Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة

Ajaran Saihoni bin Tasipan Yang Mendakwa Boleh Memanggil Roh, Berjumpa Dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Mengetahui Pintu Langit Terbuka, Menentukan Seseorang Sebagai Wali Atau Tidak Dan Mengetahui Perkara-Perkara Sulit Yang Berlaku Di Negara Brunei Darussalam

Soalan: Dengan hormat dimaklumkan bahawa Bahagian Kawalan Akidah telah menjalankan penyiasatan terhadap satu ajaran yang diasaskan oleh seorang warganegara Malaysia yang bernama Saihoni bin Tasipan yang antara lain membawakan kepercayaan dan fahaman-fahaman seperti berikut:

(i) Pengasas mendakwa boleh memanggil roh orang yang telah mati termasuk roh para nabi dan wali.

(ii) Mendakwa boleh berjumpa dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

(iii) Mendakwa boleh mengetahui bila pintu langit terbuka. Menurut pengasas, ketika beliau berada di Negara Brunei Darussalam pintu langit terbuka sebanyak 2 kali seminggu.

(iv) Mendakwa boleh menentukan diri seseorang itu berpangkat wali atau sebaliknya.

(v) Mendakwa mengetahui semua perkara sulit yang berlaku di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan dengan itu sukacita dipohonkan kerjasama daripada Jabatan tuan meminta pandangan dan fatwa daripada Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Mufti Kerajaan mengenai perkara di atas untuk dijadikan sebagai panduan dan sandaran bahagian ini dalam menjalankan tugasnya.

Jawapan: Bolehkah Roh Orang Mati Dipanggil?

Terdapat berbagai perkara yang perlu diambil perhatian dalam membincangkan permasalahan di atas, antaranya:

Bagaimana cara seseorang itu memanggil roh orang mati berkenaan? Dengan apa cara ianya dipanggil? Adakah yang dipanggil itu benar-benar roh orang mati itu atau roh orang lain, syaitan atau jin? Bagaimana seseorang itu boleh berdailog dengan roh, sedang yang memanggil ialah manusia dan yang dipanggil pula ialah alam ma‘nawi?

Masalah roh adalah urusan Allah, ia tidak boleh diurus oleh sesiapa melainkan hanya oleh Allah semata-mata jua.

Perkara atau dakwaan memanggil roh atau menghadirkan roh ini telah turut membebankan Negara Brunei Darussalam melalui orang luar.

Salah satu cara roh itu dipanggil atau dihadirkan menurut pembawa ajaran ini, ialah melalui pembantunya yang dipukau sehingga tidak sedarkan diri. Dia (pembantu itu) akan bercakap-cakap atau menjawab semua soalan daripada pemanggil roh tadi. Kononnya apa yang didengar daripada pembantu itu adalah suara orang mati yang dipanggil rohnya. Suara ini tidak sama dengan suara asal si pembantu sebelum dia dipukau. Maka atas asas itulah, suara tersebut kononnya adalah benar-benar suara orang mati yang dipanggil rohnya itu. Demikian menurut ajaran tersebut.

Roh akan ditanya berdasarkan apa saja yang dihajati, termasuklah seperti seksa atau nikmat kubur bagi seseorang yang telah mati.

Ini tidak syak lagi adalah menyentuh perkara ghaibiyyat. Si bomoh atau dukun itu telah menempatkan dirinya pada kedudukan yang luar biasa iaitu mampu mengetahui perkara-perkara ghaib itu.

Roh adalah salah satu daripada perkara-perkara ghaib itu. Begitu juga yang berkaitan dengan alam kubur, seperti nikmat atau azab kubur adalah juga perkara ghaib.

Apa itu perkara-perkara ghaib dan hakikatnya telahpun dijelaskan oleh Allah melalui ayat-ayatNya di dalam Al-Qur’an, khasnya perkara roh. Marilah kita ikuti firman-firman Allah ini:

Tafsirnya: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).” (Surah Al-Jinn: 26-27)

Tafsirnya: “Katakanlah lagi: “Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah.” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).” (Surah An-Naml: 65)

Tafsirnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah Al-Isrâ’: 85)

Setengah ulama berpendapat bahawa roh yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah roh yang ada dalam tubuh badan. Maka berdasarkan pendapat ini membuktikan bahawa roh itu adalah urusan Allah jua. Manusia tidak tahu menahu mengenainya kecuali sekadar apa yang diajarkan oleh Allah kepada mereka. Roh adalah terkhas bagi Allah dengan ilmuNya. Ia tertutup daripada pengetahuan sebarang makhluk.

Al-Qur’an dan beberapa hadis shahîh menyebutkan, bahawa roh-roh orang mati itu akan terus berkekalan selepas matinya jasad. Firman Allah:

Tafsirnya: “Allah (Yang Menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, - jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.” (Surah Az-Zumar: 42)

Telah sabit bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika dalam peperangan Badar mengarahkan para sahabat mencampakkan dua puluh empat orang mayat-mayat perwira Quraisy ke dalam salah satu lembah bumi Badar. Apabila puak Quraisy telah dapat dikalahkan, mereka pun berkhemah di kawasan lapang selama tiga malam.

Apabila Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersama para sahabat berada di Badar pada hari ketiga, Baginda pun mengarahkan menyiapkan kenderaan Baginda, seterusnya Baginda berjalan dengan diikuti oleh para sahabat.

Pada ketika itu sahabat berkata: “Kami tidak menyangka Baginda akan berangkat, melainkan kerana sesuatu keperluan, sehinggalah Baginda berdiri di tepi lembah (lubang mayat-mayat itu dicampakkan), sambil memanggil nama-nama mereka dan nama bapa-bapa mereka masing-masing, sabdanya: “Hai Polan bin Polan, hai Polan bin Polan, adakah kamu merasa gembira bahawa kamu mentaati Allah dan RasulNya? Kami sudahpun mendapati apa yang telah dijanjikan Tuhan kami adalah benar, dan kamu pula, adakah kamu mendapati apa yang telah dijanjikan kepada kamu itu benar?”

Kemudian Umar bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah jasad-jasad yang tidak bernyawa boleh bercakap?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Demi Tuhan yang diri Muhammad di tanganNya, bukan kamu sahaja yang paling mendengar apa yang aku ucapkan, mereka juga dapat mendengarnya, akan tetapi mereka tidak berupaya menjawabnya.” (Ibnu Katsir, Al-Bidâyah wa An-Nihâyah 3/328)

Telah sabit juga daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa mayat dapat mendengar bunyi terompah (alas kaki) orang-orang yang menghantarnya ke kubur apabila mereka pulang.

Berkata Ibnu Qayyim Rahimahullah: “Perkara ini telah disepakati oleh ulama salaf dan mengenainya adalah mutawâtir bahawa si mati itu mengetahui orang hidup yang menziarahinya dan merasa gembira dengan ziarah itu.” Ibnu Qayyim menyebutkan riwayat yang mengatakan bahawa Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata tentang ayat 42, surah Az-Zumar: “Telah sampai berita kepadaku bahawa roh orang-orang hidup dan roh orang-orang yang sudah mati akan bertemu ketika tidur. Mereka akan saling bertanya. Kemudian Allah Ta‘ala menahan roh-roh orang yang mati dan melepaskan semula roh-roh orang yang hidup ke badan masing-masing.”

Perkara ghaib itu asasnya ialah keajaiban dan kehebatan seperti syurga, neraka, alam kubur (barzakh), roh dan lain-lain. Jadi roh itu adalah perkara ajaib dan hebat.

Apabila ada orang mendakwa dia boleh memanggil roh, boleh bertanya kepada roh, maka gambaran orang itu tentulah hebat dan ajaib pula. Jadi apakah ini tujuan di sebalik dakwaan itu?

Di sinilah orang awam mudah terkeliru. Mereka ada yang menganggapnya sebagai kelebihan daripada Allah. Lalu berlakulah pemujaan serta percaya yang bukan-bukan terhadap orang-orang yang mendakwa itu. Mereka disanjung dan diikuti apa saja kemahuan mereka, dan bahkan dilabelkan sebagai wali Allah yang memiliki keramat. Mereka (orang awam seperti ini) sebenarnya tidak tahu mengenai keramat. Mereka tidak dapat membezakan antara sihir, istidrâj, ahwâl asy-syaithâniyyah dan keramat itu.

Dakwaan para dajjal pembohong memanggil roh sebenarnya adalah campur tangan syaitan atau jin yang dipuja dan disembah mereka, yang kemudian syaitan atau jin itu membalas dengan memberikan khidmat apa-apa yang dikehendaki dalam bentuk-bentuk pembohongan dan dusta (perkara ini akan dihuraikan lagi kemudian insya’ Allah).

Cuba perhatikan dahulu maksud ayat-ayat berikut:

Tafsirnya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata- kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (daripada perbuatan yang kufur dan dusta) itu. Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya disetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu. ” (Surah Al-An‘âm: 112-113)

Tafsirnya: “Dan (ingatlah) Hari (Kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin (syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut daripada manusia.” Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka daripada golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian daripada kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (syaitan-syaitan), dan kami telah sampai kepada masa kami (Hari Kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi Kami.” (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-An‘âm: 128)

Disebutkan oleh ulama tafsir bahawa jin merasa senang dengan manusia dengan sebab manusia menyembah mereka melalui sembelihan, nazar dan mentera-mentera. Manakala manusia pula akan merasa senang dengan jin apabila jin menunaikan keperluan yang mereka minta daripada jin itu, termasuklah berita-berita yang diketahui dan dicuri-curi oleh jin melalui pendengaran, tetapi kebanyakannya ialah berita-berita dusta.

Perbuatan bekerjasama dengan jin dan syaitan dalam memanggil roh adalah ia pekerjaan tukang-tukang sihir, tukang-tukang tenung, tukang-tukang tilik dan tukang-tukang ramal yang ditegah oleh syara‘. Dosanya sangat besar dan haram, bahkan boleh membawa kufur sebagaimana sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi tukang tenung, kemudian dia bertanya mengenai sesuatu kepadanya, maka tidak akan diterima sembahyangnya empat puluh malam.”

Dalam Musnad Ahmad dan kitab sunan yang lain, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi tukang tilik, kemudian dia membenarkan apa yang dikatakan tukang tilik itu, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.”

Kita perlu mengetahui bahawa makhluk manusia itu terdiri daripada dua unsur, iaitu mâddah (benda) dan roh. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan roh daripada (ciptaan)Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.” (Surah Shâd: 71-72)

Selain manusia, ada dua lagi jenis makhluk yang juga diberi tanggungjawab untuk menyembah Allah, iaitu malaikat dan jin. Kedua-dua jenis makhluk ini masing-masing memiliki unsur-unsur mâddah dan roh.

Bagi ketiga-tiga jenis makhluk ini: Manusia, malaikat dan jin, walaupun sama-sama memiliki unsur mâddah, tetapi tidak sama di antara satu sama lain. Unsur mâddah manusia ialah tanah, unsur mâddah malaikat ialah nûr atau cahaya, dan unsur mâddah jin pula ialah api.

Adapun roh satu kejadian yang lain, rahsianya lebih aneh dan unik. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai hakikat roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhanku. Dan tidaklah kamu diberikan ilmu pengetahuan melainkan hanya sedikit.” (Surah Al-Isrâ’: 85)

Para ulama Islam ada memberikan perhatian tentang soal roh ini. Mereka menerangkan kesan-kesannya dalam kehidupan, dalam pemikiran dan tingkah laku manusia. Begitu juga tentang kesudahannya selepas ia keluar daripada jasad kerana kematian. Di antara buku atau kitab yang dikarang khas memperkatakan masalah roh ini ialah kitab Ar-Rûh karangan Al-‘Allâmah Ibnu Al-Qayyim.

Menurut Asy-Syeikh ‘Athiyyah Shaqar, Ketua Lujnah Fatwa di Al-Azhar Asy-Syarîf, bahawa di Barat sendiri, walaupun mereka menumpukan perhatian kepada soal-soal kebendaan, namun pada akhir-akhir ini muncul aktiviti-aktiviti mengkaji roh. Ia berlangsung, baik di pengajian-pengajian tinggi mahupun di institusi-institusi khas. Selain itu, beberapa badan tertentu juga terus melakukan kegiatan-kegiatan yang berkaitan, sebagaimana kegiatan-kegiatan yang sama dilakukan oleh sebahagian daripada orang-orang Islam dan bukan Islam, iaitu kegiatan yang dinamakan sihir dan memanggil roh atau seumpamanya. (Ahsan Al-Kalâm fî Fatâwâ wa Al-Ahkâm 1/276).

Berbalik kepada makhluk-makhluk tadi iaitu malaikat, manusia (termasuk binatang-binatang, burung-burung dan yang melata) dan jin.

