Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Skim Sumbangan Derma Melalui Pemotongan Bank

Soalan: Dengan hormat kaola ingin memaklumkan mengenai dengan usaha yang akan dilaksanakan oleh Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak- Anak Yatim khususnya dalam menggalakkan ramai lagi penyertaan orang ramai untuk menyumbangkan derma mereka kepada Dana ini. Alhamdulillah, sehingga masa ini Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim telah dapat mengumpul lebih dari empat juta ringgit Brunei iaitu hasil sumbangan rakyat dan penduduk negara ini.

Lembaga Pemegang Amanah Dana Untuk Anak-Anak Yatim sedang meneliti dan bercadang mendapatkan sumbangan derma melalui pemotongan bank bagi mereka yang mempunyai akaun di bank-bank di seluruh Negara Brunei Darussalam bagi membolehkan penderma menghulurkan derma minimum sebanyak $1.00 (satu ringgit) sebulan atau $12.00 (dua belas ringgit) setahun. Mereka yang berhajat untuk menderma lebih dari had minima ini adalah dialu-alukan. Bagi memberikan peluang kepada lebih ramai orang untuk berderma dan beramal atau memberikan sumbangan kepada Dana adalah dicadangkan supaya Skim Sumbangan Derma Melalui Pemotongan Bank ini dilaksanakan di semua bank dan institusi kewangan di Negara Brunei Darussalam ini.

Oleh yang demikian, dengan hormatnya Lembaga Pemegang Amanah Dana ini sukacita memohon pandangan Pehin mengenai dengan cadangan di atas.

Jawapan: Sedekah adalah amalan yang mulia. Lebih-lebih lagi apabila sedekah itu diberikan kepada anak-anak yatim. Anak yatim ialah anak yang kematian bapanya atau kedua ibu bapanya dan dia belum mencapai umur baligh.

Amalan bersedekah itu sentiasa mendapat perhatian daripada Allah yang berkuasa memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.” (Surah Saba’: 39)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah Al-Baqarah: 262)

Kelebihan memberi sedekah untuk kebajikan anak-anak yatim juga disebutkan sebagai pelengkap amal kebajikan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seorang kepada Allah dan Hari Akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya - sedang dia menyayanginya - kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan melakukan seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat;

dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: 177)

Dari itu, kita perlu merebut peluang untuk meningkatkan lagi tahap keimanan dan ketaqwaan serta keinsafan terhadap kebesaran Allah yang telah mengurniakan kelebihan hidup berbanding anak-anak yatim yang sentiasa dalam kesusahan dan memerlukan pemedulian untuk mengharungi kehidupan masa depannya.

Mengambil berat dan mengurus hal kebajikan anak yatim itu adalah amalan yang besar ganjarannya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Aku dan orang-orang yang mengurus anak yatim itu begini,” Baginda berkata (sambil mengisyaratkan dengan mengangkat) jari telunjuk dan jari tengah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam hal yang sama, mengurus keperluan anak-anak yatim dan menjaga hartanya adalah di antara perkara-perkara yang sangat membahayakan. Orang-orang yang telah diamanahkan menunaikan tanggungjawab ini hendaklah berhati-hati dan mengambil berat pada menguruskan perkara itu, khususnya dalam soal harta. Selain memelihara pokoknya, hendaklah dia juga turut berusaha untuk mengembangkannya. Tidak sekali-kali mensia-siakannya, membelanjakannya pada jalan-jalan yang salah, memakannya tanpa hak, atau boros.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:

Tafsirnya: “Dan berikanlah kepada anak-anak yatim itu hartanya, dan janganlah kamu menukar yang baik dengan yang buruk, dan janganlah kamu memakan harta mereka menjadi harta kamu, perbuatan itu adalah suatu dosa yang besar.” (Surah An-Nisâ’: 2)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara aniaya (cara tidak lurus), sebenarnya mereka memakan api sepenuh perutnya, dan mereka akan dibakar di dalam neraka Sa‘îr.” (Surah An-Nisâ’: 10)

Menyentuh permasalahan yang dihadapkan, maka usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim yang tersebut untuk mendapatkan derma daripada penyimpan-penyimpan atau pemegang-pemegang akaun di bank melalui potongan gaji mereka adalah usaha yang tidak bercanggah dengan kehendak hukum syara‘, bahkan suatu usaha yang mulia, dengan syarat setelah mendapat keizinan daripada penyimpan-penyimpan itu.

Sebagai pandangan, ada beberapa perkara yang patut diambil perhatian dari segi perlaksanaannya terutama pemegang-pemegang akaun di bank-bank konvensional. Ada baiknya setiap kali potongan gaji, wang tersebut dimasukkan terus ke dalam akaun Lembaga yang dibuka khas bagi tujuan berkenaan. Kemudian dengan menurut peraturan, wang yang disimpan di bank itu boleh dikeluarkan dan dipindahkan ke bank IBB atau TAIB bila-bila masa sahaja tanpa menunggu setahun. Tindakan sedemikian akan mengembangkan jumlah eset Lembaga dan mengembangkan aktiviti bank Islam. Begitu juga sebaliknya, jika wang berkenaan berhimpun di bank konvensional ianya akan mengembangkan eset bank itu dan membantu perkembangan amalan riba di bank tersebut.

Tetapi sekiranya dipersyaratkan menunggu sehingga akhir tahun atau Lembaga mahu berbuat sedemikian, barulah wang kutipan derma itu dipindahkan ke akaun Lembaga di IBB atau TAIB, jika berbangkit pihak bank pada kebiasaannya akan memberikan interest kepada penyimpannya, maka interest tersebut bolehlah diambil dan dihimpunkan ke dalam akaun Lembaga bagi kegunaan dan mashlahat anak-anak yatim.

Walau bagaimanapun ini hanyalah pandangan sahaja, Lembaga mungkin ada jalan-jalan lain yang terbaik bagaimana hendak memindahkan hasil kutipan derma tersebut daripada bank konversional ke Bank Islam Brunei (IBB) atau Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8466