Wajarkah Berzikir Di Kawasan Perkuburan Pada Waktu Malam?
Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim, sukacita dimaklumkan kepada Tuan, bahawa Unit Kawalan Akidah dan Syara‘iah telah menerima maklumat daripada orang awam, bahawa sekumpulan lelaki telah mengadakan perkumpulan untuk beramal/berwirid di kawasan perkuburan Makam Sultan Bolkiah dan Makam Sultan Sharif Ali, mulai dari tengah malam Jumaat sehingga terbit matahari iaitu melakukan amalan-amalan zikir, wirid dan tahlîl.
Unit Kawalan Akidah dan Syara‘iah tidak dapat mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas perkumpulan tersebut kerana tidak ada sebarang peruntukan di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77.
Sehubung dengan itu, Unit ini sukacita memohonkan sebarang fatwa daripada Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Mufti, mengenai hukum melakukan perbuatan demikian, kerana amalan tersebut dilakukan di luar waktu yang biasa diamalkan oleh masyarakat Islam di negara ini.
Dengan adanya fatwa itu nanti, akan memudahkan Unit ini bertindak/menjawab aduan orang ramai jika masalah ini berbangkit lagi di masa-masa akan datang.
Jawapan: Al-hamdulillah, adapun berzikir itu ialah salah satu rangkaian amalan utama yang tidak boleh diabaikan oleh setiap orang Islam kerana ianya adalah bagi kesempurnaan iman dan Islam.
Zikir menjadi santapan hati dan jiwa, khasnya penawar ketika resah gelisah.
Bukankah Allah telah berfirman:
Tafsirnya: “Ketahuilah dengan ‘dzikirullâh’ itu, tenang tenteramlah hati manusia” (Surah Ar-Ra‘d: 28)
Kelebihan berzikir sebagaimana disebut-sebut oleh Allah dalam Al-Qur’an dan disunatkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, di antaranya:
Allah menyeru kita supaya berzikir (mengingatNya) dengan sebanyak-banyaknya, firman Allah:
Tafsirnya: “Oleh itu, ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan.” (Surah Al-Baqarah: 152)
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman. (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak -banyaknya; Dan bertasbihlah kamu KepadaNya pada waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Ahzâb: 41-42)
Berzikirlah dalam semua keadaan dan tempat. Firman Allah:
Tafsirnya: “Maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri dan duduk dan semasa kamu berbaring” (Surah An-Nisâ’: 103)
Orang-orang yang berakal sentiasa berzikir kepada Allah. Firman Allah:
Tafsirnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring.” (Surah Ali ‘Imran: 191)
Berzikir ialah ubat mententeramkan hati, melapangkan kesempitan dan duka nestapa, firman Allah:
Tafsirnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan dzikrullah. Ketahuilah! Dengan dzikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Ar-Ra‘d: 28)
Adapun kesan zikir, antaranya, mententeramkan jiwa, dan merasa redha terhadap Allah. FirmanNya:
Tafsirnya: “Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah siang; supaya engkau redha (dengan mendapat sebaik-baik balasan).” (Surah Thaha: 130)
Bagi orang-orang yang berzikir, mereka akan beroleh ganjaran serta keampunan Allah.