1. Malaikat: Adalah makhluk yang halus, jernih dijadikan daripada cahaya. Mereka diperkenankan oleh Allah untuk menyerupai berbagai bentuk. Mereka juga diberi tugas sebagai wakil Allah untuk kemaslahatan manusia, seperti menyampaikan wahyu, mencatat amalan-amalan manusia, membantu orang-orang beriman di dalam peperangan dan lain-lain lagi. Namun semua itu bukanlah dilakukan oleh mereka sesuka hati, tetapi melalui perintah dan izin Allah jua. Sesiapapun daripada kalangan manusia dan lain-lain makhluk tidak boleh menguasai mereka, atau secara langsung meminta pertolongan mereka kecuali dengan perintah dan izin Allah Ta‘ala sahaja.

Sebagai satu bukti yang jelas, ialah apabila wahyu terhenti turun kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam buat sementara waktu, padahal Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam amat rindu dan ternanti-nanti akan kedatangan Malaikat Jibril ‘Alaihissalam. Namun, Malaikat Jibril tidak turun-turun juga. Mengapa? Kerana belum mendapat izin dan perintah daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini ada disebut oleh Imam Bukhari, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bertanya kepada Jibril, sabdanya:

Maksudnya: “Apakah yang menghalang engkau (wahai Jibril) untuk menemui saya lebih banyak lagi daripada biasa?”

Menjawab Jibril:

Tafsirnya: “Kami tidaklah akan dapat turun melainkan dengan perintah daripada Tuhanmu jua.”

(Surah Maryam: 64)

Dari dasar ini, dapatlah difahamkan bahawa tidaklah mungkin bagi manusia itu menghadirkan atau memanggil mana-mana malaikat atau roh malaikat. Jika perkara ini boleh berlaku maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih awlâ dan lebih utama berbuat demikian itu.

2. Manusia: Makhluk kasar sesuai dengan fitrah kejadiannya daripada tanah, dia juga seperti malaikat mempunyai roh. Roh manusia itu apabila bercerai dari jasadnya, tiadalah dapat diketahui dengan pasti di mana roh itu berada, melainkan Allah jua yang Maha Mengetahuinya. Adapun kita tidak banyak tahu, walaupun ada hadis-hadis yang menyebutkan bahawa roh itu masih mempunyai hubungan dengan si mati, tetapi hanyalah sekadar untuk mendengar dan menjawab pertanyaan-pertanyaan daripada Malaikat Munkar dan Nakir, dan untuk merasai nikmat ataupun azab daripada Allah Ta‘ala, untuk menjawab salam daripada orang-orang yang memberi salam ketika ziarah kubur, ataupun bagi kadar yang lebih tinggi dan lebih besar lagi daripada itu, seperti keadaan nabi-nabi di dalam kubur- kubur mereka dan orang-orang yang mati syahid sepertimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah (yang gugur syahid) itu mati, (mereka tidak mati) bahkan hidup di sisi Tuhan mereka dengan diberi rezeki.” (Surah Ali ‘Imrân: 169)

Imam Muslim dan lain-lain telah meriwayatkan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda itu pernah ditanya mengenai perkara tersebut, dan Baginda menjelaskan:

Maksudnya: “Roh-roh mereka (para syuhadâ’) itu berada dalam rongga burung-burung hijau, mempunyai dian-dian yang tergantung di ‘Arasy, terbang dari syurga sesuka hati mereka, kemudian hinggap di lampu- lampu dian itu. Allah lebih mengetahui rahsia-rahsia hati mereka, lalu Allah bertanya: “Adakah lagi yang kamu idamkan?” Mereka menjawab: “Apa lagi yang kami idamkan, sedangkan kami terbang bebas dari syurga sesuka hati kami.” Allah mengulang pertanyaan itu tiga kali kepada mereka. Setelah mendapati diri mereka ditanya, mereka pun berkata: “Wahai Tuhan kami, kami ingin supaya roh-roh kami dikembalikan semula kepada jasad kami, agar kami terbunuh pula sekali lagi dijalanMu.” Setelah Allah mendapati mereka itu tidak berhajat apa-apa lagi mereka pun dibiarkanlah dalam keadaan bersuka ria.” (An-Nawawi, Syarah Shahîh Muslim 13/30-31)

Seperti keadaan roh-roh orang biasa, maka roh-roh orang-orang yang mati syahid juga adalah sama akan terus tertahan di sisi Allah dengan keadaan dan caranya yang tersendiri, namun untuk kembali semula kepada tubuh jasad masing-masing seperti sebelum syahid, tidaklah akan berlaku. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sehinggalah apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), supaya aku berbuat amal salih dalam perkara-perkara yang aku telah tinggalkan dahulu. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu hanyalah perkataan yang diucapkan sahaja, sedangkan di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mendinding) sampai hari mereka dibangkitkan semula kelak (Hari Kiamat).” (Surah Al-Mu’minûn: 99-100)

Berdasarkan ayat ini, jelas kepada kita bahawa tidak siapapun dari kalangan manusia yang dapat menguasai roh-roh orang yang telah mati. Apatah lagi untuk menghadirkan roh-roh itu dan bercakap-cakap dengannya atau roh-roh itu sendiri memberi tahu tentang kesenangan atau seksa yang sedang dirasainya atau memberitahu tentang kejadian-kejadian dan perkara-perkara ghaib.

Hanyalah roh-roh itu dapat berhubung di dalam mimpi sahaja. Seperti kata ahli ilmu; bahawa keadaan si mati dan apa-apa yang diceritakan (di dalam mimpi)

itu adalah benar, kerana keadaan setelah berpindah dari negeri yang penuh dengan kebâthilan (alam dunia) ke negeri yang penuh dengan kebenaran (alam barzakh).

Menurut Ibnu Al-Qayyim: “Bertemu roh orang hidup dengan roh orang mati, dapat dibuktikan, bahawa orang hidup boleh melihat orang mati di dalam tidur (mimpi) lalu roh orang hidup bertanya kepada roh orang mati, kemudian roh orang mati itu menceritakan berbagai perkara yang tidak diketahui oleh orang hidup, dan berbetulan apa yang diceritakan oleh roh orang mati itu adalah bertepatan dengan kenyataan.”

‘Bertemu’ dan ‘melihat’ di sini, bukanlah dengan jalan ikhtiar atau usaha, dan tidak juga atas dasar penguasaan terhadap roh-roh itu.

Inilah pendapat ulama salaf, bahawa roh orang mati tetap kekal sebagaimana dikehendaki oleh Allah, dan boleh mendengar. Cuma ia tidak boleh berhubung dengan orang hidup di luar dari waktu tidur (mimpi).

Dakwaan Boleh Memanggil Roh Itu Adalah Bâthil Dan Tidak Berlandaskan Ilmu

Dakwaan memanggil roh atau menghadirkan roh orang mati, dan kemudian bercakap-cakap dan bertanyakan sesuatu kepada orang mati itu, adalah dakwaan yang tidak mempunyai asas, sama ada daripada nash ataupun lojik, dan tidak berlandaskan ilmu.

Adapun dakwaan memanggil roh itu, ia mungkin daripada campur tangan syaitan atau jin yang dipuja dan disembah oleh seseorang, yang kemudian syaitan atau jin itu membalasnya dengan khidmat yang dikehendaki oleh orang itu dalam bentuk-bentuk pembohongan dan dusta (akan dihuraikan lagi kemudian insyâ’ Allah).

Cuba kita perhatikan ayat ini:

Tafsirnya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap- tiap nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah susunannya memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada- adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu. Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman pada Hari Kiamat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya disetujui oleh mereka dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu.” (Surah Al-An‘âm: 112-113)

Dalam Shahîh Al-Bukhâri dan Muslim disebutkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan supaya orang-orang musyrik yang mati dalam peperangan Badar dicampakkan ke dalam perigi. Setelah itu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memanggil nama-nama mereka satu persatu: “Wahai Polan bin Polan, wahai Polan bin Polan...... adakah kamu telah menemui apa yang dijanjikan oleh Tuhan kamu itu betul? Sesungguhnya aku telahpun menemui bahawa apa yang dijanjikan Tuhanku itu adalah betul.” Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab pula pertanyaan sahabat: “Demi Tuhan yang membangkitkan aku dengan sebenarnya, bukan kamu sahaja yang mendengar apa yang aku katakan kepada mereka, mereka juga ada mendengarnya, cuma mereka itu tidak dapat menjawabnya.”

Cubalah perhatikan, jika roh-roh yang ditanya oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itupun telah tidak berupaya untuk menjawab pertanyaan Baginda, sedangkan Baginda adalah orang yang istimewa dan paling halus perasaan rohaninya, maka betapakah pula dengan orang biasa?

Ada setengah kalangan menjadikan surah Ar-Ra‘d, ayat 31, sebagai dalil bahawa memanggil orang mati dengan membaca Al-Qur’an itu adalah harus dan boleh. Ayat tersebut ialah:

Tafsirnya: “Dan kalaulah ada mana-mana kitab suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah belah mengeluarkan isi kandungannya atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al-Qur’an adalah kitab suci yang mengandungi mu‘jizat. (Tetapi lahirnya sesuatu mu‘jizat itu adalah menurut kehendak Allah), bahkan segala urusan adalah tertentu bagi Allah. Maka tidaklah orang-orang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki tentulah Dia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya (lalu menjadikan mereka semua beriman). Dan orang-orang kafir itu senantiasa ditimpa bala bencana ataupun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka sehinggalah datang janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.” (Surah Ar-Ra‘d: 31)

Ayat ini sebenarnya bukan dalil yang mengharuskan memanggil roh orang mati itu, tetapi menurut apa yang dapat difahami daripada penjelasan Al-Imam Al-Qurthubi dalam tafsirnya Al-Jâmi‘ li Ahkâm Al-Qur’ân adalah sebaliknya iaitu ayat ini mengandungi petunjuk bahawa tidak mungkin berlaku memanggil orang mati dengan Al-Qur’an.

Dalam hadis di atas disebutkan mengenai sebab-sebab turun ayat ini, iaitu orang-orang musyrik Makkah pada suatu ketika telah mencadangkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bagi maksud untuk menyusahkan Baginda, supaya Baginda dapat memindahkan gunung-ganang yang ada di Makkah dengan Al-Qur’an agar bumi Makkah menjadi luas untuk mereka dapat berkebun. Mereka juga menuntut supaya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dapat memancarkan mata air dan sungai-sungai dengan Al-Qur’an, serta membacakan Al-Qur’an kepada kaum keluarga mereka yang telah mati, supaya dengan cara itu dapatlah mereka bercakap-cakap dengan si mati dan si mati akan memberitahu mereka tentang kebenaran Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Selepas itu Allah menurunkan ayat yang tersebut di atas.

Apabila dikatakan memanggil roh orang mati, sebenarnya yang datang, yang bercakap-cakap dengan dusta dan banyak bertentangan, menyebut-nyebut perkara-perkara ghaib dan menamakan namanya dengan nama-nama manusia itu adalah semuanya itu bukan roh si mati dan bukan juga roh malaikat.

Oleh itu, dakwaan bahawa kehadiran roh orang mati dan lain-lain perkara pelik yang merujuk kepada kuasa dan kelebihan luar biasa orang-orang tertentu yang menyebabkan jinak dan tunduk roh kepadanya itu, adalah itu pembohongan yang terang lagi sesat. Ia tidak lain selain daripada perkara yang direka-reka. Jika benar sekalipun ada berlaku sesuatu hasil daripada yang disebut sebagai memuja dan memanggil roh tadi, maka itu adalah dari alam jin dan syaitan.

Sesungguhnya perkara bid‘ah “memanggil roh” telah dicipta oleh orang-orang Yahudi pada tahun 1935. Mereka menciptanya di Jerman empat tahun sebelum meletus Perang Dunia dengan tujuan untuk memalingkan para belia daripada menjadi tentera, beralih kepada khurafat ini.

Memanggil roh itu adalah mustahil. Tidakkah anda pernah membaca firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Keadaan golongan yang kufur ingkar itu, apabila sampai ajal maut kepada salah seorang mereka, dia berkata: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku hidup semula di dunia supaya aku mengerjakan amal salih yang pernah aku tinggalkan.” Tidak! Mana dapat! Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia saja yang menyatakannya, sedangkan di hadapan mereka ada alam barzakh tempat tinggal mereka hingga hari mereka dibangkitkan.” (Surah Al-Mu’minûn: 99-100)

Para ahli falsafah adalah bertujuan merobohkan aqidah mempercayai alam barzakh. Sebenarnya untuk memulangkan semula roh yang sudah keluar dari jasad adalah tidak boleh berlaku. Kedudukan roh selepas ia keluar dari tubuh badan adalah seperti firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Jika dia (yang mati itu) daripada orang- orang Muqarrabîn, maka dia akan beroleh rehat kesenangan dan rahmat kesegaran, serta syurga kenikmatan.” (Surah Al-Wâqi‘ah: 88-89)

Apabila sebahagian roh berada di dalam syurga An-Na‘îm, maka Allah Ta‘ala menerangkan pula kedudukan ahli syurga itu seperti firmanNya:

Tafsirnya: “Mereka tidak akan disentuh susah payah di dalam syurga itu dan tidaklah mereka akan dikeluarkan daripadanya.” (Surah Al-Hijr: 48)

Tafsirnya: “Dan jika dia daripada puak kanan, maka (akan dikatakanlah kepadanya): “Selamat sejahteralah kepada kamu kerana kamu daripada puak kanan.” Dan jika dia daripada puak kiri yang mendustakan Rasul lagi sesat, maka sambutan yang disediakan untuknya ialah air panas yang menggelegak serta bakaran api neraka.” (Surah Al-Wâqi‘ah: 90-94)

Apabila roh itu termasuk penghuni syurga, maka Allah Ta‘ala telah menegaskan:

Tafsirnya: “Dan mereka tidaklah akan dikeluarkan darinya.” (Surah Al-Hijr: 48)

Jadinya, bagaimanakah anda dapat memanggilnya (mengeluarkannya) dari syurga?

