Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Waktu, Tempat Dan Sasaran Bersedekah Yang Lebih Utama

Soalan: Sehubungan dengan ini kaola ingin bertanya mengenai dengan perkara tersebut di atas:

(1) Kepada siapa dan bilakah hari yang afdhal bersedekah:

(i) Anak yatim/orang miskin. (ii) Orang-orang akan bersungkai, misalnya di masjid. (iii) Jiran/saudara mara. (iv) orang-orang tua.

(2) Terdapat orang perseorangan atau berkumpulan secara bergilir-gilir bersedekah di masjid seperti minuman dalam botol pada malam yang kadang-kadang untuk 200 hingga 300 jemaah semalam. Dalam sebulan perbelanjaan orang yang bersedekah ini dianggarkan sekitar $3,000.00 - $9,000.00. Pada waktu yang sama tabung anak-anak yatim di masjid itu jumlahnya tidak sampai $100.00 semalam. Dalam sebulan kutipan tabung anak-anak yatim hanya $2,000.00 - $3,000.00 sahaja.

Apa pendapat Pehin tentang perkara tersebut dan yang mana lebih afdhal untuk kitani bersedekah? Jawapan awal dari Pehin adalah sangat-sangat diharapkan memandangkan bulan puasa akan menjelang.

Jawapan: Menghulurkan sedekah sunat adalah satu amalan mulia yang sangat dituntut oleh Islam, kerana ia boleh menggembirakan penerimanya dan juga memberikan pulangan manfaat yang banyak kepada pemberi, sama ada di dunia dan di akhirat.

Di antara kelebihan bersedekah itu seperti yang disebutkan ayat dan hadis-hadis berikut:

Tafsirnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya.” (Surah Al-Baqarah: 245)

Dalam Al-Qur’an banyak ayat yang menunjukkan bahawa Allah menyuruh kita bersedekah. Dalam sunnah pula banyak hadis menyuruh berbuat demikian, antaranya sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan seseorang yang lapar, Allah akan memberinya makan buah-buahan di syurga, sesiapa yang memberi minum seorang Mu’min yang dahaga, Allah akan memberinya minuman syurga “rahîq al-makhtûm” pada Hari Kiamat, sesiapa yang memberi pakaian seorang Mu’min yang telanjang, Allah akan memberinya pakaian hijau di syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi:

Maksudnya: “Sesungguhnya hamba itu apabila dia bersedekah daripada hartanya yang baik, Allah akan menerimanya. Dia akan mengambilnya dengan tangan kananNya, Dia akan memeliharanya sebagaimana seseorang kamu memelihara anak kuda atau anak untanya, sesungguhnya seorang yang bersedekah sesuap makanan dia akan membesar di tangan Allah (atau) di tapak tangan Allah hingga sebesar bukit, oleh itu hendaklah kamu bersedekah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Suruhan bersedekah itu boleh dilakukan pada bila-bila masa ada kesempatan dan lebihan perbelanjaan. Kebanyakan ayat dan hadis berkenaan menyebutkan lafaz اَنْفّقُوا yang boleh diertikan sebagai membelanjakan, menafkahkan, mendermakan, menyumbangkan, menyedekahkan atau menghulurkan bantuan.

Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan mereka bertanya pula kepadamu, apakah yang mereka akan belanjakan (derma/sedekahkan)?” Katakanlah: “Dermakan (sedekahkan) apa-apa yang berlebih daripada keperluan kamu”. (Surah Al-Baqarah: 219)

Melakukan amal-amal kebajikan seperti bersedekah ini pada bila-bila masa dan di tempat mana sekalipun sangat bermanfaat dan lebih digalakkan lagi pada waktu, hari atau tempat yang mempunyai kelebihan dan keutamaan.

Syeikh Ahmad Nasib Al-Mahamid berkata: “Sesungguhnya ibadat yang dilakukan di waktu-waktu seperti ini lebih banyak gunanya dan lebih besar manfaatnya. Ibadat yang dilakukan padanya akan digandakan ganjaran pahalanya, ia menyinari hati, menyucikan jiwa dan menaikkannya ke tahap kesempurnaan sehinggalah tercapai keredhaan Allah Ta‘ala. Di antara hari-hari yang mempunyai kelebihan ini, bahkan yang paling besar keutamaan, pahala dan kebaikannya ialah hari Jumaat. (Khushûshiyyat Yaum Al-Jumu‘ah: 6)

Hari Yang Utama Bersedekah

Secara umumnya hari yang paling baik dan utama untuk menghulurkan sedekah ialah pada hari Jumaat, kerana hari Jumaat merupakan penghulu hari-hari lain dalam seminggu dan mempunyai berbagai kelebihan. Bahkan, sesetengah ulama ada yang menyimpulkan kelebihan hari Jumaat mencapai seratus kelebihan sebagaimana yang dicatatkan oleh Imam As-Suyuthi di dalam kitabnya “100 Kelebihan Hari Jumaat.”