Tafsirnya: “Dan orang-orang lelaki dan perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semua, keampunan dan pahala yang besar.” (Surah Al-Ahzâb: 35)
Maksudnya: “Tiada pernah anak Adam mengamalkan suatu amalan yang lebih selamat baginya daripada seksa Allah selain berzikir kepada Allah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Maksudnya: “Aku menurut sangkaan hambaKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatKu. Apabila dia mengingat Aku dalam dirinya maka Aku akan mengingatnya dalam diriKu. Dan apabila dia mengingat Aku dalam keramaian maka Aku akan mengingatnya dalam keramaian pula yang lebih baik daripada itu. Apabila dia mendekati Aku sejengkal maka Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepadaKu dengan berjalan, maka akan Aku sambut dia dengan berlari-lari kecil” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Zikir dan istighfâr adalah antara sebab yang membawa kepada kebahagiaan dan murah rezeki. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Barangsiapa sentiasa memohon keampunan, Allah jadikan daripada setiap kesusahan (baginya) kelapangan dan daripada setiap kesempitan (baginya) jalan keluar dan Allah beri rezeki kepadanya daripada jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Zikir bererti menyebut Allah dengan bertahlîl (ال َ إّله َ إّال َ هللاّ), bertasbîh (سُبْحَان َ هللاّ),
Al-Qur’an dan membaca doa-doa yang ma‘tsûr iaitu membaca doa-doa yang wârid yang diterima daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Bahkan zikir itu lebih luas, tiada terbatas kepada apa yang disebutkan di atas. Mengerjakan segala rupa taat kepada Allah juga dipandang zikir. Majlis-majlis yang membincang atau memperkatakan soal-soal agamad dan soal halal haram juga dianggap majlis zikir. Pendeknya sesuatu amalan yang matlamatnya mengingati Allah, adalah ia zikir.
Oleh kerana betapa pentingnya zikir dalam kehidupan, maka ulama-ulama besar seperti Al-Imam An-Nawawi telah mengumpul zikir-zikir yang wârid daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menyebutkan penggunaannya, berdasarkan tempat, masa dan lain-lain sebagaimana yang telah ditunjuk oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam Kitab Al-Adzkâr Al-Imam An-Nawawi telah menyusun fasal-fasal yang mengandungi zikir-zikir bagi keadaan-keadaan tertentu dalam semua urusan kehidupan.
Begitu juga Al-Imam Al-‘Allâmah As-Sayyid Asy-Syarîf Al-Muhaddith Muhammad bin Ali Khirir Al-‘Alawi Al-Husaini At-Tarimi dalam Al-Wasâ’il Ash-Shafi‘iyyah telah menyusun dan mengumpul beberapa banyak zikir dan doa yang wârid daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan susunan dan ambilan yang sangat cantik. Sila lihat dan rujuk kedua-dua kitab tersebut.
Ini semua menjelaskan bahawa segala ruang waktu itu adalah perlu diisi dengan zikir. Tanpa zikir, kerugian sangatlah besar, sebagaimana perumpamaan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyifatkan suatu kaum yang berkumpul kemudian bersurai dengan tidak berzikir, adalah umpama bangkai keldai dan keadaan mereka itu menyedihkan. Sabda Baginda daripada sahabat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Tidak ada suatu kaum yang berdiri meninggalkan suatu majlis padahal mereka itu belum sempat berzikir kepada Allah Ta‘ala di majlis itu, melainkan mereka berdiri (meninggalkannya) adalah (mereka) seperti bangkai keldai dan bagi mereka itu kekecewaan.” (Hadis riwayat Abu Daud dan lain-lainnya dengan isnâd shahîh)
Maksudnya: “Barangsiapa yang duduk pada suatu tempat, sedang dia tiada berzikir kepada Allah pada tempat itu, adalah baginya kurang (kurang berkat) daripada Allah. Barangsiapa yang berbaring pada suatu tempat pembaringan, sedang dia tiada berzikir kepada Allah padanya, adalah baginya kurang (berkat) daripada Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Maksudnya: “Tiada duduk suatu kaum pada suatu majlis, sedang mereka tidak berzikir kepada Allah dan tidak berselawat kepada Nabi, melainkan ke atas mereka kurang (berkat). Jika Allah menghendaki, mereka diseksa dan jika Dia menghendaki, mereka diberi keampunan.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi, dia menyebut hadis ini hasan)
Demikianlah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan kedudukan orang-orang yang tidak berzikir kepada Allah.
Hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa berzikir dengan cara berkumpulan mempunyai kelebihan. Hal ini telah ditegaskan lagi oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Maksudnya: “Al-Imam Malik meriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Abu Sa‘id: “Tiada duduk suatu kaum berzikir kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala melainkan para malaikat mengelilingi mereka, turun ketenangan ke atas mereka dan Allah mengingati mereka, siapa yang berada di sisiNya.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya aku duduk bersama-sama dengan suatu kaum yang berzikir kepada Allah selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari, adalah lebih aku sukai dari terbit matahari.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Berzikir itu tidak memilih waktu, berzikirlah terus, sama ada waktu berdiri, duduk dan baring, kerana Allah berfirman:
Tafsirnya: “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring.” (Surah Ali ‘Imran: 191)
Kalau kita memerhatikan dari sudut lain bahawa sembahyang itu adalah semulia-mulia ibadat kepada Allah, namun ada beberapa waktu atau saat tertentu yang dilarang melakukan sembahyang berbanding dengan berzikir, yang tidak ada batas waktu atau saat menjadi halangan.
Berzikir di waktu malam lebih afdhal daripada berzikir di waktu siang kerana Allah telah mendahulukan perkataan malam daripada siang.
Tafsirnya: “Mereka bertasbîh (beribadat) malam dan siang tidak berhenti-henti.” (Surah Al-Anbiyâ’: 20)
Ibnu Hajar Al-Haitami ketika ditanya mana yang lebih afdhal; siang atau malam, Al- ‘Allâmah itu menjawab:
“Malam lebih afdhal (utama) kerana malam waktu istirehat. Istirehat itu sifat daripada syurga, sementara siang pula waktu memenatkan, ianya sifat daripada neraka. Keutamaan malam kerana adanya Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Kelebihan yang demikian itu tidak didapati di waktu siang. Keutamaan lain lagi ialah kerana telah diturunkan satu surah Al-Qur’an yang dinamakan “Sûrah Al- Lail” (Surah Malam).
Kelebihan yang lain lagi ialah sebutan ‘malam’ didahulukan daripada sebutan ‘siang’ pada kebanyakan ayat-ayat Al-Qur’an. Malam-malam dalam sebulan mendahului siang-siangnya (dalam sebulan). Dalam tiap-tiap malam ada suatu saat dimakbulkan doa, bahkan dalam tiap-tiap saat di waktu malam (doa dimakbulkan). Tidak ada sesuatu daripada waktu-waktu malam yang dimakruhkan sembahyang.
Di waktu malam diadakan sembahyang Tahajjud, istighfâr, kedua-duanya lebih utama daripada sembahyang dan istighfâr di waktu siang. Isra’ (Nabi Muhamamd Shallallahu ‘alaihi wasallam) juga berlaku pada waktu malam. (Al-Fatâwâ Al-Hadîtsîyyah 185-186)
Kita bawakan perkara kelebihan malam dan hubungannya dengan berzikir itu ialah untuk menjelaskan bahawa berzikir pada waktu malam itu adalah sangat wajar dan baik, sama ada secara bersendiri mahupun berkumpulan.
Namun memilih kawasan kubur pada waktu malam untuk berzikir sebagaimana yang diminta fatwa boleh mendatangkan keraguan dan kesangsian. Apakah tujuan pemilihan kawasan kubur, sedangkan berzikir boleh dilakukan di tempat-tempat yang lebih afdhal seperti masjid, bukannya di tempat-tempat yang boleh mendatangkan waham bahkan fitnah.
Jika berzikir itu satu daripada acara menziarahi kubur, mengapakah ia tidak dilakukan di waktu siang?
Menziarahi kubur mempunyai faedah, antaranya:
(i) Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyukai orang yang melakukannya kerana mengikuti sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
(ii) Untuk mengingati asal-usul kejadian kita (manusia) iaitu daripada tanah dan akan kembali semula kepada tanah.
(iii) Mendatangkan keinsafan tentang kematian, alam kubur (Barzakh) dan Hari Kiamat dan juga kesedaran menghisâb diri sama ada akan menuju syurga atau neraka.
(iv) Akan mendapat iktibar atau pengajaran daripada apa yang telah berlaku yang boleh melembutkan hati dan membawa kepada kesedaran.