Kemudian apabila roh itu termasuk penghuni neraka, Allah Ta‘ala juga menegaskan:

Tafsirnya: “Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal mereka tidak akan dapat keluar darinya.” (Surah Al-Mâ’idah: 37)

Maka bagaimanakah anda dapat mengeluarkan dengan memanggilnya (roh itu) daripada neraka? (Al-Khuthab Al-Minbariyyah, Juz 21, Fadhîlah Asy-Syeikh Abdul Hamid Kasyk)

3. Jin: Kewujudan jin dan syaitan adalah suatu hakikat yang telah sabit. Menurut Al-Mawardi dalam A‘lâm An-Nubuwwah, bahawa jin itu jenis alam yang berkata-kata. Mereka makan dan minum, berkahwin dan mati. Di antara mereka itu ada juga yang baik di samping yang jahat, sebagaimana disebutkan oleh Al-Qur’an:

Tafsirnya: “Dan sesungguhnya ada di antara kami golongan yang baik, dan ada pula di antara kami yang lain daripada itu. Kami masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan. ” (Surah Al-Jinn: 11)

Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menemui sebahagian daripada para jin. Mereka itu mendengarkan bacaan Al-Qur’an daripada Baginda, sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Dan semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Qur’an, setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah setengah kepada yang lain: “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya.” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Qur’an itu dengan) memberi peringatan dan amaran.” (Surah Al-Ahqâf: 29)

Yang jahat di kalangan mereka pula akan sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia, seperti firman Allah menceritakan kata-kata Iblis:

Tafsirnya: “Iblis berkata: “Demi kuatkuasaMu (wahai TuhanKu), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang mukhlish (yang bersih daripada sebarang kederhakaan dan penyelewengan).” (Surah Shâd: 82-83)

Selain menggoda dan mendorong kepada waswas, golongan jin penderhaka juga boleh memudaratkan manusia dengan berbagai-bagai kemudaratan.

Manusia Mempunyai Qarîn

Telah sah dan sabit dalam hadis, bahawa setiap manusia itu ada qarîn atau teman yang sentiasa bersamanya semenjak dia dilahirkan lagi sampailah dia meninggal dunia. Imam Muslim telah meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tiada seorang kanak-kanakpun yang dilahirkan melainkan tidak sunyi daripada tusukan (gangguan) syaitan, maka kanak-kanak itupun menangis akibat gangguan syaitan itu, kecuali anak Maryam (Nabi Isa ‘Alaihissalam) dan ibunya (Maryam sendiri).” (Hadis riwayat Muslim)

Untuk lebih jelas lagi dipetik pula riwayat Imam Muslim selanjutnya bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tiada seorangpun daripada kamu, melainkan diwakilkan dengannya qarîn daripada kalangan jin.” Sahabat bertanya: “Apakah Tuan juga, wahai Rasulullah?” Nabi menjawab: “Ya, aku pun begitu juga, akan tetapi Allah telah menolongku menguasainya, maka dia pun Islam dan tidak menyuruh aku melainkan dengan kebajikan sahaja.” (Erti فأســلم: Qarîn itu masuk Islam, atau aku (Rasulullah) terselamat daripada gangguan qarîn itu, kerana Allah menolongku menguasainya).” (Hadis riwayat Muslim)

Dari maksud hadis-hadis ini menunjukkan qarîn-qarîn manusia itu kecuali qarîn Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah bersifat mengganggu dan merosak serta menyesatkan.

Walaupun manusia itu tidak berupaya menguasai jin, kecuali bagi orang yang diberikan izin oleh Allah seperti Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam, namun tidaklah terhalang daripada berlakunya kerjasama dan perhubungan di antara manusia dengan jin pada mencapai sesetengah maksud manusia itu. Hubungan dan kerjasama ini boleh tercapai dengan berbagai cara dan keadaan. Perkara ini berlaku kepada sebahagian orang di zaman lampau mahupun zaman sekarang.

Menurut fatwa Syeikh Al-Azhar, Asy-Syeikh Jad Al-Haq Ali Jad Al-Haq, perkara bekerjasama dengan jin ini biasanya berlaku kepada dukun-dukun, tukang-tukang ramal dan tukang-tukang sihir, dan adapun hubungan atau kerjasama itu pada masa sekarang disebut sebagai menghadirkan atau memanggil roh. (Bayân li An-Nâs 2/332-338)

Qarîn daripada kalangan jin mempunyai kemampuan untuk berbohong dan mengada-adakan yang karut-marut, hatta meniru tuannya dalam berbagai keadaan seperti suara dan kadang-kadang juga rupa tuannya itu sendiri.

Qarîn mempunyai pengetahuan tentang tuannya, sama ada yang zahir mahupun yang sulit-sulit.

Qarîn-qarîn boleh berhubung sesama mereka sendiri. Qarîn juga ada kalanya menjadi pembantu kepada tuannya dalam kerja-kerja tertentu, sehingga kerja-kerja itu menjadi senang, ataupun sebaliknya kerja-kerja itu menjadi susah kerana qarîn meletakkan halangan-halangan dan gangguan-gangguan. Selain daripada itu, boleh juga terjadi perkara-perkara yang lain lagi, berdasarkan alam jin itu mempunyai keanehan-keanehan yang tersendiri.

Maka apabila seseorang manusia itu berusaha dengan cara tertentu atau dengan berbagai jalan untuk menghadirkan atau mendatangkan roh, qarîn orang itu akan berupaya menerima suara-suara, dan kemudian akan memberitahu berbagai hal dan berbagai perkara ghaib yang telah disepakati oleh para qarîn melalui pertukaran maklumat sesama mereka. Selepas itu orang akan menyangka bahawa yang bercakap itu ialah roh orang mati yang telah dipanggil itu. Padahal yang bercakap itu ialah qarîn-qarîn sendiri yang membawa berita dan cerita yang bercampur-campur, yang direka-reka dan dusta. Cerita-cerita yang disuarakan oleh qarîn-qarîn itu yang berupa perkara-perkara ghaib seperti alam kubur, nikmat kubur, azab kubur dan kejadian-kejadian yang akan berlaku seperti bila terjadi Kiamat adalah bohong semata-mata, kerana qarîn-qarîn itu juga sama sekali tidak mengetahui perkara-perkara ghaib. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), tiada siapa pun di langit dan di bumi ini mengetahui perkara ghaib melainkan Allah. Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).” (Surah An-Naml: 65)

Al-Qur’an Al-Karim telah menceritakan dengan jelasnya berkenaan jin Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam. Ketika Nabi Sulaiman wafat, tidak siapapun yang tahu bahawa baginda itu telah wafat, termasuklah juga jin-jin yang sentiasa berkhidmat kepada baginda. Mereka melihat Nabi Sulaiman seperti biasa di atas tongkatnya, sehingga mereka menyangka bahawa Nabi itu masih hidup, padahal baginda sebenarnya sudahpun wafat. Perkara ini berjalan sekian lamanya, sehinggalah dengan takdir Allah, anai-anai telah memakan tongkat baginda itu lalu tongkat itupun patah dan baginda tumbang tersungkur, barulah jin-jin itu tahu bahawa Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam telah wafat. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menjelaskan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila dia tumbang tersungkur, barulah jelas kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia mengetahui perkara ghaib nescaya tidaklah mereka itu tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghinakan.” (Surah Saba’: 14)

Kesimpulan

Dengan keterangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa:

1. Perkara roh adalah urusan Allah, Dia saja yang mengetahui hakikatnya.

2. Roh tidak dapat dipanggil oleh manusia.

3. Orang yang mendakwa dapat memanggil roh adalah pembohong dan pendusta besar.

4. Jika ada dakwaan bahawa yang bercakap itu roh si Polan bin si Polan, maka yang bercakap itu bukanlah roh, tetapi sama ada ia jin, syaitan atau qarîn manusia.

Jawapan Bagi Soalan Kedua:

Sesungguhnya memanglah harus seseorang itu berjumpa dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sama ada waktu tidur atau waktu jaga dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan suatu ilmu, suatu doa, suatu selawat atau suatu zikir, semuanya ini harus, sebagaimana perkara ini telah berlaku kepada setengah-setengah ulama, wali Allah atau orang-orang salih. Perkara Nabi mengajar selawat atau seumpamanya itu tidak termasuk dalam maksud atau kategori perintah, melainkan di bawah fadhâ’il al-a‘mâl.

Diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Nu‘aim dan Ibnu Basykawal daripada Al-Imam Sufyan Ats-Tsauri telah berkata: “Di antara ketika saya mengerjakan haji, tiba-tiba masuk seorang pemuda, dia tidak mengangkat sebelah kaki dan tidak meletakkan sebelah kaki, melainkan dia berkata:

Maka saya kata kepadanya: “Adakah dengan ilmu kamu kata begitu?” Pemuda itu menjawab: “Ya”, kemudian pemuda itu berkata: “Siapa tuan?” Saya jawab: “Saya Sufyan Ats-Tsauri”. Dia bertanya: “Dari Iraq?” Saya jawab: “Ya”. Pemuda itu bertanya: “Adakah tuan kenalkan Allah?” Saya jawab: “Ya”, pemuda itu bertanya: “Bagaimana tuan kenalkan Allah?” Saya jawab: “Allah memasukkan malam ke dalam siang, dan Allah memasukkan siang ke dalam malam, dan Allah menciptakan anak-anak dalam rahim.” Kata pemuda itu: “Wahai Sufyan, tuan belum kenalkan Allah dengan sebenar-benar kenal.” Saya kata: “Bagaimana kamu kenalkan Allah?” Jawab pemuda itu: “بفسخ اهلم ونقض العزم” ertinya: “Dengan membuang bimbang dan membatalkan azam”, dan saya bimbang maka dibuang bimbang saya itu, dan saya berazam, maka dibatalkan azam saya itu, dengan itu saya kenal bahawa bagi saya ada Tuhan yang Esa yang mentadbirkan hal ehwal saya.”

Saya kata: “Apa itu selawat yang kamu selawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.” Jawab pemuda itu: “Ceritanya begini, adalah saya pergi haji bersama-sama dengan ibu saya dan ibu saya minta saya bawa dia masuk ke dalam Ka‘bah.

Saya pun bawa ibu saya ke dalam Ka‘bah, maka ibu saya terjatuh, dan bengkak perutnya, dan hitam legam mukanya, maka saya duduk di sisinya dengan sedih hati saya, dan saya angkat dua tangan saya ke langit, dan saya berkata: “Ya Rabbi Ya Tuhanku, beginikah Tuhan hamba buat kepada siapa masuk ke dalam rumah Tuhan hamba (Ka‘bah)”, maka tiba-tiba awan naik dari sebelah Tihamah, dan tiba-tiba ada di dalamnya seorang lelaki memakai pakaian putih, dan dia masuk ke dalam Ka‘bah, dan dia lalukan tangannya di atas perut ibu saya. Maka muka ibu saya menjadi putih dan kesakitannya reda, kemudian lelaki itu berjalan hendak keluar dari Ka‘bah, lalu saya tarik bajunya, dan saya bertanya padanya: “Siapa tuan yang menolong menyelamatkan saya daripada kesedihan saya?” Jawabnya: “Saya Nabi kamu Nabi Muhammad yang kamu memberi selawat ke atasnya”, maka saya kata: “Wahai Rasulullah فأوصنى ertinya: “Mohon beri pesan kepada saya.” Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Jangan angkat sebelah kaki dan jangan letakkan sebelah kaki melainkan kamu berselawat ke atas Sayyidina Muhammad dan ke atas keluarga

Kata saya: “Adalah orang muda ini daripada kalangan wali-wali yang sampai kepada Allah.”

Saya kata, ini kisah yang diceritakan Imam Sufyan Ats-Tsauri yang terkenal dan dinukilkan oleh Imam Abu Nu‘aim pengarang kitab Hilyah Al-Awliyâ’ dan Ibnu Basykawal dan telah dinukilkan oleh Muhaddits Ad-Dunya As-Sayyid Asy-Syeikh Abdullah Ash-Shiddiq Al-Ghummari daripada ulama Al-Azhar dan ulama Fas Al- Maghribi, dalam kitabnya Fadhâ’il An-Nabiy fî Al-Qur’ân wa An-Nafahât Al- Ilâhiyyah fî Ash-Shalâh ‘alâ Khair Al-Bariyyah dicetak oleh Maktabah Al-Qahirah, Syâri‘ As-Sanadiqiyyah Maidân Al-Azhar, Mesir.

