Menderma Sambil Menyertai Kuiz
Soalan: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa Radio Televisyen Brunei akan mengadakan Kuiz Perayaan 2000 Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam.
Kuiz ini akan mengemukakan 5-6 soalan berkaitan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga sejarah Brunei. Oleh itu kuiz ini berunsurkan pengetahuan dan penyelidikan.
Sebanyak sepuluh hadiah istimewa termasuk sebuah kereta PROTON SATRIA akan menjadi hadiah utama kuiz ini. Hadiah-hadiah ini adalah sumbangan/tajaan sebuah syarikat pengangkutan. Pihak penaja hadiah ini tidaklah mendapat apa-apa keuntungan berupa wang daripada tajaan ini. Begitu juga pihak penyelenggara tidak mengambil faedah wang daripada penyertaan orang ramai. Orang ramai pula tidaklah rugi kerana penyertaan mereka adalah berupa derma dan berpeluang memenangi hadiah.
Bagi kemudahan menjawab soalan kuiz, mengetahui syarat-syarat dan hadiah-hadiah yang ditawarkan satu borang khas disediakan dan akan dikenakan bayaran perkhidmatan $1.00 bagi satu borang penyertaan. Bayaran ini diumumkan sebagai derma daripada peserta. Bagi peserta yang ingin menderma lebih dari $1.00 juga dialu-alukan kerana semua bayaran yang diterima akan diagih-agihkan kepada tabung kebajikan terpilih di Brunei Darussalam (Masa ini belum lagi diputuskan badan yang akan diberikan derma ini dan insya’ Allah akan dimaklumkan kemudian). Jumlah kumpulan wang yang diperolehi dan badan penerimanya akan dimaklumkan kemudian dan diumumkan di media serta akan disampaikan semasa majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz ini. Konsep kuiz ini menderma sambil menyertai kuiz.
Dianggarkan $15,000.00 hingga $20,000.00 (15,000 hingga 20,000 borang) akan dikutip dan ini tertakluk kepada sambutan orang ramai. Jika sambutan baik borang boleh dicetak hingga 30,000 keping. Usaha mengawal wang kutipan dan cetakan borang akan dibuat. Tempat mengedar juga akan dihadkan misalnya hanya di tempat-tempat tertentu sahaja seperti di syarikat penaja dan di Radio Televisyen Brunei sendiri. Surat kebenaran menjadi pengedar borang dan penerima derma penyertaan juga akan diberikan kepada mereka yang dilantik. Jawatankuasa kerja juga telah dibentuk.
Jangka waktu kuiz ini diadakan dalam bulan Ogos dan selesai September 2000. Laporan kewangan dan kegiatan kuiz ini akan dilaporkan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sebaik sahaja kerja-kerja selesai.
Dengan ini dipohonkan kebenaran dan pertimbangan segera bagi mengadakan Kuiz Perayaan 2000 seperti format bayaran perkhidmatan dan sumbangan derma di atas.
Jawapan: Menurut ijmâ‘ ulama, hukum segala jenis pemberian, sama ada atas nama sedekah, hibah, hadiah, derma atau sebarang bantuan adalah sunat kerana pemberian itu suatu kebajikan, ketaatan dan belas kasihan. Di samping itu ia juga dapat menzahirkan sikap kasih sayang, mengeratkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama manusia. Hal ini ada dijelaskan dalam Al-Qur’an, sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.” (Surah Al-Mâidah: 2)
Galakan Sikap Suka Memberi
Galakan suka memberi itu juga ada disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis-hadis Baginda supaya umatnya sentiasa berkasih sayang sesama mereka. Hal ini digambarkan oleh Baginda dalam sabdanya:
Maksudnya: “Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan.” (Hadis riwayat Malik)
Sikap saling memberi dapat melahirkan kasih sayang sekalipun pemberian itu kecil, kerana pemberian yang kecil atau sedikit bukanlah suatu kehinaan di sisi Allah, bahkan ia akan tetap mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripadaNya.