(v) Akan menimbulkan semula ingatan terhadap orang-orang yang berjasa dan yang berjihad kerana menegakkan kalimah tauhid.
(vi) Mendatangkan kesan kepada diri agar bersifat zuhud yakni tidak rakus dan tamak akan harta benda dunia.
(vii) Berlaku ihsan kepada penghuni kubur dan menggembirakan mereka dengan salam, doa dan memohonkan keampunan untuk mereka.
Tujuan dan faedah yang tersebut di atas telah disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis-hadis Baginda. Di antaranya:
Maksudnya: “Daripada Buraidah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dahulu aku telah melarang kamu berziarah ke kubur, (sekarang) Muhammad telah mendapat keizinan untuk berziarah ke kubur ibunya, maka ziarahilah kubur kerana ziarah kubur itu mengingatkan kamu kepada akhirat.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Dan hadis riwayat Ibnu Majah:
Maksudnya: “Maka sesungguhnya menziarahi kubur itu menzuhudkan diri seseorang dalam kehidupan dunia.”
Seterusnya daripada Ibnu Mas‘ud yang berbunyi:
Maksudnya: “Pada mulanya aku (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) melarang kamu menziarahi kubur, kini bolehlah kamu menziarahinya, kerana sesungguhnya menziarahi kubur itu menzuhudkan hidup di dunia dan mengingatkan akhirat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Adapun amalan-amalan sewaktu berada diperkuburan ialah:
(i) Memberi salam kepada penghuni kubur.
(ii) Memohonkan keampunan dan afiat untuk mereka.
(iii) Membaca ٌ قُل هُو َ هللا ُ أَحَد sekian banyak dan dihadiahkan pahalanya kepada ahli kubur.
Mestilah diingat, bahawa melimpasi panduan-panduan atau pertunjuk-pertunjuk Al- Qur’an dan hadis itu boleh membawa seseorang terpesong jalan dan perbuatan. Ini hendaklah kita lebih beringat-ingat. Kita teliti dan jadikan cermin semua garis panduan syara‘ dalam beramal dan beribadat, insyâ’ Allah kita akan berjaya menempuh jalan selamat. Keselamatan yang kita cari itu tidak lain ialah keselamatan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Caranya ialah, kekal dalam agama Allah dan jauh daripada sebarang bid‘ah yang ditegah oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Apabila sesuatu amalam yang tidak disuruh oleh agama dilakukan, maka itulah dia bid‘ah. Al-Imam Asy-Syafi‘e Rahimahullah membahagikan bid‘ah itu kepada dua, katanya:
Ertinya: “Bid‘ah itu dua (macam): Bid‘ah yang terpuji dan bid‘ah yang tercela. Adapun bid‘ah yang munasabah dan layak dengan sunnah, maka itulah dia (bid‘ah) yang terpuji, sementara bid‘ah yang menyalahi sunnah, maka itulah dia (bid‘ah) yang tercela.”
Mengenai bid‘ah ini juga, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah lebih awal menegaskan:
Maksudnya: “Adapun kemudian daripada itu, maka sesungguhnya sebenar-benar perkataan ialah Kitab Allah, dan sesungguhnya semulia-mulia petunjuk pula ialah petunjuk Muhammad, dan sejahat-jahat perkara pula ialah yang diada-adakan dan tiap-tiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah, dan tiap-tiap bid‘ah itu sesat dan tiap-tiap sesat dalam neraka tempatnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Daripada hadis ini lebih jelas lagi tafsiran tentang bid‘ah itu, iaitu apa-apa jua perkara atau perbuatan yang senghaja diada-adakan yang tidak selari dan cocok dengan sunnah dan ganjaran Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kita diingatkan sungguh-sungguh supaya menjauhi bid‘ah itu, kerana risikonya sangat buruk iaitu neraka.