Maka nyata daripada kata-kata ulama yang di atas ini bahawa berjumpa dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam waktu tidur atau waktu jaga, dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar akan sesuatu ilmu, doa, selawat dan zikir, adalah harus dan boleh, sebagaimana telah berlaku pada ulama-ulama, ahli ilmu Islam, wali-wali Allah, dan orang-orang salih. Kita berkata perkara seperti itu termasuk di bawah erti kata fadhâ’il al-a‘mâl.

Menurut Al-Allâmah Al-Imam Syeikh Al-Azhar wa Khatimah Al-Muhaqqiqîn Asy- Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf Al-‘Adawi Al-Maliki Rahimahullah, dalam kitab Al-Mathâlib Al-Qudsiyyah fî Ahkâm Ar-Rûh wa آtsâruha Al-Kauniyyah menyebutkan demikian: “Mengenai dengan melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan jaga ini, maka para ulama menyebutkan bahawa melihat Nabi secara jaga itu termasuk dalam perkara yang jarang terjadi dan sangat sedikit sekali orang yang mengalaminya, kecuali hanya bagi orang-orang yang bersifat mulia, bahkan perkara ini sudah berabad-abad tidak terjadi. Apa halnya pula jika dibandingkan dengan zaman ini yang penuh dengan fitnah, yang meluasnya berbagai-bagai kemaksiatan dan manusia pun sudah jauh daripada berdampingan dengan Nabi.

Kesimpulannya, bahawa melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan jaga dan berdialog dengan Baginda merupakan maqâm yang tinggi dan rahsia ketuhanan. Apabila ia tersingkap, ia akan tertutup dan apabila ia muncul, ia akan tersembunyi. (Lihat Tafsîr Alûsi dan Ihyâ’ ‘Ulûm Ad-Dîn berhubung dengan perkara melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam).

Jika dia termasuk daripada kalangan orang-orang yang tinggi kedudukan dan ahli kasysyâf, lagi mengenali Allah, maka tiadalah ada halangan baginya untuk melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu.

Melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan mata tidak sama seperti melihat sebagaimana yang dikenali oleh orang ramai. Penglihatan ini hanya merupakan gabungan keadaan (rohani) alam barzakh dan perasaan hati yang dapat diselami hakikatnya hanya oleh orang yang terlibat saja. Penglihatan ini hanya terjadi kepada orang-orang yang sempurna yang tidak mengabaikan syariat walau sebesar rambut, atau kepada orang-orang kasysyâf yang tidak lagi membezakan di antara yang batin dan yang zahir di alam ini.

Sesungguhnya yang dilihat di luar kubur Baginda dan pergi pula ke berbagai tempat, hanyalah bayangan dan gambaran Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bukan jasad dan tubuh badannya, sebagaimana pendapat kebanyakan ahli-ahli kasysyâf dan itulah yang dijelaskan oleh Imam Ghazali dan ulama-ulama besar lainnya.

Kejadian yang sedemikian boleh jadi melalui bayangan (gambaran) roh Baginda yang mulia yang kemudian muncul dalam bentuk yang dapat dilihat di samping roh (asal) Baginda tetap kekal bersambung dengan jasad Baginda yang terus hidup di dalam kubur itu.

Atau juga boleh jadi melalui jasad mitsâli atau jasad contoh yang bergantung (bersambung) kepada roh Baginda, sebagaimana ianya bergantung (bersambung) dengan tubuh badan sebenar Baginda. Tidaklah ada halangan terjadinya jasad mitsâli atau jasad contoh yang tterhingga banyaknya yang berpunca daripada satu tubuh badan, serta rohnya pula bersambung dengan setiap jasad mitsâli atau jasad contoh itu. Dengan yang demikian dapatlah terjawab pertanyaan bagaimana caranya boleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu dilihat oleh ramai orang dalam satu ketika di berbagai tempat yang berjauhan. Zat jasad Baginda yang mulia telah dilihat, akan tetapi Baginda masih tetap di dalam kuburnya, tidak berpindah dari tempatnya yang mulia, jikalau berpindah atau beralih dari situ nescaya kosonglah makam yang mulia itu dan terhalanglah melihat Baginda di dalam dua tempat pada satu masa bagi ahli-ahli kasysyâf. Walaupun begitu, harus Baginda beralih (pindah) dari makam (kuburnya) mengikut pandangan dan khayalan orang yang melihatnya, maka ini pun harus Baginda dilihat di berbagai tempat yang berjauhan.

Adalah Baginda bagaikan matahari di tengah-tengah langit, cahayanya menutupi alam jagat, sama ada di timur atau di barat.

Yang sebaik-baiknya sesiapa yang memperolehi kesempurnaan (melihat itu), hendaklah dia jangan menyebarluaskannya kepada orang ramai, kerana perkara itu boleh membawa fitnah dan menjadikan orang ramai berprasangka buruk dan membuat tuduhan yang bukan-bukan.” Tamat katanya.

Jika seseorang mendakwa boleh bertemu dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam misalnya untuk mengendalikan sesuatu tariqat atau membawa ajaran baru, maka hendaklah diingat bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telahpun sempurna menyampaikan seluruh kandungan perutusan Allah, sebagaimana ditegaskan melalui firman Allah:

Tafsirnya: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu jadi agama untuk kamu.” (Surah Al-Mâ’idah: 3)

Agama Islam dan kaum muslimin seluruhnya tidak perlu lagi untuk menerima perutusan daripada sesiapa yang lain daripada junjungan kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Al-Qur’an tetap terpelihara dan dibaca dan umat Islam telah disuruh oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk menyampaikannya kepada orang lain. Sabda Baginda:

Maksudnya: “Sampaikan bagi pihakku kepada orang lain walaupun dengan satu ayat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Tirmidzi)

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah wafat. Seluruh perintah yang berupa halal, haram dan lain-lain telah tertutup dengan berhentinya wahyu dengan kewafatan Baginda itu. Ini dengan merujuk kepada ayat 3, surah Al-Mâ’idah di atas.

Dakwaan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melantik seseorang untuk mengurus dan mengendalikan urusan tariqat dan mengembangkan tariqat tersebut kepada orang ramai adalah bertentangan dengan ayat di atas (surah Al-Mâ’idah, ayat 3), kerana dakwaan itu merupakan perintah. Tiada perintah setelah wahyu terhenti dan setelah wafat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Tidak dinafikan terdapat riwayat atau hikayat yang menyebut bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (setelah wafat Baginda) pernah menyuruh atau mengajar seseorang melalui mimpi atau melalui cara jaga. Tetapi ini bukanlah perintah secara menyeluruh atau umum melainkan hanyalah bagi peribadi tertentu sahaja.

Untuk mengakhiri jawapan ini, kita salinkan antara lain fatwa Al-Azhar oleh Fadhilah Al-Imam Al-Akbar Asy-Syeikh Jadd Al-Haq Ali Jadd Al-Haq, Syeikh Azhar menyatakan:

“Kehadiran orang yang mendakwa menjadi wali bertemu dalam keadaan jaga di dalam majlis pertemuan yang diadakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di langit yang dihadiri juga oleh beberapa orang nabi dan wali Allah termasuklah Nabi Allah Khidhir Alaihissallam dan Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani dan dakwaannya lagi bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melantiknya untuk menjadi amîr (memberi kuasa) untuk mengendalikan urusan tariqat Baginda dan dia diutuskan untuk menyampaikan tariqat tersebut kepada orang ramai, ini semua adalah suatu pendustaan dan rekaan semata-mata, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah wafat dan telah sempurna menyampaikan seluruh kandungan perutusan sepertimana ayat:

Tafsirnya: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah Al-Mâ’idah: 3)

Demikian telah berkata Syeikh Al-Azhar, dalam fatwanya (Buhûts wa Fatâwâ Islâmiyyah fî Qadhâyâ Mu‘âshirah 4/3330).

Kesimpulan

Dari keterangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa dakwaan boleh berjumpa dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah harus mengikut syara‘, akan tetapi ia hanya berlaku mengikut izin Allah Ta‘ala, dan ia hanya merupakan peluang peribadi, yakni orang yang berkenaan saja yang merasai dan menikmatinya, manakala orang lain tidaklah dianggap bersalah sekiranya tidak mahu membenarkan atau mempercayai dakwaannya itu.

Jawapan Bagi Soalan Ketiga:

Alam ini adalah makhluk atau ciptaan Allah Ta‘ala. Pengisi alam terdiri daripada pelbagai jenis, bentuk, rupa dan kejadian. Di antaranya ada yang dapat dilihat oleh mata kasar manusia seperti tubuh badan manusia itu sendiri, bumi, pohon-pohonan, air, rumah dan sebagainya. Di antaranya pula ada yang hanya diketahui dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti ilmu pengetahuan, roh, angin, perasaan, buah fikiran dan sebagainya daripada perkara-perkara yang dinamakan alam ghaib.

Khusus mengenai perkara kedua yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, sesetengahnya itu hanya diketahui menerusi penyelidikan atau pemberitahuan daripada penciptanya melalui Al-Qur’an dan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti syurga, neraka dan langit bersama penghuni dan bentuknya.

Khusus mengenai langit, ia telah diceritakan di dalam pelbagai tempat dalam Al- Qur’an dan penumpuan cerita ini termasuklah kedudukan langit sebagai salah satu ciptaan Allah seperti firmanNya:

Tafsirnya: “Dia menjadikan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat; Maha Tinggilah Dia daripada perbuatan syirik yang mereka lakukan.” (Surah An-Nahl: 3)

Termasuk juga cerita kedudukan langit sebagai sesuatu yang berpintu, seperti firmanNya:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhiNya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga sehingga unta masuk di lubang jarum. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.” (Surah Al-A‘râf: 40)

Yakni semasa hidup tidak diterima doa dan amal mereka, dan semasa mati, pintu langit tidak dibukakan kepada roh mereka, sebagaimana dibukakan kepada roh-roh orang-orang beriman.

Tafsirnya: “Dan kalau Kami bukakan kepada mereka mana- mana pintu langit, kemudian mereka dapat naik melalui pintu itu (pada siang hari yang membolehkan mereka menyaksikan segala kenyataan yang ada).” (Surah Al-Hijr: 14)

Tafsirnya: “Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.” (Surah Al-Qamar: 11)

Mengikut pendapat jumhûr ulama, maksud pintu yang dibukakan itu adalah majâz atau kinâyah yang menggambarkan banyaknya turun air hujan. Namun mengikut sesetengah ulama lagi, ia adalah hakikat, yakni pada langit itu dibukakan pintu- pintu tempat laluan air untuk turun. (Al-Bahr Al-Muhîth: 10/38)

Tafsirnya: “Dan pada masa itu langit dipecah-belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas.” (Surah An-Naba’: 19)

Az-Zamakhsari berkata bahawa ayat ini bermaksud: “Banyak pintu-pintunya bagi tempat laluan turunnya malaikat”. Selain itu ada yang menyebutkan maknanya sebagai jalan dan laluan bagaikan lubang-lubang yang ada pada dinding. (Al-Bahr Al-Muhîth 10/385-386)

Di dalam beberapa hadis ada juga diperkatakan tentang adanya pintu langit, seperti hadis mi‘râj yang terkenal itu. Ibnu Hajar antara lain mencatatkan:

Maksudnya: “Dan di dalam satu riwayat Ibnu Ishak: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tatkala aku selesai melakukan apa yang perlu dilakukan di Baitul Maqdis, didatangkanlah “al-mi‘râj” (tangga naik ke langit) dan aku tidak melihat sesuatu yang lebih indah daripadanya dan itulah yang dipandang oleh seseorang apabila tiba ajalnya. Kemudian Jibril membawa aku naik pada tangga itu sehinggalah aku sampai ke salah satu pintu daripada pintu-pintu langit...... (sehingga akhir hadis). (Fath Al-Bâri 7/609)

Di dalam hadis riwayat Abu Sa‘id pada Sunan Al-Baihaqi ketika menyebutkan tentang perihal nabi-nabi, antara lain disebutkan:

“........ Sehinggalah Nabi sampai ke salah satu pintu daripada pintu-pintu langit yang

diberi nama Al-Hafazhah )احلفظة(.” (Fath Al-Bâri 7/610)

Berdasarkan ayat-ayat dan hadis ini, langit mempunyai banyak pintu dan salah satu daripadanya dinamakan pintu Al-Hafazhah.

Dengan sabitnya kewujudan pintu-pintu langit mengikut bentuk dan ketetapan Allah mengenainya sebagaimana yang disebutkanNya dalam Al-Qur’an, maka ia akan dibuka atau akan sentiasa terbuka sesuai dengan kehendak Allah dan ketentuanNya. Berdasarkan beberapa hadis, ia dibuka apabila masuk bulan Ramadhan, apabila ada orang sembahyang berjemaah kemudian terus menunggu sembahyang berikutnya, juga apabila ada orang yang berzikir hamdalah dan lain-lain.

