Bolehkah Haiwan Unta Dikongsi Oleh Sepuluh Orang Bagi Tujuan Korban Atau Dam Haji?
Soalan: Melalui penyemakan dan penelitian terhadap hadis-hadis yang berkaitan ibadah korban, didapati bahawa hadis yang mengharuskan perkongsian sepuluh orang untuk tujuan korban dan dam bagi haiwan unta adalah hadis hasan gharîb.
Sehubungan dengan itu, sukacita abis kaola mendapatkan fatwa dan ketentuan hukum berhubung ibadah korban bagi haiwan unta untuk dijadikan pegangan oleh masyarakat di negara ini.
Jawapan: Dalam mazhab Syafi‘e harus berkongsi seekor unta untuk tujuh orang dengan dibahagi kepada tujuh bahagian. Ini berdasarkan kepada hadis daripada Jabir:
Maksudnya: “Kami berkorban bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada tahun (ditandatangani) perjanjian Hudaibiah seekor unta bagi tujuh orang, dan seekor lembu untuk tujuh orang.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam riwayat Muslim yang lain menyebutkan:
Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan kami supaya berkongsi mengorbankan unta dan lembu. Setiap tujuh orang daripada kami berkongi seekor unta.” (Hadis riwayat Muslim)
Bagi unta, lembu atau kerbau yang dikongsi seramai tujuh orang itu tidak disyaratkan ketujuh-tujuh orang melakukan korban, bahkan jika berlainan tujuan (qashd) mereka, seperti setengahnya mahu berkorban, setengahnya pula mahu aqiqah, setengahnya hendak makan daging atau menjualnya, maka sah korban tersebut dan sah juga aqiqah. Hukum ini ada tersebut dalam kitab Majmû‘.
Ulama memberi ulasan mengenai hadis riwayat Jabir di atas bahawa hadis ini menunjukkan keharusan perkongsian bagi binatang unta dan lembu di mana kedua-dua bintang itu - bagi tiap satunya - harus dikongsi oleh tujuh orang. Ini dalam perkara dam, oleh itu diqiyâskan keharusan itu dalam perkara korban (Subul As- Salâm 4/538)
Persoalan yang dimusykilkan ialah bolehkan haiwan unta dikongsi oleh 10 orang? Memang ada hadis yang membolehkan demikian seperti hadis riwayat Ibnu Abbas:
Maksudnya: “Adalah kami dalam permusafiran bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu tiba Hari Raya Korban, kemudian kami berkongsi menyembelih seekor lembu untuk tujuh orang dan seekor unta untuk sepuluh orang.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Perâwi, iaitu At-Tirmidzi berkata: “Hadis ini hasan gharîb. Maka zahirlah pada hadis di atas ini boleh satu unta itu berkongsi harganya sepuluh orang dan seekor lembu berkongsi harganya dengan tujuh orang.” (Bahr Al-Mâzi 11/19)
Manakala pensyarah Jâmi‘ At-Tirmizi, Imam Al-Mubarak pula berkata: “Padanya adalah dalil tentang bolehnya berkongsi sepuluh orang pada unta dan inilah pendapat Ishak bin Rahawaih.” (At-Tuhfah Al-Ahwadzi 5/52)
Bagaimanapun, menurut pendapat jumhûr termasuk ulama-ulama Syafi‘e, seekor unta adalah harus dikongsi oleh tujuh orang saja, bukan oleh sepuluh orang. Adapun yang berpendapat seekor unta boleh dikongsi oleh sepuluh orang itu, bukan pendapat jumhûr, tetapi hanyalah pendapat segelintir ulama, seperti Al-‘Itrah, Ishak bin Rahawaih dan Sa‘id bin Al-Musayyib. Imam Asy-Syaukani pula berpendapat: “Perkongsian sepuluh orang bagi seekor unta itu hanyalah dalam perkara korban, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas di atas. Adapun seekor unta dikongsi untuk tujuh orang itu ialah dalam perkara dam haji seperti hadis Jabir. Manakala lembu hanya boleh dikongsi oleh tujuh orang sama ada dalam perkara korban atau dam haji, dengan kesepakatan ulama (Lihat Tuhfah Al-Ahwadzi 5/53)”.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8300
