Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Iqtibâs (Memetik) Ayat-Ayat Al-Qur’an Untuk Nama Syarikat

Soalan: Sebagai sebuah institusi kerajaan yang peranan utamanya membina dan mengembangkan bahasa Melayu, pihak jabatan ini amatlah mengambil perhatian serius dalam penggunaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Sehubungan itu, pihak jabatan ini amat berhati-hati meneliti setiap permohonan transliterasi Jawi/terjemahan bahasa Melayu nama syarikat/perniagaan yang dihadapkan.

Pihak jabatan ini mendapati beberapa keraguan iaitu:

Nama yang digunakan oleh pemohon adalah petikan daripada ayat 58, surah يس.

Nama ‘Salâmun Qaulan’ digabungkan oleh pemohon dengan nama anak-anak. Lazimnya yang boleh dan logik digabungkan dengan perkataan anak-anak ialah manusia kerana nama umum atau benda tidak boleh melahirkan anak, walaupun nama ciptaan itu dianggap sebagai ganti nama pemohon. Dalam hal ini, Salâmun Qaulan digabungkan dengan perkataan ‘Anak-Anak’ diterjemah dan seterusnya dirangkaikan dengan perkataan ‘Anak-Anak’, dikhuatiri membawa pengertian yang kurang elok atau mungkin tidak logik pada papan tanda syarikat berkenaan.

Umumnya, dalam sistem transliterasi Jawi yang dipraktikkan oleh pihak jabatan ini, bahasa Al-Qur’an dan Arab tidak dibubuh tanda baris pada papan tanda/papan nama/kain rentang nama sesebuah syarikat/perniagaan. Oleh itu, kalimah Salâmun Qaulan setentunya dieja سلم قوال sahaja yang sekaligus tidak sejajar dengan tulisan Ruminya.

Sememangnya dewasa ini, kecenderungan menamakan sesebuah syarikat/perniagaan/perusahan dalam bahasa Al-Qur’an dan Arab amat ketara dan menggalakkan. Pihak jabatan ini sesungguhnya berusaha untuk menyelaraskan transliterasi Jawi bahasa-bahasa berkenaan semata-mata bagi menepati sebutan dan maknanya.

Kerjasama dan jasa baik tuan untuk memberikan ulasan dan pandangan yang segera sangatlah dihargai.

Jawapan: Memetik atau iqtibâs ayat-ayat Al-Qur’an adalah harus bagi tujuan, sama ada untuk dijadikan nama atau kandungan tulisan, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah melakukan yang demikian di dalam surat Baginda yang dikirimkan kepada Hercules. Iqtibâs ini amat jelas seperti di dalam hadis berikut:

Maksudnya: “Ibnu Abbas berkata: “Abu Sufyan pernah memberitahu kepadaku bahawa Hercules memanggil juru bahasanya, kemudian meminta surat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu juru bahasa itu membacakannya”: “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani daripada Muhammad hamba Allah dan RasulNya. Kepada Hercules”. Dan “Wahai Ahli Kitab, marilah kita sama-sama berpegang kepada kalimat yang sama di antara kami dan kamu …(sehingga akhir ayat).” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Di dalam surat Baginda yang bergaris itu terdapat iqtibâs daripada surah آli ‘Imran, ayat yang ke 64. Begitu juga di dalam surat-surat lain yang dikirimkan kepada Maquqas Penguasa Mesir, Raja Habsyah, Raja Parsi dan lain-lain.

Kutipan-kutipan atau petikan seperti itu disebutkan oleh ‘Ulûm Al-Qur’ân sebagai bukan Al-Qur’an dan ia tidak tertakluk kepada hukum-hukum Al-Qur’an.

Imam Muhammad Abdul Azim Az-Zurqani dalam kitab Manâhil Al-‘Irfân (2/155) berkata:

Ertinya: “Tidak diragukan bahawa petikan-petikan daripada Al-Qur’an itu tidak ada baginya hukum Al-Qur’an.”

Yang dimaksudkan “tidak ada baginya hukum Al-Qur’an” itu termasuklah tidak haram menyentuhnya tanpa ada air sembahyang.

Oleh yang demikian adalah tidak salah ‘Salâmun Qaulan’ yang asalnya dipetik daripada ayat surah Yâsîn itu dijadikan nama sesebuah syarikat, apa lagi jika ia ditulis dengan tulisan jawi mengikut bunyinya bukan mengikut ejaan asalnya ( سلم قول), kerana menurut amalan DBP, sebagaimana menurut suratnya di atas bahawa bahasa Al-Qur’an atau Arab tidak dibubuh tanda baris pada papan tanda, papan nama atau kain rentang nama sesebuah syarikat atau perniagaan. Jadinya perkataan atau kalimah seperti ‘Salâmun Qaulan’ itu apabila dieja سلم قول tidak sejajar dengan tulisan ruminya. Dalam makna yang lain سلم قول itu akan dieja dengan ejaan mengikut bunyi ruminya, maka jelaslah ia bukan Al-Qur’an, ditambah lagi dihujungnya dengan perkataan ‘dan Anak-Anak,’ maka bertambah jelaslah bahawa ia bukan ayat Al-Qur’an yang terikat dengan hukum-hukum Al-Qur’an.

Namun untuk irsyâd, orang Islam patutlah faham benar-benar apa tujuan dan makna perkataan-perkataan yang akan digunakan oleh mereka itu, khasnya perkataan-perkataan Arab atau yang terdapat di dalam Al-Qur’an, istimewanya apabila perkataan-perkataan itu hendak dipasang dengan perkataan-perkataan lain, seperti contohnya perkara yang sedang ditanyakan ini. Cuba kita lihat ungkapan ‘Salâmun Qaulan dan Anak-Anak’, tentulah memberi makna ‘Salâmun Qaulan’ itu ialah nama orang, sebab dihujungnya ada ungkapan ‘dan Anak-Anak ’.

Apa makna atau erti ‘Salâmun Qaulan’ dalam bahasa Melayu? Maknanya ialah: ‘Ucapan Salam Sejahtera’. Jadi kalau ia dijadikan nama bagi orang, maka kita akan memanggil orang itu: ‘Awang Ucapan Salam Sejahtera’, atau ‘Dayang Ucapan Salam Sejahtera’. Betapa terasa ganjilnya bagi yang dipanggil mahupun yang memanggil.

Di sinilah makanya Islam itu telah memandu kita untuk memilih nama-nama yang baik, bagus dan betul dari segi sebutan dan termasuklah maknanya sekali. Bukan setakat sedap sebutan semata-mata.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8349