Di antara hadis-hadisnya ialah:

Maksudnya: “Apabila masuk bulan Ramadhan dibukakanlah pintu-pintu langit, ditutup pintu-pintu neraka Jahannam dan dibelenggu para syaitan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Maksudnya: “Daripada Abdullah bin ‘Amr, katanya: “Kami sembahyang Maghrib bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian sebahagian daripada kami ada yang kembali dan sebahagian lagi masih tetap duduk menunggu. Maka datanglah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan bersegera, sehingga nafasnya kuat dan kedua lututnya terbuka, lalu Baginda bersabda: “Bergembiralah kamu semua! Tuhan kamu telah membukakan pintu daripada pintu-pintu langit, Dia berbangga dengan kamu kepada para Malaikat, Dia berfirman: “Kamu lihatlah kepada hamba-hambaKu, mereka telah mengerjakan sembahyang wajib dan kini mereka sedang menunggu sembahyang wajib yang lain.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seseorang itu tidak sekali-kali mengucapkan ل إله إل هللا، dengan ikhlas, melainkan dibukakan untuknya pintu-pintu langit sehingga sampai ke ‘Arasy selama dia menjauhi dosa besar.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Maksudnya: “Daripada Abdul Jabbar bin Wa’il, daripada ayahnya, dia berkata: “Aku sembahyang bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu seseorang membaca: كافيه""احلمدهلل محدًا كث ْيا طيبا ً مبار ertinya: “Segala puji bagi Allah, dengan pujian yang banyak, bagus dan diberkati.” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam setelah selesai sembahyang, Baginda bertanya: “Siapakah yang membaca itu tadi?”

Seseorang menjawab: “Saya. Dan saya tidak bermaksud apa-apa melainkan kebaikan.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya pintu-pintu langit telah dibukakan baginya, dan tidak ada sesuatu yang melarangnya kecuali ‘Arasy.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Ulama berkata bahawa pengertian “dibukakan” pintu-pintu langit di dalam hadis yang pertama boleh jadi secara hakikat, tetapi ada juga yang berpendapat ia adalah kinâyah kepada turunnya rahmat dan terbukanya pendinding daripada tempat naiknya amal-amal manusia, yang ada kalanya dengan mendapat taufiq dan ada kalanya pula dengan diterimanya amalan itu dengan baik pada bulan Ramadhan itu. (Irsyâd As-Sâri 4/510)

Yang dimaksudkan dengan “dibukakan baginya pintu-pintu langit” di dalam hadis yang ketiga pula ialah zikir ُ ال َ إّله َ إّال َ هللا amat bersegera diterima Allah. (Mirqât Al- Miftâh 5/142)

Berdasarkan keterangan nash-nash Al-Qur’an dan hadis serta tafsiran ulama mengenainya sebagaimana yang disebutkan di atas, maka kita tidak mengetahui secara terperinci tentang hakikat pintu langit, sama ada dari sudut bentuk, saiz, kedudukan dan jumlahnya. Apa yang jelas ialah langit mempunyai banyak pintu kerana nash menyebutkan أبواب yang bermakna banyak atau beberapa pintu.

Kemudian, nash-nash itu juga tidak membuat perincian di mana letak pintu-pintu itu, dan setiap langit berapa pintunya.

Hal ini menunjukkan kita tidak disuruh dan tidak perlu mengetahui perincian tersebut, yang penting bagi kita ialah wajib mempercayai adanya langit dan ia mempunyai pintu-pintu mengikut keadaan dan bentuk yang dikehendaki oleh Allah Ta‘ala.

Maka kerana inilah ketika mentafsirkan surah An-Naba’, ayat ke 19 sesetengah ulama menyebutkan bahawa dalam keadaan ilmu manusia yang seperti sekarang ini, maka manusia belumlah dapat mengetahui bagaimana keadaan langit yang akan terbuka itu, sebab yang kita lihat di malam hari hanyalah bintang-bintang yang berselerak berjuta-juta banyaknya, kemudian yang kita tahu langit yang kadang-kadang kita namai ruang angkasa itu amatlah luas dan tinggi, tidak kelihatan batasnya. Bahkan ada yang menyebutkan apabila manusia berangkat dari tempatnya di bumi ini menuju ke langit dengan kecepatan cahaya, lalu mengedarinya, maka 12 juta tahun baru sampai semula ke tempat asalnya itu di bumi. (Tafsîr Al-Azhar, h: 7858).

Kesimpulan Yang dituntut daripada kita hanyalah percaya bahawa langit itu ciptaan Allah. Hakikat kejadian dan bentuknya termasuk pintu-pintunya hanya Allah Ta‘ala saja yang mengetahuinya dan kita hanya disuruh mempercayainya dan dituntut mengenalinya sekadar apa yang diceritakan oleh penciptaNya di dalam Al-Qur’an dan oleh NabiNya di dalam hadis-hadis.

Oleh kerana langit itu tujuh lapis, dan mengikut ayat-ayat yang telah disebutkan ia mempunyai pintu-pintu (أبواب), bukan satu pintu (ِبب) saja, maka dakwaan orang yang melihat pintu langit terbuka masih boleh dipertikai dan dibantah, pintu mana satu yang terbuka itu? Adakah semua pintu itu atau satu saja yang terbuka.

Kemudian, dakwaan bahawa selama orang berkenaan berada di Negara Brunei Darussalam pintu langit terbuka hanya dua kali, adalah suatu pembohongan dan bertentangan dengan hadis-hadis yang telah disebutkan, kerana mengikut hadis-hadis itu, pintu langit tetap terbuka selama bulan Ramadhan, ketika ada orang yang sembahyang fardhu berjemaah lalu menunggu tiba fardhu sembahyang berikutnya,

Betapa ramainya orang-orang yang beriman di seluruh dunia termasuk mereka yang di Brunei sejak dulu sehingga sekarang yang mengucapkan zikir tersebut setiap hari, bahkan setiap saat. Ertinya pintu langit sentiasa terbuka dengan sebab ada orang yang berzikir dengan zikir tersebut, bukannya tertentu hanya dua kali saja.

Jawapan Bagi Soalan Yang Keempat Pula:

Oleh kerana persoalan ini berkaitan dengan dakwaan menjadi wali Allah, maka mestilah terlebih dahulu dibincangkan siapa wali Allah itu dengan melihat kepada ciri-ciri melalui sifat-sifatnya, amalan-amalannya dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Jadi, sesiapa juga yang mendakwa dirinya sebagai wali Allah, sedangkan dia tidak memenuhi kriteria yang sebenarnya, maka mudahlah ditolak dakwaan tersebut.

Erti Wali Allah

Wali Allah itu ialah orang yang beriman dan orang yang bertaqwa kepada Allah.

Berkata ulama tafsir: “Wali Allah ialah orang yang mendampingi dan berbuat taat kepada Allah, dan kerana itu Allah Ta‘ala pula mendampingi dan memberinya kemuliaan. Allah Ta‘ala berdamping dengannya dan memberi hidayat kepadanya, dan cara wali Allah itu berdamping ialah dengan menjalankan hak-hak kehambaan kepada Allah, dan menyeru orang kepada Allah.” Ini setengah daripada kata ulama tafsir.

Berkata pula ulama tauhid: “Wali Allah ialah orang yang telah mendatangkan i‘tiqâd yang benar, disusun dari dalil ‘aqli dan naqli (Al-Qur’an dan hadis), dan dia mendatangkan amal-amal yang salih menurut cara apa yang datang daripada syara‘, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula senantiasa bertaqwa.” (Surah Yunus: 63)

Iman itu tersusun daripada i‘tiqâd dan amal, sedangkan maqâm taqwa pula ialah menjauhi segala larangan Allah.

Berkata Imam Nawawi dalam pendahuluan Syarh Al-Muhadzdzab daripada Imam Syafi‘e dan Abu Hanifah Radhiallahu ‘anhuma bahawa kedua-duanya berkata: “Jika ulama itu bukan wali Allah, maka tiadalah ada wali bagi Allah, dan erti orang ‘âlim ialah yang beramal dengan ilmunya dan ikhlas kepada Allah serta tidak ria dan menunjuk-nunjuk.” (Daripada Tafsîr Al-Jamal).

Berkata Al-‘Allâmah Asy-Syeikh Thahir Al-Jaza’iri dalam Al-Jawâhir Al- Kalâmiyyah: “Wali itu ialah orang yang tahu dan kenalkan Allah beserta sifat-sifatNya, dan seberapa yang terdaya dia sentiasa berbuat taat serta menjauhi segala maksiat dan kesalahan, menjauhi daripada berseronok dengan kelazatan dan syahwat, dan zahir keramat daripadanya iaitu suatu kemuliaan daripada Allah, zahir tanda serta isyarat diterima amal ibadatnya oleh Allah dan tanda dia berdampingan dengan Allah.”

Berkata Al-‘Allâmah As-Sayyid ‘Alwi bin Thahir Al-Haddad, Mufti Johor yang meninggal dunia tahun 1382H dalam kitab ‘Uqûd Al-Almâs bi Manâqib Al-Imam Al-‘Arif Billah Al-Habib Ahmad bin Hasan Al-‘Aththas, berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Al-Fath: “Wali itu ialah orang yang kenalkan Allah, yang sentiasa rajin membuat taat kepadaNya, yang ikhlas semata-mata kerana Allah dalam ibadatnya.”

Kata Al-‘Allâmah As-Sayyid ‘Alwi lagi: “Iman yang benar, kuat dan tetap dalam hati adalah asal bagi perkara wali itu. Daripada iman yang kuat itu bangkit himmah seseorang hamba Allah pada menyempurnakan taqwa kepada Allah, mendirikan sifat-sifat kehambaan, berusaha pada berdampingan dengan Allah dengan mengerjakan suruhanNya, dan berusaha mencari keredaanNya, dengan membuat segala perkara wajib yang telah diperintahkan oleh Allah. Dia menunaikan perintah-perintah itu dengan penuh hadir hati serta dengan benar-benar khudhû‘, merendah diri dan menyembah Allah dengan memandang bahawa Allah itu Tuhannya dengan tidak memandang faedah dirinya. Dia hanya memandang anugerah Allah ke atasnya dan dengan itu terhindarlah dirinya daripada sifat lalai, ‘ujûb, ria, bermuka-muka, minta upah dan balasan, kerana dia beri‘tiqâd bahawa apa yang dia dapat itu hanyalah limpah kurnia Allah sebagaimana i‘tiqâd Ahli Sunnah wal Jemaah. Oleh itu dia pun bersifat ikhlas, jujur semata-mata kerana Allah dan jadilah ibadatnya ibadat hamba yang hina dina kepada Tuhannya Yang Maha Mulia.

Bahawa amal-amal salih itu mempunyai pahala dan mempunyai cahaya atau nûr dalam dunia sebelum tiba Hari Akhirat. Dengan bertambah iman, maka bertambah-tambahlah seseorang hamba Allah itu beribadat dan merendah diri kepada Allah dengan berbuat ibadat-ibadat yang sunat daripada sembahyang, puasa, zikir dan berfikir pada makhluk Allah. Allah memberinya taufiq pada memelihara dirinya daripada penyakit-penyakit yang merosakkan hati.”

Kata Al-‘Allâmah As-Sayyid ‘Alwi lagi: “Berkata Al-Imam Ibnu Hajar Al-Makki: “Ringkasan apa yang telah kita huraikan, bahawa barangsiapa berusaha berdamping dengan Allah Ta‘ala dengan mengerjakan perkara-perkara yang fardhu dan wajib, kemudian dia mengerjakan amal-amal sunat, nescaya Allah mendampinginya dan mengangkatkan darjatnya daripada darjat iman ke darjat ihsân, maka jadilah dia dalam keadaan beribadat kepada Allah dengan hadir hati dan gemar kepada Allah, sehingga apa yang ada dalam hatinya dalam mengenal Allah dapat disaksikan dengan mata hatinya iaitu seolah-olah dia melihat Allah. Maka ketika itu penuhlah hatinya dengan kenal dan kasihkan Allah dan merasa senang kemuliaan, kehebatan dan ketinggian Allah. Kemudian sentiasalah mahabbah dan kasih akan Allah itu bertambah-tambah sehingga tidak ingat hatinya melainkan kepada Allah, dan tidaklah dapat anggotanya berbuat sesuatu melainkan dengan persetujuan apa yang ada dalam hatinya itu. Inilah yang dikatakan tidak ada dalam hatinya melainkan kenalkan Allah, mahabbah kepada Allah dan ingatkan Allah.”

Kemudian kata Al-Imam Ibnu Hajar lagi: “Ketika penuh hatinya dengan kenalkan Allah, maka hilanglah ingatannya yang lain daripada Allah, dan dia tidak bertutur melainkan dengan ingatkan Allah dan dia tidak bergerak melainkan dengan menurut perintah Allah. Jika dia bertutur, maka dia bertutur dengan perintah Allah, jika dia mendengar maka dia mendengar dengan perintah Allah, jika dia melihat maka dia melihat dengan perintah Allah dan jika dia bergerak dan membuat sesuatu maka dia melakukannya dengan perintah Allah.” Tamat katanya yakni segala gerak-geri, tuturnya dan lain-lain itu bersetuju dan muafakat dengan apa yang diperintah dan disuruh oleh Allah Ta‘ala.

