Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Tanah Waris Dan Harta Sepencarian

Soalan: Dengan hormat kaola ingin mengetahui lebih dekat beberapa persoalan yang timbul mengenai harta tanah waris dan harta sepencarian berdasarkan hukum syara‘. Permasalahan tersebut ialah:

i. Adakah boleh jika isteri tidak setuju atau mengizinkan harta tanah warisnya dimasukkan nama suami semata-mata untuk mendapatkan ‘loan’ membangunkan rumah?

ii. Apakah hukumnya suami memaksa juga supaya isteri memasukkan namanya ke dalam geran tanah waris?

iii. Adakah harta tanah waris kepunyaan isteri itu dikatakan harta sepencarian suami isteri?

iv. Jika terjadi, sebagai contoh (isteri meninggal dunia) sedangkan kedua orang tuanya masih hidup dan isteri mempunyai 2 orang anak hasil perkongsian bersama, berhakkah suami akan tanah waris itu?

Jawapan: i. Menurut hukum syara‘, menyediakan tempat tinggal bagi isteri adalah merupakan perkara wajib ke atas setiap suami. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani ‘iddahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu.” (Surah Ath-Thalâq)

Walau bagaimanapun isteri tidak dihalang jika mahu membantu suaminya dalam menyediakan tempat tinggal untuk kediaman bersama suami isteri dan anak-anak. Bantuan pula hendaklah dilakukan dengan ikhlas dan rela hati.

Sekiranya suami ingin mendirikan rumah kediaman di atas tanah yang dimiliki oleh isteri, wajib atas suami terlebih dahulu mendapat izin dan kebenaran daripada isterinya itu. Dalam erti kata lain suami tidak ada hak dengan sesuka hatinya menggunakan tanah berkenaan kerana ia bukan miliknya.

Sebagai menjawab kepada permasalahan yang ditanyakan, adapun memasukkan nama suami ke dalam geran tanah yang diwarisi oleh isteri bagi tujuan mendapatkan ‘loan’ rumah, hendaklah ada keizinan daripada isteri selaku pemilik tanah itu. Isteri tidak boleh diganggu-gugat di atas hak miliknya, sekalipun oleh suaminya sendiri. Jika isteri yang berkenaan itu enggan membenarkan, maka suami mestilah mencari tapak lain kerana kewajipan menyediakan tempat kediaman itu tidak akan gugur dengan keengganan isteri menggunakan tanahnya sebagai tapak rumah.

ii. Menurut hukum syara‘, paksaan itu berlaku seperti mengancam untuk membunuh, mencederakan anggota tubuh badan, mengurung atau menahan seseorang dalam suatu tempat, dalam jangka waktu yang lama, memukul dengan pukulan yang tidak tertanggung oleh orang yang kena pukul.

Begitu juga, ianya boleh terjadi dengan ancaman untuk membunuh kedua ibu bapa, datuk ataupun nenek orang yang dipaksa, ataupun mengancam untuk membunuh anak atau cucunya.

Dalam keadaan-keadaan yang tersebut di atas, jika seseorang yang diancam itu tunduk untuk melakukan sesuatu yang dia sendiri tidak redha untuk melakukannya, maka dia bolehlah dikatakan dipaksa.

Untuk jelasnya tidaklah dianggap seseorang itu dipaksa melainkan jika memenuhi syarat-syarat yang tersebut di bawah ini:

(a) Hendaklah orang yang memaksa itu benar-benar berkuasa untuk melakukan atau melaksanakan ancamannya.

(b) Hendaklah orang yang dipaksa itu menurut sangkaannya yang kuat bahawa orang yang memaksa itu akan melaksanakan ancaman atau ugutannya jika dia (yang dipaksa) tidak melakukan apa yang dipaksakan terhadapnya. Dalam waktu yang sama orang yang dipaksa itu tidak berdaya melepaskan dirinya daripada ancaman itu, umpamanya tidak ada tempat untuk melarikan diri, tidak ada tempat untuk meminta pertolongan atau tidak berdaya untuk melawannya.

(c) Hendaklah ancaman itu termasuk di dalam perkara-perkara yang boleh membawa maut, mencederakan anggota tubuh badan atau membinasakan harta benda. Ini termasuk juga dalam perkara-perkara yang boleh memudaratkan orang yang ada hubungan dengan orang yang dipaksa seperti isteri, anak atau cucunya dan seterusnya hingga keturunannya ke bawah, ibu bapa atau neneknya dan seterusnya hingga keturunannya ke atas.