Perkara yang penting bahawa pemberian itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas, kerana ikhlas itu roh pemberian. Pemberian yang tidak ikhlas seperti ada tujuan lain di sebalik pemberian itu, berpura-pura atau ria adalah tidak berguna. Perkara pemberian walau sekecil manapun disebut melalui sabda Baginda:
Maksudnya: “Wahai perempuan-perempuan muslimat, janganlah kamu menghina seorang jiran (yang menghadiahkan) kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing.” (Hadis riwayat Muslim)
Di antara hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang lain yang menggambarkan galakan tentang sikap suka memberi itu ialah:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang Hari Raya, lalu Baginda bersembahyang dua rakaat. Dan Baginda tidak pernah melakukan sembahyang (Hari Raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian Baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya (untuk disedekahkan).” (Hadis riwayat Bukhari)
Sabda Baginda lagi ketika di atas mimbar:
Maksudnya: “Dan Baginda menyebutkan tentang sedekah, menjaga kehormatan diri, dan tentang meminta-minta. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Maka tangan di atas itu adalah yang memberikan nafkah sedang tangan yang di bawah adalah yang meminta.” (Hadis riwayat Bukhari)
Masalah yang timbul ialah pendermaan atau pemberian itu dikaitkan dengan suatu tawaran hadiah, dan hadiah itu pula sangat besar sebagaimana dalam pertanyaan di atas, di mana hadiah peserta yang menang itu termasuk sebuah kereta di samping lain-lain hadiah istimewa. Walaupun konsep kuiz ini ialah untuk menderma, namun apabila ianya dikaitkan dengan tawaran akan mendapat hadiah, maka kemungkinan wujud penderma yang berniat, di samping berderma, juga berniat untuk memperolehi hadiah tersebut, ataupun penderma itu menderma, tiada lain, selain daripada untuk memperolehi hadiah semata-mata.
Jika terdapat penderma yang berniat sedemikian itu, maka perbuatannya itu adalah tidak ikhlas, sedangkan keikhlasan ialah jiwa dalam suatu amalan. Ayat-ayat Al- Qur’an banyak memperkatakan tentang keikhlasan ini, antaranya:
Tafsirnya: “Mereka tiadalah diperintahkan, melainkan beribadat kepada Allah Ta‘ala dalam keadaan mengikhlaskan agama kepadaNya.” (Surah Al-Bayyinah: 5)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih.” (Surah Az-Zumar: 3)
Lagi firmanNya:
Tafsirnya: “Melainkan orang-orang yang bertaubat (daripada perbuatan munâfiq itu) dan memperbaiki amalan mereka dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah.” (Surah An-Nisâ’: 146)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Maka barangsiapa yang menginginkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amalan salih, dan janganlah dia mensyirikkan (menyekutukan) sesiapapun dalam ibadatnya kepada Allah Ta‘ala.” (Surah Al-Kahf: 110)
Berkata Ali bin Abu Talib karramallahu wajhah: “Jangan susah hati kerana amal yang sedikit, tetapi bekerja keraslah supaya amal yang sedikit itu diterima oleh Allah.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Mu‘adz bin Jabal:
Maksudnya: “Ikhlaskan agama mu, cukuplah walaupun amalan sedikit.” (Hadis riwayat Al-Hakim)
Sifat ikhlas itu lawannya sifat sekutu. Orang yang tidak ikhlas dalam amalannya, disebut sebagai orang yang menyekutukan amalannya itu dengan yang lain. Penyekutuan itu pula ada beberapa tingkatan.
Sebagaimana yang lazim difahami, bahawa sebutan ikhlas itu ialah penumpuan amalan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala dan tersisih daripada segala perkara yang mencemarkannya. Andaikata niat taqarrub itu bercampur dengan pengaruh lain, mungkin ia akan menjadi ria, maka terkeluarlah ia daripada bidang ikhlas.
Contohnya: Seseorang yang berpuasa untuk mendapatkan manfaat puasa bagi kesihatan jasmani di samping kerana bertaqarrub kepada Allah, orang yang menunaikan haji tetapi tujuannya juga untuk bertukar angin supaya kesihatannya pulih dengan pergerakan-pergerakan di dalam pelayaran, pergi haji kerana hendak melarikan diri daripada musuh, sembahyang tengah malam bagi tujuan keduniaan, menuntut ilmu atau berkhidmat kepada ulama kerana tujuan-tujuan keduniaan, menziarahi pesakit agar dia diziarahi pula jika dia sakit, mengiringi jenazah supaya orang lain turut mengiringi jenazah-jenazah keluarganya, atau dia melakukan sesuatu yang baik agar namanya disebut-sebut sebagai orang yang suka berbuat baik dan lain-lain.
