(a) Meninggal Dunia Serta Merta Selepas Memeluk Islam (b) Ketika Maradh Al-Maut Seorang Bukan Islam Mengucap Dua Kalimah Syahâdah Di Hadapan Saksi Yang Tidak Mencukupi
Soalan: Dengan hormat sukacita dipohonkan kerjasama pihak tuan akan dapat memberikan fatwa-fatwa berhubung dengan orang kafir yang telah memeluk agama Islam tetapi menimbulkan masalah sampingan misalnya: i. Setelah Islam ia meninggal dunia serta merta. ii. Ketika maradh al-maut (nazak) ia telah mengucap dua kalimah syahâdah di hadapan saksi yang tidak mencukupi.
Jawapan Soalan Pertama (i):
Apabila seorang bukan Islam mengucapkan atau melafazkan dua kalimah syahâdah:
Ertinya: “Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah,” dengan hati yang ikhlas dan penuh keyakinan, maka dia sudah beragama Islam atau menjadi orang Islam. Kemudian apabila dia meninggal dunia di dalam agama Islam dan akhir ucapannya sebelum meninggal dunia ialah kalimah َ الُإّله َ إّال َ اللَـه (Tidak ada Tuhan melainkan Allah), maka dia dijamin masuk syurga berdasarkan hadis:
Maksudnya: “Sesiapa yang mengucap ucapan terakhirnya sebelum mati kalimah: اله ال هللا dia masuk syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud daripada Mu‘adz)
Apabila dikatakan “dia meninggal dunia serta merta,” maka perkataan serta merta itu dapat difahami. Pertama: Dia meninggal dunia secara tiba-tiba tanpa didahului sakit atau tanda-tanda kematian dan kedua: Dia meninggal dunia sebaik saja masuk Islam atau sebaik saja mengucap dua kalimah syahâdah.
Orang Islam yang meninggal dunia dalam keadaan pengertian pertama itu jelas dia dihukumkan mati dalam Islam, bahkan kematian seperti ini merupakan satu keselesaan bagi orang beriman sebagaimana yang ditakhrîjkan oleh Al-Baihaqi di dalam kitab Syu‘âb Al-خmân daripada Abdullah bin ‘Ubaid bin ‘Umair, katanya: “Aku bertanya kepada Aisyah Radhiallahu ‘anha tentang mati secara tiba-tiba, adakah ianya tidak disukai?” Aisyah menjawab: “Mengapa pula ia tidak disukai?” Aku pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai perkara mati secara tiba-tiba, lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: “(Mati secara tiba-tiba) satu keselesaan bagi orang yang beriman, dan satu kemurkaan kepada orang yang jahat.” (Ibnu Atsir, An-Nihâyah 1/48)
Adapun orang yang bukan Islam meninggal selepas mengucap dua kalimah syahâdah, maka hendaklah dilihat keadaannya:
Jika orang berkenaan masuk Islam dengan mengucap dua kalimah syahâdah sebelum saat ghargharah, maka dia dihukumkan sebagai orang yang mati di dalam Islam. Manakala jika dia mengucap dua kalimah syahâdah dalam keadaan ghargharah, dia tidak dihukumkan sebagai orang Islam berdasarkan hadis:
Maksudnya: “Daripada Ibnu Umar, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang itu selama dia belum ghargharah.” (Hadis hasan, riwayat Tirmidzi)
Tentang pengertian “belum ghargharah” di dalam hadis ini, Ibnu Atsir berkata: “Yakin sebelum roh sampai kepada halqûm (pertengahan leher).” (An-Nihâyah 3/360)
Mengikut pengertian ini, apabila orang kafir mengucap dua kalimah syahâdah dengan penuh kesedaran sebelum rohnya sampai ke halqûm semasa proses pencabutan rohnya, maka dihukumkan dia sebagai orang Islam.
Dengan itu, sesiapa saja (jika asalnya bukan orang Islam) mengucap dua kalimah syahâdah sebelum saat ghargharah, sama ada matinya secara serta merta atau secara biasa, dia tetap dihukumkan sebagai orang Islam dan perkara ini samalah dengan orang Islam yang berdosa, kemudian dia bertaubat sebelum ghargharah, maka taubatnya itu diterima oleh Allah. Sebagai orang Islam maka berjalanlah hukum-hakam mengenai dirinya seperti disempurnakan jenazahnya sebagai orang Islam.
Jawapan Soalan Kedua (ii):
Apakah Dia Sakit Mati?
Maradh al-maut atau sakit maut mengikut pandangan doktor merupakan penyakit yang menjadi punca kematian seseorang pesakit, biar sekalipun pada ghâlibnya penyakit itu tidak membawa kepada kematian pesakit. Majalah Al-Ahkâm Al-‘Ashliyyah (Artikel 1595) mendefinisikan:
“Maradh al-maut” (sakit mati) ialah sakit yang dibimbangi membawa kematian yang melemahkan orang sakit daripada melihat mashlahat (kepentingan) yang di luar daripada rumahnya, sekiranya dia seorang lelaki, dan melemahkannya daripada melihat mashlahat dalam rumah, sekiranya dia seorang perempuan. Dia mati dalam keadaan itu sebelum berlakunya masa selama setahun, sama ada dia tidak boleh bangun dari katil atau sebaliknya; dan jika sakitnya berpanjangan dalam keadaan itu hingga lebih dari setahun, dihukumkan seperti seorang yang sihat, dan tasharrufnya (pengurusannya) sama seperti tasharruf orang yang sihat, selagi sakitnya tidak terlalu berat dan tidak berubah keadaannya. Sekiranya sakitnya menjadi berat dan berubah keadaannya lalu dia meninggal, maka keadaannya dikira sejak dari waktu berubah sehinggalah ke mati, dianggap sebagai sakit mati.”