Katanya lagi: “Telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dan Tirmidzi dan Nasa’i daripada sahabat, Anas telah berkata: “Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tiga perkara, barangsiapa ada padanya, nescaya dia dapat merasa kemanisan (nyamannya) iman, hendaklah hanya Allah dan RasulNya itu yang paling dikasihinya lebih daripada dia mengasihi akan selain daripada keduanya, hendaklah dia kasihkan seseorang Islam itu, tidak ada kasihnya melainkan kerana Allah semata-mata, dan hendaklah dia benci akan kembali pada kufur (menjadi kafir), sebagaimana dia benci akan dicampakkan ke dalam api neraka.”

Ini perkataan Al-‘Allâmah As-Sayyid ‘Alwi dalam ‘Uqûd Al-Almâs yang terang dan jelas bahawa iman itu terbit daripada sifat kenalkan Allah. Kenalkan Allah itu dapat diikuti melalui kitab-kitab tauhid dan ilmu ‘Aqâ’id. Iman itu menjadi teguh dan sempurna, nyaman di hati hamba Allah atau di hati seseorang yang beriman, apabila ada kasih mahabbah kepada Allah dan Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih daripada mengasihi dirinya dan anak isterinya sendiri dan lain-lain orang. Dia kasihkan seseorang Islam itu kerana Allah semata-mata, sebab orang itu taatkan Allah, dan dia bencikan orang itu, apabila orang itu derhaka kepada Allah, sebagaimana yang tersebut dalam hadis di atas. Dia benci membuat perkara yang menjadikan kufur dan keluar daripada Islam dan dia benci membuat perkara yang membawa dia masuk api neraka daripada perangai jahat dan perbuatan serta percakapan yang dilarang oleh Allah.

Kelebihan Wali-Wali Allah

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu) ialah orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada janji-janji Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar.” (Surah Yunus: 62-64)

Ditakhrîj oleh Al-Imam Al-Bukhari daripada Anas dan Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda daripada Allah Ta‘ala (Hadis Qudsi):

Maksudnya: “Barangsiapa menghina seseorang waliKu, maka sesungguhnya dia telah mengisytiharkan peperangan ke atasKu, dan Aku tidak teragak-agak pada sesuatu untuk Aku lakukan, sebagaimana Aku teragak-agak pada mengambil nyawa hambaKu yang mukmin yang bencikan mati, dan Aku benci menyakiti akannya, dan tidak dapat tidak dia daripadanya, dan tidak berdamping hambaKu yang mukmin kepadaKu, seperti dia berdamping denganKu dengan melakukan sifat zuhud di dalam dunia, dan tiada sesuatu ibadat yang dia kerjakan seperti dia mengerjakan ibadat-ibadat yang telah Aku fardhukan ke atasnya.”

Menurut suatu riwayat daripada Imam Al-Bukhari katanya:

Maksudnya: “Bahawa Allah Ta‘ala telah berfirman: “Barangsiapa memusuhi waliKu, maka sesungguhnya Aku telah memasyhurkan peperangan ke atasnya, dan tiada hambaKu berdamping kepadaKu dengan sesuatu, yang lebih Aku sukai daripada dia menunaikan perkara yang Aku fardhukan ke atasnya, dan sentiasalah hambaKu berdamping kepadaKu dengan membuat perkara-perkara yang sunat sehingga Aku kasihkan dia, apabila Aku telah kasihkan dia, maka dengan pendengaranKu dia mendengar, dan dengan penglihatanKu, dia akan melihat, dan dengan kudratKu, tangannya membuat, dan dengan kudratKu, dia berjalan dengan kakinya, dan jika dia minta daripadaKu, nescaya Aku berikan dia, dan jika dia mohon berlindung denganKu, nescaya Aku lindungi dia, dan tidaklah Aku teragak-agak akan membuat sesuatu, sebagaimana yang Aku sendiri, teragak-agak terhadap jiwa hambaKu yang mukmin yang bencikan mati, dan Aku benci akan menyakitinya.”

Ditakhrîj oleh Al-Imam Ibnu Abu Ad-Dunya dalam Kitab Al-Awliyâ daripada sahabat Anas bin Malik daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Jibril daripada Allah ‘Azza wa Jalla yang berfirman:

Maksudnya: “Barangsiapa menghina waliKu, maka sesungguhnya dia telah berani memerangiKu, dan sesungguhnya Aku murka bagi pihak wali-waliKu, sebagaimana garang singa yang ganas, dan tidak berdamping kepadaKu hambaKu yang mukmin seperti dia berdamping denganKu dengan menunaikan perkara-perkara yang difardhu dan diwajibkan ke atasnya, dan sentiasalah hambaKu yang mukmin itu berdamping kepadaKu dengan mengerjakan perkara-perkara yang sunat, sehingga Aku kasihkan dia, maka apabila Aku telah kasihkan dia, jadilah Aku baginya pendengarannya, pandangannya, dan tangan (kudratnya). Jika kiranya dia seru dan mohon daripadaKu, nescaya Aku kabulkan dia, dan jika kiranya dia memohon minta daripadaKu, nescaya Aku berikan dia, Aku tidak teragak-agak pada berbuat sesuatu, sebagaimana Aku teragak-agak pada mengambil roh hambaKu yang mukmin, yang bencikan mati, dan Aku benci menyakiti akannya, dan tidak dapat tidak dia daripadanya, dan sebahagian daripada hambaKu bermohon daripadaKu akan satu bab daripada ibadat, maka akan Aku cegah supaya jangan dia terkena ‘ujub yang akan merosakkan ibadatnya itu, dan sebahagian daripada hambaKu yang mukmin itu tidak akan betul imannya melainkan diberi dia kaya, kalau Aku beri dia papa nescaya rosak imannya itu, dan sebahagian daripada hamba-hamba itu tidak betul imannya melainkan diberikan dia papa, dan jikalau Aku beri dia kaya, nescaya rosak imannya itu, dan setengah-tengah daripada hambaKu itu tidak betul imannya melainkan diberikan kepadanya sihat tubuh badan, dan jika Aku beri sakit, nescaya akan rosak imannya itu, dan setengah daripada hambaKu yang mukmin itu tidak betul imannya melainkan diberikan dia sakit, dan jikalau diberikan dia sihat tubuh badannya, nescaya rosak imannya itu, Aku mentadbirkan perkara-perkara hamba-hambaKu dengan ilmuKu dan Aku mengetahui akan hati-hati mereka, bahawa Aku Yang Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.”

Ditakhrîj oleh Al-Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak dengan sanadnya daripada Zaid bin Aslam daripada bapanya bahawa Sayyidina Umar keluar pergi ke Masjid Nabawi pada suatu hari, maka dia berjumpa Sayyidina Mu‘adz bin Jabal menangis di sisi kubur Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka Sayyidina Umar bertanya: “Apa yang menyebabkan kamu menangis wahai Mu‘adz?” Jawab Sayyidina Mu‘adz: “Yang menyebabkan aku menangis ialah sebuah hadis yang aku dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya:

Maksudnya: “Sedikit ria itu adalah syirik (menyekutukan amal ibadat kepada Allah dengan manusia, atau tidak ikhlas semata-mata kepada Allah, dan tidak ikhlas semata-mata kepada Allah itu ditolak). Dan barangsiapa berseteru (bermusuh) dengan wali-wali Allah, maka sesungguhnya dia telah mengisytiharkan peperangan dengan Allah, bahawa Allah kasihkan hamba-hambaNya yang benar, yang bertaqwa, takutkan Allah, yang bersembunyi (tiada dikenal oleh orang), mereka apabila ghaib (pergi jauh), maka orang-orang tidak mencari mereka, dan sekiranya mereka hadir, maka orang-orang tidak kenalkan mereka, hati-hati mereka mendapat hidayah sebagai lampu suluh yang terang benderang, mereka keluar daripada segala kekotoran dan gelap gelita.”

Ditakhrîj oleh Al-Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak daripada sahabat Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma telah berkata: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Bahawa bagi Allah Ta‘ala itu hamba-hamba, mereka itu bukan nabi-nabi dan bukan pula orang-orang mati syahid di medan pertempuran dengan orang-orang kafir. Orang-orang mati syahid dan nabi-nabi menginginkan keadaan seperti mereka (hamba-hamba itu) dengan sebab hampirnya mereka itu kepada Allah Ta‘ala dan majlis mereka hampir dengan Allah. Maka seorang Arab pedalaman (Badwi) duduk di atas dua lutut, dan berkata: “Wahai Rasulullah, mohon ceritakan mereka itu kepada kami, mohon gambarkan mereka.” Sabda Rasulullah: “Mereka adalah suatu kumpulan orang-orang yang tidak diketahui siapa mereka, datang daripada berbagai-bagai suku dan qabilah, mereka bersahabat semata-mata kerana Allah, dan mereka berkasih-sayang semata-mata kerana Allah, Allah akan letakkan mereka pada Hari Kiamat di atas mimbar diperbuat daripada nûr, manusia takut pada hari itu dan mereka pula tidak takut akan sesuatu pada hari itu, mereka itulah wali-wali Allah ‘Azza wa Jalla, yang mereka tidak takut terhadap apa-apa yang akan berlaku dan mereka tidak sedih pada apa yang telah lalu. (Hadis ini shahîh isnâdnya).

Telah diriwayatkan daripada hadis sahabat, Abu Malik Al-Asy‘ari bahawa dia menghimpunkan kaum bangsanya, maka dia sebutkan hadis tadi, kemudian dia berkata: “Manakala Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menunaikan sembahyang, Baginda memalingkan muka Baginda kepada kami, seraya bersabda:

Maksudnya: “Hai manusia kamu dengar dan perhatikan serta ketahuilah bahawa bagi Allah Ta‘ala itu hamba-hamba, mereka bukan nabi-nabi dan bukan pula syuhadâ’. Nabi-nabi dan para syuhadâ’ itu menginginkan (bercita-cita supaya) keadaan mereka seperti hamba-hamba tersebut sebab kedudukan dan hampirnya mereka itu kepada Allah Ta‘ala, maka seorang Badwi pedalaman berdiri di atas lututnya daripada celah-celah orang dari sudut yang jauh, dan dia mengangkat tangannya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan berkata: “Wahai Rasulullah, orang-orang daripada golongan mukminin, mereka bukan nabi-nabi dan bukan syuhadâ’, mereka disukai oleh nabi-nabi dan syuhadâ’, sebab kedudukan mereka dan mereka itu hampir kepada Allah Ta‘ala mohon sifatkan mereka kepada kami.” Maka wajah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berseri-seri dengan sebab pertanyaan orang Badwi itu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Mereka manusia daripada orang-orang yang tidak diketahui, dan datang daripada berbagai-bagai suku dan qabilah, tidak ada di antara mereka persaudaraan yang dekat, mereka berkasih-sayang kerana Allah, dan hening hati mereka, Allah Ta‘ala akan menempatkan mereka pada Hari Kiamat di atas mimbar-mimbar daripada cahaya (nûr). Maka duduklah mereka di atas mimbar-mimbar itu. Jadilah muka-muka mereka bercahaya, dan pakaian mereka bercahaya, manusia pada Hari Kiamat itu merasa gementar takut, sedangkan mereka tidak gementar takut, mereka ialah wali-wali Allah, mereka tidak takut terhadap apa yang akan berlaku, dan mereka tidak sedih di atas apa yang telah lalu.” (At-Targhîb h. 4448)

Berkata Al-Hafiz Al-Haitsami hadis ini diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad kesemuanya dan Al-Imam Thabarani sepertinya, semua râwinya adalah tsiqah, kemudian diriwayatkan daripada Abu Malik juga, dikeluarkan oleh Al-Imam Abu Ya‘la. Râwinya adalah orang-orang hadis shahîh melainkan Syahrun bin Hausyab, tetapi ramai ulama mengatakan dia orang tsiqah.

Ayat-ayat Al-Qur’an dalam perkara kasih hamba kepada Allah, dan kasih Allah kepada hambaNya dan kepada hamba-hambaNya yang berbuat amal salih, seperti al-muttaqîn, at-tawwâbîn, al-mutathahhirîn, al-muhsinîn, al-muqsithîn adalah banyak. Begitu juga sebaliknya (Allah Ta‘ala tidak sukakan hamba yang melakukan amal kejahatan), seperti firman Allah:

Tafsirnya: “Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.” (Surah Ali ‘Imran: 57)

Ditakhrîj oleh Imam Muslim daripada sahabat Sa‘ad bin Abu Waqqash Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Sesenang-senang waliKu, ialah orang mukmin yang sedikit harta benda, mempunyai nasib yang baik pada menyempurnakan sembahyang, dia mengelokkan ibadat kepada Tuhannya, dan dia taatkan Allah secara tertutup (bersulit-sulit) dan dia tiada dikenal oleh orang, tiada orang mengambil tahu halnya, kemudian dia sabar di atas keadaan begitu.”

