Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Kedudukan Pahala Orang Yang Membelanjakan Wangnya Untuk Menyiapkan Pembinaan Masjid

Soalan: Seorang hamba Allah telah mewaqafkan wang sebanyak $500,000.00 untuk membina sebuah masjid. Wang tersebut telah diamanahkan oleh pewaqaf kepada seorang hamba yang juga selaku Pengerusi Pembinaan Masjid tersebut. Oleh kerana wang tersebut dipegang terlalu lama oleh pemegang amanah, maka berlakulah pecah amanah di mana lebih 3/4 daripada wang tersebut telah digunakan untuk kepentingan sendiri.

Setelah siap pembinaan bangunan masjid berkenaan, pemegang amanah telah didapati gagal membayar baki tuntutan kepada pemborong sebanyak $161,000.00.

Sehubungan dengan itu, seorang hamba Allah hendak berwaqaf wang sebanyak $200,000.00 untuk membayar baki hutang pemegang amanah tersebut kepada pemborong sebanyak $161,000.00 sedangkan beliau berniat untuk mendapat pahala membina masjid.

Adakah pewaqaf tersebut mendapat pahala membina masjid, sedangkan pada hakikatnya dia hanya membayar hutang yang tidak dapat dilunaskan atas sebab pecah amanah?

Jawapan: Masjid ialah tempat yang mulia lagi dimuliakan. Peranan masjid dalam kehidupan orang Islam itu sangat penting. Ia berhubung rapat dengan unsur ketakwaan sepertimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Kerana sesungguhnya masjid yang telah didirikan di atas dasar taqwa.” (Surah At-Taubah: 108)

Memandangkan fungsi masjid itu sangat penting kepada umat Islam, maka orang-orang Islam disuruh memberi perhatian yang serius terhadap pemeliharaan dan penta‘mîran masjid dengan berbagai aktiviti keilmuan dan lain-lain yang berfaedah dan bermanfaat kepada masyarakat Islam.

Namun yang lebih besar ganjarannya terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid itu ialah membina masjid itu sendiri. Di antara sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai keutamaan dan kelebihan membina masjid ialah:

Maksudnya: “Sesiapa yang membina masjid kerana Allah nescaya Allah akan membina baginya di dalam Syurga (binaan) seumpamanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Masjid yang dibina itu tidaklah mengira sama ada besar atau kecil semuanya akan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Bahawasanya Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang membina masjid sama ada kecil atau besar nescaya Allah ‘Azza wa Jalla akan membangunkan baginya sebuah rumah di dalam syurga.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Telah disebutkan oleh Al-‘Allamah Nuruddin Ali Al-Ajhuri di dalam kitab beliau Fadhl Insya’ Al-Masâjid wa ‘Imâratiha hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: “Bahawa masjid-masjid dunia itu akan dibawa ke dalam syurga, pengelola-pengelola dan penjaga-penjaga masjid-masjid, bilal-bilalnya dan imam-imamnya berarak menarik masjid-masjid itu dan ahli jemaah masjid-masjid itu mengiringkan perarakan itu. Orang masa itu bertanya: “Siapa itu? Malaikat-malaikat atau nabi-nabikah?” Kemudian diberi tahu bahawa itu bukanlah malaikat-malaikat dan bukan juga nabi-nabi, hanya pengusaha-pengusaha masjid-masjid dan orang-orang yang sembahyang di dalam masjid-masjid itu”.

Begitulah ganjaran serta balasan yang diperolehi oleh mereka yang menyahut seruan Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuk membina rumah Allah ‘Azza wa Jalla.

Mengenai dengan orang-orang yang menta‘mîr masjid pula Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memandang sebagai ahlullah. Sabda Baginda:

Maksudnya: “Orang-orang yang menta‘mîr (menghidupkan) masjid-masjid adalah ahlullah”. (Hadis riwayat Abu Bakar Al-Bazzar)

Dengan demikian mereka yang membina masjid juga berhak atau termasuk digelar sebagai ahlullah kerana kalau tiada masjid yang mereka bangunkan sudah tentu penta‘mîran masjid tidak dapat dilaksanakan oleh sesiapa yang hendak berkhidmat kepada masjid.

Dalam soal memelihara masjid, kita disuruh membuang kotoran-kotoran dan najis-najis yang ada padanya dan kita dilarang membuat sesuatu yang boleh membawa kepada pencemaran masjid sekalipun perkara itu pada anggapan kita adalah perkara yang ringan seperti bau-bauan yang boleh menganggu keselesaan jemaah. Bahkan, sebaliknya kita disuruh mewangikan masjid dengan bau-bauan yang harum.

