Permasalahan Darah Yang Keluar Selepas Keguguran Anak
Soalan: Seorang perempuan mengandung dua orang anak (kembar). Tiba-tiba berlaku keguguran untuk satu anak (berusia 6 bulan dalam kandungan) dan seorang lagi masih dalam kandungan (lahir cukup 9 bulan). Apakah hukum darah yang keluar mengiringi keguguran tersebut? Dan bagaimana hendak mengira tempoh nifas bagi perempuan tersebut?
Jawapan: Darah nifas adalah darah yang keluar setelah rahim seseorang wanita itu kosong daripada kehamilan iaitu setelah dia melahirkan anak dalam kandungannya.
Perempuan yang keguguran sekalipun dengan hanya mengeluarkan ‘alaqah atau mudhghah sama ada sudah berbentuk atau belum, juga bernifas sepertimana bernifasnya perempuan yang melahirkan anak dengan sempurna.
Berkata Abu Zakaria al-Anshari:
Ertinya: “Dan walaupun sekiranya anak itu hanya ‘alaqah (segumpal darah) atau mudhghah (segumpal daging), maka darah yang keluar itu juga adalah nifas.” (Asna al-Mathâlib: 1/114)
Walau bagaimanapun di dalam masalah yang ditimbulkan ini ianya berhubung dengan kandungan kembar yang mana hukum darah hasil daripada keguguran anak pertama itu (kandungan yang gugur) adalah mengikut sebagaimana pendapat ulama mengenai darah di antara dua anak kembar yang lahir dengan sempurna.
Berkata al-Khathib asy-Syarbini:
Ertinya: “Dan darah di antara dua anak kembar itu adalah haidh seperti yang keluar setelah anggota yang terpisah daripada anak yang di dalam perut ibu kerana ianya keluar sebelum lagi rahimnya kosong (daripada kandungan) seperti darah orang hamil.” (Mughni al-Muhtâj: 1/166)
Manakala menurut pendapat yang ashah di sisi asy-Syeikh Abu Hamid, Ashhâb Syafi‘iyyah di Iraq, al-Baghawi, ar-Ruyani, pengarang kitab al-‘Uddah dan selain mereka daripada kalangan Ashhâb Syafi‘iyyah di Khurasan bahawa darah nifas itu dikira setelah melahirkan anak kembar yang kedua. (al-Majmû‘: 2/543)
Oleh itu nifas perempuan tersebut bermula setelah melahirkan anak keduanya iaitu dari sejak dia mendapati darah nifas itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8643
