Masuk Ke Makkah Tanpa Ihrâm Dan Ihrâm Bersyarat Kerana Sakit
Soalan: Dengan hormatnya serta takzimnya kaola memohon fatwa mengenai masalah berikut:
“Seorang jemaah haji jatuh sakit di Madinah. Sakitnya berlarutan sehingga tiba masanya untuk bertolak ke Makkah. Oleh kerana dia masih lagi sakit, terpaksalah dia dibawa ke Makkah. Adakah dia boleh berihrâm secara bersyarat. Ertinya jika dia baik dan boleh untuk melakukan umrah, maka bolehlah dia berihrâm dan melakukan umrah. Jika keadaan tidak mengizinkan dia ihrâm, maka tidaklah dia melakukan umrah dan sekaligus tidak dia berihrâm masuk Makkah. Apakah hukumnya ihrâm bersyarat dan masuk Makkah tanpa ihrâm?”
Jawapan: Ihrâm di mîqât adalah di antara perkara wajib haji. Jika ditinggalkan wajib atasnya membayar dam. Mîqât itu terbahagi kepada dua iaitu mîqât zamâni (batasan waktu) dan mîqât makâni (batasan tempat). Mîqât zamâni ibadat haji bermula pada bulan Syawal hingga sepuluh malam bulan Zulhijjah. Sesiapa yang berihrâm di luar waktu tersebut, maka ihrâmnya dikira ihrâm umrah. Adapun ibadah umrah itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun.
Mîqât makâni ibadah haji dan umrah bagi para jemaah yang datang daripada Madinah ialah Dzu Al-Hulaifah yang sekarang lebih dikenali tempatnya sebagai Abyar Ali. Mîqât para jemaah yang datang dari sebelah Syam ialah Juhfah iaitu sebuah perkampungan di antara Makkah dengan Madinah. Kampung ini sekarang sudah musnah. Maka sebagai langkah untuk memastikan para jemaah tidak melimpasi mîqât berkenaan, para jemaah berihrâm di Rabigh iaitu sebuah perkampungan yang sangat hampir kepada Juhfah dan letaknya sebelum Juhfah (dalam perjalanan dari Syam menuju Makkah). Para jemaah yang datang dari Najd Hijaz dan Najd Yaman mîqâtnya ialah Qarn Al-Manazil. Manakala jemaah yang datang dari kawasan Tihamah Yaman mîqâtnya ialah Yalamlam kerana Yaman itu terbahagi kepada dua wilayah iaitu Najd dan Tihamah. Jemaah yang datang dari sebelah Timur seperti Iraq dan Khurasan mîqâtnya ialah Dzat ‘Irq.
Mîqât bagi penduduk yang tinggal di perkampungan yang terletak di antara mîqât-mîqât di atas dengan Makkah ialah tempat tinggal mereka. Manakala mîqât haji bagi penduduk Makkah ialah tempat mereka tinggal dan mîqât umrahnya ialah tanah halal.
Tanah halal yang afdhal untuk berihrâm umrah ialah Ji‘ranah, kemudian Tan‘im dan seterusnya Hudaibiyyah. Jika dia tidak keluar ke tanah halal lalu dia mengerjakan umrah dari tempat kediamannya, sah umrahnya tetapi wajib ke atasnya dam. Walau bagaimanapun sekiranya dia keluar ke tanah halal setelah berniat ihrâm dan sebelum dia mengerjakan tawaf atau sesuatu daripada kerja-kerja umrah maka tidak wajib atasnya dam.