Dan hadis yang lain menyebutkan:

Maksudnya: “Boleh jadi seseorang berdebu dan rambutnya mengerbang, pakaiannya buruk, tiada diambil hirau oleh orang, tetapi jikalau dia bersumpah kepada Allah nescaya Allah Ta‘ala kabulkan sumpahnya itu.” (Hadis riwayat Muslim, Tirmidzi, Abu Nu‘aim, Ibnu Abu Ad-Dunya, Al-Bazzar dan Ad-Dailami)

Keramat Wali-Wali Allah

Keramat adalah perkara luar biasa yang dihubungkan kepada wali-wali Allah sebagai suatu kemuliaan daripada Allah terhadap wali-waliNya itu. Perkara-perkara yang luar biasa itu nisbah kepada nabi-nabi dan rasul-rasul disebut mu‘jizat. Sementara istidrâj pula adalah bagi hamba-hambaNya yang derhaka. Sepanjang zaman, kita akan melihat contoh-contoh keramat yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya yang bertaraf wali itu. Di antara contoh-contoh keramat wali-wali Allah, ialah:

Kisah Maryam, Allah berfirman:

Tafsirnya: “Setiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Maryam, dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab: “Ialah daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.” (Surah Ali ‘Imrân: 37)

Begitu juga tentang kisah Ashhâb Al-Kahf, kisah Nabi Allah Al-Khidhir ‘Alaihissalam membocorkan kapal, Baginda mengangkat tembok dinding, dan kisah membawa ‘Arasy Balqis sekelip mata. (Surah Al-Kahf, ayat 9 hingga 26, ayat 71 dan 77 dan surah An-Naml, ayat 40)

Begitu juga berita-berita mengenai peristiwa luar biasa yang berlaku ke atas beberapa orang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti Sayyidina Umar Radhiallahu ‘anhu semasa beliau di atas mimbar di Madinah Al-Munawwarah, beliau melihat tenteranya (di Iraq) seraya katanya yang bermaksud: “Hai Sariah (ketua tentera), berundurlah kamu ke bukit”, dan perkataan tersebut di dengar oleh Sariah. Sepertimana juga Khalid bin Al-Walid Radhiallahu ‘anhu bagaimana dia telah meminum racun tanpa berlaku sebarang mudarat ke atas dirinya.

Jadi keseluruhan sifat seorang wali Allah itu ialah: Sentiasa dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah dan menjauhi segala maksiat, dan keramatnya lahir tanpa diikuti dengan dakwaan bahawa dia seorang wali, di samping itu dia beri‘tiqâd dengan i‘tiqâd yang betul dan beramal salih serta memberikan penghayatan sepenuhnya dalam mengikut perjalanan hidup Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Majoriti ulama Islam berpendapat tentang harusnya berlaku keramat kepada wali-wali Allah, walaupun puak Mu‘tazilah menolaknya. Pendapat yang terpilih ialah mengharuskan berlakunya kejadian luar biasa yang dibangsakan kepada keramat itu.

Perbezaan antara keramat dan mu‘jizat, bahawa mu‘jizat itu diikuti dengan dakwaan kenabian, sedangkan keramat sunyi daripada dakwaan seumpama itu, sehinggakan jika terdapat seorang wali mendakwa dirinya nabi, maka secara langsung dia akan menjadi musuh Allah dan sama sekali tidak berhak memperolehi keramat, malah sebaliknya dia akan ditimpa laknat dan kehinaan daripada Allah. Di dalam Al-Qur’an terdapat ayat-ayat yang memuliakan wali-wali Allah dengan menyebutkan sifat-sifat mereka. (Fath Al-Bâri Syarh Al-Bukhâri 11/ 340-341).

Benarkah Dakwaan Seseorang Bahawa Dia Menjadi Wali

Mengenai dengan dakwaan seseorang menjadi wali, para ulama telah memberikan pendapat, di antaranya:

Berkata Abu Said Al-Khadami Rahimahullah:

“Ketahuilah bahawa ilmu, amal, pendirian yang teguh dan taqwa adalah lebih utama dan penting daripada keramat, kerana ilmu, amal, pendirian yang teguh dan taqwa itu adalah disuruh melakukannya dan ianya boleh menambah dekat kepada Allah di samping sebagai jalan untuk diterima Allah. Ketiadaan keempat-empat perkara ini boleh menjadikan seseorang itu jauh dan tersingkir daripada rahmat Allah. Sedangkan keramat bukanlah perkara yang disuruh dan meninggalkannya pula bukan suatu yang diharamkan, bahkan meninggalkan atau menyembunyikan keramat itu adalah lebih utama dan lebih baik berbanding daripada memperlihatkannya.”

Oleh yang demikian para ulama sepakat bahawa memperlihatkan atau menzahirkan keramat, boleh menjadikan seseorang itu tertegah daripada mentaati Allah Ta‘ala di samping menunjukkan bahawa yang empunya keramat itu bukanlah seorang wali, kerana kerendahan cita-cita dan kesukaannya kepada sesuatu yang rendah nilainya dengan memperlihat atau menzahirkan keramat itu.

Berkata Al-‘Arif As-Sirry As-Saqthi: “Jikalau seseorang yang ‘ârif memasuki suatu kebun yang dipenuhi dengan pohon-pohon, dan pada setiap pohon itu pula terdapat burung, lalu burung-burung itu dengan fasihnya berkata dan mengucapkan kepadanya: “Assalamu ‘alaikum (selamat sejahtera) ke atasmu wahai wali Allah”, maka wajiblah dia bertambah-tambah takut kepada Allah, dan apabila dia tidak merasa takut, nescaya dia adalah orang yang tertipu.”

Pernah diberitakan kepada Sultan Al-‘Arifin, Abu Yazid Al-Bustami bahawa: “Si Polan boleh berjalan ke Makkah hanya dalam satu malam.” Lalu dia menjawab:

“Syaitan juga boleh berjalan hanya satu saat dari Timur ke Barat dalam keadaan dia dilaknat oleh Allah.” Pada waktu yang lain diberitakan kepada beliau bahawa: “Si Polan boleh terbang di udara.” Lalu beliau menjawab: “Lalat juga boleh terbang seperti itu.” Dan pada ketika yang lain diberitakan pula kepada beliau bahawa: “Si Polan dapat berjalan di atas sungai.” Lalu beliau menjawab: “Ikan juga boleh berbuat begitu.”

Dalam kitab Ar-Risâlah Al-Qudsiyyah karangan Zainuddin Al-Hafy disebutkan bahawa: “Semua guru-guru yang mursyid mengajar murid-murid mereka supaya jangan cenderung menginginkan keramat zahir, dan menggalakkan mereka supaya lebih cenderong kepada kebenaran berbanding daripada memperturutkan keinginan hawa nafsu.”

Cuba perhatikan bahawa Sultan Al-‘Ariffin, Abu Yazid, moga-moga Allah mensucikannya, beliau berlindung dengan Allah daripada perkara-perkara yang disebut di atas dan yang seumpamanya. Sebagaimana yang dinukilkan dalam buku Hill Ar-Rumuz min Qût Al-Qulûb, dalam munajatnya beliau bermadah: “Ya Allah, Tuhanku, ada segolongan kaum meminta kepadaMu, lalu Engkau memberi mereka berupaya berjalan di atas air dan terbang di udara, maka mereka pun suka dengan yang demikian. Akan tetapi aku berlindung denganMu daripada perkara yang sedemikian. Segolongan kaum pula meminta kepadaMu, lalu Engkau berikan kepada mereka supaya memijak seluruh bumi, maka mereka pun suka dengan yang demikian. Akan tetapi aku berlindung denganMu daripada yang sedemikian. Segolongan lain meminta kepadaMu, lalu Engkau berikan kepada mereka kekayaan bumi dan orang ramai pun mendatangi mereka, maka mereka pun suka dengan yang demikian. Akan tetapi aku berlindung denganMu daripada yang sedemikian.......” sehinggalah beliau menyebutkannya lebih daripada dua puluh makam wali-wali.”

Perhatikanlah betapa tinggi cita-cita dan himmah serta kekuatan hati beliau. Beliau hanya rela dengan apa yang diredhai oleh Allah.

Diriwayatkan bahawa Abu Hafsh Al-Haddad pernah berkata kepada kawan-kawannya dalam suatu perjalanan di tengah-tengah padang pasir: “Jikalau ada kambing di sini bolehlah kita sembelih.” Tiba-tiba muncul seekor kijang dari arah lain dan terus berhenti di hadapan Abu Hafsh. Semua sahabat-sahabat Abu Hafsh merasa gembira, tetapi Abu Hafsh berdukacita dan menangis. Abu Hafsh ditanya kenapa dia berdukacita dan menangis, Abu Hafsh menjawab: “Diberi apa yang dikehendaki, bermakna kita dikeluarkan dari pintu. Jikalau tidak diberikan apa-apa yang dikehendaki oleh Fir‘aun, nescaya dia tidak akan terus menerus dalam kebâthilannya.” Kemudian Abu Hafsh melepaskan kijang itu. (Begitulah yang termaktub dalam kitab Hill Ar-Rumuz).

Berkata Abu Yazid Rahimahullah: “Jikalau kamu melihat atau mengetahui seseorang diberikan keramat seperti terbang di udara, menghidupkan orang mati dan menyingkatkan perjalanan yang jauh, sehinggakan dia boleh duduk bersila di udara, maka janganlah kamu tertipu dengannya, jangan kamu i‘tiqâdkan kewaliannya dan dekatnya kepada Allah, kerana perkara itu boleh jadi istidrâj daripada Allah, sehinggalah kamu dapat mengenalinya bagaimana dia melaksanakan suruhan, larangan dan memelihara hukum-hukum Allah dan bagaimana dia mengamalkan syariat.” (Bariqah Mahmûdiyyah fî Syarh Tharîqah Muhammadiyyah, wa Syarî‘ah Nabawiyyah fi Sîrah Ahmâdiyyah 1/112-114).

Apa erti istidrâj? Ulama memberi makna istidrâj itu ialah umpan untuk mengeluarkan seseorang dari garis lurus kebenaran dengan tiada disedari. Diperturut apa-apa yang dia mahu dan dibukakan segala pintu sehinggalah dia lupa diri, yang akhirnya membawanya jauh tersesat dan datang azab sekonyong-konyong.

Sabda Nabi S‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Jika engkau lihat Allah memberikan sebahagian keduniaan kepada hambaNya, apa sahaja yang diingininya untuk menderhakai Allah, maka pemberian yang demikian itu adalah istidrâj.” (Hadis riwayat Ahmad)

Berkata pengarang Jauhar At-Tauhîd: “Sesungguhnya wali Allah itu tidak mengetahui yang dia sebenarnya adalah seorang wali.”

Pengarang berpendapat demikian dengan memberi alasan bahawa seseorang wali Allah itu menjadi wali hanyalah disebabkan haqq (kebenaran) itu mencintainya, bukan kerana dia mencintai kebenaran. Dan cinta kebenaran itu suatu rahsia yang tidak dapat diselami oleh sesiapapun melainkan hanya oleh orang-orang yang tertentu daripada kalangan mereka yang dikehendaki oleh Allah sahaja.

Selain daripada itu, ketaatan seseorang hamba tidak dapat memberi kesan kepada cinta akan kebenaran itu, kerana ketaatan adalah baharu, sedangkan sifat-sifat haqq (kebenaran) pula adalah qadîm (abadi).

Kemudian, ketetapan yang menunjukkan dia seorang wali Allah, atau dia sebagai salah seorang ahli syurga dan akan menerima ganjaran pahala, adalah tertakluk kepada kesudahannya ketika dia menghadapi kematian. Dalilnya ialah firman Allah:

Tafsirnya: “Sesiapa yang membawa amal yang baik, maka baginyalah sepuluh kali ganda amalnya itu.” (Surah Al-An‘âm: 160)

Jalan pengambilan dalil ialah kerana dalam ayat ini disebutkan: “Sesiapa yang membawa”, dan ayat ini tidak menyebut “ منعملحسنة ” (sesiapa yang beramal kebaikan). Oleh sebab itu adanya hak boleh menerima ganjaran pahala hanyalah diperolehi dari ketika menghadapi kematian, bukan dari mula beramal.

Apa yang disebutkan di atas ini tidaklah pula menegah adanya tanda-tanda kewalian bagi seseorang itu. Di antara tanda-tanda kewalian itu ialah: Dalam perbuatan zahir patuh tunduk kepada syariat, manakala dalam perbuatan batin tenggelam di lubuk hakikat ketuhanan dan tetap hadir bersama Allah. Sebagai petunjuknya ialah hendaklah dia tidak mempunyai rakan (sesuatu) selain Allah.

Adakalanya Allah Ta‘ala memberikan berbagai keramat kepada setengah orang zâhid bagi mententeramkan jiwa mereka dan untuk memperteguh keyakinan hati mereka di samping ada pula kalanya keramat itu tidak diberikan kepada orang yang lebih tinggi martabatnya daripada mereka, kerana mereka ini tidak memerlukannya disebabkan keyakinan mereka sudah teguh dan ketenteraman jiwa mereka sudah mantap. (Syarh Jauhar Al-Tauhîd fî ‘Aqîdah Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamâ‘ah 2/948-949).

Jawapan Bagi Soalan Kelima:

Allah Ta‘ala saja yang Mengetahui yang ghaib.

