Penggunaan Baki Wang Kutipan Derma Suatu Majlis Yang Khusus
Soalan: Satu kutipan derma atas nama “Majlis Tahlîl dan Doa Arwah” telah dijalankan.
Kemusykilan:
Setelah selesai majlis dijalankan masih ada baki kutipan, dan ahli jawatankuasa bercadang untuk menggunakan baki kutipan itu, di antara cadangan yang diusulkan:
1. Membeli piring makan untuk diwaqafkan ke surau.
3. Membeli hadiah sebagai cenderahati untuk ahli jawatankuasa dan selebihnya (baki) disedekahkan atau disimpan untuk majlis yang sama pada tahun berikutnya.
4. Baki duit itu dibawa ke majlis yang sama di tahun berikutnya.
Dalam ke empat-empat hal di atas, apakah hukum dan pandangan Islam mengenainya tanpa memaklumkan kepada pendermanya?
Jawapan: Apabila suatu kutipan itu dipohonkan daripada orang ramai atau kumpulan-kumpulan tertentu bagi tujuan mengadakan suatu majlis yang khusus seperti majlis tahlîl, doa arwah atau seumpamanya, maka penganjur hanya akan membelanjakan wang kutipan derma itu bagi perkara yang berkenaan dengan majlis itu sahaja, tidak bagi perkara yang lain. Jika kutipan derma itu khusus kerana majlis tahlîl sahaja, maka tidaklah akan termasuk membeli pinggan mangkuk atau bakinya disedekahkan atau dijadikan hadiah. Hal ini terjadi kerana apabila derma itu dihubungkan “atas nama majlis tahlîl dan doa arwah”, bermakna pada adatnya ia akan hanya dipakai untuk membiayai makan minum dan yang berkaitan dengannya sahaja, bukanlah untuk perkara-perkara lain yang tidak ada kaitan dengan majlis itu.
Oleh itu setiap derma yang hendak digunakan atau dibelanjakan oleh pemegang amanah derma atau pihak penganjur, hendaklah mengikut niat orang yang menderma atau mengikut tujuan derma itu dilakukan seperti jika derma diniatkan atau ditujukan untuk sesuatu perkara yang tertentu seperti majlis tahlîl, membaiki masjid, dana biasiswa pelajaran anak-anak yatim atau pembinaan sekolah, maka hendaklah pemegang amanah derma itu menyalurkan derma itu menurut niat orang yang berderma itu.
Daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang penyimpan Muslim lagi amanah yang melaksanakan (mungkin juga Baginda bersabda: “Memberikan) apa yang diperintahkan kepadanya, maka dia (penyimpan) itu memberikan secara sempurna dan mencukupi (dengan) jiwa yang baik dan seterusnya menyerahkannya kepada orang yang diperintahkan untuk diberi, dia (penyimpan) itu adalah termasuk salah seorang yang bersedekah.” (Hadis riwayat Muslim)
Berkata Imam Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitabnya Shahîh Muslim dalam mensyarah dan menghuraikan hadis yang tersebut di atas:
“Ketahuilah sesungguhnya (untuk mendapatkan pahala tersebut) si pekerja iaitu penyimpan, (dan yang seumpamanya seperti) isteri dan hamba hendaklah mendapat keizinan daripada pemiliknya. Jika dari mula lagi tidak ada keizinan, maka tidak ada pahala yang diperolehi oleh mereka, bahkan ke atas mereka dosa kerana membelanjakan harta orang lain tanpa mendapat keizinannya. Keizinan itu ada dua bahagian:
1. Keizinan yang terang dalam perkara nafkah dan sedekah.
2. Keizinan yang dapat difahami daripada hukum umum ‘urf dan adat kebiasaan seperti memberi kepada peminta sedekah sekerat, secebis, sepotong sesuatu dan seumpamanya yang biasa berlakupada adat dan hukum ‘urfnya diketahui akan mendapat keizinan suami dan pemiliknya.
Keizinan pemilik dalam perkara yang sedemikian tetap ada walaupun tanpa berkata-kata. Perkara ini boleh, apabila diketahui keredhaannya berdasarkan hukum umum ‘urf dan diketahui bahawa jiwanya sama seperti jiwa kebanyakan manusia dalam memberikan tolak ansur dan keizinan. Tetapi jika tidak dapat dipastikan dalam ‘urf dan diragui untuk mendapatkan keredhaannya atau dia adalah seorang yang kikir dan dimaklumi dia berkeadaan sedemikian ataupun timbul keraguan padanya, tidaklah harus bagi seorang isteri dan sesiapa saja yang lain bersedekah dengan menggunakan hartanya melainkan dengan ada keizinannya yang terang.” (Lihat Syarh Shahîh Muslim 4/120)
Adapun baki atau lebihan derma daripada satu-satu derma khas yang dibuat seperti lebihan derma Majlis Tahlîl atau Doa Arwah Sekampung, Majlis Khatam Al-Qur’an dan Majlis Doa Selamat Pergi/Balik Haji bolehlah disimpan dan dianjakkan derma tersebut kepada majlis yang serupa di masa yang akan datang.
Jika hendak disalurkan juga baki atau lebihan derma majlis tahlîl itu untuk:
1. Membeli piring makan untuk diwakafkan ke surau.
3. Membeli hadiah sebagai cenderamata untuk ahli jawatankuasa dan selebihnya (baki) disedekahkan.
Maka hendaklah diminta keizinan terlebih dahulu daripada penderma, kerana adat kebiasaannya, jika derma disebut untuk majlis tahlîl hanyalah dibelanjakan untuk makan minum dan yang berkaitan dengannya sahaja.
Sebagai saranan, supaya pada masa-masa yang akan datang apabila penganjur memohonkan derma khusus seperti majlis tahlîl atau majlis doa arwah hendaklah dimaklumkan juga kepada penderma-pendermanya, (misalnya) kutipan itu juga jika ada bakinya, selain daripada perbelanjaan makanan dan minuman bagi majlis tersebut akan juga digunakan untuk derma kepada anak-anak yatim atau fakir miskin atau lain-lain tujuan yang difikirkan munasabah oleh jawatankuasa penganjur selama mana derma itu mendatangkan pahala kepada penderma atau kepada si mati.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8246