(d) Hendaklah ancaman itu boleh berlaku serta merta. Maka tidaklah dikatakan sebagai suatu paksaan jika ancaman itu secara tangguh atau lambat kerana yang demikian itu dapat memberikan ruang atau masa bagi orang yang dipaksa untuk meminta pertolongan atau meminta perlindungan kepada pihak tertentu.

(e) Janganlah hendaknya orang yang dipaksa itu melakukan apa yang tidak dipaksakan ke atasnya, atau melakukan lebih daripada apa yang dipaksakan, ataupun kurang daripada yang dipaksakan.

Jika dia melakukan sesuatu yang bersalahan dengan ketiga-tiga keadaan yang dipaksakan terhadapnya itu, bermakna dia rela dengan perbuatannya itu dan dia tidak dikatakan sebagai dipaksa.

(f) Janganlah hendaknya ancaman atau ugutan itu merupakan hak bagi orang yang memaksa. Umpamanya dalam kes bunuh, berkata ahli waris orang yang dibunuh kepada pembunuh: “Talak isterimu, jika tidak aku akan menuntut qishash terhadapmu.” Dalam hal ini suruhan tersebut tidaklah boleh dikatakan sebagai paksa, kerana qishash (balasan bunuh kerana membunuh) itu adalah hak yang sudah pasti disebabkan adanya kejadian bunuh. Sama ada dia menceraikan isterinya ataupun tidak, mereka tetap berhak menuntutnya.

Dengan demikian jelas bahawa sesuatu arahan itu tidak dikatakan paksa jika tidak memenuhi syarat di atas. Jika paksaan itu betul-betul terjadi seperti yang disebutkan di atas maka pemilikan tanah yang diletakkan di bawah nama suami itu adalah tidak sah. Jika paksaan itu tidak seperti yang dipersyaratkan di atas atau ia lebih mirip kepada pujukan maka pemilikan itu (memasukkan nama suami ke dalam geran isteri) adalah sah, walaupun dalam keadaan isteri tidak suka, kecuali pujukan itu disertai dengan tipu helah untuk memiliki harta berkenaan.

Dalam hal ini perlu diingat bahawa pemilikan harta secara yang tidak dibenarkan oleh syara‘ adalah berdosa. Larangan tersebut dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah.” (Surah Al-Baqarah: 188)

iii. Setakat ini saya belum menemui dalam kitab-kitab fiqh yang membicarakan secara khusus tentang pengertian harta sepencarian. Bahkan dalam Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 juga tidak menyebut tafsiran harta sepencarian itu.

Menurut tafsiran Ensiklopedia Islam terbitan Pusat Penyelidikan Ensiklopedia Malaysia, harta sepencarian ialah harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan seorang suami dengan isterinya, hasil daripada sumber atau daripada usaha mereka bersama. Sesuatu harta yang dimiliki oleh mana-mana pihak daripada suami isteri sebelum mereka berkahwin (harta bawaan), tetapi kemudiannya kedua-dua pasangan suami isteri itu mengerjakan harta itu seperti sama-sama bercucuk tanam di atas tanah suami atau isteri, maka harta itu tidak dikira sebagai harta sepencarian tetapi mana-mana pihak boleh menuntut upah. Sekiranya isteri memiliki harta sebelum daripada perkahwinan iaitu melalui warisan umapamanya, kemudian dia berkahwin dan sisuami tidak mempunyai apa-apa pendapatan tetapi hanya mengusahakan tanah itu bersama-sama isterinya lalu dengan hasilnya mereka dapat membeli beberapa bidang tanah atau harta lain maka harta yang baru dibeli itu adalah harta sepencarian.

Dengan demikian tanah waris kepunyaan isteri itu tidak termasuk sebagai harta sepencarian suami isteri kerana tanah tersebut adalah milik tâmm (penuh) isteri yang dipusakainya dan bukan hasil usaha bersama suami.

iv. Apabila isteri meninggal dunia, setelah harta peninggalannya itu digunakan bagi tujuan pengurusan jenazahnya, membayar hutang dan menunaikan wasiatnya, maka barulah lebihan harta yang dimiliki isteri berkenaan menjadi pusaka kepada waris-waris yang berhak menerimanya, termasuklah harta yang diwarisi oleh isteri. Suami dan anak-anak adalah waris-waris yang berhak menerima pusaka yang ditinggalkan oleh isteri berkenaan, kecuali ada halangan-halangan syara‘ mengenainya seperti suami yang telah menceraikan isteri sebelum isteri itu meninggal dunia dan tempoh ‘iddahnya telah habis, atau suami yang membunuh isterinya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8470