Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Berubat Dengan Air Kencing

Soalan: Keratan akhbar yang bertajuk “SCIENTIST BACKS URINE CURES CANCER CLAIMS” berbunyi: “Seorang pakar sains negeri China telah menyatakan, sejenis kimia yang terdapat dalam air kencing manusia boleh menolong mengubati penyakit barah, dengan sokongan dakwaan berpertikai oleh ahli terapi dalam Persidangan Antarabangsa bahawa najis manusia mempunyai bahan-bahan yang boleh menyembuhkan barah.”

DR. Ming Chen Liau, Timbalan Pengurus Besar Long Life Biondical Co. Ltd di Selatan Hefei, China telah membentangkan hasil penyelidikannya pada hujung minggu kepada Persidangan Antarabangsa Pertama mengenai “Auto Urine Therapy” di bahagian barat India.

Setelah saya terjemahkan daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu yang tidak seberapa makna terjemahannya itu, sukacitanya saya ingin mengetahui jika fakta itu benar untuk digunakan sebagai ubat oleh orang Islam atau bukan Islam. Apakah hukum Al-Qur’an dan hadis sebenar-benarnya dalam hal tersebut?

Dipohonkan ulasan daripada Mufti Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam.

Jawapan: Hukum Air Kencing

Air kencing termasuk salah satu jenis najis mutawassithah, dan semua jenis najis ini dan yang berasal daripadanya adalah haram di makan, di minum atau dibawa sembahyang dan thawaf.

Haram Berubat Dengan Yang Diharamkan

Pada dasarnya berubat dengan yang diharamkan itu tidak dibenarkan, bahkan ia diharamkan kecuali di dalam keadaan kecemasan atau apa yang disebut sebagai dalam keadaan darurat. Ini jelas bersandarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di antara lain menyebutkan:

Maksudnya: “Sesunguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan jangan kamu berubat dengan yang diharamkan.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Imam Bukhari pula ada menyebut dalam Shahîhnya daripada Ibnu Mas‘ud katanya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar (kesembuhan) kamu pada benda-benda yang diharamkan ke atas kamu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada ubat yang kotor.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Berdasarkan hadis-hadis ini, jika penyakit seseorang itu masih dalam peringkat tidak membahayakan, maka sesetengah ulama berkata bahawa adalah haram berubat dengan benda-benda najis atau yang diharamkan.

Adapun sudut rahsia atau hikmat ia diharamkan, mengikut para ulama Islam; najis itu menjijikkan dan tidak disukai oleh akal dan naluri. Jadi ia tidak layak dipakai atau dijadikan untuk penawar penyakit.

Ibnu Al-Qayyim Rahimahullah ada menerangkan lebih jelas lagi rahsia ini, bahawa larangan tidak dibenarkan menjadikan benda-benda yang diharamkan sebagai ubat penawar penyakit itu ialah, kerana antara syarat boleh mendapat kesembuhan menerusi sesuatu ubat itu ialah jika terdapat sikap menerima (suka) kepada ubat berkenaan, dan ada keyakinan terhadap khasiat (manfaatnya), di samping percaya padanya ada keberkatan yang dijadikan oleh Allah Ta‘ala.

Kemudian bagi seorang Islam pula, yang haram itu adalah memang kotor, najis dan menjijikkan. Setiap yang kotor dan menjijikkan tiadalah ia diterima bahkan ditolak oleh naluri yang sihat.

Demikian itulah kedudukan najis yang diharamkan, mengapa ia tidak sesuai untuk dijadikan ubat, kerana syarat untuk ianya dapat diterima oleh naluri yang sihat, tidak ada lagi. Inilah antara rahsia atau sebab mengapa berubat dengan yang haram itu dilarang. (Ath-Thibb An-Nabawi: 126)

Demikian antara pendapat ulama mazhab lain di luar mazhab Syafi‘e.

Berubat Dengan Najis Mengikut Ulama-Ulama Mazhab Syafi‘e Pula

Mengikut pendapat yang ashah dalam mazhab Syafi‘e, adalah harus berubat dengan segala benda najis, kecuali yang memabukkan, dengan alasan bahawa berubat merupakan perkara darurat, sedang darurat mengharuskan kita mengambil apa yang ditegah, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kamu satu persatu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali yang terpaksa kamu memakannya.” (Surah Al-An‘âm: 119)

Berdasarkan ayat tersebut dan ayat-ayat yang seumpamanya, maka para ulama telah menggariskan kaedah ini:

Ertinya: “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.”

Namun begitu, ia masih juga terikat (penggunaannya itu) hendaklah tidak melampau batas. Firman Allah:

Tafsirnya: “Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Mâ’idah: 3)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Baqarah: 173)

Imam An-Nawawi Rahimahullah berkata:

“Adapun berubat dengan najis itu harus, selain arak. Hukum padanya sama sahaja bagi semua najis melainkan yang memabukkan. Inilah pendapat mazhab Syafi‘e yang telah ditetapkan dan telah diputuskan oleh jumhûr ulama.”

Di antara alasan Imam An-Nawawi ialah hadis Anas Radhiallah ‘anhu yang berikut:

Maksudnya: “Bahawa serombongan suku ‘Ukal seramai lapan orang datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu mereka berikrar kepada Nabi untuk masuk Islam. Kemudian cuaca kota Madinah merimaskan mereka dan mengakibatkan tubuh badan mereka sakit-sakit, lalu mereka mengadukan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda berkata kepada mereka: “Barangkali elok kamu pergi bersama tukang gembala kami kepada untanya, kemudian kamu dapatkan air kencing dan susunya”. Mereka menjawab: “Baiklah”. Mereka pun pergi dan meminum susu dan kencing unta itu, setelah itu mereka pun sihat. Tetapi kemudian mereka membunuh tukang gembala Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu dan merampas unta-untanya.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Di dalam kitab Ar-Raudh dan syarahnya sebagaimana yang dinukil oleh As- Syibramalisi disebutkan:

Ertinya: “Dan harus berubat dengan najis, kecuali yang memabukkan, seperti daging ular dan air kencing.” (An-Nihâyah 8/14)

Walau bagaimanapun, Imam An-Nawawi menyebutkan lagi pendapat lain, katanya:

“Ashhab kita berkata bahawa harus berubat dengan najis itu hanyalah apabila tidak ditemui ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika ada ubat yang suci, maka haramlah berubat dengan najis tanpa diperselisihkan oleh ulama.” (Al-Majmû‘ 9/55)

Apabila dipadankan pendapat ini dengan hadis yang melarang berubat dengan najis, maka pendapat inilah yang lebih sesuai, kerana larangan itu tetap tertakluk kepada: Jika tidak ada ubat lain yang suci dan tidak pula dalam keadaan darurat.

Al-‘Izz bin Abdussalam Rahimahullah berkata:

Ertinya: “Harus berubat dengan najis apabila tidak ada ubat yang suci yang boleh menggantikannya, kerana maslahat kesihatan dan kesejahteraan itu lebih sempurna berbanding dengan maslahat menjauhi najis. Dan tidak harus berubat dengan arak mengikut pendapat yang ashah.” (Qawâ‘id Al-Ahkâm 1/81)

Merujuk perkara yang diminta fatwa, maka menurut pendapat ulama mazhab Syafi‘e berdasarkan analisis kepada ayat Al-Qur’an dan hadis, bahawa berubat dengan air kencing itu adalah harus, termasuk kimia yang terkandung di dalam air kencing. Ini ialah apabila tidak ada ubat lain yang suci sebagai penggantinya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8296