Salah satu daripada yang dicatatkan di dalam kitab itu ialah: Hari Jumaat menjadi istimewa kerana pahala sedekah pada hari itu digandakan. Menurut Al-Imam As- Suyuthi: “Pahala sedekah pada hari Jumaat berlipat ganda berbanding sedekah pada hari-hari lain. Ibnu Abu Syaibah telah mentakhrîjkan di dalam kitab Al-Musannaf daripada Ka‘ab, katanya:

Maksudnya: “Pahala sedekah berlipat ganda pada hari Jumaat.” (As-Suyuthi, Khushushiyyat Yaum Al-Jumu‘ah: 103)

Mengikut catatan Ibnu Qayyim, teks lafaznya adalah seperti berikut: “Ka‘ab berkata:

Maksudnya: “Dan sedekah pada hari itu (hari Jumaat) lebih besar pahalanya daripada sedekah pada hari-hari lain.”

Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya sedekah yang dikeluarkan pada hari Jumaat mempunyai kelebihan berbanding yang dikeluarkan pada hari-hari lain. Bersedekah pada hari Jumaat nisbah kepada hari-hari lain di dalam seminggu, samalah dengan sedekah yang dikeluarkan di dalam bulan Ramadhan nisbah kepada yang dikeluarkan di dalam bulan-bulan lain di dalam setahun. (Zâd Al-Ma‘âd, 1/407)

Sekiranya hari Jumaat itu bertepatan hari Jumaat bulan Ramadhan, keistimewaan bersedekah akan bertambah-tambah lagi pada hari itu kerana bulan Ramadhan mempunyai pelbagai kelebihan berbanding dengan bulan-bulan lain.

Dengan demikian hari yang paling afdhal menghulurkan sedekah ialah hari Jumaat dan lebih afdhal lagi jika hari itu bertepatan dengan bulan Ramadhan. Sementara bulan yang paling afdhal bersedekah pula ialah bulan Ramadhan kerana At-Tirmidzi meriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Ditanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sedekah apakah yang paling afdhal?” Baginda menjawab: “Sedekah pada bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Ini kerana fakir miskin pada bulan itu adalah lemah untuk mencari nafkah disebabkan oleh puasa, di samping pahala beribadat dan melakukan amal salih juga sememangnya berlipat ganda pada bulan yang mulia ini.

Kedudukan di atas adalah pada saat dan keadaan biasa. Adapun dalam keadaan-keadaan tertentu, adakalanya bersedekah itu lebih utama walaupun bukan pada hari Jumaat atau bulan Ramadhan. Misalnya, jika peluang untuk bersedekah pada hari Jumaat atau bulan Ramadhan itu dijangkakan tidak akan dapat dilakukan kerana benda yang akan disedekahkan itu tidak ada lagi pada hari atau bulan tersebut atau ada orang yang betul- betul mengharap dan memerlukan sedekah, seperti keluarga yang ditimpa musibah kebakaran rumah yang musnah semua harta dan keperluannya, maka di dalam situasi dan kedudukan begini tidaklah perlu menunggu hari Jumaat tetapi afdhal dan paling eloklah sedekah itu disegerakan.

Sasaran Sedekah

Sedekah atau pemberian ialah satu jenis ibadah yang digalakkan oleh syara‘, maka panduan siapakah penerima utamanya hendaklah mengikut apa yang telah digariskan oleh syara‘ pula.

Dalam ayat 177, surah Al-Baqarah Allah Ta‘ala menerangkan bahawa yang dinamakan kebajikan itu termasuklah menghulurkan derma atau sumbangan atau sedekah kepada enam golongan iaitu:

(1) Keluarga yang hampir. (2) Anak-anak yatim. (3) Orang-orang miskin. (4) Orang yang terlantar dalam perjalanan. (5) Orang yang meminta. (6) Hamba sahaya yang berusaha untuk merdeka.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke pihak Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan Hari Akhirat, dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya - sedang dia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak- anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.” (Surah Al-Baqarah: 177)

Di dalam ayat lain pula diterangkan bahawa sasaran-sasaran atau orang yang menerima sedekah itu terbahagi kepada lima golongan iaitu:

(1) Kedua ibu bapa.

(2) Keluarga yang terdekat. (3) Anak-anak yatim. (4) Orang-orang miskin. (5) Orang musafir yang terlantar.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?” Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan.” Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” (Surah Al-Baqarah: 215)

Merujuk kepada ayat di atas, di antara tempat bersedekah atau sasaran pemberian ialah kedua-dua orang tua, keluarga sendiri yang terdekat seperti adik beradik, mertua, bapa saudara dan lain-lain, anak-anak yatim yang tidak berharta, orang miskin atau fakir, orang yang sedang dalam musafir, tetapi terhalang untuk sampai ke tempat tujuan kerana ketiadaan perbelanjaan, orang yang datang meminta bantuan kerana memerlukan perbelanjaan sara hidup dan hamba sahaya yang hendak menebus kebebasan daripada tuannya.

Selain itu termasuk juga seperti melunaskan hutang, lebih-lebih lagi jika hutang itu bagi mashlahat orang ramai, juga seperti untuk meninggikan syi‘ar Islam, penuntut dan guru-guru agama yang miskin dan semua bentuk program fî sabîlillâh.