Pendeknya, pengaruh yang menggalakkan kita berbuat sesuatu amalan itu walaupun asalnya untuk bertaqarrub kepada Allah Ta‘ala, namun apabila ianya dicampuri oleh dorongan-dorongan lain seperti yang dihuraikan tadi, maka jadilah amalan itu terkeluar daripada had dan batas ikhlas. Jika demikian, maka orang yang mengerjakan amalan itu juga dikira tidak ikhlas terhadap Allah Ta‘ala dalam amalannya, kerana ia telah disekutui oleh yang lain.
Kesimpulannya, tiap-tiap dorongan keduniaan sama ada sedikit atau banyak, apabila mencampuri amalan seseorang, maka keruhlah kejernihan amalan itu dan terhapuslah keikhlasannya. Begitulah dengan derma kuiz di atas. Besar kemungkinan peserta kuiz tersebut hanya menderma kerana hendak menyertai kuiz berkenaan, bukan semata-mata kerana ingin menderma.
Setiap amalan yang ikhlas itu, tidak akan dipengaruhi oleh sesuatu gejala pun, kecuali semata-mata taqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala. Dalam hati mereka tidak ada sedikitpun kecintaan kepada dunia.
Oleh kerana itu, maka untuk melengkapkan diri dengan ikhlas mestilah terlebih dahulu mematahkan dorongan-dorongan hawa nafsu dan membersihkan diri daripada perasaan tamak kepada dunia. Apabila telah sampai ke peringkat ini, barulah ikhlas itu dianggap bertapak dalam diri manusia.
Banyak amalan yang dikejar oleh seseorang dengan penat lelah, disangkakannya ikhlas dan semata-mata untuk mencapai keredaan Allah Ta‘ala, tetapi sebenarnya penuh dengan tipu daya.
Oleh yang demikian, maka hendaklah seseorang hamba itu memeriksa dan memerhatikan dirinya dengan seteliti- telitinya, agar amalan-amalan yang diusahakannya itu benar-benar untuk mencari keredaan Allah Ta‘ala semata-mata. Kalau tidak, amalan-amalan tersebut hanya akan tergolong ke dalam kancah pengikut-pengikut syaitan yang melakukan sesuatu tanpa menyedari akibat yang dibuatnya. Demikian huraian mengenai ikhlas yang disebut oleh Al-Imam Al- Ghazali.
Merujuk kembali tentang Kuiz Perayaan 2000 itu yang menurut penanya tidak merugikan semua pihak, kerana “pihak penaja hadiah ini tidaklah mendapat apa-apa keuntungan berupa wang daripada tajaan tersebut. Begitu juga pihak penyelenggara tidak mengambil faedah wang daripada penyertaan orang ramai. Orang ramai pula tidaklah rugi kerana penyertaan mereka adalah berupa derma dan berpeluang memenangi hadiah.”
Namun apabila dikaitkan penyertaan dengan syarat mesti berderma, walaupun derma itu sangat dianjurkan oleh agama, akan tetapi bukan semua peserta faham dengan sebenar-benar faham tentang erti ikhlas dalam amalan. Maka adalah lebih baik penyertaan kuiz itu dibukakan tanpa borang berbayar sama ada berbayar kerana perkhidmatan atau kerana hendak berderma, lebih-lebih lagi pihak penaja hadiah sendiri sudah ada komitmen bahawa ia tidak mendapat apa-apa keuntungan yang berupa wang daripada tajaannya itu.
Kalau penyelanggara atau penganjur kuiz ini hendak membantu tabung kebajikan di negara ini, lebih baik ia mengutipnya atau mengumpulkannya dengan cara yang lain bukan mengaitkannya dengan kuiz sambil meminta derma, kerana ditakuti ada sebahagian penderma itu tiada ikhlas dalam pendermaan mereka melainkan hanya hendak merebut hadiah yang besar yang dijanjikan iaitu sebuah kereta, di samping hadiah-hadiah lain yang dikatakan istimewa. Setengah orang tidaklah dapat beriltizâm dengan mengelakkan diri daripada pengaruh keduniaan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8386