Dr. Wahbah Az-Zahili berpendapat bahawa penilaian dan penentuan sesuatu penyakit itu membawa mati atau tidak adalah bergantung kepada kemajuan bidang kedoktoran pada sesuatu masa atau zaman. Dengan penemuan-penemuan baru dalam dunia perubatan, jika dulu penyakit kanser merupakan penyakit paling berbahaya, tetapi sekarang sudah tidak lagi, ia boleh diatasi dengan cara-cara tertentu. (Al-Fiqh Al- Islâmi 5/450 - 451)
Adapun yang dinamakan mati atau meninggal ialah berpisah jiwa daripada tubuh badan (jasad) (As-Suyuthi, Syarh As-Shudûr h.14). Di dalam bahasa Al-Qur’an, jiwa disebut dengan nafs, ia juga disebut darah. Maka dari dua pengertian ini, mati juga diertikan sebagai keringnya darah daripada tubuh badan.
Mengikut analisis ahli perubatan, kematian ada tiga jenis:
Pertama: Kematian otak (brain death), yakni otak tidak berfungsi lagi.
Kedua: Kematian klinis, iaitu berhentinya denyutan jantung dan pernafasan.
Ketiga: Kematian sel, iaitu proses kematian terakhir daripada seluruh organ tubuh badan.
Daripada ketiga-tiga jenis kematian ini, maka kematian yang dimaksudkan di dalam Islam ialah kematian berhentinya denyutan jantung dan pernafasan (klinis). [Ensiklopedia Hukum Islam: 4/1153]
Orang yang sakit mengikut sakit yang disebutkan di atas, kemudian dia mengalami proses kematian ini, maka itulah yang dinamakan maradh al-maut atau sakit yang berakhir dengan kematian.
Di antara nama proses yang terjadi sebelum terjadi kematian ini - selain proses maradh al-maut itu - ada yang dinamakan proses naza‘ al-hayâh (al-munâza‘ah) yakni sengsara mati atau pencabutan nyawa, dan proses ghargharah sebagaimana yang disebutkan maknanya oleh Ibnu Atsir di atas.
Dengan merujuk kepada hadis ghargharah yang disebutkan Ibnu Umar di atas, maka ucapan orang yang di dalam proses ini tidak lagi diakui dan tidak diterima, termasuk seperti wasiat, taubat atau ucapan dua kalimah syahâdahnya.
Dengan itu, mana-mana ucapan atau pengakuan sebelum proses ghargharah ini adalah diterima dan diakui, termasuk ucapan dua kalimah syahâdah semasa sakit maut atau maradh al-maut.
Pensabitan Keislaman
Pada dasarnya bilangan saksi yang diperlukan bagi pensabitan keislaman ialah dua orang lelaki. Pengarang kitab Asnâ Al-Mathâlib berkata:
Ertinya: “Maka begitulah halnya (yakni tidak akan sabit melainkan dengan dua orang saksi lelaki), dan yang demikian itu ialah seperti akad, rujuk, talak, memerdekakan hamba sahaya, masuk Islam dan murtad.....” (4/260)
Tetapi pengarang kitab Mughni Al-Muhtâj menerangkan bahawa mengikut Imam Ash-Shaimari, seorang saksi lelaki dan dua orang perempuan, atau seorang saksi lelaki dan sumpahnya daripada kalangan ahli waris sudah mencukupi untuk mensabitkan seseorang itu mati di dalam Islam.
Teksnya adalah seperti berikut:
Ertinya: “Disebutkan di dalam kitab Al-Bahr daripada Ash-Shaimari, adalah diterima seorang saksi lelaki dan dua orang perempuan dan seorang saksi lelaki dan sumpah daripada ahli waris, bahawa warisnya itu mati di dalam Islam atau kufur, kerana yang dimaksudkan di dalam pensabitan ini ialah pensabitan harta warisan.” (4/615)
Akan tetapi dari sudut pendakwaan yang ada kaitannya dengan harta waris, jika seseorang itu mati dengan meninggalkan dua orang anak, seorang Islam dan seorang lagi kafir, kemudian setiap seorang daripada keduanya mendakwa bapa mereka mati mengikut agama masing-masing, tetapi tidak ada bukti yang dikemukakan, maka apabila bapa mereka dikenali sebagai seorang kafir sebelum matinya, yang dibenarkan ialah dakwaan anaknya yang kafir bersama-sama dengan sumpahnya, kerana mengikut asalnya dia masih tetap kufur.
Akan tetapi apabila anaknya yang Islam berkata bahawa perkataan (ucapan) bapanya yang terakhir sebelum matinya ucapan dua kalimah syahâdah, dan anaknya yang kafir tidak pula membantah, maka diterima dakwaan anaknya yang Islam itu yakni bapanya mati di dalam Islam.
Demikian difahamkan keterangan Kitab Mughni Al-Muhtâj 4/615 dan Nihâyah Al- Muhtâj 4/371.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8281