Jika diamat-amati dengan teliti hadis-hadis mengenai kelebihan membina masjid, kita akan mendapati bahawa ganjaran itu bukan hanya bagi mereka yang terlibat secara langsung di dalam pembinaan masjid itu, malahan mereka yang terbabit secara tidak langsung pun turut sama mendapat balasan sedemikian. Perkara ini berpandukan kaedah di dalam ilmu ushûl fiqh bahawa setiap yang umum itu kekal keumumannya selagi tidak ada dalil yang mengkhususkannya. Hadis tersebut hanya menjelaskan “Sesiapa yang membina masjid..” tanpa menerangkan dengan terperinci sama ada mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak.

Maka berhubung dengan perkara sesiapa yang menyumbangkan wangnya atau turut serta untuk menyiapkan bangunan masjid adalah dia itu termasuk di dalam golongan mereka yang disebut di dalam hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud “Sesiapa yang membina masjid….” Insya’ Allah dia juga akan mendapat ganjaran sebagaimana yang disebut oleh hadis. Walaupun dia hanya setakat menjelaskan baki hutang pemegang amanah kepada pemborong, namun dia dengan sendirinya turut menjadi rakan kongsi yang mempunyai saham dalam membiayai pembinaan masjid yang bakal diwaqafkan itu. Setiap rakan kongsi dalam membina masjid akan mendapat ganjaran yang sama sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab Bughyah Al-Mustarsyidîn h. 63:

Ertinya: “Kiranya suatu kumpulan berkongsi membina masjid, maka setiap ahli kongsi kumpulan itu akan dibangunkan rumah di dalam syurga, sebagaimana juga kalau suatu kumpulan memerdekakan seorang hamba, sesungguhnya tiap-tiap ahli kumpulan itu akan dimerdekakan daripada api neraka.

Bahkan tindakan orang tersebut bukan sahaja mendapat pahala kerana membina masjid malahan lebih jauh dari itu, dia juga akan mendapat pahala kerana melepaskan saudaranya yang dalam kesususahan disebabkan tidak dapat menyiapkan bangunan masjid yang diamanahkan, kerana keterlanjurannya memakai (menggunakan) wang pembinaan masjid itu. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada orang yang menolong saudaranya:

Maksudnya: “Dan (ketahuilah) Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selama hamba itu bersedia menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada salah satu kesusahan dunia, maka Allah akan melepaskan salah satu daripada kesusahannya pada Hari Kiamat dan sesiapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

Satu perkara yang perlu diingat dalam kita melaksanakan tuntutan-tuntutan sunat yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala ialah semata-mata ikhlas menunaikannya tanpa melihat kepada ganjaran yang akan dikurniakan, kerana keperibadian muslim sejati ialah, orang yang apabila Allah memerintahkannya untuk melakukan sesuatu tuntutan, lebih-lebih lagi tuntutan wajib atau haram, maka dia akan mengatakan: “Kami mendengar dan kami taat”. Soal ganjaran atau pahala, serahkan sahaja kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Adapun menyebut tentang ganjaran atau pahala itu ialah untuk lebih merangsang lagi seseorang melakukan amalan-amalan yang baik.

Sebagai peringatan jua bahawa perbuatan khianat (pecah amanah) itu adalah suatu perbuatan yang amat dibenci oleh agama. Perbuatan khianat merupakan satu ciri daripada ciri-ciri orang munâfiq. Ini dijelaskan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis Baginda:

Maksudnya: “Tanda orang munâfiq itu ada tiga iaitu jika bercakap dia berdusta, jika berjanji dia mungkir dan jika diamanahkan dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari)

Adapun balasan yang akan ditanggung di akhirat oleh orang- orang munâfiq ini ada dijelaskan di dalam Al-Qur’an, seperti firman Allah:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang munâfiq itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapapun yang boleh menolong mereka.” (Surah An-Nisâ’: 145)

Perbuatan menggunakan harta orang lain secara bâthil sangatlah dicela dan ditegah oleh agama Islam sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.” (Surah Al-Baqarah: 188)

Orang yang memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah itu akan dicampakkan ke dalam api neraka dan tidak akan masuk syurga kecuali setelah menerima azab atas perbuatannya itu.

Sabda Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh daripada perkara yang haram”. (Hadis riwayat Ahmad)

Berdasarkan maksud-maksud umum hadis-hadis yang menerangkan tentang kelebihan membina masjid, maka tidak syak lagi orang yang membelanjakan hartanya bagi menyiapkan masjid yang belum selesai itu adalah orang yang turut berkongsi membina masjid itu yang akan mendapat ganjaran sebuah rumah di dalam syurga, insyâ’ Allah. (Buqhyah: 63)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8357