidak boleh membawa dan memasukkan benda-benda yang haram dan najis? Yakni semua itu boleh dan harus sahaja berlaku - tertakluk kepada adanya peluang-peluang bagi kedua belah pihak itu.
Jadi dalam kedudukan ini, semua perkara menjadi ‘bermasuk-masukan’, tiada siapa yang dapat menjamin boleh menentukannya dengan tepat sama ada halal atau haram, yakni halal dan haram itu boleh sahaja bercampur-campur, baik dengan disenghaja ataupun tidak, disedari ataupun tidak disedari.
Maka apabila keadaan begini wujud, kaedah syara‘ pun menetapkan, sebagaimana dalam Al-Asybâh wa Al-Nazhâ’ir oleh Al-Imam Al-Suyuthi begini:
Ertinya: “Apabila berhimpun yang halal dan yang haram, maka lebih kuat atau lebih mengatasilah yang haram.”
Al-Suyuthi telah memberikan banyak contoh, antaranya:
Ertinya: “Dan jikalau berlaku kesamaran binatang yang disembelih dengan bangkai binatang atau susu sapi dengan susu keldai atau air dengan air kencing, maka tidaklah harus (tidak halal) mempergunakannya walaupun sedikit.”
Mengenai hukum kesamaran ini Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam telahpun menjelaskannya dalam hadis-hadis Baginda:
Maksudnya: “Tinggalkanlah perkara-perkara yang membawa ragu-ragu kepadamu, (dan) ambillah apa-apa yang tidak meragukanmu.” (Hadis riwayat Nasa’i dan lain-lain)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia telah memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah dia ke dalam yang haram. Seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Untuk menentukan sama ada sesebuah syarikat atau restoran atau kedai makan itu munasabah atau wajar diletakkan label: “Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam” akan tertakluk kepada keadaan perkongsian itu, dari segi jumlah pemegang saham dan jumlah nilai saham termasuk kuasa-kuasa yang mereka miliki bagi menentukan pengurusan yang selaras dengan kehendak-kehendak syara‘.
Suatu hal yang patut menjadi perhitungan ialah, bahawa sesebuah syarikat pengeluar atau penyedia makanan yang dikongsi sama oleh orang Islam dan bukan Islam tidak serupa dengan sebuah syarikat yang sama fungsinya tetapi berlainan kuasanya berdasarkan besar atau kecil sesebuah syarikat itu.
Sebuah syarikat pengeluar atau penyedia makanan yang mempunyai pegawai-pegawai khusus yang terdiri daripada orang-orang Islam yang ditugaskan khas untuk mengawal atau mengendalikan kehalalan produk syarikat berkenaan, adalah tidak sama dengan syarikat pengeluar atau penyedia makanan yang tidak mempunyai pegawai-pegawai seperti yang disebutkan.
Jadinya keadaan sesebuah syarikat makanan serta cara-cara pengendalian dan juga kuasa-kuasanya, akan turut menentukan sama ada wajar di tanda “Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam” atau sebaliknya.
Keadaan yang sama dilihat juga kepada restoran atau kedai makan, sama ada patut ditanda atau dilabel dengan label berkenaan itu, adalah akan turut bergantung kepada bagaimana bentuk dan syarat-syarat perkongsian di antara orang-orang Islam dengan orang-orang bukan Islam itu.
Oleh itu, semua persoalan ini hendaklah dilihat berdasarkan “kes” demi “kes” dengan menyediakan garis pandu mengapa ianya dilabelkan “Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam” atau sebaliknya adalah berdasarkan persyaratan-persyaratan mengikut hukum syara‘. Jaminan atau ikrar oleh pemegang-pemegang saham Islam akan kehalalan sesuatu produk syarikatnya dapatlah dilihat sebagai sesuatu perkara yang positif.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8241