Mengenai berzikir di kawasan perkuburan secara berkumpulan dan diadakan di waktu malam sampai ke pagi apakah hubungannya perkara ini dengan sunnah? Baik di Brunei mahupun di mana-mana jua, ianya bukanlah suatu kelaziman yang biasa dibuat orang yakni oleh umat Islam. Malah inilah baru julung-julung kali mendengarnya.
Mengapalah sampai memilih perkuburan dan waktu malam sehingga ke pagi? Bila disebut pagi, tentulah ia ‘limpas’ waktu Subuh. Mungkin juga baru bubar dan bersurai apabila hari sudah cerah atau setelah terbit matahari.
Kalau inilah keadaannya, maka ternyata ada masyaqqah (susah payah dan keletihan), seperti tidak tidur dan letih atau tidak aktif di waktu siang, yang juga boleh menjejaskan pekerjaan dan kewajipan harian mereka. Perkara lain, di manakah mereka melakukan sembahyang Subuh, dan sebelum itu, di mana pula tempat-tempat kemudahan yang perlu seperti bilik air dan lain-lain? Ini semua, tidak syak lagi, boleh mendatangkan musykil. Maka oleh itu, ada alasan perkara ini disiasat sehalus-halusnya untuk kebaikan semua pihak.
Berbalik mengenai masyaqqah atau susah payah yang terpaksa dialami oleh kumpulan ini.
Sayugia diingat, bahawa agama Islam itu adalah agama yang sejahtera, agama yang mudah di dalam semua suruhan dan perintahnya. Ini telah dijelaskan sendiri oleh Allah dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan atau kepayahan” (Surah Al-Mâ’idah: 6)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah Al-Baqarah: 185)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri juga pernah bersabda:
Maksudnya: “Aku dibangkitkan dengan (membawa) agama yang lurus mudah (ringan).” (Hadis riwayat Al-Khatib)
Kita sebut perkara ‘mudah’ dalam agama itu, kerana perbuatan berzikir di tempat yang tidak wajar dan lebih-lebih lagi pada waktu malam yang sangat panjang, boleh menimbulkan beberapa persoalan antaranya:
(i) Kemungkinan mengutamakan perkara sunat daripada wajib. Berzikir sehingga terbit matahari boleh menyebabkan tertinggal sembahyang Subuh. Jika ini berlaku, maka kumpulan ini adalah menyalahi perintah Allah.
(ii) Berzikir adalah amalan sunat. Berzikir sehingga ke pagi atau sehingga terbit matahari, akan melemah dan meletihkan tenaga. Jadi dengan itu ia boleh menjejaskan tanggungjawab yang wajib seperti kewajipan terhadap rumah tangga, terhadap tugas-tugas di tempat kerja dan lain-lain, sehingga semuanya itu tidak dapat ditunaikan dengan sempurna. Padahal menyempurnakannya adalah merupakan amanah dan tanggungjawab yang wajib, iaitu suatu tuntutan agama sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala suka jika seseorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan dan dia mengelokkannya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala suka terhadap pekerja (yang) apabila dia melakukan pekerjaan dia membaguskan pekerjaannya itu.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Hadis ini walaupun dha‘îf, namun ia sesuai dan menggalakkan kepada pekerjaan-pekerjaan yang utama (Fadhâ’il Al-A‘mâl).
