Memindahkan Tanah Atau Alat-Alat Perkakas Masjid Yang Dirobohkan Ke Tempat Lain
Soalan 2:
Dengan hormat sukacita dimaklumkan Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Kampong Katimahar yang lama telahpun dirobohkan atas sebab-sebab keselamatan dan ketika ini dalam proses pembinaan semula masjid baru di atas tapak yang sama, dalam mana kerja-kerja tanah di tapak tersebut telahpun bermula sejak akhir bulan Mac lalu.
Dimaklumkan bahawa atas sebab-sebab tertentu maka permukaan tanah bekas tapak masjid tersebut telahpun direndahkan (disorong) kira-kira 10 kaki. Sehubungan dengan itu persoalan yang timbul adalah seperti berikut:
Bolehkah simen bekas lantai masjid dan permukaan tanah bekas tapak masjid yang telah disorong itu ditimbuskan ke kawasan lain, sebagai misal ditimbuskan ke tapak untuk perumahan atau sebagainya?
Jawapan:
Berhubung dengan perkara meroboh masjid dan memindahkan barang-barang atau perkakas-perkakas masjid lama atau masjid yang dirobohkan itu ke tempat lain, telah berkata Al-Imam Ibnu Hajar Al-Haitami di dalam kitabnya Tuhfah Al-Muhtâj bi Syarh Al-Minhâj 6/283:
Ertinya: “Tiadalah boleh dirobohkan (masjid) melainkan jika ditakuti ia akan roboh, maka ketika itu haruslah dirobohkan dan disimpan (alat-alat perkakas masjid itu), atau digunakan bagi meng‘imârahkan masjid yang lain, jika hakim (pemerintah) berpendapat begitu. Dan (meng‘imârahkan masjid) yang lebih hampir (dengan alat-alat perkakas masjid yang dirobohkan itu) lebih utama, (tiadalah boleh digunakan alat-alat perkakas masjid yang dirobohkan itu, bagi meng‘imârah) seperti telaga atau asrama. Berkata satu kumpulan (ulama): “Melainkan sukar memindahkan (alat-alat perkakas itu) ke masjid yang lain, (maka boleh digunakan alat- alat perkakas itu bagi meng‘imârahkan selain masjid)”.
Di dalam kitab Fath Al-Mu‘în karangan Asy-Syeikh Zainuddin Al-Malibari (h. 93) juga ada tersebut:
Ertinya: “Tiadalah boleh dirobohkan masjid melainkan apabila ditakuti ia akan roboh, maka ketika itu haruslah dirobohkan dan disimpan (alat-alat perkakas masjid itu), atau digunakan bagi meng‘imârahkan masjid yang lain jika hakim (pemerintah) berpendapat begitu. Dan (meng‘imârahkan masjid) yang lebih hampir (dengan masjid yang dirobohkan itu) lebih utama, dan tiadalah boleh digunakan alat-alat perkakas masjid yang dirobohkan itu, bagi meng‘imârah bangunan selain jenis masjid seperti asrama atau telaga, seumpama itu juga jika sebaliknya, melainkan apabila sukar digunakan alat-alat binaan masjid itu pada jenisnya.”
Katanya lagi:
Ertinya: “Dan ditanya guru kami berkenaan apabila di‘imârahkan sebuah masjid dengan alat-alat perkakas yang baru, dan tinggal alat-alat perkakasnya yang lama: “Maka adakah harus di‘imârahkan masjid lain yang lama dengan alat-alat perkakas (yang lama) itu atau bolehkah dijual dan disimpan harganya (duitnya bagi kegunaan masjid yang empunya alat-alat itu)?” Maka dia menjawab: “Sesungguhnya harus digunakan alat-alat perkakas itu bagi meng‘imârahkan masjid yang lama atau yang baru dengan sekira-kira telah putus (tetap bahawa masjid yang empunya alat-alat perkakas itu) tidak memerlukan kepada alat-alat perkakas itu sebelum ianya rosak, (dan) tidak harus dijual alat-alat perkakas itu dengan apa cara sekalipun.”
Sehubungan dengan pertanyaan di atas, jika masjid yang asal itu tidak lagi menghendaki alat-alat perkakasnya (bahan-bahan asalnya), maka alat-alat perkakas (bahan asal) itu boleh disalurkan atau dipindahkan bagi kegunaan masjid yang lain, dengan memberi keutamaan kepada masjid yang lebih hampir dengan masjid yang empunya bahan asal itu tadi.
Andainya bahan asal itu sukar digunakan oleh masjid-masjid yang lain atau ianya tidak diperlukan, maka bolehlah digunakan bahan asal itu bagi kegunaan binaan yang lain selain masjid. Akan tetapi ianya tidaklah boleh dijual menurut kata ulama-ulama yang tersebut di atas.
Oleh yang demikian simen bekas lantai masjid yang dirobohkan itu hendaklah digunakan pada masjid yang baru, kemudian jika tiada berhajat padanya, bolehlah digunakan pada mana-mana masjid yang lebih hampir, kemudian yang jauh kemudian jika sukar digunakan pada masjid-masjid, maka bolehlah digunakan pada lain-lain kegunaan seperti digunakan bagi menimbus tapak untuk perumahan atau sebagainya, tetapi tidak boleh dijual.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8382