Jika disebutkan “perkara sulit”, kita pasti akan menganggapnya sebagai sesuatu yang dirahsiakan bagi pihak-pihak tertentu, kerana pada lazimnya “rahsia” itu diketahui oleh hanya setengah orang tetapi lebih ramai yang tidak mengetahuinya.

Kemudian jika “perkara sulit” itu dikaitkan dengan kerajaan atau negara, bermakna ia adalah perkara yang menjadi rahsia kerajaan atau negara. Dalam kaitan seperti ini, sudah tentu ada orang yang mengetahui atau memegang rahsia itu, tetapi mereka merahsiakannya daripada orang yang tidak layak mengetahuinya. Lain ceritanya apabila ia dibocorkan secara sulit.

Sehubungan dengan dakwaan pengasas ajaran Saihoni bin Tasipan, yang mendakwa mengetahui semua “perkara sulit” yang berlaku di Negara Brunei Darussalam, jika pengertian “perkara sulit” itu sebagai “rahsia” kerajaan atau negara, maka dapat diandaikan bahawa dia telah mencuri rahsia itu atau ada orang lain yang membocorkan kepadanya.

Sesiapa saja boleh mendakwa seperti dakwaan Saihoni bin Tasipan itu, bahkan orang awam pun dapat berbuat demikian, kerana ia berkaitan dengan perkara yang boleh dicari atau diusahakan untuk mengetahuinya.

Kemudian, jika inilah yang dimaksudkan dengan “perkara sulit” itu, maka ia tidak ada kaitan dengan aqidah, ia hanya berkaitan dengan “rahsia kerajaan atau negara”.

Akan tetapi apabila yang dimaksudkan dengan perkara sulit adalah perkara-perkara ghaib seperti apa yang kelak akan terjadi di Negara Brunei Darussalam, misalnya hujan akan turun, taufan akan melanda, penyakit akan menular dan sebagainya, maka perkara ini ada kaitannya dengan aqidah, dan untuk mengetahui adakah dakwaan seperti itu salah atau tidak, ianya perlulah dirujuk kepada nash-nash syara‘ sebagaimana yang akan disebutkan kemudian.

Pengertian Dan Pembahagian Yang Ghaib

Perkara sulit atau yang kita ertikan di sini sebagai ghaib ialah mana-mana perkara yang tidak diketahui manusia. Mengikut ahli tafsir Melayu, perkataan ghaib ini samalah dengan rahsia di dalam kalangan Melayu. (Tafsîr Al-Azhar 3/2033)

Perkara ghaib ini kita bahagikan kepada dua kategori:

Pertama: Sesuatu yang boleh diketahui menerusi pelbagai cara yang biasa dilakukan seperti menerusi kajian atau dengan cara penyelidikan.

Kedua: Sesuatu yang hanya boleh diketahui menerusi cara khas atau perkhabaran yang benar seperti menerusi wahyu. Perkara ghaib daripada kategori pertama adalah perkara biasa dan tidak menjadi sesuatu yang menghairankan jika ada orang yang mendakwa mengetahuinya, bahkan ada di antaranya yang dituntut oleh agama agar disingkap dan diketahui.

Di antara contohnya: Keghaiban pencuri dapat diketahui menerusi soal siasat, keghaiban seseorang dapat diketahui menerusi pencarian, kejahilan dapat dibuang menerusi pembelajaran dan begitulah juga halnya keghaiban-keghaiban hasil kajian-kajian sains yang dapat diketahui menerusi kajian dan penyelidikan.

Banyak perkara ghaib daripada jenis ini yang didakwa oleh orang-orang tertentu bahawa mereka telah mengetahui dan mengenalinya. Dakwaan ini boleh diterima dan tidak merosakkan aqidah kerana ia diketahui berdasarkan kajian, penyelidikan dan sebagainya daripada cara-cara yang biasa dilakukan manusia.

Sesuatu yang belum diketahui atau yang masih ghaib, kemudian ada yang mendakwa mengetahuinya setelah membuat kajian mengenainya, maka tidaklah merosakkan aqidah, tetapi hendaklah diingat bahawa pengetahuan mengenainya hanyalah dalam batas-batas yang terhad mengikut kadar pengetahuan manusia itu saja, kerana Al-Qur’an telah memaklumkan bahawa ilmu yang diberikan Allah kepada manusia itu hanyalah sedikit sekali.

Tafsirnya: “Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit saja.” (Surah Al-Isrâ’: 85)

Oleh yang demikian, kita harus tetap beranggapan dan berakidah bahawa pengetahuan atau dakwaan seseorang mengetahui yang ghaib daripada kategori ini tidaklah lengkap dan sempurna sebagaimana lengkap dan sempurnanya pengetahuan Allah Ta‘ala mengenainya.

Adapun perkara ghaib daripada kategori kedua (seperti wahyu) yang hanya dapat diketahui menerusi pemberitaan yang benar dan pasti, adalah berkait rapat dengan aqidah, seperti keghaiban syurga, neraka, Hari Kiamat dan yang lain-lain yang hanya diketahui menerusi wahyu (pemberitahuan) daripada Allah.

Dari segi akidah, kita wajib beriman atau mempercayai kewujudan sesuatu yang ghaib ini mengikut sukat-sukat yang diberitakan Al-Qur’an dan sunnah Nabi. Hal ini menjadi salah satu jalan mendapatkan kejayaan dan sebagai tanda berada di dalam hidayah Allah sebagaimana yang difirmankan Allah di dalam surah Al-Baqarah, awal ayat yang ke 3 dan akhir ayat yang ke 5.

Tafsirnya: “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib

(Surah Al-Baqarah: 3)

Tafsirnya: “Mereka itulah yang tetap mendapat hidayah daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah Al-Baqarah: 5)

Perkara-perkara yang ghaib itu tidak terhingga banyaknya, di antaranya ada yang langsung tidak diketahui oleh manusia dan ada yang namanya saja diketahui, tetapi hakikat dan perinciannya tidak diketahui.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daunpun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfûzh) yang terang nyata. (Surah Al-An‘âm: 59)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun melainkan kepada mana- mana Rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat- malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). (Surah Al-Jinn: 26-27)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa kunci perbendaharaan segala yang ghaib adalah pada Allah Ta‘ala, segala yang ghaib pula tidak dimaklumkanNya secara keseluruhan kepada sesiapapun daripada hambaNya, tidak nabi, tidak rasul, tidak malaikat dan tidak jin atau manusia. Tidak ada makhlukNya yang mengetahuinya secara lengkap, termasuklah lima anak kunci yang ghaib seperti yang disebutkan dalam hadis berikut:

Maksudnya: “Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Allah; (iaitu:) tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui kandungan rahim yang kurang sempurna kecuali Allah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui apa yang terjadi esok kecuali Allah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui bila akan turun hujan kecuali Allah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati kecuali Allah. Dan tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui bila akan terjadi Hari Kiamat kecuali Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam surah Luqman Allah berfirman:

Tafsirnya: “Sesungguhnya di sisi Allah jua pengetahuan yang tepat mengenai Hari Kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada di dalam rahim ibu yang mengandung. Dan tidak ada seorangpun yang benar-benar mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan tidak ada seorangpun yang mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi pengetahuanNya. (Surah Luqman: 34)

Berdasarkan hadis dan ayat di atas dapatlah disimpulkan bahawa di antara yang ghaib kepada manusia dari sudut hakikatnya berdasarkan ayat di atas ialah:

1. Ilmu tentang bila akan terjadi Hari Kiamat.

2. Ilmu tentang hakikat kandungan (janin) yang masih di dalam rahim, termasuk rezeki, nasib dan usianya.

3. Pengetahuan tentang apa yang akan dilakukan oleh seseorang di masa akan datang sekalipun pada esok harinya.

4. Kepastian bila hujan akan turun.

5. Pengetahuan tentang di mana tempat kematiannya yang sebenar.

Kelima-lima perkara ini tidak diketahui oleh manusia secara sempurna dari segala sudutnya termasuk semua yang berkaitan dengan setiap satu daripada perkara tersebut.

Bahkan manusia yang paling mulia, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri yang dianggap paling hampir dengan Allah Ta‘ala itu, tidak mengetahui yang ghaib melainkan sebahagian saja yang berkaitan dengan tugasnya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Katakanlah wahai Muhammad: “Aku tidak mengatakan kepada kamu bahawa perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku juga tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib, aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawa aku ini malaikat; aku tidak menurutkan melainkan apa yang diwahyukan kepadaku.....” (Surah Al-An‘âm: 50)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat, kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan sebanyak-banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah pesuruh Allah yang memberi amaran dan membawa berita gembira bagi orang yang beriman.” (Surah Al-A‘râf: 188)

Seperti yang disebutkan terdahulu bahawa tidak ada sesiapa yang mengetahui secara keseluruhan yang ghaib serta hakikatnya melainkan Allah, dan mana-mana rasul yang diredhaiNya sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Jinn, ayat ke 27 yang antara lain berbunyi:

Tafsirnya: “Melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Allah hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).” (Surah Al-Jinn: 27)

Ayat ini menunjukkan adanya pengecualian dalam hal ini, yakni segala yang ghaib hanyalah Allah yang mengetahuinya kecuali mana-mana rasul yang dikehendakiNya.

Untuk inilah Imam An-Nasafi berkata: “Yang diberi pengecualian itu ialah para Rasul yang diredhai oleh Allah untuk diberikan setengah daripada ilmu yang ghaib itu yang berfungsi sebagai mu‘jizat mereka.” (Tafsîr An-Nasafi 4/302)

Ini bermakna tidaklah seluruh yang ghaib itu diberitahukan oleh Allah kepada rasul yang diredhaiNya.

Imam Abu Su‘ud pula berkata: “Allah tidaklah menyingkapkan rahsia yang ghaib itu dengan cara selengkap dan sesempurna-sempurnanya kepada rasul yang diredhaiNya sehingga ke tahap ‘ainul yaqîn. Allah hanya mengurniakan kepada mereka sebahagian daripada perkara-perkara ghaib yang ada kaitan dengan risalah mereka.” (Tafsir Abu As-Su‘ud 5/781)

Mengikut Ibnu Katsir, rasul atau utusan yang dimaksudkan itu sama ada daripada kalangan malaikat atau manusia. (Tafsîr Ibnu Katsir 7/139) Berdasarkan catatan Ibnu Hajar, Imam Az-Zamakhsyari berpendapat bahawa keramat para wali tidak termasuk dalam hal ini; walaupun mereka diredhai Allah, tetapi mereka bukanlah rasul. (Fath Al-Bâri 15/314)

Mengikut ayat tersebut, pengecualian itu ialah bagi yang berpangkat “rasul yang diredhai oleh Allah”, dan dengan itu terkeluar dan tidaklah termasuk “yang bukan rasul yang tidak diredhai oleh Allah”, seperti orang fâsiq dan kafir. Orang yang tidak diredhai Allah dalam hal ini tidak sekali-kali diberiNya sedikitpun daripada ilmu yang ghaib itu.

Selanjutnya di bawah ini dinukil catatan Imam Al-Qurthubi ketika mentafsirkan surah Al-Jinn, ayat ke 26-27 itu:

“Ulama Rahimahumullah berkata: “Tatkala Allah Ta‘ala bermegah dengan ilmu ghaib dan Dia hanyak mengkhususkan dan memilihnya untukNya saja tanpa ada pilihan lain, maka di dalam ayat itu terdapat petunjuk bahawa tidak ada sesiapa pun yang mengetahui yang ghaib melainkan Dia saja. Kemudian Allah mengecualikan orang-orang tertentu daripada kalangan rasul yang diredaiNya lalu melimpahkan sesetengah yang dikehendakiNya daripada ilmu ghaibNya itu menerusi wahyu kepada mereka dan menjadikannya sebagai mu‘jizat dan bukti kebenaran kenabian mereka itu.”

Sementara itu, ahli nujum (tukang tilik dan tukang ramal) dan yang seumpamanya, seperti orang yang meramal dengan cara mempergunakan batu-batu kecil, meneliti kitab-kitab dan menerusi (suara-suara) burung, bukanlah termasuk dari kalangan yang diredhai oleh Allah lalu memperlihatkan mana-mana yang dikehendakiNya daripada ilmu ghaibNya itu kepada mereka bahkan orang-orang berkenaan adalah kufur kepada Allah.............. (Tafsîr Al-Qurthubi 19/28)

Oleh kerana itu jika ada orang yang mendakwa mengetahui semua perkara sulit yang berlaku di negara ini adalah dia melakukan pembohongan. Lebih-lebih lagi jika yang dimaksudkan dengan perkara sulit itu menyentuh perkara-perkara ghaib atau alam ghaib. Ayat-ayat Al-Qur’an yang dihuraikan di atas cukup jelas menolak dakwaan orang seperti ini. Ini termasuklah dakwaan seperti boleh memanggil roh dan mengetahui pintu langit terbuka. Hujah-hujah akal sebelum hujah-hujah syara‘ pun sudah menolak dakwaan-dakwaan ini. Ia adalah pendfustaan dan bukan daripada i‘tiqâd Ahli Sunnah wal Jama‘ah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8288