Penentuan mîqât-mîqât di atas adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menetapkan mîqât bagi penduduk Madinah ialah Dzu Al-Hulaifah, bagi penduduk Syam ialah Al-Juhfah, bagi penduduk Najd ialah Qarn Al-Manazil, bagi penduduk Yaman ialah Yalamlam. Itu semua bagi mereka dan juga bagi penduduk-penduduk yang datang dari tempat-tempat itu walaupun mereka bukan penduduk tempat berkenaan yang hendak ihrâm haji atau umrah. Adapun orang-orang yang tempatnya lebih dekat ke Makkah dari tempat-tempat itu maka ihrâmnya dari tempat tinggalnya, manakala penduduk Makkah berihrâm dan bertalbiyah dari Makkah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Para jemaah yang tidak melintasi tempat-tempat yang disebutkan di atas, mîqâtnya ialah tempat yang hampir dan bersetentangan dengan mana-mana mîqât di atas. Maksud bersetentangan itu ialah mîqât yang telah ditentukan itu bersetentangan dengan sebelah kiri atau kanan dirinya ketika dalam perjalanan menuju Makkah.
Mana-mana perjalanan yang tidak melintasi mîqât atau kawasan yang bersetentangan dengan mîqât, maka mîqâtnya ialah anggaran jarak perjalanan dua marhalah dari Makkah (kira-kira 89 Kilometer).
Hukum Berihrâm
Orang-orang yang masuk ke Haram Makkah itu ada dua golongan iaitu:
(i) Orang yang masuk kerana hendak menunaikan ibadah haji atau umrah.
(ii) Orang yang masuk bukan kerana menunaikan ibadah haji atau umrah.
Orang-orang yang hendak memasuki kawasan Haram Makkah dengan tujuan menunaikan ibadah haji atau umrah adalah dilarang memasukinya tanpa ihrâm di mîqât. Mereka yang melimpasi mîqât tanpa ihrâm mestilah kembali ke mîqât dan berihrâm di sana, kecuali ada keuzuran yang menghalangnya berbuat demikian, seperti masa yang terlalu singkat, takut terpisah daripada kumpulannya, sakit teruk atau seumpamanya. Jika ihrâm itu dilakukan setelah melimpasi mîqât dan tidak kembali ke mîqât, maka wajib atas mereka dam sama ada disebabkan keuzuran, jahil, lupa atau dilakukan dengan senghaja. Perbuatan melimpasi mîqât tanpa ihrâm dengan senghaja itu adalah berdosa. Manakala mereka yang melimpasinya kerana jahil atau terlupa adalah tidak berdosa.
Jika orang yang melimpasi mîqât itu kembali semula ke mîqât maka tidak wajib atas mereka membayar dam dengan syarat:
(i) Dia kembali sebelum berihrâm, atau
(ii) Dia kembali selepas berihrâm dan sudah masuk ke Makkah tetapi belum melakukan tawaf atau sesuatu daripada ibadah haji dan umrah.
Jika dia kembali ke mîqât setelah berihrâm dan melakukan tawaf atau sesuatu dari ibadah haji atau umrah, maka wajib atasnya dam.
Orang yang melimpasi mîqât dengan tidak ada niat untuk menunaikan haji atau umrah, tetapi apabila sampai di Makkah atau di pertengahan jalan menuju Makkah dia mengubah niatnya untuk melakukan haji atau umrah, maka hendaklah dia berihrâm di tempat berkenaan tanpa mesti kembali ke mîqât. Dalam hal ini dia tidak wajib membayar dam.
Orang-orang yang memasuki Makkah dengan tujuan bukan kerana menunaikan ibadah haji atau umrah adalah tertakluk kepada dua keadaan berikut:
(i) Jika masuknya itu tidak berulang-ulang (kadang-kadang) seperti berziarah, berniaga atau menjadi utusan atau dia adalah penduduk Makkah yang pulang dari pelayaran, maka adalah lebih disukai (mustahabb) baginya masuk ke Makkah dengan berihrâm.
(ii) Orang-orang yang kerap keluar dan masuk ke Makkah seperti pencari kayu api, pemburu, petugas memberi minum jemaah haji dan seumpamanya adalah tidak dimestikan atas mereka berihrâm kerana memasuki Haram Makkah.