Dengan ini dapat difahami bahawa barangsiapa yang tidak melakukan tugas-tugasnya dengan sempurna adalah dia cuai dan tidak amanah. Jika dia kepala keluarga, boleh jadi risikonya turut diterima oleh keluarganya, sementara jika dia seorang pekerja, akan merugikan majikannya, sedangkan upah atau gaji diterima penuh, tiada kurang walau sedikitpun. Itu belum lagi mengambil kira, bahawa pada tubuh badan itu ada hak yang wajib ditunaikan, sebagaimana yang disebut di dalam hadis:
Maksudnya: “Abdullah bin ‘Amr Al-‘Ash Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan hadis kepadaku: Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepadaku: “Wahai Abdullah, tidakkah benar diberitahukan kepadaku sesungguhnya engkau berpuasa siang hari, beribadat pada waktu malam?” Jawabku: “Benar wahai Rasulullah.” Sabda Baginda: “Janganlah engkau lakukan, berpuasalah dan berbukalah, berjaga dan tidurlah, sesungguhnya bagi tubuh badanmu, atas engkau ada hak, bagi dua matamu, atas engkau ada hak, dan bagi isterimu atas engkau ada hak, dan bagi tetamumu, atas engkau ada hak.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Sebagai contoh mendahulukan keutamaan dalam semua urusan, khasnya dalam urusan kewajipan agama, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang seorang isteri daripada melakukan puasa sunat, sedangkan suaminya ada di rumah, kecualilah dengan izin suami itu, kerana hak suami ke atas isteri lebih penting dan utama daripada puasa sunat itu.
(iii) Jika tujuan amalan zikir itu ialah keduniaan seperti hendakkan kuat atau kebal, maka ianya adalah bertentangan dengan agama kerana bukanlah semua matlamat itu mengharuskan cara, seperti contohnya dapat dilihat dalam peristiwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meroboh Masjid Dhirar yang begitu masyhur, padahal membina masjid itu sangat besar pahalanya. Akan tetapi oleh kerana matalamat atau tujuan ia didirikan oleh orang-orang munâfiq ialah untuk mengintai-intai dan memecah-belahkan perpaduan umat Islam, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak teragak-agak meruntuhkan masjid tersebut.
Oleh sebab itu, melakukan sesuatu amalan agama mestilah ditelek pada tujuannya. Jika sekiranya bukan kerana Allah, ianya ditolak. Sesuai dengan prinsip bahawa “al-umûr bi maqâshidiha” (segala perkara itu tergantung pada niat atau tujuannya).
Jika tujuannya itu tidak jelas, maka mustahaklah ia disiasat. Jika sudah jelas ianya menyeleweng atau menyesatkan, maka perkara itu wajiblah dibanteras atau dicegah, kerana ia memudaratkan, lebih-lebih lagi jika mudaratnya itu terhadap aqidah. “Adh-dharar yuzâl” (kemudaratan itu hendaklah dihapuskan).
Adapun Unit Kawalan Akidah dan Syariah tidak dapat mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas kumpulan yang mengamalkan zikir itu disebabkan tidak ada sebarang peruntukan di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77), tidaklah semestinya menutup terus jalan kita. Kita masih ada cara melalui wadah “amr ma‘rûf” dan “nahy munkar”, iaitu sekurang-kurangnya dengan mengamalkan prinsip “ad-dîn an-nashîhah”. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Agama itu nasihat.” Kami berkata: “Bagi siapa?” Baginda bersabda: “Bagi Allah dan bagi KitabNya dan bagi RasulNya dan bagi imam-imam kaum muslimin dan bagi orang-orang awam mereka.” (Hadis riwayat Muslim)
Allah Ta‘ala pula telah menunjukkan bagaimana nasihat itu semestinya dijalankan, firmanNya:
Tafsirnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik.” (Surah An-Nahl: 125)
Semata-mata menunggu undang-undang untuk mencegah mungkar, bukan sahaja akan melepaskan banyak peluang pencegahan mungkar itu, malahan juga akan memberikan kesempatan yang sangat luas bagi mungkar itu berkembang dan bertapak dengan kuatnya di dalam masyarakat. Undang-undang hanyalah alat, sementara budi bicara lebih berupaya untuk menciptakan sesuatu, termasuklah undang-undang itu sendiri.
Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah ini:
Tafsirnya: “Kamu (wahai Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar- benar iman).” (Surah Ali ‘Imran: 111)
Inilah dasar supaya umat Islam terus aktif membawa kebajikan dan menghalang kejahatan dengan apa saja cara atau budi bicara yang munasabah, sesuai dengan kedudukan kita umat yang beriman.