Sama halnya seperti kedudukan memilih masa bersedekah, maka memilih tempat atau si penerima sedekah juga hendaklah diperhatikan. Pihak yang lebih berhajat atau lebih memerlukan, dialah yang didahulukan. Begitu juga sesiapa yang lebih hampir dari segi kekeluargaan atau kejiranan, dialah yang diutamakan, sebagaimana perkara ini dijelaskan melalui ayat dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Kaum Kerabat Adalah afdhal bersedekah kepada kaum kerabat, kemudian jiran, kerana firman Allah:

Tafsirnya: “Kepada anak yatim daripada kaum kerabat.” (Surah Al-Balad: 15) Dan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Zainab, isteri ‘Abdullah bin Mas‘ud:

Maksudnya: “Suamimu dan anakmu lebih berhak menerima sedekahmu.” (Hadis riwayat Bukhari) Seterusnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadis hasan oleh Ahmad, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi:

Maksudnya: “Sedekah kepada orang miskin hanya sekadar sedekah, tetapi sedekah kepada kaum kerabat dapat dua kebaikan, iaitu sedekah dan menghubungkan tali silaturahim.” Juga riwayat Al-Bukhari daripada Aisyah katanya:

Maksudnya: “Aku mempunyai dua jiran, yang mana satu harus ku beri hadiah?” Baginda menjawab: “Yang paling hampir pintunya dengan rumahmu.”

Bersedekah Kepada Orang Bersungkai Tempat menyalurkan sedekah termasuklah orang-orang yang berpuasa ketika mereka itu berbuka puasa. Ganjaran pahala yang diterima sangatlah besar, sama besarnya dengan yang diperolehi oleh orang yang berpuasa itu sendiri. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang ‘menyungkaikan’ (memberi makan) kepada orang yang berbuka puasa, adalah baginya pahala seumpama pahala orang yang berpuasa itu, tanpa dikurangi walaupun sedikit daripada pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Oleh kerana orang ramai, khasnya jemaah masjid mungkin mengetahui betapa besarnya pahala sedekah yang diberikan untuk ‘menyungkaikan’ (memberi makan orang yang berpuasa) sebagaimana hadis di atas, maka itulah sebabnya barangkali mengapa sedekah yang dihulurkan dalam bulan Ramadhan untuk tujuan perbelanjaan ‘bersungkai’ itu lebih banyak jumlahnya berbanding dengan yang dihulurkan untuk bantuan anak-anak yatim. Mungkin juga para jemaah beranggapan bahawa menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim boleh dilakukan pada bulan-bulan lain sepanjang tahun sementara bersedekah untuk tujuan ‘menyungkaikan’ hanyalah dapat dibuat pada bulan Ramadhan sahaja.

Namun dalam hal ini hendaklah kita berhati-hati supaya jangan sampai berlaku pembaziran sewaktu ‘menyungkaikan’ orang yang berpuasa di masjid atau bahan-bahan hidangannya itu tidak sesuai seperti kuih muih yang tidak tahan disimpan.

Walau bagaimanapun, bersedekah dalam bulan Ramadhan, pada hari Jumaat tetaplah lebih utama berbanding pada bulan dan hari-hari yang lain.

Supaya sedekah itu tetap tinggi mutunya, maka elakkan bersedekah dengan barang-barang yang kurang baik atau si pemberinya kurang menyayanginya kerana sedekah dengan barang-barang yang sedemikian itu kurang nilainya di sisi Allah, firman Allah:

Tafsirnya: “... Dan janganlah kamu senghaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu) dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat...” (Surah Al-Baqarah: 267)

Bersedekah dengan barang yang paling bermutu dan paling disayangi, itulah yang amat digalakkan sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.....” (Surah Ali ‘Imran: 92)

Pahala sedekah juga boleh hilang sebagaimana diperingatkan oleh Allah melalui ayat ini:

Tafsirnya: “Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit- bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti seperti rosaknya pahala amal sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (ria).” (Surah Al-Baqarah: 264)

Menurut tafsir, makna اَلْمَن itu ialah orang yang memberi sedekah itu menyebut-nyebut kebaikannya kepada penerima sedekah serta membangkit-bangkitkan pemberiannya itu seperti katanya: “Aku telah membuat baik (bersedekah) kepadamu dan menutupi keadaanmu yang kurang.”

Sementara اَألدْى pula, si pemberi berbangga-bangga dengan pemberiannya dengan menyebut-nyebut kepada orang lain, sedang si penerima sedekah tidak suka didedahkan perkara itu sehingga menyakiti hatinya.

Membangkit-bangkit sedekah atau menyakiti orang yang menerimanya, samalah juga dengan orang yang membelanjakan hartanya dalam keadaan ria, sebagaimana ayat ini:

Tafsirnya: “Seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (ria).” (Surah Al-Baqarah: 264)

Sekian saja, kita akhiri jawapan ini dengan firman Allah:

Tafsirnya: “Berlumba-lumbalah kamu melakukan kebajikan.” (Surah Al-Baqarah: 148)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8482