Niat Ihrâm Ihrâm itu boleh diniatkan secara ta‘yîn (ditentukan) seperti berniat ihrâm untuk haji atau umrah atau kedua-duanya. Ihrâm itu juga boleh diniatkan secara muthlaq (umum) iaitu niat ihrâm yang membolehkan baginya mengerjakan haji atau umrah atau kedua-duanya, seperti niatnya “sahaja aku ihrâm”. Jika ihrâm itu diniatkan secara muthlaq dalam musim haji iaitu bermula dari bulan Syawal hingga sepuluh malam bulan Dzulhijjah, sebelum dia memulakan ibadah umrah atau haji atau kedua-duanya hendaklah dia menentukan niatnya terlebih dahulu. Jika ihrâm itu diniatkan secara muthlaq bukan pada musim haji, maka ihrâmnya adalah dikira ihrâm umrah. Dalam hal ini niat ihrâm tersebut juga tidak boleh ditukar kepada ihrâm haji apabila tiba musim haji.
Selain itu niat ihrâm juga boleh disyaratkan. Hal tersebut dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah Radhiallahu ‘anha, katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menemui Dhuba‘ah binti Zubair dan bertanya kepadanya: “Apakah kamu tidak ingin pergi haji?” Dia menjawab: “Sayang sekali, saya sering sakit-sakit.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Berhajilah, syaratkanlah dan katakanlah: “Ya Allah, aku akan bertahallul apabila nanti menemui halangan di mana saja.” Dan ternyata waktu itu dia diserang penyakit perut.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini adalah hadis masyhûr, disebut dalam Shahîh Bukhari dan Muslim, Sunan Abu Daud, Tirmidzi, Nasa’i dan lain-lain kitab hadis.
Hadis di atas menunjukkan bahawa harus bagi orang yang mengerjakan haji atau umrah itu mensyaratkan ketika ihrâmnya bahawa jika dia sakit dia akan bertahallul. Inilah pendapat Sayyidina Umar bin Al-Khathtab, Sayyidina Ali, Ibnu Mas‘ud serta sahabat-sahabat yang lain dan majoriti ulama tâbi‘în.
Hadis ini juga menunjukkan bahawa sakit itu tidak mengharuskan tahallul jika dia tidak disyaratkan ketika berihrâm.
Jika seseorang itu mensyaratkan ketika berihrâm haji misalnya, apabila dia sakit dia akan bertahallul seperti katanya: “Jika aku sakit aku bertahallul”, maka dia bertahallul apabila dia sakit. Jika seseorang mensyaratkan tahallul kerana sebab yang lain seperti sesat dalam perjalanan atau kehabisan belanja, syarat pada ihrâm tersebut juga adalah sah dan membolehkan dia bertahallul. Ketika bertahallul, jika tahallul itu disyaratkan, maka dia mestilah menunaikan apa yang disyaratkannya. Contohnya, dia akan bertahallul dengan menyembelih kambing, maka wajib dia menyembelihnya. Dalam hal yang sama seseorang itu boleh mensyaratkan ketika berihrâm haji bahawa dia akan menukar ihrâm hajinya kepada umrah jika dia sakit.
Maka, bagi menjawab persoalan di atas, pesakit berkenaan mestilah berniat ihrâm di mîqât kerana hendak memasuki Makkah dengan niat ihrâm haji atau umrah. Dia boleh membuat pilihan sama ada berihrâm secara tay‘în atau secara muthlaq. Namun niat ihrâm secara muthlaq lebih memudahkan baginya kerana dia boleh menentukan niatnya ketika hendak memulakan ibadah mana yang hendak dilakukannya sama ada haji atau umrah. Dalam hal ini pesakit tidak perlu membayar dam kerana telah berihrâm di mîqât. Pilihan yang lain ialah pesakit berkenaan boleh berihrâm di mîqât dengan bersyarat iaitu disertakan bersama niat ihrâmnya bahawa dia akan bertahallul jika sakit itu berterusan dan menghalang dirinya daripada melakukan kerja-kerja umrah atau haji. Dalam hal ini sekiranya tahallul itu juga disyaratkan seperti disyaratkan dengan menyembelih kambing, maka ketika bertahallul itu semua syarat mestilah ditunaikan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8361