Amr ma‘rûf dan nahy munkar itu, terutamanya di bidang dakwah, hendaklah diaktifkan untuk mengawal serta menjamin aqidah umat. Aqidah adalah pokok segala-galanya, pokok keselamatan di dunia dan di akhirat. Pokok kekuatan umat. Oleh sebab itulah, membetulkan aqidah serta melindunginya, adalah tugas dan kewajipan utama para rasul dan juga umat Islam seluruhnya. Aqidah itu bukan hanya mengajak manusia kepada ketuhanan Allah yang Maha Esa, tetapi dalam masa yang sama membanteras dan membasmi semua kepercayaan yang salah yang boleh melemahkan iman, dan lebih-lebih lagi yang boleh membawa kepada syirik. Kerana syirik itu adalah dosa yang tidak berampun, serta sebesar-besar kezaliman. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah suatu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman:13)
Oleh itu, membiarkan amalan-amalan mungkar wujud dalam masyarakat, bermakna mendedahkan mereka kepada bahaya besar. Masyarakat akan goyang dan goncang, kerana kemunkaran itu mempunyai daya gerak dan daya tarikannya yang tersendiri. Sewaktu ia masih sebutir bara seolah-olah merupakan mainan yang tidak sukar untuk dipadamkan. Akan tetapi apabila ia telah besar dan marak menyala ia akan membakar dan memusnahkan segalanya dan sukar untuk memadamkannya.
Anggota masyarakat yang sudah tumpul dhamîr dan perasaan terhadap kemungkaran akan terhoyong-hayang ibarat keadaan mereka dalam kapal yang sedang dipukul oleh ribut dan gelombang besar. Mereka tidak faham dan tidak sedar apa yang mesti dibuat, melainkan jika mereka itu diberikan pimpinan yang betul dan nasihat-nasihat yang lurus. Cuba sama-sama kita camkan gambaran yang diberikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini:
Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berdiri di atas batasan-batasan Allah dan orang yang mencerobohnya adalah seperti suatu kumpulan orang berkongsi dalam sebuah kapal. Setengah mereka mengambil tempat di tingkat atas kapal itu, dan setengah yang lain di tingkat bawahnya. Maka kaum yang tinggal di tingkat bawah kapal, apabila mengambil air terpaksa melewati jalan kaum yang di atas. Lalu terlintas dalam fikiran mereka: “Jika kami membuat suatu lubang kecil di bawah kapal untuk mengamabil air, nescaya kami tidak akan menyusahkan lagi kaum yang di atas. Maka seandainya dibiarkan mereka (yang di bahagian bawah) itu membuat sesuka hati, nescaya kesemua penghuni (anak-anak) kapal itu akan binasa. Akan tetapi jika mereka dipimpin dan diberi petunjuk, nescaya semua penghuni kapal itu akan terselamat.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi – hasan shahîh)
Daripada hadis ini, kita mendapat panduan bahawa kemungkaran golongan penyeleweng dalam apa saja perkara agama tidaklah boleh diabai atau dibiarkan lama-lama tanpa ditangani, kerana jika tidak, ditakuti mereka akan menjadi umpama penghuni di tingkat bawah kapal yang akan menebuk kapal itu sehingga bocor dan menyebabkan kemusnahan semua.
Kesimpulan mengenai fatwa yang dipohonkan, kita sarankan, supaya perkara ini disiasat dengan teliti. Jika ternyata zikir mereka itu zikir yang wârid atau yang tidak menyalahi sunnah, maka dinasihatkan supaya janganlah dilakukan di atas kubur dan pada waktu malam pula, kerana ini sangat ganjil dan boleh mendatangkan bermacam-macam prasangka serta fitnah. Sekiranya zikir itu benar dan betul, hanya tujuan dan matlamatnya saja yang bersifat keduniaan yang boleh merosakkan aqidah, maka pimpinlah mereka supaya selamat dan selamat aqidah mereka daripada rosak atau terpesong, sama ada sudah wujud undang-undang mengenainya apatah lagi belum.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8478
